23 December 2015

Yang aku belajar dari khalifah kecilku...

بسم الله الرحمن الرحيم


Anak kecil itu, terlalu suci untuk disakiti..

Dua bulan tanpa entri

Ini adalah tempatku. Tempat untuk aku bercerita tetang apa saja yang ingin aku ceritakan. ada waktu tulisanku dibaca. Ada waktu ia dibiarkan beku tak dijamah.

Dua bulan ini aku tidak terasa ingin mencoret apa-apa di ruangan blog kesayangan. Kerana kalau sekadar cerita, aku punya Allah untuk bercerita dan bermonolog setiap detik.

Dua bulan yang menggugah.
Dua bulan yang mengajarku pelbagai perkara.

Dua bulan tanpa entri bererti dua bulan tanpa menepati janji peribadi.


Kisah aku dan tadika Khalifah kecil

Ya, dua bulan juga aku berada bersama anak-anak di tadika Khalifah Kecil, atau nama masyhurnya, Little caliph.

Ada banyak cerita saat aku bersama anak-anak di sini. Aku mulai menjadi diriku yang berbeza. Diri yang seolah-olah tercampak ke jurang asing yang belum pernah manusia sampai di dalamnya. Diri yang seolah-olah tidak pernah memegang ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusateraan Arab UIAM.

Aku berada di dunia kanak-kanak yang begitu damai. Dunia yang hanya mengenal permainan dan ikut-ikutan. Dunia yang menelan apa jua suapan enak mahupun basi. Dunia yang jauh dari tekanan atau sogokan.

Dunia mereka seolah dunia tak berperasaan.

Namun, aku tetap sedar bahawa mereka adalah permata yang sedang membentuk perasaan sendiri. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa perasaan itu sedang tumbuh membentuk mereka yang akhirnya akan membesar seperti aku sekarang.

Aku belajar banyak perkara dari mereka.

Berani.
Jujur.
Penyayang.
Ikhlas.
Perjuangan.
Kesucian hati.

Itu yang aku pelajari dari mereka.

Anak-anak ini, benar-benar khalifah kecil yang sedang mengajarku seorang dewasa.


Kisah Ziyad dan Umair

Setiap dari anak-anak ini punya kisah istimewa. Namun, aku suka mengambil kisah dua khalifah kecilku yang agak memberi kesan untuk sehari-hari aku bersama mereka.

Kisah Umair dan cengengnya. Aku hampir tidak boleh mengelak setiap kali masuk waktu solat. Umair kecil pasti meminta kepadaku agak menjadikannya Imam solat.

"Teacher, Umair nak jadi Imam..",

Itulah ungkapan yang dilontarkan kepadaku setiap kali masuk waktu solat berjemaah. Sambil memegang hujung tangan bajuku, si Umair kecil akan merengek sambil menunjukkan wajah kasihannya.

"Umair, kenapa Umair suka jadi imam?", pernah sekali aku bertanya kepadanya.

"Sebab, kalau banyak kali Umair jadi Imam, Umair dapat banyak pahala..", jawabnya tanpa teragak lagi.

Aku terfikirkan sesuatu. Ini adalah jawapan seorang Umair yang berumur 5 tahun!. Lalu, mengapakah seorang anak muda 20 tahun masih belum bisa berfikir tentang jawapan sebegini?!

Mereka bahkan kadangkala benci menjadikan diri mereka seorang Imam solat. Mereka tidak punya perasaaan untuk berusaha menjadi Imam terbaik. Bacaan al-Quran mereka tidak diperbetulkan, Keegoan merasuk jiwa muda yang inginkan dunia.

Mungkin kasar.
Tapi inilah hakikat saat aku masih berkesempatan bertemu seorang Umair yang jujur mendapat pahala dari usahanya menjadi seorang Imam solat. 

Seorang Umai kecil, mengajarkanku betapa seorang lelaki punyai fitrah menjadi pemimpin yang baik. Pemimpin yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan rasa sedar dan insaf. Kemanjaan telah dibuang dari jiwa seorang pemimpin hebat. Itu yang aku fahami dari watak seorang Umair kecil.

Untuk kisah Ziyad, aku kira kisahnya agak panjang. Aku akan tuliskan kisahnya pada diari kenangan dan pada ukiran batu hikmah. Kisah yang membuat aku sebak berkali-kali. Kisah yang membuat aku sering terbayang-bayang wajah manisnya dengan dua lesung pipit, tersenyum saat bercerita dia akan berpindah rumah berkali-kali...



#Penuh insaf.

Zaharoh Fajar Nina,
Seorang hamba.
23 Disember 2015