31 December 2018

NOTA AKHIR 2018: EPAL ITU KERAS ATAU LEMBUT?

Dari sebiji epal

Sambil mengemas rumah, saya bersembang dengan adik-adik di ruang tamu. Sesi sembang kosong yang sudah lama tidak kami lakukan kerana saya sudah lama mengajar di Selangor dan meninggalkan adik-adik belajar di Kedah.

"Tadi minta abi belikan buah apa?," adik ketiga saya bertanya.

"Buah epal lah senang. Banyak khasiat kan....", saya menjawab selamba.

"Alaa, buah lain tak pesan ka?", adik saya bertanya lagi.

"Ok lah buah epal. Lagipun epal tahan lama sikit.. Kalau buah pisang, 3 hari tak makan nanti busuk, membazir lah..", saya membalas.

Sembang-sembang kami terputus saat tiba-tiba abi sampai dari pasar dan memberi salam. Pintu dibuka, barang-barang dari pasar dibawa ke dapur. Selesai meletakkan barang, abi kembali ke ruang tamu.

"Alaaa, nak buah lain laa..

"Kenapa?, Buah epal sedap lah..", saya mempertahankan sambil tersengih.

" Buah epal keras laa. Malas nak makan buah epal sebab sakit gigi nanti..", adik saya merungut.
Mendengar rungutannya, abi yang hanya diam dari tadi bersuara.




"Semua tu 'mind setting' kita sahaja", tiba-tiba abi bersuara.

Kami berdua terdiam. Cuba memikirkan apa maksud abi dan apa kaitannya dengan buah epal.

" Epal tu keras, kalau kisar epal tu jadilah lembut.."

Mendengar ulasan abi itu, serentak kami berdua ketawa terbahak-bahak. Saya langsung tidak menyangka abi akan berkata sedemikian.

"Haa,, betul juga apa abi cakap tu, kalau kisar buah epal jadilah lembut dah tak keras.."


Tahun baru dan sudut pandang baharu

Perbualan kami ini hanya sebuah cetusan.

Kita selalu memandang apa yang terjadi melalui zahir ia terjadi semata-mata. Ketika kita diberi nikmat kehidupan, kita hanya memandang nikmat itu sebagai kebaikan. Sedangkan ia juga adalah ujian.

Ketika kita dibebani masalah, kita menganggap ia sebuah kedurjanaan yang menghancurkan. Kita menyangka Allah membebankan kita dengan masalah kerana Dia tidak kasih. Sedangkan ujian itu tanda cinta dan sayangnya Dia kepada kita.

Sebiji epal memang keras sifatnya.

Epal tidak berubah menjadi buah yang lembut seperti pisang atau rapuh seperti tembikai sehingga bayi pun boleh memakannya. Tetapi, sebiji epal boleh dilembutkan dengan sebuah cara fikir yang baharu. Ketika fikiran menggerakkan anggota untuk bergerak mengisar buah epal itu, disitulah tindakan sebuah cara fikir dan sudut pandang baharu dalam kehidupan.

Epal itu asalnya keras.

Saat epal itu dikisar halus bersama secawan air, ia dihiris bilah-bilah tajam pengisar, berkali-kali, ia berubah menjadi campuran hampas epal yang lembut. Saat ditapis hampasnya melalui penyaring halus, barulah airnya terhasil tanpa hampas, tanpa keras.

Begitulah sebuah cara fikir boleh merubah keadaan sebiji epal.

Tidakkah cara fikir juga boleh merubah kehidupan kita kita yang baharu?

Semoga tahun yang baharu ini memberi paradigma baharu buat kita untuk kelangsungan kehidupan ini.

Dunia ini kotor, kitalah yang boleh membersihkannya

2018 memberikan kita sebuah pengalaman yang luarbiasa berbeza. Barangkali kita melihat dunia sudah kotor dan semakin kotor. Lalu, tidakkah sudut pandang baharu inilah yang menjadikan kita ingin membuat dunia menjadi bersih?


Kalam Muhammad shalallahu ‘alaihi wa sallam wajar diimani:

كلّ الناسِ يغدو؛ فبائعٌ نَفسَه فمُعتِقها أو موبِقها

“Setiap hari, semua orang meneruskan perjalanan hidupnya dan mereka keluar mempertaruhkan dirinya. Ada yang membebaskan dirinya dan ada pula yang mencelakakannya” (Hadits Riwayat Imam Muslim).

Seorang muslim, ia dilantik Allah untuk menguruskan kehidupannya masing-masing. Jika 2019 esok kesemua kita bertindak membersihkan kekotoran dunia dari kata-kata kesat, kelancangan jemari menulis kebobrokan dan kata nista, kemalasan berusaha, juga kekejian hasad dan dengki, dunia akan semakin bersih dari semua itu. Semoga Allah menguatkan kita untuk itu.

