12 December 2018

INILAH YANG TERJADI KETIKA PARA REMAJA 'HANG OUT' KE PASARAYA..

بسم الله الرحمن الرحيم

Gambar hiasan - Ihsan google

Kisah saya dan pasar

"Dah habis exam, jom kita hang out!".

"Alaa, maaf sangat tak boleh join"

Saya cuba mengelak ajakan mereka. Saya tahu ini bukan kali pertama saya mengelak dan menolak ajakan rakan-rakan ke Wangsa Walk dan KL Sentral tempat biasa pelajar-pelajar UIA berjalan-jalan ketika tamat musim peperiksaan. Tetapi kali ini saya terpaksa menolak lagi walaupun ini adalah ajakan kali ke-3. Saya masih ingat detik-detik saya amat kuat menolak ajakan rakan-rakan sehingga saya termasuk dalam golongan yang mempunyai 'sedikit' kawan.

Saya sebenarnya tidaklah terlalu kisahkan tentang kawan. Apa yang saya kisahkan adalah keadaan diri saya. Saya tahu kemampuan diri. Kalau kata pepatah 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang', keadaan kewangan saya ketika zaman belajar dahulu lebih parah dari itu. Saya tidak tahu di mana harus mengais untuk makaan pagi sehingga saya selalu memaksa diri berpuasa kerana tidak mampu makan. (Semoga Allah tetap terima sebagai ibadah)

Zaman itu telah berlalu.

Semester akhir di UIAM, dua orang sahabat baik saya mengajak saya keluar makan dan 'hang-out'. Kali ini saya tidak menolak kerana mereka adalah sahabat-sahabat yang amat mengetahui keadaaan diri saya dan mereka belanja saya sepenuhnya. Saya rasa mereka mahu menggembirakan saya kerana waktu itu ummi sedang kronik di Hospital menanti pembedahan sebuah pembedahan besar dalam kesuntukan wang yang kami sekeluarga hadapi.

Itulah kali pertama saya 'hang-out' bersama rakan-rakan.


Syukur diuji setelah mengetahui buruknya 'pasar'

Benarlah kadangkala kita cemburu melihat kesenangan orang lain. Namun sebenarnya kekurangan kita juga dicemburui oleh orang lain.

Saya tersentak saat dalam satu kelas pengajian hadis kami dijelaskan mengenai sebuah sabda Rasulullah berkenaan betapa buruknya tempat bernama 'pasar'. Tidak kira ia pasaraya besar, pasaraya kecil, pasar pagi, atau pasar tani apatahlagi pasar tengah malam seperti 'Uptown' yang sangat disukai sebahagian anak remaja kota metropolitan.

Sejenak saya teringat kata-kata seorang senior.

"Kami dulu di Darul Quran, muslimat pergi ke pasar malam semata-mata beli makanan dah macam aib juga la.."

Dahulu saya merasakan 'rigid'nya padangan sebegini. Namun, setelah memahami hadis ini saya pula jadi takut. Takut kerana dahulu saya selalu berkeinginan seperti rakan-rakan lain yang bebas berjalan-jalan di pasar untuk membeli-belah bahkan untuk 'window shopping' sahaja.

Aneh kan?

Kita pula seolah-olah aneh dan tertanya apakah ada hadis sebegini. Adakah islam ini agama yang terlalu mengongkong sehingga urusan ke pasar pun disebutkan? Jika benar ada hadis yang menyatakan buruknya pasar, mengapa? Bukankah pasar adalah tempat membeli keperluan harian dan bersosial?

Tiga belas perkara keburukan


خير البقاع المساجد وشرها الأسواق

“Sebaik-baik tempat adalah masjid dan seburuk-buruk  tempat adalah pasar” (HR. Ibnu Hibban dan dihasankan oleh Al-Albani)


أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

“Tempat yang paling Alla cintai adalah masjid. Dan tempat yang paling Allah benci adalah pasar” (HR. Muslim)

Daripada dua hadis ini ulama menjelaskan sebab umum. Pasar menjadi tempat yang paling buruk kerana ia adalah tempat manusia menjadi lalai dan berlaku banyak kemaksiatan.

Imam Nawawi ketika menjelaskan hadis Riwayat muslim menyatakan:

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

“Sabda Nabi: “Dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar”. Hal tersebut karena pasar adalah tempat pedagang berdusta, penipuan, riba, sumpah palsu, ingkar janji, dan manusia berpaling dari mengingat Allah, juga hal-hal lain yang seerti dengan makna berpaling dari mengingati Allah."

Peringatan dari hadis nabi ini amat dekat kepada kehidupan seorang remaja kerana kebanyakan remaja akan pergi ke pasar tanpa tujuan yang benar-benar jelas. Hal ini kerana, selaku seorang remaja cuba perhatikan dua puluh hal berikut:

1) Pasar menghidangkan nyanyian dan lagu-lagu yang tidak ditapis. Kita mulai mengenali dan menikmati lagu-lagu yang melalaikan melalui pendengaran di pasaraya.

2) Tiada orang di kanan dan kiri akan mengingatkan kita untuk menunaikan solat.

3) Kita tidak sampai hati meninggalkan rakan yang sedang makan sedangkan waktu solat sudah masuk.

