22 December 2018

KEBOSANAN REMAJA MALAYSIA MEMERANJATKAN! INILAH CARA-CARA MENGATASINYA..

بسم الله الرحمن الرحيم

Tiba-tiba hari ini saya mendapat mesej dari seseorang yang sudah lama tidak menghubungi saya. Agak pelik sebenarnya mengapa dia menghubungi saya secara tiba-tiba. Perbualan kami berterusan sehinggalah saya bertanya kepadanya:

"Lama ni tak contact, kenapa harini contact?"
"Oh, haa tulah saja contact, sebab dah bosan tak tau nak buat apa.."

Memandangkan saya bukan orang yang suka membalas semua mesej atau mengangkat semua panggilan telefon, jawapannya membuat saya terdiam seketika. Kerana saya berusaha menjawab walaupun sedang agak sibuk. Namun, saya tidak ambil hati kerana sekurang-kurangnya dia masih menghubungi saya. Lebih teruk lagi jika dia masih tidak terdetik mahu menghubungi saya walaupun dalam kebosanan.

Kata-katanya itu membuat saya terfikir, bagaimana orang seceria dirinya boleh 'bosan'. Dia bukan remaja yang pendiam dan tidak mempunyai kawan. Dia seorang remaja yang sering menceriakan rakan-rakan dan suasana sekelilingnya. Bukan hanya itu, dia memiliki beberapa orang adik dan ahli keluarga yang baik-baik belaka.



Berbekalkan sedikit ilmu psikologi yang pernah dipelajari, segera saya mencari beberapa maklumat mengenai kebosanan dan cara mengatasinya. Saya juga tercari-cari adakah ada contoh situasi 'bosan' atau jemu di dalam islam.

Carian saya tentang fakta kebosanan remaja amat memeranjatkan. Kajian yang dibuat menunjukkan 83 peratus remaja di Malaysia mengalami kebosanan. Peratusan ini adalah tahap kebosanan paling tinggi berbanding negara-negara lain. Indonesia, negara bersebelahan dengan kita pun berada di tahap yang agak rendah iaitu 55 peratus remajanya mengalami kebosanan.

Mungkin beginilah rupa 83% remaja Malaysia


Kajian yang dibuat oleh MTV itu juga menyenaraikan tiga situasi anak-anak muda kerap mengalami kebosanan:

1) Ketika berada di rumah sebelum tidur (41 peratus).
2) Pada hujung minggu (33 peratus).
3) Semasa musim cuti (29 peratus).

Peratusan ini sebenarnya agak membimbangkan. Hal ini kerana kebosanan yang berpanjangan dan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal, rohani bahkan mental anak-anak muda apabila dewasa nanti. 2018 pun sudah menunjukkan kesan tidak baik. Remaja era ini sampai menghaslkan perkataan baru untuk memberi maksud bosan.

Pishang. 
Pernah dengar perkataan ini? 
Lihatlah betapa bosannya anak muda Malaysia sehingga perkataan 'bosan' pun sudah bosan didengar dan dituka kepada 'pishang'.


Sahabat nabi bosan?

Cynthia D.Fisher, seorang ilmuan psikologi mendefinisikan bosan sebagai suatu keadaan perasaan seseorang yang kurang selesa dengan suatu keadaaan. Bosan berlaku ketika seseorang merasakan kehilangan minat dan menjadi semakin kurang fokus terhadap perkara atau aktiviti yang sedang dilakukannya.

Kurang tepat jika dikatakan sahabat nabi merasa bosan dengan Al-quran. Namun, sebagai manusia mereka melalui fasa manusiawi seperti kita. Sebahagian situasi bosan ini dilalui oleh para sahabat nabi. Saad Bin Abi waqqas bercerita di saat Al-Quran telah sekian lama diturunkan kepada sahabat, lama-kelamaan mereka merasakan sedikit berat. Lalu sahabat berkata kepada Nabi:

“Ya Rasulallah, bagaimana jika engkau bercerita kepada kami?”.

Permintaan sahabat itu dijawab oleh Allah dengan turunnya surah Yusuf. Surah ini disebut oleh nabi sebagai 'sebaik-baik cerita.' Apabila Surah Yusuf turun, ia mendamaikan hati para sahabat lalu mereka kembali bersemangat. (HR Hakim)

Kisah daripada hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Al-quran memang mukjizat.
Kisah-kisah di dalamnya juga adalah kisah-kisah terbaik buat teladan anak muda.
Surah Yusuf pula adalah kisah terbaik untuk mengubat kebosanan anak-anak muda.
Benarkah?

Cuba kita bayangkan, kajian MTV yang telah kita baca tadi dibuat pada tahun 2014-2015.

Bukankah zaman teknologi sedang tumbuh dengan pesat saat ini?. Dengan telefon pintar di tangan, akaun media sosial yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, konsert nyanyian yang subur, drama jam 7 yang sentiasa laku, ditambah pula dengan jutaan tiket Polis evo(2015) yang mencapai RM 17.74 juta. Bagaimana anak muda Malaysia masih menjadi anak muda yang paling bosan di dunia?!

Tidakkah hal ini menghairankan kita?
Tidak cukup baguskah filem-filem dan cerita di Malaysia untuk menghilangkan kebosanan anak muda? Apakah yang silap?

