10 April 2013

PELIT: Hakikat manusia..| sahabat.. | dan sebuah pengakiran..

بسم الله الرحمان الرحيم

pinjam gambar dari http://phototreksemenanjung.wordpress.com/ :-)

Rintik hujan di bumi UIAM sering membawa rahmat buat tanah dan minda ini. Coretan akhir Mac yang terbengkalai saya buka semula. 'sakit' yang menyerang rasa terubat bila bertemu kekasih yang bernama 'penulisan' ini. Dan coretan terus bersambung..

Hakikat manusia, saya juga manusia.

“ Letih betul! ”.

Secebis perkataan bergema. Hanya dalam hati. Mahu sahaja saya semburkan keluar perkataan itu, tetapi urung. 

Beg galas kelabu berjenama hp saya letakkan di atas kerusi di barisan paling hadapan. Empat buah kerusi betul-betul di hadapan meja pensyarah masih kosong. Sementara kerusi belakang hampir penuh.
Entahlah, saya kurang tahu kenapa kerusi itu kosong. Apakah teman-teman sekelas saya mahu membiarkan tempat hadapan itu menjadi tempat ‘keramat’ saya dan Huda?

Ah, tidak mengapa yang penting semua selesa. senyum.

Saya kembali dengan monolog ‘letih’. Dua minggu terakhir ini, saya rasa seakan cuma satu hari yang padat dengan aktiviti. Bermula Isnin berakhir khamis. Kemudian, mula lagi Isnin dan hari ini khamis. Dua minggu, sungguh pantas masa berlari.

Sedetik, saya terasa kaki ini terpasung.

20 mukasurat buku madkhal ila syariatil islam, sudah tamat dibaca speed reading bersama sinaran penjelasan  oleh Dr Maszlee. Sangat mengasyikkan.

Dua kuiz untuk subjek ulum quran dan pemikiran kreatif, selamat saya hantar ke meja pensyarah. Walaupun sedikit musibah menimpa tangan, Allah jua yang memberi kekuatan untuk saya tetap menggerakkan tangan, menuliskan jawapan demi jawapan. 

Assigment arabic lexicography, dengan 200 perkataan aneh-aneh bersama mashdar dan fe’el mudhori’. Gagah saya siapkan bersama kak Norli walaupun agak lambat.

Bab dua dan empat untuk subjek Intro to communication, diharungi dengan lelah. Tetap bermanfaat.
Membentang, itu mungkin biasa. Dalam bahasa arab, itu yang luar dari bahasa biasa. Saya beruntung kerana membentang bersama Huda. Slide yang comel dan sistematik, Huda siapkan untuk minggu ini. Dua kali kelas berlalu, pembentangan kami ditangguhkan.

“letih betul!”

Sekali lagi, perkataan bergema. Masih di dalam hati. Mahu sahaja saya semburkan keluar perkataan itu, tetap urung.

Serentak. Saya teringatkan dua tulisan lama saya. “Layakkahkita mahu letih?” dan “kita mahu nasi atau garam?”

Kedua-duanya membuat saya mengunci bibir. Kau tidak layak mengucap letih, sedangkan rasulullah jauh lebih letih dari dirimu.

Bayangkan sahaja ketika perang khandak, baginda berlelah-lelah bersama para sahabat dengan menggali parit yang  panjangnya hampir mengelilingi Kota Madinah. Dengan tentera islam hanya lebih kurang 3000 orang berbanding 10 000 tentera musyrikin.

Diriku ini, belum apa-apa sudah mahu mengeluh letih. Monolog dan fakta bermain-main di segenap minda. Nah, itu tandanya saya masih manusia. Kalian juga, pasti pernah berkongsi perasaan seperti saya kan?

Inilah hakikat manusia. Ketika kata kita lontarkan menghunjam manusia, sebenarnya kita sedang  melempar boomerang. Satu jam, satu hari, satu minggu, satu tahun atau bahkan bertahun-tahun boomerang itu menjauh. Suatu saat, dia akan berpatah balik. Menghunjam diri kita semula.

“Aku masih manusia, yang terhukum dengan hakikat manusia. Pelupa, mendamba ingatan.”, monolog terus bermain di minda.

Jeda.

Ustaz belum masuk, suasana kelas masih tenang. Saya berniat menyambung kerana coretan ini masih panjang.

Lihat, siapa teman dudukmu!

Saya lihat kanan. Huda masih tenang dengan tudung oren susunya. Sebaris gigi putihnya kelihatan dengan senyuman penuh makna. Diam-diam, sahabat saya seorang ini punya kelebihan yang luarbiasa. Mungkin saja dia belum tahu atau dia belum mahu bakat itu meletup.

Hari terakhir untuk kelas minggu ini, membuat saya sedar sesuatu. Segagah mana saya berusaha, tetap peranan teman duduk itu sangat utama.

Seorang teman duduk atau sahabat itu cermin kepada yang lain. Ketika kita lemah, dia menguatkana kita. Tiba saat dia perlukan kita, dengan sedikit kelebihan yang kita ada, bantulah dia.

Itulah cermin sebuah persahabatan dan tafahum yang sering kita encarkan dalam usrah kita.
Kadangkala, sahabat yang kita rasa ‘kuat’ itu dia punyai  kelemahan tersendiri. Sebab kita tidak melihat kelemahannya, sebab itu kita mengharapkan kekuatannya. Sedangkan, ada beberapa waktu dia perlukan kita untuk memahami baawa dia sedang tidak kuat.

Terimalah seadanya keadaan seorang sahabat. Sentiasa mendoakan dia di saat dia melakukan kesalahan. Sentiasa iktiraf kekuatan dan kelebihan yang dia punya. Semua itu, apa yang rasulullah buat terhadap sahabat baginda Abu Bakar As-shiddiq.

~catatan akhir Mac 2013~  
   
Berfikirlah tentang sebuah pengakhiran …

Seluruh badan menggeletar, saya gagahkan diri mengabiskan tulisan picisan ini. Berharap ada kebaikan yang saya perolehi darinya (semoga Allah terima sebagai amal kebaikan). 

Saya sentiasa percaya janji Allah dalam surah muammad ayat ke 7. Walaupun esok ada peperiksaan sarf dua, sesuatu untuk agama ini tetap perlu diteruskan. Tiada istilah rehat!

Sebab terkilan tidak mampu ke kelas halaqah malam ini, saya paksakan juga jemari yang masih berfungsi ini untuk membuat coretan sekadar termampu.Coretan yang bermula dari menyedari hakikat seorang manusia, kita sedar bahawa sahabat itu tulang belakang kehidupan ini terutamanya jika anda seorang siswa/i. kita tidak pernah dapat lari dari semua ini.

Peperiksaan, assigment dan tugasan demi tugasan yang menerpa di hujung-hujung semester ini…
membuat kita gersang.. 
Membuat kita ‘kasar’ terhadap hati sendiri..
Membuat kita jenuh dengan rutin seharian yang menanti. 
Membuat kita semakin pentingkan diri sendiri. 
Membuat kita lelah dan tersepit di antara dua janji. Janji manusiawi berlatarkan pujian serta sindiran duniawi. Dan janji pasti dari Ilahi yang terasa ‘jauh’ dengan hati.

Berfikirlah tentang sebuah pengakhiran. Nescaya kita akan terkeluar dari  dilema dua janji. Pengakhiran itu pasti yang semakin mendekat dengan diri, membawa kita ke sebuah dimensi damai yang alami. Berfikir tentangnya membuat kita mencari ‘nilai’ dari semua urusan duniawi.

Berkata Imam asy-Syafie di dalam syairnya,


إِنَّ ِللهِ عَـباَداً فُـطَـناً ** طَلَّـقُوا الدُّنْـيَا وَخَافُوا اْلفِتَنَا 
"Sesungguhnya, Allah mempunyai hamba-hamba yang bijak, (iaitu) mereka yang meninggalkan dunia dan takutkan fitnah."

نَظَرُوا فِيهَا فَلَمَّا عَلِمُوا ** أَنَّـهَا لَيسَـتْ لِحَيِّ وَطَـنَا
"Mereka memerhatikan dunia, setelah mereka tahu bahawa dunia bukanlah tempat tinggal (yang abadi)."

جَعَـلُوْ هَا لُجَّةً وَاتَّخَذُوا ** صَالِحَ اْلأعْمَـالِ فِيْهَا سُفُنَا 
"Lalu mereka menganggap dunia hanyalah seperti gelora (lautan), seraya mereka menjadikan amal soleh sebagai bahtera (untuk menyeberanginya)."

-Diwan al-Imam al-Syafie, m/s 84-84-
Perlahan.. tanpa meninggalkan usaha di muka bumi, kita membawa hati yang kian bersih dan suci menuju sebuah GARIS TAMAT menuju Allah yang kita rindu..

“ ... kemudian kepada Allah-lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.” (Al- an’aam:60)


# Berfikir.
Kau akan lihat luasnya dunia
dan, sebuah pengakhiran itu lebih LUAS!#
~10 April 2013~

01 April 2013

PELIT: Bahasa arab ini, untuk ummah!

بسم الله الرحمان الرحيم

Semakin aku menilai diri, aku rasa setengah kosong. Mungkin ada sedikit amal. Tetapi ilmuku tidak bertambah. Masih belum cukup.

Ya Allah, apakah semua ini? Apakah aku mesti berhijrah? 
Aku mahu, mesti tahu!

Sehinggalah sebelum subuh hari ini aku terjaga dari tidur,
kalendar bulan Mac sudah berubah kepada April .
Aku sedar, bukan sekadar exam semakin dekat,
umur juga sudah meningkat.

kubuka mushaf koko pendampingku sejak Januari 2001,
surah Asy-Syuura ayat ketujuh menghiasi kornea mataku,
♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥
{ وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْآناً عَرَبِيّاً لِّتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَى وَمَنْ حَوْلَهَا وَتُنذِرَ يَوْمَ الْجَمْعِ لَ رَيْبَ فِيهِ فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ }

"Demikianlah kami wahyukan kepadamu Al-quran DALAM BAHASA ARAB supaya kamu memberi peringatan kepada ummul qura(penduduk mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya(penduduk dunia seluruhnya..),

serta memberi peringatan (pula) tentang hari berkumpul (kiamat) yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan masuk surga, dan segolongan masuk Jahannam."
♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥ ♥

Baru satu ayat aku terhenti,
mengulang semula ayat yang dibibir ia meniti,
dalam hening subuh yang damai dan sepi,
aku biarkan ayat itu menyerap jauh ke lubuk hati,

sehinggalah aku makin mengerti,
dakwah dan tarbiyyah itu tidak akan pernah lekat dalam umat ini,
andai Al-quran dan sunnah yang soheh tidak 'digigit' kemas oleh Sang DA'I,

Umat ini,
mereka tidak dahagakan graduan Bahasa Arab dengan CGPA tinggi,
sedangkan mereka mendamba graduan Bahasa Arab yang mampu memberi,
sesuatu yang tak mampu mereka kecapi,
indahnya nilai bahasa dan peringatan surat cinta dari Ilahi,
yang membuat mereka terus dekat tanpa berpaling lagi,

Rasulullah dahulu,
23 tahun al-quran diturunkan agar umat mentauhidkan Allah yang satu,
kemudian barulah hukum-hakam dibahas agar umat tak keliru,
ketika itu,
mereka menurut tanpa diampu,
kerana TAUHID telah membentuk taat dan patuh yang jitu,

Aku makin mengerti,
kulihat sebuah pohon kekuningan menunggu mati,
mengapa daunnya kuning? lihatlah pada akar yang mencengkam bumi,

begitulah kuningnya pemuda-pemudi pasca globalisasi,
kalau kau mengaku DA'I,
kenalpasti akar TAUHID dan pergilah baiki..

|~catatan satu April 2013~| muhasabah juga buat diri|