Lalu, kekerasan hati yang telah dilembutkan dengan membuang kekotoran dari jiwa dikuatkan lagi dengan sebuah tujuan. Ia tujuan utama semua manusia, termasuklah seorang anak kecil yang kisahnya dicatat dalam kisah Ashabul ukhdud, juga sekumpulan pemuda yang cerita mereka terpahat kukuh dalam lipatan sejarah Ashabul kahfi.

Bukan hanya tujuan hidup anak kecil dan pemuda, bahkan tujuan hidup seorang lelaki tua, Ayyub Alayhissalam yang ditimpa ujian dalam hidupnya saat dia mengucapkan kata :

"Wahai tuhanku, sesungguhya aku mengadu kepada Engkau kesusahan dan kesedihanku kepada-Mu"

Saat itu Allah merakamkan kisahnya dengan sangat indah di dalam al-Quran:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (83) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِنْ ضُرٍّ وَآَتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَعَهُمْ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ (84

“Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Rabbnya: “(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Rabb Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.” Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.” (QS. Al-Anbiya’: 83-84)

Anak kecil.

Pemuda.

Orang tua.

Ada sebuah tujuan hidup yang sama menguatkan mereka sehingga kisah mereka terakam indah di dalam kitab suci Al-Quran iaitu membersihkan dunia dari mempersekutukan Allah dan menetapkan urusan kehidupan berpaksikan sebuah wawasan:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
 “Katakanlah sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”


Keras atau lembut?

Kotor atau bersih?

Kita ada akal untuk menentukan di garis mana kehidupan akan diteruskan. 2018 telah pergi dan 2019 akan hadir dengan sebuah wawasan baharu di laluan kehidupan.
.
.
.
.
Zaharoh Fajar Nina
Bukit Mertajam.






22 December 2018

KEBOSANAN REMAJA MALAYSIA MEMERANJATKAN! INILAH CARA-CARA MENGATASINYA..

بسم الله الرحمن الرحيم

Tiba-tiba hari ini saya mendapat mesej dari seseorang yang sudah lama tidak menghubungi saya. Agak pelik sebenarnya mengapa dia menghubungi saya secara tiba-tiba. Perbualan kami berterusan sehinggalah saya bertanya kepadanya:

"Lama ni tak contact, kenapa harini contact?"
"Oh, haa tulah saja contact, sebab dah bosan tak tau nak buat apa.."

Memandangkan saya bukan orang yang suka membalas semua mesej atau mengangkat semua panggilan telefon, jawapannya membuat saya terdiam seketika. Kerana saya berusaha menjawab walaupun sedang agak sibuk. Namun, saya tidak ambil hati kerana sekurang-kurangnya dia masih menghubungi saya. Lebih teruk lagi jika dia masih tidak terdetik mahu menghubungi saya walaupun dalam kebosanan.

Kata-katanya itu membuat saya terfikir, bagaimana orang seceria dirinya boleh 'bosan'. Dia bukan remaja yang pendiam dan tidak mempunyai kawan. Dia seorang remaja yang sering menceriakan rakan-rakan dan suasana sekelilingnya. Bukan hanya itu, dia memiliki beberapa orang adik dan ahli keluarga yang baik-baik belaka.



Berbekalkan sedikit ilmu psikologi yang pernah dipelajari, segera saya mencari beberapa maklumat mengenai kebosanan dan cara mengatasinya. Saya juga tercari-cari adakah ada contoh situasi 'bosan' atau jemu di dalam islam.

Carian saya tentang fakta kebosanan remaja amat memeranjatkan. Kajian yang dibuat menunjukkan 83 peratus remaja di Malaysia mengalami kebosanan. Peratusan ini adalah tahap kebosanan paling tinggi berbanding negara-negara lain. Indonesia, negara bersebelahan dengan kita pun berada di tahap yang agak rendah iaitu 55 peratus remajanya mengalami kebosanan.

Mungkin beginilah rupa 83% remaja Malaysia


Kajian yang dibuat oleh MTV itu juga menyenaraikan tiga situasi anak-anak muda kerap mengalami kebosanan:

1) Ketika berada di rumah sebelum tidur (41 peratus).
2) Pada hujung minggu (33 peratus).
3) Semasa musim cuti (29 peratus).

Peratusan ini sebenarnya agak membimbangkan. Hal ini kerana kebosanan yang berpanjangan dan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal, rohani bahkan mental anak-anak muda apabila dewasa nanti. 2018 pun sudah menunjukkan kesan tidak baik. Remaja era ini sampai menghaslkan perkataan baru untuk memberi maksud bosan.

Pishang. 
Pernah dengar perkataan ini? 
Lihatlah betapa bosannya anak muda Malaysia sehingga perkataan 'bosan' pun sudah bosan didengar dan dituka kepada 'pishang'.


Sahabat nabi bosan?

Cynthia D.Fisher, seorang ilmuan psikologi mendefinisikan bosan sebagai suatu keadaan perasaan seseorang yang kurang selesa dengan suatu keadaaan. Bosan berlaku ketika seseorang merasakan kehilangan minat dan menjadi semakin kurang fokus terhadap perkara atau aktiviti yang sedang dilakukannya.

