17 May 2013

sebuah catatan kecil: buatmu guru-guruku..


بسم الله الرحمان الرحيم

Kalau ini tugas saya..

Di saat saya menulis catatan ini, minda saya menerawang jauh.

Empat hari yang lalu, tugas saya sebagai seorang 'guru' berakhir. Memegang study circle UIAM membuat saya belajar banyak perkara. Tambahan pula, semester ini boleh dikatakan study circle paling istimewa buat saya. Setelah melalui 2 sesi, saya dapat melihat sesuatu dalam kerjaya seorang guru.

Banyak yang saya tidak tuntaskan untuyk study circle ini. Agak kecewa sebenarnya. tetapi, bila ada beberapa orang pelajar saya berkata dengan penuh harapan :
"kak zahra, bila kita boleh jumpa lagi ya..?"
saya hanya tersenyum kelat, sebab terkilan belum dapat beri yang terbaik buat mereka. Tetap, saya bercampur bahagia, punyai pelajar bijak dan berkebolehan seperti mereka. Maklumlah, 15 orang pelajar saya ini, semuanya mahasiswa bidang architecture. Klau di UIA, mereka terkenal dengan kerja studio dan menyebabkan mereka sering miss kelas study circle.

Itulah cabaran seorang guru.

Bayangkan, satu 'aqal' perlu mengurus 15 'aqal' yang bermacam ragam. Itu baru 15.

Kalau 30,  50, bahkan beratus-ratus pelajar?
bayangklan sahajalah, berapa akal-akalan yang harus dihadapi guru.

16 Mei, menyentap jiwa saya sejenak. Kalau 15 orang ini tugas saya sudah terasa berat dan lelah, bagaimana guru-guru saya?

Nama dan wajah guru-guru saya di sekolah rendah Islam Al-masriyah, Maktab Mahmud Yan, Maktab Mahmud Alor Setar dan Universiti Islam Antarabangsa Malysia, terbayang dan terpampang.

Hebatnya mereka!


Guru, mereka akan terus hidup!

"saya cuma nak pastikan, semua topik yang perlu diajar kepada kamu telah tuntas.Supaya saya boleh jawab depan Allah.."
kata-kata Dr Sofiah dalam kelas terakhir ulum quran semalam membuat kami semua terdiam. saya terpukul, sebab saya lalui apa yang ustazah lalui. Menjadi seorang guru.

Seorang guru, sampai satu tahap mereka tidak terfikir tentang diri sendiri. Matlamat mereka, ummah terdidik.

Biarlah apa yang terjadi kepada dunia, anak didik di hadapan aku ini mesti dibentuk demi tamadun dunia dan matlamat akhirat mereka!
saya yakin, itulah monolog seorang guru. seorang pendidik.

Mendidik anak bangsa, membentuk peribadi mulia, menanam aqidah dan prinsip seorang manusia.

Sungguh, saya sering 'cemburu' kepada guru-guru.

Mereka tetap sabar walau seribu karenah, sejuta tohmah. Mereka tetap tersenyum setelah marah, kerana amarah mereka bukan amarah nafsu yang membakar bahkan menutup kebakaran. Mereka mampu ikhlas mendoakan di saat anak murid mereka melempar cemuhan dan keluhan.

Kerana, mereka ada Allah yang mampu membalas segalanya.
 
Inilah, antara sebab mengapa saya juga mahu jadi pendidik. Kalau kata Huda sahabat saya,

"Ana nak jadi arkitek manusia."
Saya tersenyum mendengar idea kritis itu. Ada benarnya. Kalau arkitek bangunan, mereka mebina tapak dan mencipta segenap penjuru rekaan bangunan secantik mungkin, sekukuh mungkin. Bila mereka meninggalkan dunia, mereka kekal menjadi mayat dan rumah itu kekal berdiri menunggu dilanda tsunami alam.

