21 September 2020

BEKERJA DENGAN ALLAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Memulakan Isnin

Isnin.

Semenjak minggu lalu saya telah memulakan peperiksaan bertopik buat para pelajar. Minggu ini, masa pertama kelas, kami menyambungnya. Tepat, 7.59 pagi saya melangkah masuk ke kelas pertama pagi itu.

Bismillah.
Pintu kelas saya ketuk, salam diberi.

Pintu terbuka. 
Kelihatan semua pelajar tekun menelaah buku teks Pendidikan Al-Quran dan Sunnah kedua-dua tingkatan 4 dan 5. Sambil tersenyum, saya meminta mereka memulakan kelas dengan memohon pertolongan kepada Allah. Doa dibaca.

"أنتم مستعدون؟"

Sambil bibir masih mengukir senyuman, saya bertanya.

Mereka semua tersengih-sengih. Mata mereka masih menatap buku yang dibaca tidak lepas sedikitpun. Saya tahu, kalau tanya 'kamu semua sudah bersedia?' memang begitulah kelakuan mereka.

Kertas soalan diedarkan. Saya meminta mereka menyimpan buku teks yang sedang dibaca.

"Kamu mahu ustazah simpankan buku teks ni ke?", tangan saya cepat sahaja mengambil buku teks yang masih dibaca walaupun soalan sudah diedarkan.

Mereka tersengih-sengih lagi. Segera kesemua mereka menyimpan kemas buku-buku teks yang masih berada di tangan.

8.01 pagi.
Peperiksaan dimulakan. Saya pun mulai mengawasi.


Mengajar belum tentu mendidik.

Dalam Bahasa Arab, 'mengajar' disebut عَلَّمَ
جعله يعرفها، فهَّمه إيّاها
Menjadikan seseorang tahu dan faham sesuatu.

Demikian maksud mengajar. Ketika saya diamanahkan mengajar subjek PQS ini, ia bukanlah hal yang terlalu susah. Saya hanya perlu membaca apa yang ada di dalam buku teks, mencari bahan bacaan tambahan kemudian menyampaikan kepada pelajar. Saya perlu memastikan pelajar saya tahu, ingat dan faham apa yang mereka pelajari.

Saya juga perlu memastikan pelajar saya dapat menjawab soalan dengan baik. Itu yang saya sedang lakukan saat ini. Membiasakan mereka dengan soalan-soalan peperiksaan agar mereka tidak terkejut ketika peperiksaan sebenar nanti.

Itu mengajar.
Namun, mengajar belum tentu mendidik. 

ربَّى، يربِّي ، تربية
هذّبه ونمّى قواه الجسميّة والعقليّة والخلقيّة كي تبلغ كمالها
Membimbing, menumbuhkan kekuatan dirinya dari sudut akal dan jasmani serta membentuk akhlak agar mencapai kesempurnaan.

Demikian erti mendidik.

Sama?
Sudah tentu tidak sama, bahkan jauh berbeza. Mengajar itu menyentuh satu beberapa aspek sahaja. Namun, mendidik merangkumi seluruh aspek kehidupan dan pembangunan manusia. Guru yang mengajar adalah guru yang bekerja dengan baik sesama manusia. Guru yang mengajar dan mendidik pula, adalah guru yang bekerja dengan baik sesama manusia dan dia bekerja untuk Allah.


Bekerja dengan Allah

Di sebalik segala cabaran dan ancaman di tempat kerja, kita harus fahami beberapa hal. Tidak ada tempat di dunia ini yang sunyi daripada tantangan. Ke mana pun kita bekerja, pasti ada orang-orang 'baik' dan 'jahat'. 

Tidak dihargai, diperlecehkan, bertemu majikan kuku besi, bertemu rakan sekerja yang menjelikkan, juga diselubungi kemalasan akan selalu terjadi.

Kita ini, kalau tidak bermasalah dengan orang lain boleh jadi kita bermasalah pula dengan diri sendiri. Dunia pekerjaan begitulah. Namun, di atas semua yang terjadi itu ada satu prinsip yang menjadikan kita selalu selamat dan jauh dari masalah.

Iaitulah, prinsip:

"Aku bekerja dengan Allah. Majikanku adalah Allah!"

Ketika semakin disemai perlahan-lahan prinsip ini, semakin pula kita melihat ujian yang hadir teramat kecil. Kerana kita ada Allah Maha Kuasa yang menjadikan kita tahu mengapa harus tetap rajin dan bekerja sekalipin tidak dihargai bahkan diperlecehkan.

Bekerjalah untuk Allah, kau akan menjadi guru yang tidak hanya mengajar bahkan mendidik juga.