Kurang tepat jika dikatakan sahabat nabi merasa bosan dengan Al-quran. Namun, sebagai manusia mereka melalui fasa manusiawi seperti kita. Sebahagian situasi bosan ini dilalui oleh para sahabat nabi. Saad Bin Abi waqqas bercerita di saat Al-Quran telah sekian lama diturunkan kepada sahabat, lama-kelamaan mereka merasakan sedikit berat. Lalu sahabat berkata kepada Nabi:

“Ya Rasulallah, bagaimana jika engkau bercerita kepada kami?”.

Permintaan sahabat itu dijawab oleh Allah dengan turunnya surah Yusuf. Surah ini disebut oleh nabi sebagai 'sebaik-baik cerita.' Apabila Surah Yusuf turun, ia mendamaikan hati para sahabat lalu mereka kembali bersemangat. (HR Hakim)

Kisah daripada hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Al-quran memang mukjizat.
Kisah-kisah di dalamnya juga adalah kisah-kisah terbaik buat teladan anak muda.
Surah Yusuf pula adalah kisah terbaik untuk mengubat kebosanan anak-anak muda.
Benarkah?

Cuba kita bayangkan, kajian MTV yang telah kita baca tadi dibuat pada tahun 2014-2015.

Bukankah zaman teknologi sedang tumbuh dengan pesat saat ini?. Dengan telefon pintar di tangan, akaun media sosial yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, konsert nyanyian yang subur, drama jam 7 yang sentiasa laku, ditambah pula dengan jutaan tiket Polis evo(2015) yang mencapai RM 17.74 juta. Bagaimana anak muda Malaysia masih menjadi anak muda yang paling bosan di dunia?!

Tidakkah hal ini menghairankan kita?
Tidak cukup baguskah filem-filem dan cerita di Malaysia untuk menghilangkan kebosanan anak muda? Apakah yang silap?

Saya fikir, anak muda tidak boleh berada di takuk yang lama. Anak muda perlu belajar dari para sahabat yang juga muda ketika Al-Quran diturunkan.

Anak muda, ini masanya untuk kita kembali kepada cerita terbaik. Cerita Musa a.s, cerita Ashabul Kahfi, cerita Ashabul Ukhdud, dan cerita Yusuf Alayhimussalam. Bukan hanya itu, orang dewasa perlu mencontohkan keperibadian melalui cerita-cerita ini agar ia realistik di mata anak muda. Jika tidak, kajian 2019 dan tahun-tahun seterusnya akan terus meletakkan anak-anak muda Malaysia sebagai anak muda paling bosan di dunia.


5 sebab bosan dan cara mengatasinya

Cuba perhatikan salah satu sebab kebosanan berikut. Mungkin dengan mengetahui sebab-sebab ini kita boleh keluar dari kebosanan yang membunuh keindahan zaman muda kita.

1. Beku.
Bosan datang di saat kita merasa keadaan hidup kita mulai membeku. Seperti ais yang berada di dalam peti ais beku. Kehidupan kita sama sahaja hari demi hari. Esok, lusa dan setelah beberapa waktu ia tetap sama tanpa apa-apa perubahan.

Beku itu, lawannya cair. 

Anak muda mesti berusaha mencairkan kebekuan dengan membuat projek untuk masa depan. Mulakan sesuatu yang berbeza pada esok hari. Jangan biarkan kita membeku dalam satu situasi sahaja.

2. Sendiri.

Seringkali kita merasa bosan kerana kita asyik bersendiri. Masa yang ada terlampau banyak kita habiskan di hadapan skrin. Kita tidak bercakap mahupun bertukar pandangan dengan orang lain. Jika ada perbualan pun, kita cuma berbual di alam maya tanpa suara. Atau kadangkala di alam maya pun kita tidak mempunyai rakan untuk bersembang.

Sendiri itu lawannya ramai.

Jika belum rutin ke masjid, rutinkan diri untuk ke masjid dan sapa Tok Imam, Siak, Bilal dan kalau ada sapa tok kadi sekali :D. Kalau sudah rutin tetapi masih bosan, cari masjid lain dan sapa lebih ramai rakan di masjid. Pergi juga ceramah-ceramah atau libatkan diri dengan khidmat sosial. Ada banyak dakwah jalanan, sembang buku anak muda yang dibuat berleluasa.

3. Kosong.

Rasa bosan akan menerpa saat jadual harian kita berubah mendadak. Kebiasaan seharian kita di sekolah padat dengan aktiviti. Jadi, ketika musim cuti tiba masa kita kosong. Jika ia tidak diisi dengan aktiviti yang sepatutnya, rasa bosan akan mulai mengejar.

Kosong lawannya berisi.

Pernah lihat cawan kosong? Kalau dibiar lama tanpa bertutup, habuk akan memenuhi cawan kosong itu. Begitulah masa kita. Jika kosong habuk bosan akan memenuhi. Isikan masa itu dengan aktiviti lain untuk mengganti perubahan yang berlaku. Cari sampai dapat!


