Skip to main content

Agar kau terus kuat...

بسم الله الرحمان الرحيم

Kuat.
Kekuatan.

Ia bukan sesuatu yang hadir secara tidak sengaja. Ia perlu dibina. 

Pada sebuah tapak yang kuat, berdiri megah bangunan indah nan megah.
Pada jalur-jalur akar kukuh, tumbuh besar sebatang pohon teguh tanpa rapuh.
Pada sesosok tubuh kerdil penuh noda, seorang hamba mendamba kekuatan dari yang maha mencipta.

Ya,
Begitulah lumrahnya kekuatan.
Ia bukan tubuh kekar menumbang lawan. Kalau cuma itu, sebuah robot lebih kuat dari si pencipta robot? 

Ah, mana mungkin robot lebih kuat. 
Kurang bijaklah si pencipta kalau sampai si robot bahkan merobek salur arterinya seperti dalam 'movie' awangan orang Inggeris.

Ya. Sekali lagi ya. 
Kerana faktanya, kekuatan adalah sosok tegar sebuah jiwa. Kerana jiwa, dialah yang memberi kehidupan kepada batang tubuh kecil atau besar, cantik atau hodoh, putih atau hitam, atau juga kuning langsat.

Jiwa, sifatnya tanpa warna.
Saat batang tubuh insan membesar, jiwa mulai diberi warna dengan kebaikan dan keburukan. Orang selalu menyangka hitam adalah keburukan sementara putih pula kebaikan. Rupanya, kita salah. Apa sahaja yang punya warna, ia ada kepentingan tersendiri. 

Walaupun putih itu warna 'suci', namun putihnya kain kafan tidak membuat semua manusia bebas dari azab kubur. Jauhkan kami dari azab itu ya Allah. Begitu juga hitam. 

Kita sering dicanangkan hitam itu warna 'kemaksiatan'. Namun, berapa ramai bahkan berjuta-juta manusia termasuk saya sendiri sangat merindui sebuah bangunan hitam di tanah suci Makkah. Hitamnya tidak 'menghitamkan' jiwa manusia. Namun, ia menjernihkan jiwa-jiwa !

Celoteh di atas sekadar menceritakan tentang jiwa.


Bayangkan, jiwamu sejernih air..


Jiwa tanpa warna.
Jiwa jernih.

Cuba kau pandang air jernih. Batu di dasarnya pun kornea matamu mampu tembusi. Cuba, letakkan selapis nipis kain putih paling bersih. Tenungkan matamu dan cuba kau tembusi kain putih itu agar terlihat batu di dasarnya.

Apakah kau mampu?


Senipis apapun warna-warna itu, ia membuat jernih air tercemar.

Begitula, perumpamaan untuk sebuah jiwa. 


Pada asalnya, ia jernih. Kita yang merasa suci sering mencorakkannya dengan warna-warna. Kadang kita merasa putih itu bersih, hijau itu baik, kelabu itu buruk dan hitam itu kotor. 


Sedangkan, kita sebenarnya perlu mengekalkan jernih jiwa dari segala warna.. Biarkan jiwa kembali jernih kerana kejernihan jiwa membuat kau kuat seperti lahirnya dirimu...


Kejernihan itu harus kau jaga agar kau terus kuat..




Agar kau terus kuat..

Duhai diri,

kau memang hebat!

Pada mata-mata yang pernah memandangmu, ada saja keindahan yang terpancar. Gerak-geri muslim yang kau tonjolkan membuat mata kasar manusia menilai zahir tanda mereka memang tidak buta. Ilmu dan bicaramu mungkin sedikit kaku, namun manusia menerimamu kerana kau masih belajar berilmu. Pada mereka, kau manusia kuat!


Kau hebat!


Namun, gelora dalam jiwa yang terkadang menyapa tiba-tiba tak mampu kau tuturkan kepada sesiapa. Sering kau lontarkan serangan-serangan jiwa itu kepada manusia melalui cakap dan gerak jemari atau bahasa tubuhmu. Namun, adakah yang mengerti?


Sampai detik kau sahaja yang tahu kerosakan demi kerosakan jiwa yang dirimu deritai.


