04 July 2014

Muhasabah Ramadhan : Bertaqwakah kita?

بسم الله الرحمان الرحيم

"Enti tahu apa sebenarnya TAQWA?",

Saya masih ingat, itu antara soalan yang ditanya kepada saya tahun lalu. 

Dari soalan itu, saya mulai tersedar satu perkara. Masuk sahaja Ramadhan, ramai orang akan mulai bercakap tentang Taqwa. Namun masih kurang orang menejlaskan dan dirinya sendiri jelas serta faham apa itu taqwa. Sedangkan matlamat kita yang Allah caturkan agar kita mendapat Taqwa.

Kadangkala kita hairan, mengapa setelah beberapa Ramadhan yang kita lalui, kita masih kita sebelum mendapat Ramadhan?

Mengapa?

Kita hampir tidak mendapat jawapan.

Sehingga, kita hanya tahu menyebut-nyebut "semoga taqwa milik kita", "ayuh kita raih taqwa" tanpa kita tahu apa yang mahu kita raih? Taqwa itu apa?

Kita ini, seolah-olah kita mengejar pelangi yang indah, namun kita sendiri tidak tahu apa fungsi pelangi yang kita kejar-kejarkan itu. Demikianlah keadaan manusia yang menyebut perkataan yang dia sendiri tak mengerti.

zahra'4|photogallery @ Mahallah Hafsa UIAM
Sebentuk garisan pelangi itu sangat indah.
Namun, ia akan lebih indah untuk mereka yang berfikir bahawa pelangi itu hadiah dari Allah.


Alhamdulillah, untuk tahun lalu saya sudah mejawab erti taqwa ini dengan mengumpulkan beberapa pandangan ulama' berkenaan Taqwa dalam artikel ini. [Apa sebenarnya TAQWA?]

Menapak ke Ramadhan tahun ini, pasti kita terasa mahu memahami dan menikmati makna taqwa dengan lebih mendalam. Sampai sahaja pada juzuk keempat al-Quran, ada sepotong ayat yang sering kita dengar dan kebanyakan kita tahu. Namun, sedikit sahaja dari kita yang mempunyai ilmu tentangnya.

Saya antaranya.

Kerana malu diri tidak berilmu, saya bergerak mencari. Maha suci Allah, al-Quran ada segala ilmu dan jawapan buat kita.

'TAQWA'.

Setelah ditelusuri, ia sebuah kata yang mampu mnggetarkan jiwa.

Soalkan kepada diri kita, bergetarkah jiwa?

Bergetarkah?

Oh, kalau tidak bergetar renungkan pula ayat ini.

 ياأيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته ولا تموتن إلا وأنتم مسلمون "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. "


Apakah kita masih belum merasa apa-apa, dengan sebuah panggilah 'wahai orang-orang yang beriman' itu? Panggilan khusus untuk kita orang mukmin.


Bertaqwakah kita?

Ittaqullah! Bertaqwalah! Tapi bagaimana?

Ayat ini mengajak kita untuk bertaqwa. 

Lalu bagaimana? Itu persoalan yang bermain di minda kita bukan?

Jawapannya ada pada pencerahan tafsir Al-quran yang sering kita abaikan. Imam Ibnu Kathir dengan penuh kesungguhan telah mengumpul ulasan para sahabat dan tabiin dalam tafsirnya. Sebuah tafsir yang juga dikenali sebagai Tafsir Al-quran al-'Azhim.

Seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas'ud radhiyallahu'anhu berkata:

اتقوا الله حق تقاته هو أن يطاع فلا يعصى، وأن يذكر فلا ينسى، وأن يشكر فلا يكفر
Sebenar-benar taqwa itu, ketika kalian melakukan ketaatan kemudian tidak bermaksiat dan kalian sering mengingati Allah kemudian tidak melupakan-Nya, juga kalian selalu berterima kasih kepada Allah kemudian tidak kufur terhadap nikmat-Nya."

Itulah sebenar-benar taqwa menurut Ibnu mas'ud dalam sebuah riwayat yang soheh.