4. Diam.

Duduk di satu keadaan dalam masa yang lama akan membuat kita bosan. Apatahlagi duduk melakukan sesuatu hal yang kita tidak sukai dan ia tidak mendatangkan apa-apa hasil segera.

Diam lawannya gerak.

Apabila kebosanan di tempat kerja atau mendengar guru mengajar, alihkan kedudukan. Kitamesti bergerak dari kedudukan asal. Boleh minta izin guru untuk ke tandas sebentar. Begitu juga jika bekerja, kita boleh alihkan kedudukan meja kerja apabila sudah bosan.

5. Lama

Ada sesetengah anak muda yang memang memiliki perwatakan yang mudah bosan. Dia tidak boleh lama dengan sesuatu tugas sedangkan tugas itu belum selesai.

Lama lawannya baru.

Kita boleh mengganti aktiviti kita yang lama dengan aktiviti lain dengan syarat, setelah aktiviti kedua itu selesai kita mesti menyiapkan aktiviti pertama. Boleh juga menukar dinding bilik atau ruang kerja dengan 'wallpaper' baru. Semua ini akan membantu kita untuk menghilangkan kebosanan.

Ingat 5 formula ini untuk cara-cara mengatasi kebosanan.

Beku    Cair
 Sendiri   Ramai
 Kosong   Penuh
 Diam    Gerak
Lama   Baru


Harapnya penulisan ini mampu meningkatkan kesedaran anak muda bahawa kita di paras bahaya untuk ukuran kebosanan. Kesan negatif kebosanan amat banyak termasuklah melahirkan anak muda yang malas, dan tidak produktif.

Ayuh, mulakan langkah pertama kita dengan menghilangkan perkataan 'pishang' dari media sosial dan kehidupan kita serta meneladani para sahabat menekuni cerita-cerita Al-quran. Selamat mencuba!

Saya semangat!

---------------------------------

*Nota: Saya kena berhenti menulis untuk minggu ni. Dah 3 artikel dalam 1 minggu nanti orang bosan nak baca. Saya pun bosan nak menulis :(

Rujukan:

Selamat tinggal..

بسم الله الرحمن الرحيم

Selamat tinggal.

Itulah kata yang mampu aku ungkapkan buat bumi Selangor. Tujuh tahun berada di bumi Selangor ini benar-benar membuat aku belajar tentang kehidupan.

Bermula 2011 saat aku ditawarkan belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Aku tidak pernah menyangka akan menetap di bumi Selangor lebih dari jangkaanku 3 tahun setengah sahaja. Memang aku agak berdikari semenjak di Tingkatan 1. Namun, untuk pergi ke Selatan tanah air, ia bukan hal yang berada dalam jangkaanku dalam tempoh yang lama. Apatahlagi memulakan kerja di bumi ini, bumi yang amat asing buat diriku.

Aku sebenarnya tidak pernah bercita-cita mahu menjadi seorang guru. Aku hanya mahu menjadi seorang penulis yang tidak mengenali dan tidak dikenali orang ramai. Namun, Tuhan berkehendak lain. Dia malah ingin mengajarkan aku tentang kehidupan melalui manusia. Melalui rakan sekerja, melalui majikan, dan melalui anak-anak didik.

Bermula dengan terjebak dalam perniagaan yang mengelirukan, kemudian menjadi pengajar sambilan di universiti, terlibat dengan pelbagai NGO  beberapa tahun, menjadi guru tusyen, guru mengaji, tutor sukarela, penulis kolum majalah, ahli tim terjemahan dan projek terjemahan yang tidak menjadi, lalu pelbagai lagi suka duka yang tidak ingin aku tuliskan semuanya di sini.

Cukup aku katakan suka, gembira, bahagia, senang, juga ketawa semuanya pernah terjadi. Tidak kurang juga sedih, duka, kecewa, dan terluka. Semuanya terangkum menjadi satu hal yang benar-benar menjadi pengajaran.

Aku seorang yang sangat sensitif. Bukan mudah menangis. Aku agak sukar untuk terguris hati. Aku cuma sensitif dan mudah empati dengan perubahan dan keadaan sekelilingku. Ketika ada yang memberikanku penghargaan walaupun ia amat sedikit, aku amat menghargai penghargaan itu sehingga kadangkala aku sering membalas lebih. Demikian sebaliknya. Aku sejenis yang sukar terluka dan sukar untuk sakit hati. Namun, saat ada yang merobek-robek perasaanku aku tidak mungkin melupakan hal itu sekalipun aku sudah memaafkan.

Itu adalah sisi diriku yang ramai tidak tahu. Bagiku, ia mungkin kelemahan dan ia juga boleh menjadi kekuatan. Hal itu juga menjadikan aku sangat berhati-hati. Benarlah, kita boleh menjadi baik dan bijak. Jangan menjadi baik tetapi tidak bijak atau mudah dipermainkan.

Bumi ini juga yang mengajarkan aku semua itu. Selamat tinggal.

Hijrah.

Setelah 5 bulan aku fikirkan masak-masak, dengan semua sisi pandangan aku pertimbangkan, tekadku bulat.