Duhai diri, sebenarnya Allah memang sengaja menutup segala perasaanmu agar manusia lain tidak mengerti melainkan dirimu sendiri. Jangan kau merasa hanya kau melalui semua itu. Pandanglah pada manusia di sekitarmu dekat mahupun jauh, nyata mahupun maya sebenarnya, mereka juga merasa apa yang kau rasa!


Selagi mereka masih dipanggil manusia, mereka pasti merasa gelora itu...


  الذي خلق الموت والحياة ليبلوكم أيكم أحسن عملا وهو العزيز الغفور ...
Allah menciptakan Kematian dan Kehidupan ini, untuk menguji kalian.. Siapakah di antara kalian yang terbaik amalan kebaikannya.. Sesungguhnya, Allah maha perkasa lagi maha pengampun... (Al-Mulk:2)

Ujian.

Pengujian.

Ini adalah aktiviti yang memerlukan kesabaran. Sabar itu, tandanya kuat. Ramai manusia yang tidak tahan diuji akhirnya lelah dan membiarkan dirinya mati sebelum tib di persinggahan kekal. Mungkin kerana mereka tidak dikenalkan dengan kata-kata 'ليبلوكم' (Untuk diuji).


Baiklah, kerana kau sudah tahu kehidupan ini untuk diuji.. Kau harus terus kuat. Kau harus tahu bagaimana caranya agar kau terus kuat. Ya, agar kau dan kita semua terus kuat. Kerana lemahnya kita, benar-benar membuat diri mendamba bagaimana harusnya diri untuk terus kuat?!


Duhai diri..

Agar kau terus kuat, berpautlah pada sesuatu yang benar-benar kuat tiada tandingannya dari sekuat-kuat apapun. Lantas kepada apa dan siapa kita layak berpaut?

Allah Al-qawiy.
Allah, yang maha kuat.
Allah, yang tiada kekuatan layak menaandingi kekuatannya.
Allah, yang padanya tiada walau secebis lemah dan tidak layak baginya apa-apa selain kekuatan semata-mata.

Allah Al-qawiy, yang menggetar hati manusia-manusia dan hamba lemah ini tatkala hati jernih mengadu merintih pada kekuatan-Nya. Allah, kekuatan-Nya meliputi apa yang ada di bumi, langit, angkasaranya, juga segala yang meliputi kesemunya ataupun tidak terjangkau oleh semua ruang itu.

Kembali diri merenung simpati pada diri...

Duhai diri..
Agar kau terus kuat, jernihkan lagi jiwa yang mulai jauh dari keruh itu. Jernihkan dengan sebuah lafaz keramat penuh keikhlasan dari lubuk hati seorang hamba.. Katakan:


"لا حولَ ولا قُوََةَ إِلَّا بالله"
Tiada sekelumit daya, mahupun kekuatan.. Melainkan dengan bantuan Allah.. 
Ulang, 
Sebaris kata berwarna hijau itu, bukan semata-mata kata. Biarkan ia menggetarkan jiwa jernihmu agar kau terus kuat.. Sungguh, tatkala Allah mahu membantumu nescaya kau akan merasa sekelumit kekuatan luar biasa!

Duhai diri, bukankah kau tahu kekuatan seorang mukmin itu kerna eratnya hubungan dia dengan Al-jabbar (Allah yang maha memiliki kekuasaan). Kalau kau masih mahu menjauh, bagaimana kau akan bertahan? Bukankah jiwa jernihmu sering berbisik : "Teruslah bertahan duhai diri.. kuatlah.."..

Katakan lagi sehingga jiwa bergetar penuh rendah hati :


Lemahnya diri.. tiada daya dan kekuatan pada diri, melainkan dari Allah..

Kekuatan,
ada masa ia teguh.

Kekuatan,
ada masa ia rapuh.

Agar kau terus kuat,
teguhkan hubungan rapuhmu dengan Al-qawiy. Allah yang maha kuat. Sekulumit kekuatan insan tidak langsung menyamai kekuatannya yang memiliki dan mencipta kekuatan.

Dan, kau akan terus kuat...






Zaharoh Fajar Nina,
Mahallah Hafsah| Gombak,
29 Jamadilawwal 1434 |31 Mac 2014,
Tahun 3 Kuliah Bahasa dan Kesusasteraan arab UIAM.

