22 December 2018

Selamat tinggal..

بسم الله الرحمن الرحيم

Selamat tinggal.

Itulah kata yang mampu aku ungkapkan buat bumi Selangor. Tujuh tahun berada di bumi Selangor ini benar-benar membuat aku belajar tentang kehidupan.

Bermula 2011 saat aku ditawarkan belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Aku tidak pernah menyangka akan menetap di bumi Selangor lebih dari jangkaanku 3 tahun setengah sahaja. Memang aku agak berdikari semenjak di Tingkatan 1. Namun, untuk pergi ke Selatan tanah air, ia bukan hal yang berada dalam jangkaanku dalam tempoh yang lama. Apatahlagi memulakan kerja di bumi ini, bumi yang amat asing buat diriku.

Aku sebenarnya tidak pernah bercita-cita mahu menjadi seorang guru. Aku hanya mahu menjadi seorang penulis yang tidak mengenali dan tidak dikenali orang ramai. Namun, Tuhan berkehendak lain. Dia malah ingin mengajarkan aku tentang kehidupan melalui manusia. Melalui rakan sekerja, melalui majikan, dan melalui anak-anak didik.

Bermula dengan terjebak dalam perniagaan yang mengelirukan, kemudian menjadi pengajar sambilan di universiti, terlibat dengan pelbagai NGO  beberapa tahun, menjadi guru tusyen, guru mengaji, tutor sukarela, penulis kolum majalah, ahli tim terjemahan dan projek terjemahan yang tidak menjadi, lalu pelbagai lagi suka duka yang tidak ingin aku tuliskan semuanya di sini.

Cukup aku katakan suka, gembira, bahagia, senang, juga ketawa semuanya pernah terjadi. Tidak kurang juga sedih, duka, kecewa, dan terluka. Semuanya terangkum menjadi satu hal yang benar-benar menjadi pengajaran.

Aku seorang yang sangat sensitif. Bukan mudah menangis. Aku agak sukar untuk terguris hati. Aku cuma sensitif dan mudah empati dengan perubahan dan keadaan sekelilingku. Ketika ada yang memberikanku penghargaan walaupun ia amat sedikit, aku amat menghargai penghargaan itu sehingga kadangkala aku sering membalas lebih. Demikian sebaliknya. Aku sejenis yang sukar terluka dan sukar untuk sakit hati. Namun, saat ada yang merobek-robek perasaanku aku tidak mungkin melupakan hal itu sekalipun aku sudah memaafkan.

Itu adalah sisi diriku yang ramai tidak tahu. Bagiku, ia mungkin kelemahan dan ia juga boleh menjadi kekuatan. Hal itu juga menjadikan aku sangat berhati-hati. Benarlah, kita boleh menjadi baik dan bijak. Jangan menjadi baik tetapi tidak bijak atau mudah dipermainkan.

Bumi ini juga yang mengajarkan aku semua itu. Selamat tinggal.

Hijrah.

Setelah 5 bulan aku fikirkan masak-masak, dengan semua sisi pandangan aku pertimbangkan, tekadku bulat.

Hijrah dan berpindah kembali ke Utara itulah keputusan yang harus aku buat. Ia bukan keputusan yang mudah. Ia bukan keputusan yang kecil. Dengan meninggalkan tawaran dengan jawatan dan gaji yang lebih tinggi di tempat kerja, keputusan ini tetap harus diteruskan. Aku tidak mengharap lebih melainkan sebuah harapan agar Allah Al-waliy yang Maha Menjaga urusan hamba-Nya meredhai keputusanku.

Tujuh hari lagi aku akan berpindah. Aku amat syukuri orang-orang baik yang pernah Allah hadiahkan buat diriku. Selamat tinggal aku ucapkan.

Berpisah kita sementara sahaja. Kerana, andai kita masih sama dalam iman dan kebaikan, kita tetap akan bertemu lagi di syurga. Terima kasih semua.

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)