Hijrah dan berpindah kembali ke Utara itulah keputusan yang harus aku buat. Ia bukan keputusan yang mudah. Ia bukan keputusan yang kecil. Dengan meninggalkan tawaran dengan jawatan dan gaji yang lebih tinggi di tempat kerja, keputusan ini tetap harus diteruskan. Aku tidak mengharap lebih melainkan sebuah harapan agar Allah Al-waliy yang Maha Menjaga urusan hamba-Nya meredhai keputusanku.

Tujuh hari lagi aku akan berpindah. Aku amat syukuri orang-orang baik yang pernah Allah hadiahkan buat diriku. Selamat tinggal aku ucapkan.

Berpisah kita sementara sahaja. Kerana, andai kita masih sama dalam iman dan kebaikan, kita tetap akan bertemu lagi di syurga. Terima kasih semua.

18 December 2018

KISAH MUHAMMAD ADIB INI SEPATUTNYA JADI TELADAN BUAT REMAJA| TIK-TOK, INSTA, TWEET DLL

بسم الله الرحمن الرحيم


Kisah Muhammad Adib

Maaf makcik saya ambil gambar tanpa izin.

"Makcik tadi habis bateri fon daripada 60% sebab tengok berita Muhammad Adib tu lah. Kasian kan..."

Saya hanya memerhati makcik cleaner UKM itu dengan penyapu, penyodok dan dua kantung plastik hitam masih di tangannya. Rancak benar dia bercerita sehingga kedengaran bicara simpatinya di ruangan terbuka Perpustakaan Tun Sri Lanang ini. Serentak dengan itu saya teringat wawancara dalam berita terkini yang saya tonton pagi tadi sambil mencicip secawan teh hijau dan dua keping roti bakar.

"Boleh ceritakan sedikit bagaimana peribadi Muhammad Adib yang pakcik kenal?"

Begitulah lebih kurang soalan yang ditanyakan oleh wartawan ketika menemu-ramah datuk saudara Muhammad Adib di Kampungnya di Kuala Kedah.

"Dia ni baik budaknya, pendiam. Dia mana banyak buang masa dengan benda-benda tak elok. Balik Kampung haritu dia tegoq budak-budak kecik yang main kat sini pastu dia duduk kat belah tepi bendang tu ja. Dia mana ada nak melepak tak tentu pasai..", kedengaran loghat Kedah bapa saudaranya menjelaskan perihal Muhammad Adib. Riak wajah bapa saudaranya sangat yakin namun saya percaya di hatinya tetap sayu.

" Adib ada balik Kampung untuk kali terakhir kan? Bagaimana dia?", Wartawan berita terkini RTM itu meneruskan pertanyaan.

"Ya betui, dia ada balik 5 hari pasai nak urus majlis nikah. Tapi takdan siap semua pun sebab kena pergi menyelesaikan tugas di tempat kerja. Hari pertama Adib bertugas tu terus dia kena pukul waktu rusuhan. Tu tugas pertama dia lepas dia balik kampung haritu, bukan kedua ketiga.. Balik haritu dia memang takdak buang masa, dia memang jenis yang tak suka buang masa benda-benda tak perlu. Dia banyak tolong mana perlu. Kalau masa kosong ada la memancing..", loghat Kedahnya masih kedengaran jelas.

Saya percaya kita semua pasti akan terus mengingat kisah Muhamad Adib ini. Seorang pegawai bomba yang datang ingin menenangkan rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, namun dia pula yang dipukul teruk. Perjuangannya bertarung nyawa selama 21 hari membawa pengakhiran kepada pemergiannya hari ini.


Gambar diambil dari web Bharian.
Hari ini seluruh Malaysia berdukacita dengan pemergian beliau dan kisahnya akan terus diingati. Jika Mufti Perlis dan Mufli Wilayah persekutan sudah menyuarakan gesaan agar keadilan ditegakkan bagi membela Adib dan keluarganya, saya berfikir ada sudut lain yang boleh dilihat agar Muhammad Adib tidak hanya pergi sebagai wira, bahkan beliau pergi sebagai teladan buat anak muda.


Muda untuk bermanfaat

1. Baik.
2. Pendiam.
3. Suka membantu.
4. Tidak suka membuang masa.
5. Ramah dengan kanak-kanak.

Lima sikap Muhammad Adib ini boleh  kita pelajari melalui pengakuan datuk saudaranya. Siapalah yang paling mengenal seseorang kalau bukan ahli keluarga. Kita belajar dari Muhammad Adib bahawa menjadi anak muda, biarlah menjadi muda untuk bermanfaat.

Saat saya melihat wawancara datuk saudaranya tentang Adib, hati saya sayu. Saya membayangkan anak-anak muda yang masih leka dan terjebak dengan ketagihan melampau terhadap permainan Mobile Legend, Tik Tok,  serta media sosial yang semakin parah.