Sedangkan arkitek manusia, jasad walau dimamah bumi, ilmu-ilmu bermanfaat yang membentuk bangunan tubuh dan ruh seorang anak didik akan terus membuat mereka 'hidup'. Kerana mereka telah ada kehidupan baru walaupun mereka belum meninggalkan alam fana. Lebih-lebih lagi jika ilmu yang disampaikan membina tapak terhebat (ilmu aqidah). sebab itu saya suka menjerit kepada diri,

" Guru, mereka akan terus hidup!


Catatan kecil buat guru-guruku

catatan ini, sebuah puisi lama yang pernah saya karang. Tetapi, ia tetap hisup dalam jiwa dan rasa saya setiap hari dalam setiap doa. Menjadikan ia baru dan terus diperbaharui.

terimalah dari anak didikmu yang baru mengenal dunia, ketika dirimu sudah bergelumang dengan pahit dan manis di dalamnya. Sebab itu, diri ini belajar dari setipa butir kata dan peribadimu yang tulus itu.

Terus, doakan diri ini duhai guru. Kerana tanpamu, tiada manusia yang layak bergelar penuntut ilmu.


Ustaz/ustazahku penuh tenang,
Kau bukan bintang,
Yang kerlipnya tak bisa benderang,
Tak dapat kugapai hanya terkenang,
Menjadi inspirasi setiap orang,
Namun nyatanya cuma bayang-bayang,
Kerana munculmu hanya kadang-kadang,
Tika cuaca senang kau terang,
Dikala mendung kau nekad mendorong,




Guruku pendidik insan, pembangun  tamadun,
Nyata kau tak seperti lilin,
Kerana hayatnya sebatang nian,
Terangnya juga sekadar terbeban,
Membakar diri sudah terperan,
Akibatnya,
Khidmatnya mati pelan-pelan,
Jasad yang cair dilupa zaman,
Ruang terang tadi tak lagi mapan,
Kembali kelam seperti gerangan,
Kembali gelap dari suluhan…
 


Cikguku dengan semangat berkobar,
Kau bukan obor,
Yang menerangi hanya segenap kamar,
Yang hayatnya Cuma sebentar,
Yang khidmatnya mati tika ia samar,
Dek sumbu yang galak dibakar,

PENDIDIKKU yang tak pernah lali,
Engkau sebenarnya adalah MATAHARI,
Atau mentari menyinar bumi,
Juga sang suria yang muncul setelah pelangi,

Guruku matahariku,
Hadirmu setiap hari,
Tak pernah kau endah cemuhan kami,
Tentang terikmu yang menyengat sendi,
Atau surammu yang silih berganti,
Terangmu salah redupmu disalahi,
Namun tekadmu tetap tinggi,

Cikguku mentariku,
Sinarmu menerangi segenap maya,
Memberi kehidupan kepada dunia,
Lautan api simbahan lahar sudah biasa,
Untuk,
Bersama insan menjadi jejaka,
Menghidupkan sang pohon hingga dewasa,
Memberi kehidupan memendam lara,

Ustaz/ustazahku sang suriaku,
Munculmu tak pernah sirna,
Datangmu tak akan pergi,
Kerana kau tetap ada,
Malam kami siangmu di daerah sepi,
Kau tetap hidup tanpa mati,
Sinarmu kekal selamanya,
Kau, hanya malap ketika…
Takdirmu terbit di barat sana..





Kerana jasa 'MENTARI', takkan luput ditelan tamadun.

~Dedikasi buat semua pendidikku di segenap detik~

Taski Al-Masriyah
Sekolah Rendah Islam Al-Masriyah
Maktab Mahmud Yan
Maktab Mahmud Alor Setar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(1992-2013)

Zaharoh Fajar Nina Purnama Alam,
Bukit mertajam, pulau pinang
16 MEI 2013


09 May 2013

Pasca-PRU = Pra-peperiksaan

بسم الله الرحمان الرحيم



Setelah segala macam yang terjadi

Sejak Januari tahun lepas, saya ada target untuk blog ini. Setiap bulan, paling kurang mesti siapkan 3 entri berkualiti. 3 entri yang mampu bawa manusia menuju Allah. 3 entri yang mampu asah penulisan saya. 3 penulisan yang menyelamatkan saya dari menjadi ‘air’ yang  tidak mengalir. 3 entri yang mendidik saya untuk berdisiplin!

