29 April 2014

Mendidik anak: Sebelum perkahwinan kita bermula.

بسم الله الرحمان الرحيم

Buku "Wanita muslimah dan peranannya di era moden" karangan Dr Falah Muhammad Shaghir Univ Saud 


"Kau ni dahlah busuk, menangis pula. Hei, menyampah betul aku! "

Kata-kata yang terpacul keluar dari bibir seorang ibu muda mengejutkan saya. Sambil membasuh tangan di sinki tandas tingkat 3 PWTC itu, saya memandang ibu muda itu penuh kasihan. 

Mata saya beralih kepada anak kecil berumur sekitar satu tahun. Anak kecil itu terus menangis sambil si ibu membasuh punggung mungilnya. Sorot mata ini, lebih kasihan kepada anak kecil tanpa dosa itu.

Dia menerima sumpah cemuhan dari ibunya sendiri!

Saya melangkah keluar dari tandas dengan hati terguris. Bayangkan jika si anak memahami perkataan dan cemuhan ibu terhadap dirinya. Ah,dia pasti lebih terguris.

Saya mulai terfkir, mengapa si ibu sanggup berkata 'menyampah' kepada anaknya sendiri? Apakah si ibu merasakan anak itu beban? Atau dia melahirkan si anak 'tanpa rela'? 

Sedangkan ramai ibu-ibu di luar sana yang ternanti bertahun-tahun untuk menimang cahaya mata!


Sedar, anak itu manusia

Saya menceritakan kejadian di tandas tadi kepada kak Fatma. Sambil berjalan seiringan dengan menjinjing borongan buku-buku, kak Fatma memberi pandangan.

"Itulah Zahra', mereka jadi begitu sebab tidak sedar. "

"Maksud akak? Normal ja Zahra tengok tadi..", saya menangkas sambil ketawa kecil.

Kak Fatma senyum.


"Bukan itu maksud akak. Ini soal kesedaran atas sedar. Ketika bercinta, seorang perempuan harus sedar dia sedang menuju perkahwinan. Kemudian, ia tidak berhenti di situ sahaja. Perkahwinan akan menghasilkan anak-anak."


"Kemudian?", saya menyampuk lagi.


"Kemudian, disinilah titik asal terbesar tugas kita seorang perempuan. Tugas kita mendidik anak!. Kalaulah semua perempuan melihat betapa anak-anak adalah aset negara dan ummah, pasti tiada lagi kebejatan sosial seperti sekarang ini.
Dan, peranan mendidik akan berat sebelah tanpa huluran tangan dari seorang suami, lelaki. Kita ini lelaki dan wanita, kena sedar bahawa anak adalah manusia. Dari manusialah adanya ummah!"

Kak Fatma tersenyum memandang saya. Saya mencuit bahunya, ada maksud tersirat antara kami sambil saya menyambung.


" Fuh, terbaik! Maklumlah orang tu sudah mengikuti seminar tarbiyatul awlad kan..", saya mengusik kak Fatma sambil kami sama-sama senyum.

Bermula sebelum pernikahaan


"Betullah akak.. Zahra teringat ustazah Radhwa pesan dalam kelas tathbiq lughowiy"


"Apa ustazah pesan? Akak suka dengar pesanan-pesanan tentang mendidik anak ni", tanya kak Fatma penuh semangat.

Saya tergelak kecil melihat keterujaannya. Jalan-jalan kami sekitar PWTC hari itu terasa berisi dengan diskusi ilmiah santai.


"Ustazah pesan, cara untuk membentuk persekitaran bahasa yang baik bermula dari memilih pasangan yang mampu berbahasa dengan baik!".
Ya, benarlah jika dikatakan tarbiyah itu harus bermula dari diri. Bahkan dakwah diumpamakan seperti mencuci pinggan kotor. Ketika kita mencuci pinggan, kita sebenarnya mencuci sekali tangan yang kotor.

Bagaimana kita bersikap kepada diri. 

Sikap untuk menghargai diri dengan ilmu yang benar. 

Sikap untuk memberikan hak kesihatan dan belaian selayaknya kepada diri. 

Sikap adil dan amanah kepada diri ketika tiada seorang pun melihat. 

Sikap merasakan Allah sentiasa melihat dan bersama kita.

Sikap peribadi.

Maka, sikap ini adalah manifestasi kepada pemilihan pasangan.

Seorang penagih dadah, jauh sekali dia akan bertemu dengan perempuan berjubah dan bertudung litup. Melainkan dia sudah bertaubat dan mahu kembali menjenguk masjid.

Begitulah, pendidikan anak-anak bermula dari pemilihan calon pasangan dan ianya berkait rapat dengan pembentukan diri sendiri.

Benar, ada sesetengah orang yang mengadu kepada saya. Kata mereka, iman itu naik dan turun. Betapa susah diri mahu kekal di atas sebuah kebaikan.

Lalu, saya katakan, kerana itulah pentingnya usaha dan kesedaran untuk mendidik diri.

Mendidik.

Ia bukan seperti mengajar.

Mendidik ini perlukan hati nan suci untuk menyucikan. Air yang kotor bercampur pasir, tidak mampu untuk membersihkan kereta yang juga kotor dek debu-debu pasir.

Begitulah perumpamaanya. 

Istighfar, ia sesuatu yang suci untuk menyucikan diri manusia penuh noda. Banyakkan istighfar, memohon ampun kepada Allah..

Mendidik anak, ia bermula sebelum pernikahan. Maksudnya sekarang?

Ya, sekarang!