Saya percaya di luar sana masih ramai anak-anak muda yang berkeperibadian mulia. Muhammad Adib salah seorang daripadanya. Sebenarnya kita bukan tidak memiliki stok anak-anak muda yang berakhlak mulia. Namun, anak muda mesti berani untuk keluar dari kesibukan rakan-rakan kita hari ini yang terlalu mengutamakan kuantiti bukan kualiti.

Cuba kita lihat rakan-rakan kita, bukankah ramai yang sangat mengutamakan berapa ramai 'followers' di IG, berapa banyak 'retweet', berapa banyak 'reshare' untuk tarian Tik Tok dan banyak lagi hal sebagai kayu ukur kehebatan. Hakikatnya hal beginilah yang telah mengikis kualiti anak muda kerana banyaknya masa kita bergelumang dengan hal-hal tidak bermanfaat. Itu belum termasuk keghairahan melihat berapa 'view' setiap saat di status Whatsapp, IG dan Fb story.

Semua ini berkait rapat dengan simptom ketagihan media sosial yang menjadi punca utama kerosakan generasi muda. Bahkan hal ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental kerana data kajian mendapati 60 peratus responden yang ketagihan media sosial mengalami kebimbangan. manakala sebahagiannya mengalami kemurungan (31.7 peratus) dan tekanan perasaan (20 peratus). (Link)


Bukanlah bermakna melayan media sosial itu berdosa. Ia cuma sebuah muhasabah agar sebagai anak muda kita mengejar kebaikan yang berkualiti, bukan berkuantiti. Pemergian Muhammad Adib amat mendukacitakan namun dia insyaAllah sudah berbahagia kerana 24 tahun kehidupannya dipenuhi dengan 5 keperibadian yang mulia yang baru kita ketahui.

Benarlah kata Rasulullah dalam sebuah hadis riwayat Muslim bahawa:


..إنما الأعمال بالخواتيم..
"Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan pengakhiran hidup kita.."

 Tidakkah beruntung Muhammad Adib di usia 24 tahun dia meninggal dalam keadaan sedang membantu dan memudahkan urusan orang lain? Bukankah kerana kesungguhannya menjadi seorang ahli Bomba dan niat yang murni untuk membantu itulah yang menghantarnya kepada kematian yang baik?

Tanggal 17 Disember 2018 adalah tarikh ajalnya Muhammad Adib. Tiada siapa yang tahu melainkan Allah sahaja. Itulah takdir yang tidak boleh diubah kepada diri seorang Muhammad Adib. Namun, atas usaha dirinya menjadi seorang yang suka membantu, Allah mengahantarkannya kepada takdir dipukul dalam sebuah Rusuhan lalu dia Mati sebagai seorang yang sedang membantu.

Anak muda, jadilah muda yang bermanfaat. Ya, muda hanya sekali kerana itulah kita mesti memanfaatkannya semampu mungkin. Tidak ada yang mampu mengubah diri kita melainkan K.I.T.A!


Bagaimana menjadi 'Muhammad Adib' seterusnya?


Sejujurnya saya tidak mengenali Muhammad Adib secara peribadi. Namun, nilai yang baik dalam diri Muhammad Adib ini saya fikir wajar diteladani oleh anak muda. Kata-kata Syeikh Bin Baz ini mendesak saya untuk berkongsi dengan semua anak muda tentang kita. Ya, tentang masa yang sedang kita lalui dan bagaimana kita memanfaatkannya.

Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullahu berkata:

والشباب في أي أمة من الأمم، هم العمود الفقري الذي يشكل عنصر الحركة والحيوية إذ لديهم الطاقة المنتجة ،  والعطاء 

المتجدد ، ولم تنهض أمة من الأمم غالبا إلا على أكتاف شبابها الواعي وحماسته المتجددة 
“Semua anak muda dalam mana-mana masyarakat pun,kesemua mereka adalah tulang belakang terbentuknya dinamika sesebuah masyarakat. Hal ini hanya terhasil jika golongan muda memiliki kemampuan yang produktif, mempunyai sumbangan berterusan buat masyarakat. Selalunya, tidak akan bangkit suatu masyarakat melainkan kebangkitan ini dipikul di atas bahu anak muda yang sedar serta mempunyai semangat menggelora."
Secara ringkas, untuk menjadi anak muda yang bermanfaat kita perlu bersungguh-sungguh dalam:

1) Menjadikan diri anak muda yang produktif atau dengan kata lain mempunyai keinginan untuk menjadi teladan akhlak baik bagi rakan-rakan lain.

2) Mempunyai ilmu. Caranya, meletakkan syarat kepada diri untuk wajib membaca untuk menambah ilmu dan kualiti hidup.

3) Sentiasa mempunyai jadual bersukan yang konsisten. Selain dapat menyihatkan tubuh, kita dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

4) Rajin membantu terutamanya ibu dan ayah di rumah melakukan kerja-kerja rumah seperti menjemur baju, menyeterika, mengemas, membasuh dan juga memasak. Bukan hanya memerap di dalam bilik dan bermain media sosial sahaja.