4) Bagi remaja lelaki, pasti mereka akan ketinggalan peluang berjemaah di masjid jika membeli-belah pada waktu solat kerana surau di pasar amat kecil. Bahkan sebahagian pasar seperti pasar malam tidak menyediakan tempat solat.

5) Masa kita di pasar pasti melebihi 1 jam berbanding masa kita di masjid.

6) Kita akan bertemua orang yang tidak menutup aurat di pasar.

7) Kita sukar menolak ketika diberi tawaran harga yang rendah sedangkan ia bukan keperluan.

8) Mata kita akan melilau melihat orang dan barang, dan sangat sukar menundukkan pandangan di pasar!

9) Apabila makan di pasar, cerita dan sembang-sembang kita akan lebih panjang berbanding kita makan di dewan makan sekolah.

10) Tiada perempuan berkain batik dan lelaki berkain pelikat di pasar. Masing-masing akan tampil secantik mungkin sehingga terlalu banyak wanita yang tabarruj di pasar-pasar walaupun itu adalah pasar malam.

11) Pergaulan lelaki dan perempuan sesama remaja tiada kawalan ketika di pasar. Jika pasar itu jalannya sempit, lelaki dan wanita akan bercampur baur seolah-olah tanpa batasan.

12) Berlaku banyak penipuan di pasar-pasar terutama kepada golongan remaja yang kebanyakannya masih mentah memegang wang sendiri.

13) Banyaknya pusat-pusat haram yang akhirnya menjadi sarang dosa anak remaja muslim.

Ini baru senarai ringkas yang boleh saya senaraikan. Masih banyak lagi keburukan pasar kepada generasi muda sehingga ia menjadi suatu hal yang perlu dititikberatkan oleh para pendidik dan ibu bapa.

Bayangkan, jika kita perhatikan kebiasaan anak-anak muda yang pergi ke pasar tanpa kawalan ibu bapa, mereka akan menjadi sangat liar. bahkan kadangkala mereka menjadikan pasar sebagai tempat untuk melepak tanpa mereka sendiri tahu apa tujuan mereka berada di situ. teringat saya kepada seorang adik berusia 14 tahun. Saya bertemu dengannya di sebuah pojok tempat main snooker di sebuah pasaranya. Ketika saya mendekatinya dan bertanya mengapa dia di pasar itu, dia menjawab:

"Saya tidak tahu di mana tempat saya boleh mencari bahagia selain di sini. Di rumah ibu dan ayah marah-marah. Di sekolah, guru-guru buang saya.."

"Di masjid, Allah tunggu kamu..", saya berbisik kepadanya sambil memeluk gadis remaja itu.


Pasar, tempat buruk yang tidak haram

Pasar, ia memang tempat buruk. Namun di sisi Islam ia bukan tempat haram dikunjungi. Oleh itu, islam mengajar bagaimana caranya agar kita boleh ke pasar tanpa perlu terjebak kepada hal-hal yang dibenci Allah:

1) Masuk ke pasar dengan membaca doa ini:

Image result for doa masuk ke pasar

2) Masuk ke pasar dengan tujuan dan senarai barang yang jelas.

3) Masuk ke pasar dalam keadaan takutkan Allah dengan menjaga mata, hati, pendengaran, lidah, dan semua anggota dari maksiat.

4) Buat para remaja, elakkan ke pasar dengan rakan-rakan yang tidak baik kerana mereka pasti tidak mampu membawa kita kepada hal-hal yang membawa manfaat.

5) Utamakan ke pasar bersama keluarga dan hanya 'hang-out' bersama rakan-rakan ke tempat yang baik seperti masjid, majlis ilmu, dan perpustakaan.

---------------------

Rujukan:


06 December 2018

CERITA BUDAK NAKAL

بسم الله الرحمن الرحيم

"Ustazah ada instagram?"

Fuh soalan dia. Saya hanya senyum sahaja. Saya pernah ada instagram kononya mahu mengikuti perkembangan semasa. Biar tidak terlalu terkebelakang dan sedikit maju. Tetapi, setelah ada hal kurang baik yang terjadi saya memilih untuk menyahaktifkan akaun yang bersifat peribadi. Buat masa ini hal itu terbaik untuk saya, bukan orang lain.

"Oh, haa ada tapi instagram buku ustazah je lah. Bukan akaun peribadi ye.", saya memaklumkan.

"Alaa ustazah ni, tak best la.."

" Apa pula tak best? Ustazah yang tak ada akaun, bukan kamu.."

"Habis tu, gambar hensem saya kat IG siapa nak 'like'?"

Aduh! Saya hanya menepuk dahi sambil memikirkan ideaa untuk membalas kata-katanya.

"Takpe, gambar hensem kamu ustazah tak boleh nak like. Tapi keikhlasan kamu hafaz Al-Quran ustazah boleh 'like'. "

"Macamana nak like?"

"Doa kan boleh.."

"Doa mana nampak. Orang tak tahu.."

"Ya, orang kat dunia memang tak tahu. Penduduk langit tahu.. mana lagi hebat??"

Jeda. Dia tiba-tiba senyap. Rambutnya yang sudah keras disisir rapi diperbetulkan lagi.

"Ye lah, penduduk langit lagi hebat.", dia mulai mengalah.