Tugas mulia

Saya meneliti buku "Wanita muslimah dan peranannya di era moden" karangan Dr Falah Muhammad Shaghir. Buku terbitan Universiti Saud, Arab Saudi ini menjelaskan sebuah kemuliaan seorang perempuan!

Memetik muqaddimahnya sahaja membuat hati saya berbunga dan bangga. Perempuan, di bahunya ada sebuah tugas mulia yang harus dia banggakan. Semakin saya tekuni permulaan buku ni, saya kian yakin.


Perempuan, mereka berperanan besar dalam masyarakat.
Kerana merekalah ibu, isteri, anak perempuan, serta saudara perempuan. Mereka juga pendidik, pengajar serta pengasuh masyarakat..
Perempuan, dari sosok mereka lahirnya para lelaki.
Dengan sabar dan tabah mereka, terdidiknya pahlawan gagah juga gadis berjiwa besar. Mereka, menyumbang kehidupan kepada para pemimpin besar, ilmuan gemilang dan pendakwah mapan!
[Wanita muslimah dan peranannya di era moden: m/s 3]


Betapa, tugas mulia seorang perempuan adalah ketika dia menjadi IBU! 

Bukan semua orang mampu menjadi ibu. Ada perempuan yang mampu melahirkan bayi, namun saban hari kita melihat ada saja kejadian buang bayi. Jika kita pantau ke klinik-klinik pula, berapa banyak kes peguguran?

Suatu ketika, ummi ditanya oleh seseorang:

"Ummi, beri sikit tips mendidik anak-anak soleh-solehah ini. Saya tengok bagus, sopan anak-anak ummi lapan orang ni.. Saya ni, anak baru tiga sudah macam-macam.."
Beliau memanggil 'ummi' kerana ummi memang selesa dipanggil begitu walau dengan orang luar.


Saya yang mendengar persoalan itu, ternanti-nanti jawapan ummi. Barangkali ada tips istimewa untuk kami yang nakal-nakal ini. :-D

Namun sangkaan saya meleset. Ummi hanya memberikan sebuah jawapan ringkas yang sangat biasa, namun tajamnya menusuk ke lubuk hati paling dalam.

Sambil memandang kami adik-beradik sambil tersenyum, ummi menjawab:

" Kena SABAR ja..."
Maha suci Allah, benarlah firman-Nya :
"وبشر الصابرين "
Dan khabarkanlah berita gembira kepada mereka yang SABAR!!
Tugas mulia mendidik anak ini, ia tidak semudah menuliskan teori. Ada saja cabaran dan dugaan, tambahan pula di saat genting pada era globalisasi kian rancak dan pesat. 

Itu belum termasuk kebejatan ekonomi yang melanda kerana ia memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal serta mental anak-anak.

Namun, seorang ibu dengan penuh pengharapan kepada Allah dan dengan segenap percaya bulat-bulat kepada ayat ke 155 surah Al-baqarah ini, dia yakin akan berita gembira yang akan diperolehi. 

Cuma, dirinya perlu kuat dan tabah dalam menyelesaikan syarat untuk 'berita gembira' itu. 

Itulah, SABAR!

Sabar dalam menanam benih tauhid yang benar ke dalam jiwa anak. Semenjak lahir sehingga si anak menginjak matang.

Sabar melayani karenah si anak dengan bijak ketika usia remajanya. Satu tahap usia yang membuahkan gelojak rasa ingin tahu dan memberontak.

Sabar untuk memaafkan dan terus memberi kefahaman. Banyak waktu anak-anak mulai keliru dalam menentukan identiti diri, maka ibu adalaha teman paling rapat untuk dirinya.

Sabar ketika diuji dengan anak-anak yang derhaka. Bersabar untuk tidak mencela dan mendoakan keburukan.

Terus sabar.

Sekali lagi sabar mendidik dengan tauhid yang benar. 

Berikan kefahaman Al-quran dan Sunnah. Corakkan akhlak terbaik untuk anak-anak..

Sabar...

Ah, saya tidak tahu sabar untuk apa lagi. Kerana, terlalu banyak yang harus di'sabar'kan walaupun saya belum menjadi seorang ibu...

Kalau mahu dihitung, 
Ah.. tugas mulia seorang ibu tidak mampu dibilang..
Sungguh!

Sepatah kata terakhir..

TERIMA KASIH UMMI, 
kerana sabar mendidik diri ini dengan kefahaman Al-quran dan Sunnah yang sebenar!

TERIMA KASIH UMMI, 
semoga Allah memberimu ganjaran yang lebih baik!






Zaharoh Fajar Nina
Tahun 3, Kuliah bahasa dan kesusateraan Arab
UIAM  Gombak.
29 April 2014


10 comments:

  1. Hebat..kagum..tringin..mahu..
    *jadi macam kak zahraa* :')

    ReplyDelete
    Replies
    1. Subhanallah. Semua ini kurniaan Ilahi, gali kurniaan dan kelebihanAllah buatmu dik. Kau punya lebih dari diri ini..:-)

      Do your best!

      Delete
  2. AnonymousMay 13, 2014

    Sgt terkesan.syukran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. AAlhamdulillah, yang terkesan itu adalah hati yang dekat dengan rabbnya. Semoga terus istiqomah. Afwan.
      -Zaharoh-

      Delete
  3. hebat, hebat, teringin nak jadi macam zahro :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hamdan lillah, segala pujian hanya untuk Allah.

      *pstt, ada aorang baru baca artikel lama zahro :p

      Delete
  4. MasyaAllah! Terima kasih atas perkongsiannya kak. 💚

    Akak, tumpang tanya, buku ni ada dalam versi Melayu ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Belum ada versi Melayu di. Doakan akak boleh terjemahkan.

      Delete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)