30 April 2014

Akhlak kita penuntut ilmu.


بسم الله الرحمان الرحيم

Berenang di samudera ilmu dengan kemampuan berakhlak. Usah biarkan diri karam dek kelemahan beradab! -Zaharoh-


Pentingnya adab dan Akhlak


Saya akur, kita sering terlupa akan hal ini. 

Sekian lama kita merasakan usaha kita begitu maksima dalam mengait ilmu, kita sebenarnya diselubungi awan hitam bisikan syaitan yang bila-bila sahaja mampu menjatuhkan 'keilmuan' kita.

Bukan pada banyaknya makanan perut menjadi kenyang. Tetapi kerana nikmatnya makan, kelaparan pun pergi. Begitulah dengan ilmu. Kejahilan takkan mahu berganjak dari lubuk diri andai nikmat ilmu tidak dapat mengganti.

Saya teringat pesan seorang ulama' bernama Yusuf bin Al-Husain katanya:
بالأدب تفهم العلم
Dengan mempelajari adab, engkau akan mudah memahami ilmu.”
Menghayati kisah ini, membuat kita terpanggil untuk turut meneliti cerita Imam Malik tentang nasihat ibunya. Beliau berbercerita:

“ Dahulu, ibuku menyuruhku untuk duduk di dalam majlis ilmu bersama Robi’ah Ibnu Abi ‘Abdirrahman. Beliau seorang pakar Feqah di kota Madinah pada zaman ibuku. Kemudian ibu berpesan kepadaku:

من أدبه قبل علمه
Pelajarilah adab darinya sebelum mengambil ilmunya.”
Begitulah.

Sebagaimana para ulama' mementingkan akhlak dan adab, seharusnya kita juga begitu. Memang, kadangkala adab dan akhlak ini sangat sukar dikuasai sekalipun seorang pelajar yang mendapat 'A' dalam matapelajaran akhlak. 

Begitu juga saya yang menulis ini.

Adab itu sebuah tabiat. Ia memerlukan masa untuk benar-benar diserap ke dalam diri. Tiadak ada hal lain yang mampu menggantikan adab selain hasil kepada sebuah amal soleh dan melazimi aqidah serta keyakinan yang benar kepada Allah.



Adab, ia soal amalan.


Sebab itulah, seorang ulama' terkemuka yang juga pengasas kepada mazhab ahli ra'yi dalam bidang Feqah pernah meluahkan. Beliau yang dikenali sebagai Imam Abu Hanifah, sangat suka mempelajari kisah-kisah para ulama berbanding menguasai bab feqah mereka. Kerana, dari situlah beliau banyak mempelajari adab!


Subhanallah. 

Sungguh-sungguh kita merasai betapa lompongnya kita dari pelajaran adab saat ini. Imam Abu Hanifah menukilkan di dalam Kitab Al-madkhal katanya:

الْحِكَايَاتُ عَنْ الْعُلَمَاءِ وَمُجَالَسَتِهِمْ أَحَبُّ إلَيَّ مِنْ كَثِيرٍ مِنْ الْفِقْهِ لِأَنَّهَا آدَابُ الْقَوْمِ وَأَخْلَاقُهُمْ
“Kisah-kisah para ulama dan duduk bersama mereka, lebih aku cintai daripada menguasai beberapa bab feqah. Karena, dalam kisah mereka diajarkan berbagai adab dan akhlaq luhur mereka.” (Al Madkhal, 1: 164)

Catatan akhir untuk peringatan ringkas ini, sebagai seorang mahasiswa sewajarnya kita memberi masa kepda diri untuk menuntut dan bukannya melutut. Kerana melutut mampu membawa kita kepada taksub lantas dari taksub pula akan timbul kemegahan-kemegahan tentang kumpulan masing-masing. 

Ada juga yang sering mempertahankan kumpulan dan pemikirannya sedangkan berbeza pandangan itu perlu. Tidak kurang juga yang terlalu longgar dalam beragama sehingga tanpa sedar dia telah membuka jalan kesesatan kepada diri sendiri serta masyarakat.

Dalam berilmu, ada disiplin yang perlu dipatuhi.

Kalau matahari sesuka hatinya mahu datang waktu malam dan bulang sesuka hatinya mahu datang waktu siang, bersiap-siaplah menanti kehancuran bumi!

Begitulah ilmu.

Kalau ramai yang suka masuk mendalamai ilmu melalui serombong asap, bukankah tidak beradab dan biadab namanya?

Lebih kasihan, ketika mereka tanpa sedar sedang masuk kedalam istana ilmu melalui lubang 'air-cond', sedangkan pintu utama dengan penuh kemagahan menyambut mereka dengan paluan kompang serta penghargaan.

Masuklah istana ilmu melalui pintu 'Al-quran' dan 'Sunnah' dengan memahami prinsip-prinsipnya. Bukan pintu 'kata-kata syeikh' yang boleh diterima dan ditolak. Namun, harus difahami bahawa kata-kata guru adalah mutiara perhiasan bagi mahasiswa dalam menuntut ilmu.

Kesimpulannya.

1) Fahami prinsip memahami Al-quran dan Sunnah dengan tepat.

2) Tidak semestinya cepat, ilmu itu perlukan masa. Bersabarlah.

2) Banyak memuhasabah diri. Itulah kunci kegemilangan jiwa seorang mahasiswa di hadapan Allah.


3) Tidak rendah diri tetapi rendah hati. Kerana kerendahan diri membawa kejatuhan, sedangkan kerendahan hati mebawa keilmuan.




Zaharoh Fajar Nina
Tahun 3, Kuliah bahasa dan kesusateraan Arab
UIAM  Gombak.
29 April 2014


Rujukan:
Pelajarilah dahulu adab dan akhlak 

1 comment:

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)