"Alaa, janganlah sedih macamtu. Kalau ustazah ada IG, mesti ustazah tekan dua kali kat gambar kamu sampai keluar love."

"Eh, ustazah tau cara buat like la.."

"Ya, mestilah ustazah tau. Kan kalau kita buat love pada gambar budak nakal yang hensem dan beriman macam kamu ni, dapat juga ustazah pahala. Orang tahu, malaikat pun tahu."

Saya sengaja mencuri fokusnya agar dia tetap berterusan menjadi dirinya yang lebih baik.

BENDA 'SIMPLE' PUN HADIS NAK INGATKAN??

بسم الله الرحمن الرحيم

Berita hari itu membuat saya terkejut. Berita seorang pelajar membakar kereta guru sainsnya. Pelajar yang sama juga tertangkap ketika mahu membakar kereta Mercedes Benz milik bekas pengetua sekolahnya. Ketika ditanya mengapa, pelajar itu menjawab "saya marah dan benci.". Kemarahannya berpunca dari keputusan guru tersebut membuangnya dari sekolah akibat kesalahan disiplin.

Image result for ‫الغضب‬‎

Marah.

Memang ia perkara 'simple' yang nampak sangat ringkas. Namun, akibat dari sebuah kemarahan amatlah besar. Dari marah akan timbul benci, dari benci akan tertanam dendam. Maka, ketika itulah marah menjadi punca yang amat merbahaya.

Tanpa kita sedar, marah adalah satu perasaan yang dilemparkan oleh syaitan ke dalam lubuk hati anak Adam. Syaitan tidak membisikkan agar seorang pelajar membakar kereta gurunya. Syaitan juga tidak menghasut pelajar itu untuk membenci si guru. Namun, syaitan menanam benih benci melalui amarah. Kerana marah akan membuat seseorang terutamanya anak muda mudah hilang rasional diri.

Marah. Ia memang 'simple'.
Marah. Ia memang terlihat kecil.
Maka, pada hal-hal sekecil inilah nabi mengingatkan kita di dalam hadisnya "Jangan Marah!"

Tidak dinafikan, ada marah yang dimaafkan dalam islam. Iaitu marah yang hanya terdetik di dalam hati. Marah yang hanya bergejolak dalam jiwa dan tidak dikuasai hawa nafsu. Sebab itu di dalam fathul Bari, Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqâlani rahimahullah berkata, “Adapun hakikat marah tidaklah dilarang karena merupakan perkara tabi’at yang tidak dapat hilang dari perilaku kebiasaan manusia.”

Walaubagaimanapun, setiap wasiat yang termaktub di dalam hadis selalu membawa makna besar dalam kehidupan manusia terutamanya anak muda. Membentuk keperibadian mulia sebenarnya bermula dari hadis ini:


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ ، قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu bahwa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Berilah aku wasiat”. Beliau menjawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi  bersabda: “Engkau jangan marah!” [HR al-Bukhâri].
"Jangan marah!"

Perkataan ini terlihat sangat ringkas, namun ia amat besar nilainya dalam membentuk seorang anak muda yang berakhlak mulia. Jika tidak, mana mungkin Imam Ahmad Rahimahullah menafsirkan melalui hadis ini bahawa: "Akhlak yang baik adalah meninggalkan amarah."

Jika diperhatikan dari hadis ini, nabi menyebut dua kali 'jangan kamu marah'.

Wasiat nabi untuk kali pertama adalah untuk mendidik jiwa anak muda agar sentiasa menghiasi diri dengan sifat sabar, pemaaf, pemalu, rendah hati dan murah hati. Perasan atau tidak, jika anak-anak muda mempunyai sifat-sifat ini secara tidak langsung mereka akan menjadi remaja yang jauh dari sifat amarah.

Manakala, penegasan nabi untuk kali kedua lebih spesifik. Ia merujuk kepada keadaan darah muda yang memang baran. Lalu, larangan kedua ini mengajar anak muda agar tidak mengikut apa yang ingin diperbuat ketika amarah menguasai diri.

Berita yang saya kongsikan pada permulaan tadi adalah contoh mudah.

Secara manusiawi pelajar akan marahkan guru yang mengambil tindakan disiplin kepada dirinya. Itu masih lumrah. Namun, ketika datang bisikan untuk membakar kereta guru yang menyebabkan amarah tadi timbul, seorang anak muda harus diingatkan oleh penegasan kedua dari hadis ini. jangan marah! Jangan megikut apa yang dirasai ketika amarah menguasai diri. Kesannya amat buruk kepada orang lain, bahkan kepada diri pelajar itu juga. Akhirnya pe;ajar itu ditangkap da dimasukkan ke dalam penjara.

Begitulah kesan dan pengajaran besar dari perkara 'simple yang diingatkan melalui hadis. Setelah melihat kesan besar ini kepada anak muda, masihkah kita tertanya:

"Benda simple begini pun hadis nak ingatkan..?"