5) Sentiasa mencari ruang untuk menonjolkan diri dalam mengasah kemahiran diri dan disalurkan untuk manfaat masyarakat. Sebagai contoh, Muhammad Adib memilih kerjaya sebagai Anggota Bomba untuk menyalurkan kemahiran meyelamatkan orang. Demikian juga anak muda yang berbakat dalam kerja-kerja bengkel boleh menyalurkan kelebihan itu kepada masyarakat.

6) Mengekalkan keperibadian muslim dalam setiap aktiviti seharian. Anak muda yang minat bersukan boleh membentuk kumpulan sukan namun tetap mengajak rakan-rakan untuk menunaikan solat ketika masuk waktu solat.

Masih banyak ruang untuk anak muda menjadi anak muda yang bermanfaat. Selagi ia selari dengan tuntutan agama dan moral kemanusiaan, anak muda perlu terus gigih keluar dari zon selesa untuk menjadi seorang yang lebih baik dan semakin baik.
.
.
.
.

* Tulisan ini khas ustazah dedikasikan buat semua anak didik yang ustazah sayang. :D
Semoga Allah jaga kalian.
------------------
Rujukan:

12 December 2018

INILAH YANG TERJADI KETIKA PARA REMAJA 'HANG OUT' KE PASARAYA..

بسم الله الرحمن الرحيم

Gambar hiasan - Ihsan google

Kisah saya dan pasar

"Dah habis exam, jom kita hang out!".

"Alaa, maaf sangat tak boleh join"

Saya cuba mengelak ajakan mereka. Saya tahu ini bukan kali pertama saya mengelak dan menolak ajakan rakan-rakan ke Wangsa Walk dan KL Sentral tempat biasa pelajar-pelajar UIA berjalan-jalan ketika tamat musim peperiksaan. Tetapi kali ini saya terpaksa menolak lagi walaupun ini adalah ajakan kali ke-3. Saya masih ingat detik-detik saya amat kuat menolak ajakan rakan-rakan sehingga saya termasuk dalam golongan yang mempunyai 'sedikit' kawan.

Saya sebenarnya tidaklah terlalu kisahkan tentang kawan. Apa yang saya kisahkan adalah keadaan diri saya. Saya tahu kemampuan diri. Kalau kata pepatah 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang', keadaan kewangan saya ketika zaman belajar dahulu lebih parah dari itu. Saya tidak tahu di mana harus mengais untuk makaan pagi sehingga saya selalu memaksa diri berpuasa kerana tidak mampu makan. (Semoga Allah tetap terima sebagai ibadah)

Zaman itu telah berlalu.

Semester akhir di UIAM, dua orang sahabat baik saya mengajak saya keluar makan dan 'hang-out'. Kali ini saya tidak menolak kerana mereka adalah sahabat-sahabat yang amat mengetahui keadaaan diri saya dan mereka belanja saya sepenuhnya. Saya rasa mereka mahu menggembirakan saya kerana waktu itu ummi sedang kronik di Hospital menanti pembedahan sebuah pembedahan besar dalam kesuntukan wang yang kami sekeluarga hadapi.

Itulah kali pertama saya 'hang-out' bersama rakan-rakan.


Syukur diuji setelah mengetahui buruknya 'pasar'

Benarlah kadangkala kita cemburu melihat kesenangan orang lain. Namun sebenarnya kekurangan kita juga dicemburui oleh orang lain.

Saya tersentak saat dalam satu kelas pengajian hadis kami dijelaskan mengenai sebuah sabda Rasulullah berkenaan betapa buruknya tempat bernama 'pasar'. Tidak kira ia pasaraya besar, pasaraya kecil, pasar pagi, atau pasar tani apatahlagi pasar tengah malam seperti 'Uptown' yang sangat disukai sebahagian anak remaja kota metropolitan.

Sejenak saya teringat kata-kata seorang senior.

"Kami dulu di Darul Quran, muslimat pergi ke pasar malam semata-mata beli makanan dah macam aib juga la.."

Dahulu saya merasakan 'rigid'nya padangan sebegini. Namun, setelah memahami hadis ini saya pula jadi takut. Takut kerana dahulu saya selalu berkeinginan seperti rakan-rakan lain yang bebas berjalan-jalan di pasar untuk membeli-belah bahkan untuk 'window shopping' sahaja.

Aneh kan?

Kita pula seolah-olah aneh dan tertanya apakah ada hadis sebegini. Adakah islam ini agama yang terlalu mengongkong sehingga urusan ke pasar pun disebutkan? Jika benar ada hadis yang menyatakan buruknya pasar, mengapa? Bukankah pasar adalah tempat membeli keperluan harian dan bersosial?

Tiga belas perkara keburukan


خير البقاع المساجد وشرها الأسواق

“Sebaik-baik tempat adalah masjid dan seburuk-buruk  tempat adalah pasar” (HR. Ibnu Hibban dan dihasankan oleh Al-Albani)


أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

“Tempat yang paling Alla cintai adalah masjid. Dan tempat yang paling Allah benci adalah pasar” (HR. Muslim)

Daripada dua hadis ini ulama menjelaskan sebab umum. Pasar menjadi tempat yang paling buruk kerana ia adalah tempat manusia menjadi lalai dan berlaku banyak kemaksiatan.