Ertinya, kalau kita masih banyak merungut tentang kesusahan hidup itu tanda taqwa kita masih belum benar. Taqwa kita rapuh!

Begitu juga saat kita mudah lupa pada Allah. Kita sering beralasan saat diri terpengaruh ketika bergelumang dengan teman dan kawan yang kurang baik. Kerana, orang bertaqwa tidak mudah terpengaruh bahkan dialah yang mempengaruhi orang lain kepada kebaikan.

Demikian juga, jika kita ini bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa lidah dan hati sungguh mudah menlihat nikmat. Bibir akan basah dengan hamdalah tanda syukur. Hati akan payah mendengki kelebihan orang lain bahkan dengan mudahnya kita mendoakan teman kita.

Alangkah beruntungnya punya sahabat yang bertaqwa tanpa pincang. Kita tenang hidup dengannya, kita lapang berkongsi kejayaan bersamanya. Kita damai berselisih dengannya kerana akhirnya dia mampu melihat perbezaan sebagai nikmat dan rahmat.

Jika diperhatikan, ada tiga hal yang ditekankan oleh Ibnu Mas'ud R.a iaitu taat perintah Allah, ingat Allah dan bersyukur kepada Allah. Namun, Imam Ibnu Kathir rahimahullah menambah lagi pencerahan tentang taqwa ini dengan memetik sebuah hadis dari Anas radhiyallahu anhu:

" لا يتقي العبد الله حق تقاته حتى يخزن من لسانه
Tidak bertaqwa seorang hamba Allah itu dengan sebenar-benar taqwanya sehingga dia memelihara apa yang keluar dari lisannya"
Ramadhan ini, kita mahu mencapai Taqwa. Maka, inilah Taqwa! 

Namun, kerana jahilnya diri terhadap erti dan makna taqwa kita sering lalai dalam urusan memelihara lidah. Tambahan pula bila ada rasa tidak puas hati, dengan mudah kita menuturkan perihal orang lain. Kemudian, kita merasa kitalah yang benar kerana bercakap tentang mereka yang kita rasa tidak benar.

Benarlah kata peribahasa Melayu, lidah tidak  bertulang. Mudah benar manusia yang sebelumnya dengan lidah itu juga dia menuturkan al-Quran satu hari sejuzuk, juga lidah itu juga menjadi saksi dia menyebut kepada manusia lain 'ittaqullah'.

Pada bayak sisi, kita mampu memelihara taqwa. Namun, saat ada orang memotong jalan kita di lebuhraya ketika jalan sesak.. persoalkan diri untuk hal lidah ini, bertaqwakah kita?


Setelah kita menelusuri kata TAQWA

Kata 'Taqwa', adalah sebuaah kata yang berat untuk kita pikul. Dengan beban dosaa yang ada, sesekali kita terasa jauh dari kata taqwa ini. Namun, setelah kita menelusuri kata taqwa dan ilmu yang kita ada tentangnya memujuk kita untuk berdamai dengan taqwa.

Kembali bergerak menuju taqwa dan menjadikannya sebagai teman sepanjang perjalanan kita menelusuri baki kehidupan. Apalah yang kita ada sebagai bekal yang baik untuk masa ini. 

Ilmu bermanfaat yang kita beri kepada masyarakat, sangat sedikit dengan umur muda yang masih mentah ini. Sedekah juga tidak terlalu banyak. Anak soleh yang mendoakan kita, lebihlah miskin diri ini jika dilihat dari sisi itu. Namun, kita ada sebuah bekal yang pasti boleh dibawa menuju persemadian abadi nanti.

TAQWA.

تزودوا، فإن خير الزاد التقوى
Berbekallah, dan sebaik-baik bekal adalah taqwa..
Pesan ini, 
dari Allah untuk kita..

Ya, dari Allah untuk kita semua.

Titik.



Zaharoh Fajar Nina
6 Ramadhan 1435H
4 Julai 2014 
(13:36pm)

Rujukan :



No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)