April yang penuh dengan 'rasa'.


Sebab itu, saya amat kesal bila April yang lalu saya hanya mampu siapkan 1 entri sahaja! Itu pun, entri bertajuk (Hakikat manusia, sahabat, dan pengakhiran ) ini, saya tuliskan secara rambang dan tidak teratur. Asal tembak mana yang kena. Saya berpuas hati dengan isi, tetapi tidak untuk penyusunannya.

Apa pun, saya bersyukur dengan bantuan Allah dengan ilham dan kekuatan yang Allah beri, saya dapat siapkan entri tertangguh saya untuk bulan lepas.

sebenarnya, banyak peristiwa yang berlaku, menyebabkan penangguhan artikel dan ‘menyimpang dari target’ ini.

Termasuklah persediaan walimah kakak saya link., kehadiran sanak saudara setelah 20 tahun tak bertemu, kekangan itu dan kekangan ini. Terlalu banyak untuk disenaraikan. Termasuklah isu-isu Sebelum dan selepas Pilihanraya Umum (PRU).

Melihat semua ini, membuat saya terduduk sebentar merenung..

Saya teringatkan kata-kata Mu’az bin Jabal Al-ansori, seorang sahabat yang memeluk islam ketika umurnya 18 tahun. Beliau melihat ,mukmin itu sentiasa berada antara tarikan Iman dan nafsu. 

Justeru, katanya kepada seorang sahabat yang lain :
“ Ijlis bina, nu’min sa’ah (Ayuh, kita sama-sama duduk dan beriman sebentar)”


Ungkapan ini kemudiannya diambil pula oleh Ibnu Rawaahah r.a, lalu dia berkata kepada Abu ad Dardaa’ r.a sambil memegang tangannya:

تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا

(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).

Allahuakbar!

Betapa besarnya rahmat Allah, untuk hati yang masih mahu mengingat-Nya ketika orang lain sibuk dengan urusan dunia mereka. Itulah yang saya rasakan!

Ketika saya hampir lupa ‘tugas-tugas’ saya, ada seseorang menarik saya kepada sebuah rasa sedar dari persoalan.

“Zahra, macam mana  ya nak wujudkan prbincangan yang lebih matang dan membuka minda?. Lagi satu, ustaz Roslan ada tanya, apa mesej hidup seorang mu'min? Apa pendapat zahra?

Sejenak saya tenangkan diri dengan soalan sahabat baik saya, Jalidah Hidayati.

Kemudian lama, kami sama-sama muhasabah dan bertukar fikiran. 

Dan akhirnya, saya buat satu kesimpulan, Setelah segala macam yang terjadi, manusia itu tetap perlu kembali kepada Allah. Supaya mereka sedar siapa mereka.

Duduklah sebentar, untuk kita beriman!


Fokus!, utamakan yang utama.

Sungguh berbeza!

Setelah muhasabah dan duduk ‘beriman’, terasa fokus makin jelas. Bila hati mula kembali kepada Allah, ia berubah menjadi lunak dalam menerima. Lebih kukuh, tertancap padu. Kemas dalam dada.


“ kamu kena fokus. Memanglah banyak benda jadi menjelang periksa ni. Blackout lah, dakwat kekallah, gangguan itulah, gangguan inilah.. tapi, fokus kamu sekarang peperiksaan. Untuk dunia dan untuk akhirat kamu..”

Pesan Dr Nafi Dolah dalam kelas dirasah ma’jamiyyah pagi tadi masih segar dalam ingatan.