Saya fikir, anak muda tidak boleh berada di takuk yang lama. Anak muda perlu belajar dari para sahabat yang juga muda ketika Al-Quran diturunkan.

Anak muda, ini masanya untuk kita kembali kepada cerita terbaik. Cerita Musa a.s, cerita Ashabul Kahfi, cerita Ashabul Ukhdud, dan cerita Yusuf Alayhimussalam. Bukan hanya itu, orang dewasa perlu mencontohkan keperibadian melalui cerita-cerita ini agar ia realistik di mata anak muda. Jika tidak, kajian 2019 dan tahun-tahun seterusnya akan terus meletakkan anak-anak muda Malaysia sebagai anak muda paling bosan di dunia.


5 sebab bosan dan cara mengatasinya

Cuba perhatikan salah satu sebab kebosanan berikut. Mungkin dengan mengetahui sebab-sebab ini kita boleh keluar dari kebosanan yang membunuh keindahan zaman muda kita.

1. Beku.
Bosan datang di saat kita merasa keadaan hidup kita mulai membeku. Seperti ais yang berada di dalam peti ais beku. Kehidupan kita sama sahaja hari demi hari. Esok, lusa dan setelah beberapa waktu ia tetap sama tanpa apa-apa perubahan.

Beku itu, lawannya cair. 

Anak muda mesti berusaha mencairkan kebekuan dengan membuat projek untuk masa depan. Mulakan sesuatu yang berbeza pada esok hari. Jangan biarkan kita membeku dalam satu situasi sahaja.

2. Sendiri.

Seringkali kita merasa bosan kerana kita asyik bersendiri. Masa yang ada terlampau banyak kita habiskan di hadapan skrin. Kita tidak bercakap mahupun bertukar pandangan dengan orang lain. Jika ada perbualan pun, kita cuma berbual di alam maya tanpa suara. Atau kadangkala di alam maya pun kita tidak mempunyai rakan untuk bersembang.

Sendiri itu lawannya ramai.

Jika belum rutin ke masjid, rutinkan diri untuk ke masjid dan sapa Tok Imam, Siak, Bilal dan kalau ada sapa tok kadi sekali :D. Kalau sudah rutin tetapi masih bosan, cari masjid lain dan sapa lebih ramai rakan di masjid. Pergi juga ceramah-ceramah atau libatkan diri dengan khidmat sosial. Ada banyak dakwah jalanan, sembang buku anak muda yang dibuat berleluasa.

3. Kosong.

Rasa bosan akan menerpa saat jadual harian kita berubah mendadak. Kebiasaan seharian kita di sekolah padat dengan aktiviti. Jadi, ketika musim cuti tiba masa kita kosong. Jika ia tidak diisi dengan aktiviti yang sepatutnya, rasa bosan akan mulai mengejar.

Kosong lawannya berisi.

Pernah lihat cawan kosong? Kalau dibiar lama tanpa bertutup, habuk akan memenuhi cawan kosong itu. Begitulah masa kita. Jika kosong habuk bosan akan memenuhi. Isikan masa itu dengan aktiviti lain untuk mengganti perubahan yang berlaku. Cari sampai dapat!


4. Diam.

Duduk di satu keadaan dalam masa yang lama akan membuat kita bosan. Apatahlagi duduk melakukan sesuatu hal yang kita tidak sukai dan ia tidak mendatangkan apa-apa hasil segera.

Diam lawannya gerak.

Apabila kebosanan di tempat kerja atau mendengar guru mengajar, alihkan kedudukan. Kitamesti bergerak dari kedudukan asal. Boleh minta izin guru untuk ke tandas sebentar. Begitu juga jika bekerja, kita boleh alihkan kedudukan meja kerja apabila sudah bosan.

5. Lama

Ada sesetengah anak muda yang memang memiliki perwatakan yang mudah bosan. Dia tidak boleh lama dengan sesuatu tugas sedangkan tugas itu belum selesai.

Lama lawannya baru.

Kita boleh mengganti aktiviti kita yang lama dengan aktiviti lain dengan syarat, setelah aktiviti kedua itu selesai kita mesti menyiapkan aktiviti pertama. Boleh juga menukar dinding bilik atau ruang kerja dengan 'wallpaper' baru. Semua ini akan membantu kita untuk menghilangkan kebosanan.

Ingat 5 formula ini untuk cara-cara mengatasi kebosanan.

Beku    Cair
 Sendiri   Ramai
 Kosong   Penuh
 Diam    Gerak
Lama   Baru


Harapnya penulisan ini mampu meningkatkan kesedaran anak muda bahawa kita di paras bahaya untuk ukuran kebosanan. Kesan negatif kebosanan amat banyak termasuklah melahirkan anak muda yang malas, dan tidak produktif.

Ayuh, mulakan langkah pertama kita dengan menghilangkan perkataan 'pishang' dari media sosial dan kehidupan kita serta meneladani para sahabat menekuni cerita-cerita Al-quran. Selamat mencuba!

Saya semangat!

---------------------------------

*Nota: Saya kena berhenti menulis untuk minggu ni. Dah 3 artikel dalam 1 minggu nanti orang bosan nak baca. Saya pun bosan nak menulis :(

Rujukan:

2 comments:

  1. Saya seorang yang cepat bosan melakukan sesuatu yang sama.Cara terbaik saya menghilangkan kebosanan adelah dengan mengubah pola aktiviti saya.😘

    ReplyDelete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)