31 December 2018

NOTA AKHIR 2018: EPAL ITU KERAS ATAU LEMBUT?

Dari sebiji epal

Sambil mengemas rumah, saya bersembang dengan adik-adik di ruang tamu. Sesi sembang kosong yang sudah lama tidak kami lakukan kerana saya sudah lama mengajar di Selangor dan meninggalkan adik-adik belajar di Kedah.

"Tadi minta abi belikan buah apa?," adik ketiga saya bertanya.

"Buah epal lah senang. Banyak khasiat kan....", saya menjawab selamba.

"Alaa, buah lain tak pesan ka?", adik saya bertanya lagi.

"Ok lah buah epal. Lagipun epal tahan lama sikit.. Kalau buah pisang, 3 hari tak makan nanti busuk, membazir lah..", saya membalas.

Sembang-sembang kami terputus saat tiba-tiba abi sampai dari pasar dan memberi salam. Pintu dibuka, barang-barang dari pasar dibawa ke dapur. Selesai meletakkan barang, abi kembali ke ruang tamu.

"Alaaa, nak buah lain laa..

"Kenapa?, Buah epal sedap lah..", saya mempertahankan sambil tersengih.

" Buah epal keras laa. Malas nak makan buah epal sebab sakit gigi nanti..", adik saya merungut.
Mendengar rungutannya, abi yang hanya diam dari tadi bersuara.




"Semua tu 'mind setting' kita sahaja", tiba-tiba abi bersuara.

Kami berdua terdiam. Cuba memikirkan apa maksud abi dan apa kaitannya dengan buah epal.

" Epal tu keras, kalau kisar epal tu jadilah lembut.."

Mendengar ulasan abi itu, serentak kami berdua ketawa terbahak-bahak. Saya langsung tidak menyangka abi akan berkata sedemikian.

"Haa,, betul juga apa abi cakap tu, kalau kisar buah epal jadilah lembut dah tak keras.."


Tahun baru dan sudut pandang baharu

Perbualan kami ini hanya sebuah cetusan.

Kita selalu memandang apa yang terjadi melalui zahir ia terjadi semata-mata. Ketika kita diberi nikmat kehidupan, kita hanya memandang nikmat itu sebagai kebaikan. Sedangkan ia juga adalah ujian.

Ketika kita dibebani masalah, kita menganggap ia sebuah kedurjanaan yang menghancurkan. Kita menyangka Allah membebankan kita dengan masalah kerana Dia tidak kasih. Sedangkan ujian itu tanda cinta dan sayangnya Dia kepada kita.

Sebiji epal memang keras sifatnya.

Epal tidak berubah menjadi buah yang lembut seperti pisang atau rapuh seperti tembikai sehingga bayi pun boleh memakannya. Tetapi, sebiji epal boleh dilembutkan dengan sebuah cara fikir yang baharu. Ketika fikiran menggerakkan anggota untuk bergerak mengisar buah epal itu, disitulah tindakan sebuah cara fikir dan sudut pandang baharu dalam kehidupan.

Epal itu asalnya keras.

Saat epal itu dikisar halus bersama secawan air, ia dihiris bilah-bilah tajam pengisar, berkali-kali, ia berubah menjadi campuran hampas epal yang lembut. Saat ditapis hampasnya melalui penyaring halus, barulah airnya terhasil tanpa hampas, tanpa keras.

Begitulah sebuah cara fikir boleh merubah keadaan sebiji epal.

Tidakkah cara fikir juga boleh merubah kehidupan kita kita yang baharu?

Semoga tahun yang baharu ini memberi paradigma baharu buat kita untuk kelangsungan kehidupan ini.

Dunia ini kotor, kitalah yang boleh membersihkannya

2018 memberikan kita sebuah pengalaman yang luarbiasa berbeza. Barangkali kita melihat dunia sudah kotor dan semakin kotor. Lalu, tidakkah sudut pandang baharu inilah yang menjadikan kita ingin membuat dunia menjadi bersih?


Kalam Muhammad shalallahu ‘alaihi wa sallam wajar diimani:

كلّ الناسِ يغدو؛ فبائعٌ نَفسَه فمُعتِقها أو موبِقها

“Setiap hari, semua orang meneruskan perjalanan hidupnya dan mereka keluar mempertaruhkan dirinya. Ada yang membebaskan dirinya dan ada pula yang mencelakakannya” (Hadits Riwayat Imam Muslim).

Seorang muslim, ia dilantik Allah untuk menguruskan kehidupannya masing-masing. Jika 2019 esok kesemua kita bertindak membersihkan kekotoran dunia dari kata-kata kesat, kelancangan jemari menulis kebobrokan dan kata nista, kemalasan berusaha, juga kekejian hasad dan dengki, dunia akan semakin bersih dari semua itu. Semoga Allah menguatkan kita untuk itu.

Lalu, kekerasan hati yang telah dilembutkan dengan membuang kekotoran dari jiwa dikuatkan lagi dengan sebuah tujuan. Ia tujuan utama semua manusia, termasuklah seorang anak kecil yang kisahnya dicatat dalam kisah Ashabul ukhdud, juga sekumpulan pemuda yang cerita mereka terpahat kukuh dalam lipatan sejarah Ashabul kahfi.

Bukan hanya tujuan hidup anak kecil dan pemuda, bahkan tujuan hidup seorang lelaki tua, Ayyub Alayhissalam yang ditimpa ujian dalam hidupnya saat dia mengucapkan kata :

"Wahai tuhanku, sesungguhya aku mengadu kepada Engkau kesusahan dan kesedihanku kepada-Mu"

Saat itu Allah merakamkan kisahnya dengan sangat indah di dalam al-Quran:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (83) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِنْ ضُرٍّ وَآَتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَعَهُمْ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ (84

“Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Rabbnya: “(Ya Rabbku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Rabb Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.” Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah.” (QS. Al-Anbiya’: 83-84)

Anak kecil.

Pemuda.

Orang tua.

Ada sebuah tujuan hidup yang sama menguatkan mereka sehingga kisah mereka terakam indah di dalam kitab suci Al-Quran iaitu membersihkan dunia dari mempersekutukan Allah dan menetapkan urusan kehidupan berpaksikan sebuah wawasan:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
 “Katakanlah sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”


Keras atau lembut?

Kotor atau bersih?

Kita ada akal untuk menentukan di garis mana kehidupan akan diteruskan. 2018 telah pergi dan 2019 akan hadir dengan sebuah wawasan baharu di laluan kehidupan.
.
.
.
.
Zaharoh Fajar Nina
Bukit Mertajam.






No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)