#tulistentangakhlak
#adabmuda
#hadiahdaricikgu

------------------------------Rujukan: 
Berita 2005
Hadis Jangan marah

09 August 2018

TIPS MENGUASAI BAHASA ARAB

بسم الله الرحمان الرحيم


Termasuk semalam sudah beberapa kali saya ditanya soalan ini. Soalan berkaitan tips menguasai Bahasa Arab bagi pelajar jurusan Bahasa Arab.
Saya sedar, saya bukanlah orang yang paling layak untuk menjawab hal ini. Namun, kerana sedikit pengalaman yang pernah saya lalui, saya kongsikan beberapa tips bila rasa down atau give up dengan Bahasa Arab.
Mohon rakan-rakan juga guru-guru yang lebih berkelayakan menambah apa yang kurang. Semoga dunia menghasilkan lebih ramai ghairun nathiqiin yang boleh mendalami Bahasa Arab dengan baik.
.
.
TIPS 1.
Rajinkah diri jumpa pensyarah.
Ini perkara wajib ok. Wajib. Kalau kita rasa teruk, kemudian kita sedih sorang-sorang, sembang dengan kawan je bagtau aku tak pandai.. Persoalannya, sampai bila nak jadi pandai?
Belajar adalah proses. Salah waktu belajar, itu bagus. Itu ertinya kita sedang belajar. Sebab kita akan belajar dari kesalahan. Pergilah bertemu mana-mana guru atau pensyarah di dunia ni, mana ada yang tidak suka pelajarnya datang bertemu untuk belajar dan bertanya soalan. Guru atau pensyarah hanya akan terganggu, kalau kita sibuk nak jumpa waktu esok nak exam sahaja. Itu nampak sangat kita belajar sebab nak pointer bagus saja.
.
.
TIPS 2.
Baca dahulu sebelum masuk ke kelas.
Pastikan sebelum jumpa pensyarah, samaada jumpa di kelas atau jumpa secara peribadi, baca dahulu teks atau topik yang akan dipelajari.
Kalau masuk kelas teks pun blur lagi, baris tak pernah praktis dengan kawan-kawan, itu cari penyakit namanya. Memanglah nanti bila pensyarah minta kita baca, baris tunggang-langgang dan confident level kita jatuh.
Saya bukan pelajar yang hebat. Ada juga malasnya kadang-kadang. Nak baca siap-siap waktu malam sebelum esok kelas, memang jarang sangat hal tu berlaku. Jadi, saya target siap ke kelas 10 minit awal baca sebelum pensyarah masuk. Ok la daripada tak baca langsung.
.
.
TIPS 3
Selalu buka youtube, cari bahan-bahan Bahasa Arab pendek.
Buka dan dengar sahaja. Di universiti masing-masing, saya rasa line internet tak ada masalah kan. Buka link-link berkaitan Bahasa Arab. Kalau tak tahu nak buka apa, tanya pensyarah sebab pensyarah adalah orang yang paling tahu Bahasa Arab jenis apa yang kita perlukan.
Kalau minat kartun, boleh buka link ni https://m.youtube.com/watch?v=7xXyJHtTRx4 (ejen Ali dalam Bahasa Arab)
Kalau saya secara peribadi, saya suka Bahasa Arab yang berkaitan dengan Al-Quran atau aga. Jadi saya akan suggest youtube yang saya selalu buka, seperti الشيخ العريفي، راتب النابلسي الشنقطي، الشيخ صالح المغامسي.
Boleh juga tengok video-video yang sudah diterjemah di Kajian Al-Amiry.
Tapi itu style saya la. Bagi saya sebaiknya tanya pensyarah. Kalau Bahasa Arab di UIA, pensyarah kami akan selalu cadangkan video yang agak tinggi Bahasanya. Baca surat khabar dari al-jazera dan dengar berita Arab itu biasa. So, better pergi ke point pertama iaitu jumpa pensyarah.
.
.
TIPS 4
Keep in touch dengan kawan-kawan yang ambil bidang Bahasa Arab di Universiti lain.
Ini apa yang saya dan rakan-rakan buat waktu dalam persatuan Bahasa Arab dulu. Di UIA, persatuan Bahasa Arab Secretariat of ALA IIUM dan IIUM Arabic Debating and Public Speaking Club adalah dua persatuan yang berbeza. Jadi, kami banyak belajar dan ambil istifadah dari rakan-rakan debat juga selaun rakan-rakan persatuan Bahasa Arab universiti lain.
Memang awal-awal perasan sendiri saja Bahasa Arab di UIA macam hebat la sangat. Bila sembang dan diskuss dengan kawan-kawan dari universiti lain, rasa malu dengan diri sendiri. Mereka dah buat banyak perkara untuk memandaikan masyarakat dengan Bahasa Arab berbanding kita.
Untuk pelajar Bahasa Arab, lebih sedih dan menyedihkan kalau 4 tahun di Universiti tak pernah terlibat pun dengan persatuan Bahasa Arab universiti. Kalau nak hebat dan nak kuasai sesuatu, kita kena perjuangkan perkara tu. Kalau tak, kita akan sekadar 'graduate' without contribution.
.
.
TIPS 5.
Praktis!
Kita kena selalu ingat, Bahasa Arab ini bukan Bahasa ibunda kita. Mana-mana Bahasa kedua di dunia ini, memerlukan bi'ah atau suasana di dalam hati kita. Itu pesan senior kami akh Umair Ikhwan ketika pensyarah kami menjemput beliau memberi motivasi bagaimana beliau menguasai Bahasa Arab tanpa belajar ke mana-mana negara Arab.
Praktis boleh melalui 2 maharat iaitu kalam dan kitabah.
Untuk praktis kalam, caranya tiada lain melainkan bercakap dengan kawan-kawan berbangsa Arab itu yang terbaik. Kalau kita seorang guru, bercakaplah dengan pelajar kita Bahasa Arab. Alhamdulillah, sampai sekarang saya masih belajar praktis cakap arab di sekolah dengan rakan guru kak Sizuka Arabiyyah, kak Faridah Abdullah.
Satu lagi cara, praktis menulis. Kitabah ni, lagi mudah sebenarnya sebab kita ada facebook, instagram dll. Gunakan medan ni untuk buat status dalam Bahasa Arab. Saya percaya, takkan ada orang kisah pun kalau kita salah. Kalau ada yang kisah, lagi bagus ada yang tashih.
.
.
TIPS 6.
Ikhlas.
Saya letak no 6, bukan sebab ia terakhir. Tapi sebab banyak orang suka lupa perkara ni. Sepatutnya, ikhlas ni kena letak sebelum no1!
Kenapa ikhlas? Supaya sepanjang 4 tahun kita belajar Bahasa Arab, susahnya, sedihnya, peritnya, mencabarnya, di hujung nanti kita rasa nikmat.
Bahasa Arab ni, satu-satunya bahasa yang datang direct dari Allah. Bahasa al-Quran. Bila ikhlas belajar Bahasa Arab, kita takkan jadi pelajar Bahasa Arab yang lupa baca Quran. Kita takkan jadi pelajar Bahasa Arab yang lupa nak faham maksud Quran. Kita takkan jadi pelajar Bahasa Arab yang hebat bercakap arab, tapi tak pernah bermanfaat untuk manusia lain.
.
.
TIPS 7
Selalu ulang tips no 1-6.
.
.
Sekian tips ringkas dari saya.
Gambar adalah hiasa sahaja.
( خير جليس في الزمن كتاب)
Zaharoh Fajar Nina,
Graduan Bahasa dan Sastera Arab UIAM 2011-2015

21 May 2018

2 RAMADHAN: "RAMADHAN YANG HILANG."

بسم الله الرحمن الرحيم

Ramadhan yang 'Hilang'

"Nak tanya boleh?"

Dia mendekati saya. Kesibukan menyediakan kertas soalan dan skema jawapan untuk peperiksaan begitu menghimpit. Saya hampir tidak menyedari kehadirannya di hadapan saya sehinggalah saya menyangka ucapannya itu ditujukan kepada orang lain.

"Oh, kamu bercakap dengan ustazah ke?", saya membalas tanpa memandang kepadanya kerana sibuk menyelak kertas-kertas di atas meja yang berselerakan.

"Ustazah sibuk ke?", dia bertanya, hati-hati.

"Ya, memang sibuk...", saya terpaksa jujur sambil menyambung,

"Boleh kalau nak tanya. Tapi ustazah hanya boleh jawab sambil buat kerja ya..", saya menjelaskan keadaan. Saya memang jenis susah untuk menolak pertanyaan dari sesiapa pun. Kerana, bagi saya, setiap pertanyaan hadir dari kepercaan seseorang kepada kita. Lalu, kita sewajarnya menyikapi kepercayaan itu selayaknya.

Saya terus menyambung tugas dan kerja yang bertimbun sambil menanti soalan darinya. Hening. Tiada soalan yang dilontarkan. Segera saya menyisihkan kerja-kerja yang perlu segera diselesaikan sebentar. Ya Allah, moga-moga dengan menjawab soalan pelajar saya ini akan membawa barakah dan kebaikan untuk saya dan dia.

Segera saya mengangkat wajah. "Ya, apa soalan kamu?", saya memberi fokus kepadanya sebentar.

"Ramadhan ni..", dia baru mahu memulakan soalan.

"Ada apa dengan Ramadhan ni? Sudah dua hari kamu puasa Ramadhan di sini, ada masalahkah?", saya sengaja meminta dia menghabiskan soalannya walaupun saya sudah boleh menangkap persoalan yang akan dilontarakan.

"Saya tak rasa apa-apa dua hari Ramadhan ini. Saya rasa Ramadhan ini hilang dari diri saya. Puasa, tarawih, tak rasa apa-apa pun.. Macaman nak bagi rasa ustazah?"

Akhirnya dia menyuarakan. Saya menghela nafas. Sudah lebih dari 3 orang bertanya hal yang sama kepada saya. Bahkan, saya sendiri pernah melalui perasaan sebegini beberapa Ramadhan yang lalu ketika zaman belajar di alam universiti dan sekolah. Saya amat faham situasi dia dan kita yang merasakan hal ini.

Ramadhan itu ada

Ramadhan yang 'hilang' itu tidak hanya terjadi kepada kita. Ia bahkan terjadi kepada ramai orang. Lihat sahaja masyarakat ini, ketika melontarkan bicara dan tulisan. Seolah-olah mereka tidak pernah tahu Ramadhan itu apa dan ada. Bagi mereka, sama sahaja Ramadhan dan bulan-bulan lain. Kata kesat dan biacara fitnah masih berlegar dalam masyarakat ini.

Silap. Itu yang silap.

Ramadhan ini ada. Ramadhan ini bukti sayang dan kasihnya Allah kepada hamba-Nya.

Mana tidaknya, Allah hadirkan Ramadhan kepada kita tanpa pernah tertinggal. Setipa tahun Ramadhan pasti hadir dalam apa jua situasi dunia. Bahkan, Ramadhan hadir dengan keberkatannya yang tidak sedikitpun berkurangan. Itulah yang harus kita rasakan di dalam hati, diri.

Ramadhan itu ada. Memag ada.

Kita sahaja yang kadangkala 'tiada' di dalamnya. Kita menempuh Ramadhan tanpa kita ketahui betapa bulan ini mulia dan dimuliakan Allah. Lihat sahaja bagaimana Allah memuliakan bulan Ramadhan dengan diturunkan Al-quran padanya.

Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya menyatakan

“Allah Ta’ala memuji bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain. Iaitu dengan memilih Ramadhan sebagai bulan diturunkan-Nya Al-Qur’an yang agung. Bahkan, selain Al Qur’an Ramadhan juga adalah bulan diturunkannya kitab-kitab Allah sebelumnya. Imam Ibnu Katsir membawakan dalil mengenai perkara ini, yaitu sabda Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam:

أُنْزِلَتْ صُحُف إِبْرَاهِيمَ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَأَنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لسِتٍّ مَضَين مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشَرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ وَأَنْزَلَ اللَّهُ الْقُرْآنَ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ
“Shuhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan. Taurat diturunkan pada hari ke malam ke 7 bulan Ramadhan. Injil diturunkan pada malam ke-14 Ramadhan. Sedangkan Al Qur’an diturunkan pada malam ke-25 bulan Ramadhan” (dishahihkan Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah, 1575)

Bukan hanya itu, Ramadhan hadir dengan pakej paling lengkap untuk sebuah barakah.


Mengembalikan Ramadhan yang 'hilang'

Ayuh sahabat, ayuh rakan. Agar kita dapat mengembalikan Ramadhan yang hilang dari hati kita, cuba kita bayangkan segala keberkatan yang terhimpun di dalam bulan ini.

1) Ramadhan penyebab terampunnya dosa.
Saya selalu teringat kalam permata dari Ibnu Mas'ud tentang perbandingan seorang mukmin dengan selainnya. 

" Seorang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang duduk di bawah sebuah gunung, dia amat takut jika gunung itu akan runtuh menimpanya. Sedangkan orang yang suka berbuat dosa dan munafik melihat dosa-dosanya seperti lalat sahaja, yang singgah di atas hidungnya, lantas dengan ringannya dia halau lalat tersebut dengan tangannya.” (HR. Bukhari)

Lantas, saat Ramadhan tiba sebagai bulan yang melaluinya dosa boleh terhapus, tidakkan bulan ini sangat hebat?!

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan karena keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

2) Terhimpun keberkatan yang banyak.
Amalan sekecil bersahur pun boleh menjadi sebab Allah dan Malaikat berselawat kepada seseorang. Apatahlagi jika masa Ramadhan kita diisi dengan amalan kebaikan lain seperti puasa, solat, membaca Al-Quran, menuntut ilmu dan sebagainya.

Abu Sa’id Al Khudri sampai pernah meriwayatkan dari Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam, 

“Makanan sahur adalah makanan yang barakah maka janganlah kalian meninggalkannya, walaupun seorang dari kalian hanya sahur dengan meneguk air, karena sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada orang-orang yang makan sahur”. (HR. Imam Ahmad)

3) Penyebab keselamatan manusia diturunkan.

Al-quran. itulah kitab penyelamat manusia. Dengan kemuliaan dan keindahan Al-Quran, ia menjadikan Ramadhan menjadi mulia. Ada sebuah malam menjadi mulia kerana Al-Quran diturunkan ketika itu. Itulah lailatulqadar. Sebuah malam yang menyamai seribu bulan, bahkan lebih. 

إِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya kami turunkan ia (Al Qur’an) di malam lailatul qadr” (Al Qadr:1)

إِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ
“Sesungguhnya kami turunkan ia (Al Qur’an) di malam yang penuh keberkahan” (Ad Dukhan:3)
Ketika semua manusia kegelapan mencari-cari jalan keselamatan, Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan. Lalu berpusu-pusulah manusia membacanya sepanjang bulan Ramadhan.

Apakah lagi yang ingin kita lepaskan dengan segala kebaikan dan keberkatan?
Apakah kita ingin Ramadhan ini terus 'hilang' sedangkan ia ada dan berlalu?

Wahai sahabat, ayuh kita renung kembali dengan memperbanyakkan istighfar! Barangkali bukan kerana Ramadhan itu 'hilang', tetapi kerana hati kita yang hilang dari merasai kebaikan dan keberkatan Ramadhan.

Permudahkan kami ya Allah!
.
.
.

4 Ramadhan 1439H 

16 May 2018

1 RAMADHAN: "JAHILNYA DIRI INI TENTANG AL-QURAN."

بسم الله الرحمن الرحيم


Saat paling mendukacitakan adalah saat ini. Ketika saya merupakan graduan Bahasa dan Satera Arab dan saya pernah mempelajari tafsir dan ilmu Al-Quran. Lalu, saat saya membaca Al-Quran yang telah saya hafal ini, saya tidak mampu memahami ayat ini dengan begitu mendalam.