-----------------------------------------------------
Rujukan:

http://www.nabulsi.com/blue/ar/artp.php?art=2344

Comments

  1. AnonymousJune 02, 2014

    jazakillahu khaira atas penulisan yg sgt menyentuh hati dan bermanfaat. Teruskan menulis! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa iyyaki khair. Terimakasih atas komen dan galakan. Doakan saya terus..
      -Zaharoh-

      Delete

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)

Popular posts from this blog

tadabbur surah kahfi : sebab turunnya surah al-kahfi..

بسم الله الرحمان الرحيم

bersambung dari artikel ini. Muhammad bin Ishak meriwayatkan daripada ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu yang mengisahkan tentang peristiwa turunya surah al-kahfi:
"orang-orang Quraisy menghantar An-Nadhar bin Al-Haruth dan Uqbah Bin Abi mu'ith kepada beberapa orang rahib yahudi. Mereka diminta untuk bertanya tentang Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang para rahib itu tahu tentang diri nabi Muhammad menurut apa yang dinyatakan di dalam Taurat.
para utusan Qurais itu berkata kepada rahib-rahib yahudi yang mereka kunjungi :" kami datang kepada kamu sebagai ahli kitab yang memegang Taurat untuk mendapatkan keterangan daripadamu tentang sahabat kami Muhammad! "
orang-orang yahudi itu berkata kepada mereka(utusan Quraisy), berikanlah tiga pernyataan kepadanya,jika dia dapat memberi keterangan tentang tiga perkara itu, maka memang benar dia adalah rasul. tetapi, jika dia tidak dapat memberi keterangan itu, maka dia alah seorang yang me…

"Kerana aku pemuda akhirat.."

Ukhrawi bukan hanya itu..
“Ah, kau hanya melihat akhirat. Kau gadis ukhrawi. Maaflah, kami ini duniawi”, begitu saban hari mereka bergurau denganku.
Aku cuma tersenyum getir mendengar kenyataan itu. Bukan terasa hati. Namun kerana kecewa dengan kecilnya pandangan anak muda generasi Y pada erti keduniaan. Aku kesal dengan salah erti tentang kedunian ini.

Mereka menganggap tudung labuh, membaca al-quran, pergi ke masjid, membaca dan menulis hal-hal agama itu ‘ukhrawi’. 
Mereka menganggap orang ukhrawi hanya tahu bercakap tentang ayat al-Quran dan tafsirnya. 
Mereka menganggap orang ukhrawi itu semata-mata puasa dan solat sahaja. Itu salahnya kita anak muda. Kita tidak mampu menjadi seperti anak muda di zaman Nabi kerana mentaliti dan persepsi satu sisi yang kita cermati.

Pada aku dan sepatutnya pada kita pemuda, keduniaan bukan pada banyaknya harta semata. Keduniaan bukan juga pada tingginya pangkat. Keduniaan sama sekali tidak diukur pada cantiknya paras rupa dan mewahnya rumah serta kere…

Contengan ramadhan: Persahabatan dan TAQWA kita..

بسم الله الرحمان الرحيم



Ini benar-benar sebuah ukhuwwah..
Selesai membaca surah An-naba' ayat 31-37, saya pandang ke kiri. Jalidah tiada. Sebab selalunya, Jalidah akan berkata kepada saya;
"Zahra cepat. Nak dengar perkongsian dari Zahra.."Sebenarnya, saya bukan pandai sangat mahu bercakap dan mengulas sesuatu, tetapi sahabat sejati yang ikhlas itu kadangkala lebih meyakini kita berbanding diri kita sendiri.

Sebab itu, bila sering bersama dengan Jalidah, saya seolah diberi kekuatan untuk berkongsi.

Terutamanya untuk melontarkan idea-idea dan butiran mutiara yang menerpa ketika menelusuri patah kata dari Al-quran. Setiap kali melontarkan bait-bait al-quran yang mulia, kemudian mentadabbur maksudnya, satu demi satu kisah kehidupan terasa dirungkai.

Tetapi, kadang-kadang saya mengelak juga.
"Jalidah, ana bukan faham betul sangat pun. Takut tersalah pula..",  Dan, selalunya, Jalidah akan mendesak. Memberi harapan dan menghargai saya seadanya.
"Zahra, ana pun macam Zah…