“ana tengok bahas yang kamu buat, semua bagus. Cuma persoalannya, markah tak mungkin sama. Mestilah mutafaawitah(ada tinggi ada rendah). yang markah kurang tinggi tu, ana tak kisah kalau memang tak sempat. Tapi, maaflah kalau ana kata..”

Ustaz berhenti sebentar.

Saya resah. Jarang ustaz nak komen ‘negatif’ pasal student. Menanti sambungan bicara ustaz..

“...kamu ni, manja sangat!. Kalau pelajar kat luar negara, mereka ada juhud(kesungguhan) lebih sikit dari kamu..”

Suara ustaz tetap rendah, tetapi kata-kata ‘manja’ itu menusuk ke jiwa saya. Sebuah tamparan peringatan dalam halus bicara ustaz.

Beberapa saat kelas sunyi. Ustaz kemudian menyambung,

“tak apalah, sekarang ni kamu masih ada furshah (peluang) untuk final exam. Wal furshah, maftuuh lil jamii3 (dan peluang ni, terbuka kepada semua). Sekarang ni, kena fokus ok?”
Nada suara ustaz masih seperti tadi. Mendatar penuh wibawa. Membelai dengan nasihat dan teguran.

walaupun kelas dan saya masih terdiam, monolog tetap berbicara, "Terima kasih ustaz!" :-)


Sambutlah seruan hayya ‘alal falaah

 
kejayaan, sebenar, lebih jauh dari langit yang tak tergapai tangan!

Kelas tengahari bersambung. Kelas creative thinking yang sentiasa diceriakan dengan idea-idea ‘luar kotak’. Hari ini belajar tajuk Provocation and movement.

Contoh provocation yang sir beri, 

“PO, clinic without a doctor! (klinik tanpa doktor) ”.
Kalau orang dah mula pertikaikan, itu maknanya provokasi kita berjaya. Satu perkara yang sir pesan, provocation mesti pandu kita untuk buat movement supaya ia tidak menjadi sesuatu yang ‘main-main’.

Habis kelas, terus terdengar azan zohor dikumandangkan dari masjid SHAS.

Saya kemudian terfikir.

5 kali sehari Allah syariatkan azan untuk kita. 5 hari sekali Allah ‘panggil’ kita untuk solat kemudian selepasnya, Allah ‘ajak’ kita untuk menuju kemenangan. Allah provok kita, tapi kita?

Aduh, peringatan ini untuk saya. 

Ayuh, katakan kepada diri, sambutlah seruan hayya ‘alal falaah itu! (ayuh, kita menuju kemenangan!) Peperiksaan yang makin hampir ini, pastikan kita menang mengikut konsep yang benar.

Kalau kita masih endahkan seruan itu, kita seolah-olah memprovok diri untuk berjaya tetapi tidak melakukan apa-apa usaha.

# Provocation without Movement, is just 'madness' #

*Doakan saya, untuk exam 28 Mei ini. Kita semua. Maat taufik wan najah ya.. maaf ya, entah apa-apa saya tulis ni.. :-)

pasca PRU: Walimah saya?


Walimah saya?
“Zahra’ tahniah!”, kak Izzah dengan senyumannya manisnya menyapa saya. Baru sahaja menjejak kaki ke luar masjid SHAS UIAM, kami bertemu kak Hafizah.

“Amboi, berseri-seri pengantin!”, Kak Hafizah berceloteh.

“Eh, baik sikit nah.. kakak zahra yang kahwin, bukannya Zahra. Zahra ni, siapalah yang nakkan.. ”, saya membalas gurauan sambil menyambut salam hangat mereka di pinggir tangga ruangan solat wanita.

“Jom, duduk kejap.. ceritalah macamana dapat abang ipar baru!”, kak Izzah penuh teruja dengan gaya cerianya. Kak Hafizah dan saya tersenyum. Bulatan kecil di suatu sudut masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM itu terbentuk. 

