17 May 2013

sebuah catatan kecil: buatmu guru-guruku..


بسم الله الرحمان الرحيم

Kalau ini tugas saya..

Di saat saya menulis catatan ini, minda saya menerawang jauh.

Empat hari yang lalu, tugas saya sebagai seorang 'guru' berakhir. Memegang study circle UIAM membuat saya belajar banyak perkara. Tambahan pula, semester ini boleh dikatakan study circle paling istimewa buat saya. Setelah melalui 2 sesi, saya dapat melihat sesuatu dalam kerjaya seorang guru.

Banyak yang saya tidak tuntaskan untuyk study circle ini. Agak kecewa sebenarnya. tetapi, bila ada beberapa orang pelajar saya berkata dengan penuh harapan :
"kak zahra, bila kita boleh jumpa lagi ya..?"
saya hanya tersenyum kelat, sebab terkilan belum dapat beri yang terbaik buat mereka. Tetap, saya bercampur bahagia, punyai pelajar bijak dan berkebolehan seperti mereka. Maklumlah, 15 orang pelajar saya ini, semuanya mahasiswa bidang architecture. Klau di UIA, mereka terkenal dengan kerja studio dan menyebabkan mereka sering miss kelas study circle.

Itulah cabaran seorang guru.

Bayangkan, satu 'aqal' perlu mengurus 15 'aqal' yang bermacam ragam. Itu baru 15.

Kalau 30,  50, bahkan beratus-ratus pelajar?
bayangklan sahajalah, berapa akal-akalan yang harus dihadapi guru.

16 Mei, menyentap jiwa saya sejenak. Kalau 15 orang ini tugas saya sudah terasa berat dan lelah, bagaimana guru-guru saya?

Nama dan wajah guru-guru saya di sekolah rendah Islam Al-masriyah, Maktab Mahmud Yan, Maktab Mahmud Alor Setar dan Universiti Islam Antarabangsa Malysia, terbayang dan terpampang.

Hebatnya mereka!


Guru, mereka akan terus hidup!

"saya cuma nak pastikan, semua topik yang perlu diajar kepada kamu telah tuntas.Supaya saya boleh jawab depan Allah.."
kata-kata Dr Sofiah dalam kelas terakhir ulum quran semalam membuat kami semua terdiam. saya terpukul, sebab saya lalui apa yang ustazah lalui. Menjadi seorang guru.

Seorang guru, sampai satu tahap mereka tidak terfikir tentang diri sendiri. Matlamat mereka, ummah terdidik.

Biarlah apa yang terjadi kepada dunia, anak didik di hadapan aku ini mesti dibentuk demi tamadun dunia dan matlamat akhirat mereka!
saya yakin, itulah monolog seorang guru. seorang pendidik.

Mendidik anak bangsa, membentuk peribadi mulia, menanam aqidah dan prinsip seorang manusia.

Sungguh, saya sering 'cemburu' kepada guru-guru.

Mereka tetap sabar walau seribu karenah, sejuta tohmah. Mereka tetap tersenyum setelah marah, kerana amarah mereka bukan amarah nafsu yang membakar bahkan menutup kebakaran. Mereka mampu ikhlas mendoakan di saat anak murid mereka melempar cemuhan dan keluhan.

Kerana, mereka ada Allah yang mampu membalas segalanya.
 
Inilah, antara sebab mengapa saya juga mahu jadi pendidik. Kalau kata Huda sahabat saya,

"Ana nak jadi arkitek manusia."
Saya tersenyum mendengar idea kritis itu. Ada benarnya. Kalau arkitek bangunan, mereka mebina tapak dan mencipta segenap penjuru rekaan bangunan secantik mungkin, sekukuh mungkin. Bila mereka meninggalkan dunia, mereka kekal menjadi mayat dan rumah itu kekal berdiri menunggu dilanda tsunami alam.

Sedangkan arkitek manusia, jasad walau dimamah bumi, ilmu-ilmu bermanfaat yang membentuk bangunan tubuh dan ruh seorang anak didik akan terus membuat mereka 'hidup'. Kerana mereka telah ada kehidupan baru walaupun mereka belum meninggalkan alam fana. Lebih-lebih lagi jika ilmu yang disampaikan membina tapak terhebat (ilmu aqidah). sebab itu saya suka menjerit kepada diri,

" Guru, mereka akan terus hidup!


Catatan kecil buat guru-guruku

catatan ini, sebuah puisi lama yang pernah saya karang. Tetapi, ia tetap hisup dalam jiwa dan rasa saya setiap hari dalam setiap doa. Menjadikan ia baru dan terus diperbaharui.

terimalah dari anak didikmu yang baru mengenal dunia, ketika dirimu sudah bergelumang dengan pahit dan manis di dalamnya. Sebab itu, diri ini belajar dari setipa butir kata dan peribadimu yang tulus itu.

Terus, doakan diri ini duhai guru. Kerana tanpamu, tiada manusia yang layak bergelar penuntut ilmu.


Ustaz/ustazahku penuh tenang,
Kau bukan bintang,
Yang kerlipnya tak bisa benderang,
Tak dapat kugapai hanya terkenang,
Menjadi inspirasi setiap orang,
Namun nyatanya cuma bayang-bayang,
Kerana munculmu hanya kadang-kadang,
Tika cuaca senang kau terang,
Dikala mendung kau nekad mendorong,




Guruku pendidik insan, pembangun  tamadun,
Nyata kau tak seperti lilin,
Kerana hayatnya sebatang nian,
Terangnya juga sekadar terbeban,
Membakar diri sudah terperan,
Akibatnya,
Khidmatnya mati pelan-pelan,
Jasad yang cair dilupa zaman,
Ruang terang tadi tak lagi mapan,
Kembali kelam seperti gerangan,
Kembali gelap dari suluhan…
 


Cikguku dengan semangat berkobar,
Kau bukan obor,
Yang menerangi hanya segenap kamar,
Yang hayatnya Cuma sebentar,
Yang khidmatnya mati tika ia samar,
Dek sumbu yang galak dibakar,

PENDIDIKKU yang tak pernah lali,
Engkau sebenarnya adalah MATAHARI,
Atau mentari menyinar bumi,
Juga sang suria yang muncul setelah pelangi,

Guruku matahariku,
Hadirmu setiap hari,
Tak pernah kau endah cemuhan kami,
Tentang terikmu yang menyengat sendi,
Atau surammu yang silih berganti,
Terangmu salah redupmu disalahi,
Namun tekadmu tetap tinggi,

Cikguku mentariku,
Sinarmu menerangi segenap maya,
Memberi kehidupan kepada dunia,
Lautan api simbahan lahar sudah biasa,
Untuk,
Bersama insan menjadi jejaka,
Menghidupkan sang pohon hingga dewasa,
Memberi kehidupan memendam lara,

Ustaz/ustazahku sang suriaku,
Munculmu tak pernah sirna,
Datangmu tak akan pergi,
Kerana kau tetap ada,
Malam kami siangmu di daerah sepi,
Kau tetap hidup tanpa mati,
Sinarmu kekal selamanya,
Kau, hanya malap ketika…
Takdirmu terbit di barat sana..





Kerana jasa 'MENTARI', takkan luput ditelan tamadun.

~Dedikasi buat semua pendidikku di segenap detik~

Taski Al-Masriyah
Sekolah Rendah Islam Al-Masriyah
Maktab Mahmud Yan
Maktab Mahmud Alor Setar
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(1992-2013)

Zaharoh Fajar Nina Purnama Alam,
Bukit mertajam, pulau pinang
16 MEI 2013


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)