12 December 2018

INILAH YANG TERJADI KETIKA PARA REMAJA 'HANG OUT' KE PASARAYA..

بسم الله الرحمن الرحيم

Gambar hiasan - Ihsan google

Kisah saya dan pasar

"Dah habis exam, jom kita hang out!".

"Alaa, maaf sangat tak boleh join"

Saya cuba mengelak ajakan mereka. Saya tahu ini bukan kali pertama saya mengelak dan menolak ajakan rakan-rakan ke Wangsa Walk dan KL Sentral tempat biasa pelajar-pelajar UIA berjalan-jalan ketika tamat musim peperiksaan. Tetapi kali ini saya terpaksa menolak lagi walaupun ini adalah ajakan kali ke-3. Saya masih ingat detik-detik saya amat kuat menolak ajakan rakan-rakan sehingga saya termasuk dalam golongan yang mempunyai 'sedikit' kawan.

Saya sebenarnya tidaklah terlalu kisahkan tentang kawan. Apa yang saya kisahkan adalah keadaan diri saya. Saya tahu kemampuan diri. Kalau kata pepatah 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang', keadaan kewangan saya ketika zaman belajar dahulu lebih parah dari itu. Saya tidak tahu di mana harus mengais untuk makaan pagi sehingga saya selalu memaksa diri berpuasa kerana tidak mampu makan. (Semoga Allah tetap terima sebagai ibadah)

Zaman itu telah berlalu.

Semester akhir di UIAM, dua orang sahabat baik saya mengajak saya keluar makan dan 'hang-out'. Kali ini saya tidak menolak kerana mereka adalah sahabat-sahabat yang amat mengetahui keadaaan diri saya dan mereka belanja saya sepenuhnya. Saya rasa mereka mahu menggembirakan saya kerana waktu itu ummi sedang kronik di Hospital menanti pembedahan sebuah pembedahan besar dalam kesuntukan wang yang kami sekeluarga hadapi.

Itulah kali pertama saya 'hang-out' bersama rakan-rakan.


Syukur diuji setelah mengetahui buruknya 'pasar'

Benarlah kadangkala kita cemburu melihat kesenangan orang lain. Namun sebenarnya kekurangan kita juga dicemburui oleh orang lain.

Saya tersentak saat dalam satu kelas pengajian hadis kami dijelaskan mengenai sebuah sabda Rasulullah berkenaan betapa buruknya tempat bernama 'pasar'. Tidak kira ia pasaraya besar, pasaraya kecil, pasar pagi, atau pasar tani apatahlagi pasar tengah malam seperti 'Uptown' yang sangat disukai sebahagian anak remaja kota metropolitan.

Sejenak saya teringat kata-kata seorang senior.

"Kami dulu di Darul Quran, muslimat pergi ke pasar malam semata-mata beli makanan dah macam aib juga la.."

Dahulu saya merasakan 'rigid'nya padangan sebegini. Namun, setelah memahami hadis ini saya pula jadi takut. Takut kerana dahulu saya selalu berkeinginan seperti rakan-rakan lain yang bebas berjalan-jalan di pasar untuk membeli-belah bahkan untuk 'window shopping' sahaja.

Aneh kan?

Kita pula seolah-olah aneh dan tertanya apakah ada hadis sebegini. Adakah islam ini agama yang terlalu mengongkong sehingga urusan ke pasar pun disebutkan? Jika benar ada hadis yang menyatakan buruknya pasar, mengapa? Bukankah pasar adalah tempat membeli keperluan harian dan bersosial?

Tiga belas perkara keburukan


خير البقاع المساجد وشرها الأسواق

“Sebaik-baik tempat adalah masjid dan seburuk-buruk  tempat adalah pasar” (HR. Ibnu Hibban dan dihasankan oleh Al-Albani)


أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

“Tempat yang paling Alla cintai adalah masjid. Dan tempat yang paling Allah benci adalah pasar” (HR. Muslim)

Daripada dua hadis ini ulama menjelaskan sebab umum. Pasar menjadi tempat yang paling buruk kerana ia adalah tempat manusia menjadi lalai dan berlaku banyak kemaksiatan.

Imam Nawawi ketika menjelaskan hadis Riwayat muslim menyatakan:

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

“Sabda Nabi: “Dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar”. Hal tersebut karena pasar adalah tempat pedagang berdusta, penipuan, riba, sumpah palsu, ingkar janji, dan manusia berpaling dari mengingat Allah, juga hal-hal lain yang seerti dengan makna berpaling dari mengingati Allah."