1 Ramadhan. Semua muslim mulai mengorak langkah membaca Al-Quran dari mula dengan niat mengkhatamannya. Lalu, saat tiba pada ayat tentang perumpamaan yang Allah buat ini, saya terkelu sebentar. 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلا يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلا الْفَاسِقِينَ 

Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan, "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?'' Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.. (2:26)


Tafsir Ibnu Kathir saya selak beberapa kali. 

Dangkal.
Itu sahaja satu kata untuk kefahaman saya ini.

Karat.
Saya tidak mampu memahami ayat ini dengan baik. Saya hanya mampu memahaminya sebatas terjemahan yang ada.

Ya Allah.



Saya panjangkan pembacaan dari perbahasan Tafsir Ibnu Kathir. Namun, nol!

Saya tidak mampu memahami ayat ini melebihi kefahaman terjemahan yang ada!

Tersentap saya pada sebuah kata sebahagian ulama Salaf,

"Apabila aku mendengar perumpamaan di dalam Al-Qur'an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, karena Allah Swt. telah berfirman: 'Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.' (Al-Ankabut: 43)"
 Jahilnya diri ini tentang Al-Quran. Hati saya terdetik. Ya Allah, permudahkan!

1 Ramadhan 1439H

23 March 2018

AL-KAHFI, PENAWAR DUKA SEORANG DAI'..

بسم الله الرحمن الرحيم

KITA DAN ORANG LAIN

Seringkali saat saya terduduk buntu menghadapi hakikat beratnya kehidupan, saya terfikir...

Orang lain hidup dan kita juga hidup.
Namun, seorang dai' tidak mensia-siakan hidupnya untuk bersenang-lenang di dunia semata. Dia tahu, kampung halamannya adalah di akhirat.

Orang lain belajar dan kita juga belajar. 
Namun, seorang dai' akan selalu memastikan tujuan dirinya belajar dan bertungkus-lumus untuk peperiksaan semata-mata kerana Allah dan demi umat.

Orang lain terlibat dengan barisan kepemimpinan dan kita juga demikian. 
Namun, seorang dai' tidak akan semata-mata menerima tanggungjawab sebagai barisan kepemimpinan jika dia hanya dahagakan jawatan. Seorang dai' akan menjadikan jawatan yang ditanggungya itu sebagai amanah untuk menjadikan ummat yang tenat menjadi lebih baik.


Orang lain bekerja dan kita juga bekerja. 
Namun, seorang dai' akan selalu menetapkan matlamat bahawa dia bekerja untuk Allah. Allah adalah tuannya dan dirinya adalah khalifah di bumi.

Lalu, saya melihat orang lain yang tidak memilih apa yang saya pilih. Mereka hidup nampak bahagia sahaja. Mereka seolah-olah menjalani hidup dengan tenang sahaja. Mereka bahkan mendapat apa sahaja dari cebisan dunia yang mereka mahu..

Saat itu saya mulai mencari hakikat ujian ini bagaimana sebenarnya. Jumaat, hari paling tepat untuk saya kembali menelaah dan menekuni surah Al-Kahf beserta tafsirnya. Seperti biasa, Tafsir Al-Azhar yang pernah saya beli dengan gaji pertama dan ketika Allah mengangkat kesedihan paling dahsyat dalam hidup saya menjadi rujukan...


TERSENTAK SEKETIKA

Sampai kepada mukasurat 4155, tafsiran ayat ke-8 Surah Al-Kahf saya berhenti seketika.

Jeda.

Lama saya ulang perbahasan Hamka untuk ayat tersebut.

Tersentak saya seketika. Lama saya berfikir.

Kata Hamka menjelaskan dua ayat sebelumnya, ayat ke-6:

" Kadang-kadang kerana sangat dukacita melihat sikap acuh dan tidaknya orang Quraisy terhadap wahyu Allah, terlintas dalam ingatan Muhammad biarlah mati sahaja, guna apa hidup lagi?!.."

Pernah. Ya, baginda nabi pernah merasakan detik kesedihan yang sangat mendalam saat dakwahnya tidak diendahkan bahkan tidak memberi kesan langsung kepada orang Quraisy. Sampai Allah menggambarkan perasaan nabi dengan perkataan باخع iaitu seorang yang sedih keterlaluan hingga ingin merosakkan diri sendiri.

Sampai begitu sekali perasaan nabi?

ya, itulah gambaran Allah kepada kita. Bahawa Muhammad SAW adalah nabi, dan baginda juga manusia. Pernah merasakan apa yang kita rasa, bahkan lebih parah perasaan baginda. Hanya sahaja kesedihan baginda nabi sesekali bukan kerana baginda benci kepada Quraisy yang tidak menerima dakwah baginda. Sedih itu kerana nabi terlalu cintakan mereka, sayangkan mereka.

Bukankah sedih kerana orang yang disayangi tidak mendengar itu lebih perit dari ditolak ajakan oleh mereka yang kita benci?

Demikianlah kita.

Saat itu saya semakin sedar.

Semakin kita memilih jalan dakwah sebagai laluan, semakin hari cabaran kita semakin besar. Ujian akan semakin besar saat ia hadir dari insan-insan yang paling dekat dengan kita, paling kita sayang.