Imam Nawawi ketika menjelaskan hadis Riwayat muslim menyatakan:

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

“Sabda Nabi: “Dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar”. Hal tersebut karena pasar adalah tempat pedagang berdusta, penipuan, riba, sumpah palsu, ingkar janji, dan manusia berpaling dari mengingat Allah, juga hal-hal lain yang seerti dengan makna berpaling dari mengingati Allah."

Peringatan dari hadis nabi ini amat dekat kepada kehidupan seorang remaja kerana kebanyakan remaja akan pergi ke pasar tanpa tujuan yang benar-benar jelas. Hal ini kerana, selaku seorang remaja cuba perhatikan dua puluh hal berikut:

1) Pasar menghidangkan nyanyian dan lagu-lagu yang tidak ditapis. Kita mulai mengenali dan menikmati lagu-lagu yang melalaikan melalui pendengaran di pasaraya.

2) Tiada orang di kanan dan kiri akan mengingatkan kita untuk menunaikan solat.

3) Kita tidak sampai hati meninggalkan rakan yang sedang makan sedangkan waktu solat sudah masuk.

4) Bagi remaja lelaki, pasti mereka akan ketinggalan peluang berjemaah di masjid jika membeli-belah pada waktu solat kerana surau di pasar amat kecil. Bahkan sebahagian pasar seperti pasar malam tidak menyediakan tempat solat.

5) Masa kita di pasar pasti melebihi 1 jam berbanding masa kita di masjid.

6) Kita akan bertemua orang yang tidak menutup aurat di pasar.

7) Kita sukar menolak ketika diberi tawaran harga yang rendah sedangkan ia bukan keperluan.

8) Mata kita akan melilau melihat orang dan barang, dan sangat sukar menundukkan pandangan di pasar!

9) Apabila makan di pasar, cerita dan sembang-sembang kita akan lebih panjang berbanding kita makan di dewan makan sekolah.

10) Tiada perempuan berkain batik dan lelaki berkain pelikat di pasar. Masing-masing akan tampil secantik mungkin sehingga terlalu banyak wanita yang tabarruj di pasar-pasar walaupun itu adalah pasar malam.

11) Pergaulan lelaki dan perempuan sesama remaja tiada kawalan ketika di pasar. Jika pasar itu jalannya sempit, lelaki dan wanita akan bercampur baur seolah-olah tanpa batasan.

12) Berlaku banyak penipuan di pasar-pasar terutama kepada golongan remaja yang kebanyakannya masih mentah memegang wang sendiri.

13) Banyaknya pusat-pusat haram yang akhirnya menjadi sarang dosa anak remaja muslim.

Ini baru senarai ringkas yang boleh saya senaraikan. Masih banyak lagi keburukan pasar kepada generasi muda sehingga ia menjadi suatu hal yang perlu dititikberatkan oleh para pendidik dan ibu bapa.

Bayangkan, jika kita perhatikan kebiasaan anak-anak muda yang pergi ke pasar tanpa kawalan ibu bapa, mereka akan menjadi sangat liar. bahkan kadangkala mereka menjadikan pasar sebagai tempat untuk melepak tanpa mereka sendiri tahu apa tujuan mereka berada di situ. teringat saya kepada seorang adik berusia 14 tahun. Saya bertemu dengannya di sebuah pojok tempat main snooker di sebuah pasaranya. Ketika saya mendekatinya dan bertanya mengapa dia di pasar itu, dia menjawab:

"Saya tidak tahu di mana tempat saya boleh mencari bahagia selain di sini. Di rumah ibu dan ayah marah-marah. Di sekolah, guru-guru buang saya.."

"Di masjid, Allah tunggu kamu..", saya berbisik kepadanya sambil memeluk gadis remaja itu.


Pasar, tempat buruk yang tidak haram

Pasar, ia memang tempat buruk. Namun di sisi Islam ia bukan tempat haram dikunjungi. Oleh itu, islam mengajar bagaimana caranya agar kita boleh ke pasar tanpa perlu terjebak kepada hal-hal yang dibenci Allah:

1) Masuk ke pasar dengan membaca doa ini:

Image result for doa masuk ke pasar

2) Masuk ke pasar dengan tujuan dan senarai barang yang jelas.

3) Masuk ke pasar dalam keadaan takutkan Allah dengan menjaga mata, hati, pendengaran, lidah, dan semua anggota dari maksiat.

4) Buat para remaja, elakkan ke pasar dengan rakan-rakan yang tidak baik kerana mereka pasti tidak mampu membawa kita kepada hal-hal yang membawa manfaat.

5) Utamakan ke pasar bersama keluarga dan hanya 'hang-out' bersama rakan-rakan ke tempat yang baik seperti masjid, majlis ilmu, dan perpustakaan.

---------------------

Rujukan: