25 February 2013

Kita mahu nasi atau garam?

بسم الله الرحمان الرحيم



Memanglah, hidup sebagai seorang siswa kadang membuat kita letih dan mengah. Tadi, ketika kelas Mass Communication madame bertanya.

“ Sebagai pelajar, apa yang selalu buat kamu tertekan dan letih? ”

Hampir separuh kelas menjawab, “study..!”

Saya hanya diam. Rasa lucu pula bila mendengar jawapan itu.

Iyalah, di zaman serba maju dan canggih ini. Dengan sebuah perpustakaan besar di setiap universiti, dengan lambakan rujukan yang bagai cendawan tumbuh lepas hujan itu, masakan belajar pun letih.

Saya berkira-kira. Imam Syafie, semenjak kecil beliau berhijrah dari tanah kelahiran beliau di Palestin kemudian ke Mekah dan kemudian berhijrah pula menenmui Imam Malik di Madinah. Begitu panjangnya perjalanan menuntut ilmu para ilmuan islam. Bahkan sepanjang beliau mengembara ke Iraq dan Mesir

Tidak pernah pula saya dengar riwayat yang menceritakan sungutan dari beliau kerana letih menuntut ilmu. Sedangkan, untuk mendapat satu hadis sahaja begitu jauh kembara beliau.

Kalau mahu dibandingkan dengan kita, Imam Syafie bukanlah seorang anak bangsawan. Ketika bertemu Imam Malik, beliau hanya menggunakan air liurnya sebagai dakwat bagi menulis ilmu dari Iamm Malik.

Tetapi, jiwa menuntut ilmunya tidak pernah pudar. Bahkan beliau menitipkan kepada kita sebuah syair yang sangat indah berbunyi:



تَعلَّمْ فَليْس المرْءُ يولَد عالِما # ليس أخو عِلْم كَمَنْ هو جاهل

وإنَّ كبيرَ القومِ لاَ عِلمَ عنده # صغيرا إذا التفّتْ عليه الجحافِل

Belajarlah, seseorang itu tidak dilahirkan dalam keadaan berilmu,

Tidak sama orang yang bersaudara kerana dia berilmu, dengan orang jahil tidak berilmu;

Sesungguhnya pemimpin besar kepada sesuatu kaum tapi tidak berilmu,

Dia sebenarnya kecil dan lemah tatakala dikerumuni gerombolan tentera yang ramai




Sahabat-sahabat siswa siswi yang saya hormati, kita sebenarnya bukan letih. Tetapi, Kita sedang tenat terhidu racun hedonisma. Orang tenat, bukan hanya menuntut ilmu bahkan makan, minum dan mandi pun dia letih. Buktinya, siswi kini ramai yang mandi pagi jam 12 tengahari ketika hari cuti. Betul kan?

Saya menulis hakikat. Kalau di tempat kalian tidak begitu, di tempat saya ia sebuah kebenaran. Cuba sekali-sekala kita buat kajian ketika hari Ahad conthnya. Bilik mandi pada waktu pagi kosong. Tetapi, menjelang tengahari mulalah penghuni kolej berebut-rebut mahu mandi.

Berkaitan belajar tadi. Masih di dalam kelas Mass Communication.

Tiba-tiba madame bertanya semula kepada kelas:

“ Baiklah, saya mahu tanya kamu. Kalau kamu tidak letih, layakkah kamu mahu mengaku yang kamu sedang menuntut ilmu?”

Jeda. Semua terdiam.

Saya juga. Kerana, persoalan madam sama persis seperti persoalan yang bermain dalam minda saya ketika itu!

Saya mengaku, saya juga pernah mengeluh letih. Tetapi, hanya dalam hati. Ya, hanya di dalam hati.

Ketika tugasan pelajaran datang bertimpa-timpa. Ditambah pula dengan tugasan luar kerana persatuan atau urusan peribadi. Saya sedikit terhimpit. Ketika itu, saya kembali ingatkan diri bahawa perjalanan saya tidaklah sesempit perjalanan para ilmuan islam dahulu. Mereka, bahkan menempuh perjalanan beribu batu demi mendapat satu hadis! Masyaallah.

Sebab itu, di sini saya tidak mahu sendirian. Saya mahu bersama-sama sahabat siswa-siswi yang saya hormati. Ayuh, kita leburkan budaya hedonisme yang sedang menjalar generasi Y kita sekarang ini. Saya bukan menolak hiburan. Bahkan saya sangat bersetuju dengan pandangn ulama sedunia, Dr Yusuf Al-qaradhawi yang menggalakkan alam maya sebagai ladang dakwah.

Hiburan , saya umpamakan bagai garam. Butir-butir nasi pula, menggambarkan ilmu pengetahuan. Andai garam itu ditabur melebihi butiran nasi yang ada, kita hanya akan tahu rasa garam dan kita selamanya tidak akan pernah tahu bagaimanakah rasa sebenar walau sebutir nasi.

Tulisan ini, muhasabah buat saya dan kita semua. Harapan kita pasti sama. Menikmati butir-butir nasi pengetahuan yang membina peradaban dunia. Wassalam.

1 comment:

  1. kite sekarang letih dengan dunia hedonisme ~
    letih bershopping, letih berfacebook, letih bergossip , letih letih letih etc.

    garam penting sebagai penambah perisa, tapi nasi amat penting sebagai makanan asasi ;)

    ReplyDelete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)