Kadangkala ia bermula dengan dugaan yang kecil sahaja. Namun, tatkala yang kecil itu bertambah saat demi saat, bertimbun detik demi detik, dan menggunung hari demi hari. Sehingga akhirnya kita terduduk lesu tidak mampu berbicara apa pun.

Ia menjadi duka paling dalam.

Saya percaya, sesiapa sahaja yang memilih jalan dakwah sebagai laluan hidupnya, dia pasti pernah atau akan menempuh perasaan ini. Perasaan saat luka ditoreh dalam dan semakin dalam. Pandangan saat jiwa terasa kabur lalu buntu tak terarah. Beban saat kaki bahkan tak mampu diheret kerana beratnya beban tertanggung.

Kerana dai' itu jiwanya halus, penyayang dan tidak membenci. Kerana itulah, saat dia berduka, dukanya akan sangat berat...


PENAWAR DARI ALLAH

Saya meneruskan pembacaan.

Baiknya Allah. Saat DIA tahu nabi dan umat ini memiliki rasa duka, Allah datangkan penawar pada ayat ke-7 dan ke-8. Lihat apa yang Allah sebutkan..

إنا جعلنا ما على الأرض زينة لها لنبلوهم أيهم أحسن عملا..


"... Kami ini, menjadikan apa yang ada di bumi ini hanyalah sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka; siapa di antara mereka yang paling baik amalannya.."  (18:7)

Lihat, Allah menampakkan kepada kita bahawa segala bahagia yang kita lihat pada diri orang lain yang tidak menjadikan hiduppnya untuk Allah adalah perhiasan sahaja. Apa ertinya sebuah perhiasan?

Perhiasan sama seperti cincin berlian di jari. Ia mahal dan nampak indah. namun, saat jari mesti dipotong adakah masih berguna cincin di jari??

itulah nilai sebuah perhiasan. Ia cuma mengindahkan sahaja. Lalu di sebalik itu Allah akan menilai siapa di antara manusia yang paling baik amalnya. Ya, paling baik, bukan paling banyak.

Mengapa paling baik?
Kerana paling banyak tidak semestinya paling baik. Seumpama duit yang banyak, namun semuanya palsu dibandingkan sekeping sahaja duit RM100 yang asli(paling baik ia dibuat dan melalui proses bank negara dan sebagainya).

Penawar pertama,
"DUNIA HANYALAH PERHIASAN."

Saya segera meneliti perbahasan tafsir tersebut, teringin mahu melihat apa lagi penawar duka buat dai' yang bersedih.

Ayat ke-8 Allah menambahkan penawar yang lebih mendamaikan hati. Apa kata Allah?

وإنا لجاعلون ما عليها صعيدا جرزا


"Dan Kami (Allah) kelak akan kami jadikan apa yang ada di atas bumi itu tanah rata lagi tandus." (18:8)
Ahli-ahli tafsir sampai mengatakan bahawa ini adalah ayat 'tasliyah'. Tasliyah ertinya ayat pengubat dan penawar hati duka Rasuulullah SAW saat menghadapi kaumnya.

Mengapa demikian?

Cuba kita tenung ayat ke-8 ini. Bukankah ini sebuah tanda Allah amat memahami jiwa kita. Saat kita merasakan semua orang tidak memahami kita, semua orang tidak mendengar kata-kata kita, semua orang tidak ingin mendengar nasihat dan dakwah kita, kalau kita orang yang ikhlas berdakwah dan menjadi dai' kerana Allah..

Kita akan damai dengan kata-kata Allah ini.

Allah memujuk kita dengan satu janji kepastian bahawa Allah nanti akan menjadikan bumi ini rata dan tandus. Tidak akan ada lagi manusia sombong bongkak yang merasakan dirinya bagus kerana tidak mengikuti dakwah kita. Semua penghuni dunia yang berlumba-lumba memijak orang lain, akan tinggal tulang-belulang yang alhirnya sama sahaja seperti orang yang dipijaknya.

Kita juga.

Kalau kita orang yang ikhlas, dan istiqamah berusaha untuk dunia kerana Allah, kita tidak kisah dengan tulang belulang kita lagi. Kita tahu bahawa dunia memang tempat berkumpulnya tulang-belulang manusia yang telah mati. Lalu hidup kita sebenarnya ada di syurga, kekal, selamanya.

Inilah bekal seorang nabi saat kedukaan.

Kita, saat kita memilih untuk menjadi dai' harus kita fahami hal ini. Nescaya beban kita akan berkurang. Duka akan pergi kerana diganti dengan sebuah percaya kepada janji Allah ini.

Duhai diri, kalau penawar dari Allah ini tidak kita ambil dan fahami dengan baik, apakah ada penawar lain yang lebih baik untuk mengubat duka dan sedih kita??

Apakah ada?

Di akhir kata menjelaskan tentang penawar dari Allah ini, Hamka mengatakan..

"Sebenarnya, di setiap perjalanan hidup ini ada keindahannya... hendaklah jiwa dilatih dan perasaan diperhalusi sehingga dirimu akan kenal keindahan itu..".


Dalam setiap sujudmu, rendahkan diri dengan sebenar-benarnya di hadapan Tuhan.. kau akan temui keindahan..