Dalam dingin hujan yang mencurah damai, saya mula bercerita. Perihal pernikahan dan walimah kak Asma Fatimah, kakak kedua saya degan abang ipar saya Ikmal bin Johari.

barokah selamanya!


Pernikahan itu, saya dan adik-adik sempat merasa kehilangan kak Asma. Sebentar cuma. Setelah dimuhasabah dan dihayati, pernikahan itu bukannya membuat kita kehilangan. Bahkan ia menambah hasil pulangan. Rasa bertambah. Hah, macam riba pula :-)

Itulah yang saya dan ahli keluarga kami rasakan. Saya pula, sudah ada 'abang'. Bila segalanya diserahkan kepada Allah, hidup memang sentiasa menjadi plaing terindah..!


Pernikahan, menambah barokah 
Ada orang kata pada saya,
“mak dan ayah enti mesti lega kan. Dah kurang seorang nak sara dan jaga.”

Saya tergamam sebentar. Benarkah? 

“kalau ummi dan abi, tak pernah biarkan anak-anak walaupun dah kahwin. Tetap beri pandangan, tetap beri nasihat. Sebab tu, bagi ana, perkahwinan bukan mengurangkan tanggungjawab. Bahkan menambah tanggungjawab untuk menantu juga. Kita kan nak rumahtangga sampai syurga..” 

saya melontar pandangan layaknya seorang perunding perkahwinan.

Kami terdiam.

Entah apa yang dia fikirkan. Cuma saya terfikir, betulkah apa aku cakap ni, macamlah sudah berpengalaman.
Cuma, satu perkara yang sudah lama terbuku, hari ini saya mahu luahkan.

coretan nasihat untuk saya sebenarnya..

khatam 10% buku ini, di sepanjang musafir Penang-KL. #disyorkan  :-) #


Kepada semua suami dan bakal suami , terutamanya abang ipar yang dihormati. 

Wanita, dia makhluk ‘halus’ yang punyai hati yang lembut. Seperti yang rasulullah gambarkan di dalam sebuah hadis, jangan dipaksa tulang yang bengkok itu untuk lurus, takut ia patah. Jangan pula biarkan ia terus bengkok. Tetapi, luruskanlah ia dengan penuh hikmah.

Se’kasar’ mana seorang wanita, dia ada jiwa yang besar seperti besarnya jiwa lelaki. Dia ada perasaan yang murni seperti murninya perasaan lelaki. Dia ada minda yang kuat seperti kuatnya minda lelaki.. jika lelaki mahu bersma dengannya membina sebuah mahligai yang penuh ombak dan badai, dengan bantuan Allah pastinya.

Untuk semua isteri dan bakal isteri, kakak saya terutamanya. 

Lelaki punyai matlamat impian dan kudrat yang besar untuk ummat. Rangkullah tangan mereka, dan bergeraklah bersama mereka. Ada seorang wanita di sebalik ketokohan seorang Imam Asy-Syafie. Ada seorang Khadijah di sebalik keagungan Muhammad shollallahu alaihi wasallam, yang menyelimuti baginda di saat ketakutan melampau di gua Hira’.

Huh, pandai-pandai saja beri nasihat. Padahal cuma terinspirasi dari buku Aku Terima Nikahnya yang saya pinjam dari Kak Asma.

Satu nasihat pula, khusus untuk yang sahabat-sahabat saya di seantero 'alam kampus'.. (pesanan khas dari ustaz Hasrizal).

"Dalam soal perkahwinan ini, JANGAN TERGESA-GESA, DAN JANGAN BERTANGGUH-TANGGUH!"

Khusus untuk yang sudah berumahtangga,
Rumahtangga kalian, semoga terus dalam barokah!


Dari: 'adinda' tak berpengalaman,
Zaharoh Fajar Nina Purnama Alam.
IIUM, Gombak (4 hari lepas PRU= pasca PRU)