Peringatan dari hadis nabi ini amat dekat kepada kehidupan seorang remaja kerana kebanyakan remaja akan pergi ke pasar tanpa tujuan yang benar-benar jelas. Hal ini kerana, selaku seorang remaja cuba perhatikan dua puluh hal berikut:

1) Pasar menghidangkan nyanyian dan lagu-lagu yang tidak ditapis. Kita mulai mengenali dan menikmati lagu-lagu yang melalaikan melalui pendengaran di pasaraya.

2) Tiada orang di kanan dan kiri akan mengingatkan kita untuk menunaikan solat.

3) Kita tidak sampai hati meninggalkan rakan yang sedang makan sedangkan waktu solat sudah masuk.

4) Bagi remaja lelaki, pasti mereka akan ketinggalan peluang berjemaah di masjid jika membeli-belah pada waktu solat kerana surau di pasar amat kecil. Bahkan sebahagian pasar seperti pasar malam tidak menyediakan tempat solat.

5) Masa kita di pasar pasti melebihi 1 jam berbanding masa kita di masjid.

6) Kita akan bertemua orang yang tidak menutup aurat di pasar.

7) Kita sukar menolak ketika diberi tawaran harga yang rendah sedangkan ia bukan keperluan.

8) Mata kita akan melilau melihat orang dan barang, dan sangat sukar menundukkan pandangan di pasar!

9) Apabila makan di pasar, cerita dan sembang-sembang kita akan lebih panjang berbanding kita makan di dewan makan sekolah.

10) Tiada perempuan berkain batik dan lelaki berkain pelikat di pasar. Masing-masing akan tampil secantik mungkin sehingga terlalu banyak wanita yang tabarruj di pasar-pasar walaupun itu adalah pasar malam.

11) Pergaulan lelaki dan perempuan sesama remaja tiada kawalan ketika di pasar. Jika pasar itu jalannya sempit, lelaki dan wanita akan bercampur baur seolah-olah tanpa batasan.

12) Berlaku banyak penipuan di pasar-pasar terutama kepada golongan remaja yang kebanyakannya masih mentah memegang wang sendiri.

13) Banyaknya pusat-pusat haram yang akhirnya menjadi sarang dosa anak remaja muslim.

Ini baru senarai ringkas yang boleh saya senaraikan. Masih banyak lagi keburukan pasar kepada generasi muda sehingga ia menjadi suatu hal yang perlu dititikberatkan oleh para pendidik dan ibu bapa.

Bayangkan, jika kita perhatikan kebiasaan anak-anak muda yang pergi ke pasar tanpa kawalan ibu bapa, mereka akan menjadi sangat liar. bahkan kadangkala mereka menjadikan pasar sebagai tempat untuk melepak tanpa mereka sendiri tahu apa tujuan mereka berada di situ. teringat saya kepada seorang adik berusia 14 tahun. Saya bertemu dengannya di sebuah pojok tempat main snooker di sebuah pasaranya. Ketika saya mendekatinya dan bertanya mengapa dia di pasar itu, dia menjawab:

"Saya tidak tahu di mana tempat saya boleh mencari bahagia selain di sini. Di rumah ibu dan ayah marah-marah. Di sekolah, guru-guru buang saya.."

"Di masjid, Allah tunggu kamu..", saya berbisik kepadanya sambil memeluk gadis remaja itu.


Pasar, tempat buruk yang tidak haram

Pasar, ia memang tempat buruk. Namun di sisi Islam ia bukan tempat haram dikunjungi. Oleh itu, islam mengajar bagaimana caranya agar kita boleh ke pasar tanpa perlu terjebak kepada hal-hal yang dibenci Allah:

1) Masuk ke pasar dengan membaca doa ini:

Image result for doa masuk ke pasar

2) Masuk ke pasar dengan tujuan dan senarai barang yang jelas.

3) Masuk ke pasar dalam keadaan takutkan Allah dengan menjaga mata, hati, pendengaran, lidah, dan semua anggota dari maksiat.

4) Buat para remaja, elakkan ke pasar dengan rakan-rakan yang tidak baik kerana mereka pasti tidak mampu membawa kita kepada hal-hal yang membawa manfaat.

5) Utamakan ke pasar bersama keluarga dan hanya 'hang-out' bersama rakan-rakan ke tempat yang baik seperti masjid, majlis ilmu, dan perpustakaan.

---------------------

Rujukan:


2 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian yang sudah lama tidak didengari masyarakat samada belia, remaja bahkan orang yg sudah berusia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama Aiman. Dah lama ustazah tak dapat komen blog begini.. Terimakasih untuk cadangan yang bernas.

      Delete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)