23 March 2018

AL-KAHFI, PENAWAR DUKA SEORANG DAI'..

بسم الله الرحمن الرحيم

KITA DAN ORANG LAIN

Seringkali saat saya terduduk buntu menghadapi hakikat beratnya kehidupan, saya terfikir...

Orang lain hidup dan kita juga hidup.
Namun, seorang dai' tidak mensia-siakan hidupnya untuk bersenang-lenang di dunia semata. Dia tahu, kampung halamannya adalah di akhirat.

Orang lain belajar dan kita juga belajar. 
Namun, seorang dai' akan selalu memastikan tujuan dirinya belajar dan bertungkus-lumus untuk peperiksaan semata-mata kerana Allah dan demi umat.

Orang lain terlibat dengan barisan kepemimpinan dan kita juga demikian. 
Namun, seorang dai' tidak akan semata-mata menerima tanggungjawab sebagai barisan kepemimpinan jika dia hanya dahagakan jawatan. Seorang dai' akan menjadikan jawatan yang ditanggungya itu sebagai amanah untuk menjadikan ummat yang tenat menjadi lebih baik.


Orang lain bekerja dan kita juga bekerja. 
Namun, seorang dai' akan selalu menetapkan matlamat bahawa dia bekerja untuk Allah. Allah adalah tuannya dan dirinya adalah khalifah di bumi.

Lalu, saya melihat orang lain yang tidak memilih apa yang saya pilih. Mereka hidup nampak bahagia sahaja. Mereka seolah-olah menjalani hidup dengan tenang sahaja. Mereka bahkan mendapat apa sahaja dari cebisan dunia yang mereka mahu..

Saat itu saya mulai mencari hakikat ujian ini bagaimana sebenarnya. Jumaat, hari paling tepat untuk saya kembali menelaah dan menekuni surah Al-Kahf beserta tafsirnya. Seperti biasa, Tafsir Al-Azhar yang pernah saya beli dengan gaji pertama dan ketika Allah mengangkat kesedihan paling dahsyat dalam hidup saya menjadi rujukan...


TERSENTAK SEKETIKA

Sampai kepada mukasurat 4155, tafsiran ayat ke-8 Surah Al-Kahf saya berhenti seketika.

Jeda.

Lama saya ulang perbahasan Hamka untuk ayat tersebut.

Tersentak saya seketika. Lama saya berfikir.

Kata Hamka menjelaskan dua ayat sebelumnya, ayat ke-6:

" Kadang-kadang kerana sangat dukacita melihat sikap acuh dan tidaknya orang Quraisy terhadap wahyu Allah, terlintas dalam ingatan Muhammad biarlah mati sahaja, guna apa hidup lagi?!.."

Pernah. Ya, baginda nabi pernah merasakan detik kesedihan yang sangat mendalam saat dakwahnya tidak diendahkan bahkan tidak memberi kesan langsung kepada orang Quraisy. Sampai Allah menggambarkan perasaan nabi dengan perkataan باخع iaitu seorang yang sedih keterlaluan hingga ingin merosakkan diri sendiri.

Sampai begitu sekali perasaan nabi?

ya, itulah gambaran Allah kepada kita. Bahawa Muhammad SAW adalah nabi, dan baginda juga manusia. Pernah merasakan apa yang kita rasa, bahkan lebih parah perasaan baginda. Hanya sahaja kesedihan baginda nabi sesekali bukan kerana baginda benci kepada Quraisy yang tidak menerima dakwah baginda. Sedih itu kerana nabi terlalu cintakan mereka, sayangkan mereka.

Bukankah sedih kerana orang yang disayangi tidak mendengar itu lebih perit dari ditolak ajakan oleh mereka yang kita benci?

Demikianlah kita.

Saat itu saya semakin sedar.

Semakin kita memilih jalan dakwah sebagai laluan, semakin hari cabaran kita semakin besar. Ujian akan semakin besar saat ia hadir dari insan-insan yang paling dekat dengan kita, paling kita sayang.

Kadangkala ia bermula dengan dugaan yang kecil sahaja. Namun, tatkala yang kecil itu bertambah saat demi saat, bertimbun detik demi detik, dan menggunung hari demi hari. Sehingga akhirnya kita terduduk lesu tidak mampu berbicara apa pun.

Ia menjadi duka paling dalam.

Saya percaya, sesiapa sahaja yang memilih jalan dakwah sebagai laluan hidupnya, dia pasti pernah atau akan menempuh perasaan ini. Perasaan saat luka ditoreh dalam dan semakin dalam. Pandangan saat jiwa terasa kabur lalu buntu tak terarah. Beban saat kaki bahkan tak mampu diheret kerana beratnya beban tertanggung.

Kerana dai' itu jiwanya halus, penyayang dan tidak membenci. Kerana itulah, saat dia berduka, dukanya akan sangat berat...


PENAWAR DARI ALLAH

Saya meneruskan pembacaan.

Baiknya Allah. Saat DIA tahu nabi dan umat ini memiliki rasa duka, Allah datangkan penawar pada ayat ke-7 dan ke-8. Lihat apa yang Allah sebutkan..

إنا جعلنا ما على الأرض زينة لها لنبلوهم أيهم أحسن عملا..


"... Kami ini, menjadikan apa yang ada di bumi ini hanyalah sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka; siapa di antara mereka yang paling baik amalannya.."  (18:7)

Lihat, Allah menampakkan kepada kita bahawa segala bahagia yang kita lihat pada diri orang lain yang tidak menjadikan hiduppnya untuk Allah adalah perhiasan sahaja. Apa ertinya sebuah perhiasan?

Perhiasan sama seperti cincin berlian di jari. Ia mahal dan nampak indah. namun, saat jari mesti dipotong adakah masih berguna cincin di jari??

itulah nilai sebuah perhiasan. Ia cuma mengindahkan sahaja. Lalu di sebalik itu Allah akan menilai siapa di antara manusia yang paling baik amalnya. Ya, paling baik, bukan paling banyak.

Mengapa paling baik?
Kerana paling banyak tidak semestinya paling baik. Seumpama duit yang banyak, namun semuanya palsu dibandingkan sekeping sahaja duit RM100 yang asli(paling baik ia dibuat dan melalui proses bank negara dan sebagainya).

Penawar pertama,
"DUNIA HANYALAH PERHIASAN."

Saya segera meneliti perbahasan tafsir tersebut, teringin mahu melihat apa lagi penawar duka buat dai' yang bersedih.

Ayat ke-8 Allah menambahkan penawar yang lebih mendamaikan hati. Apa kata Allah?

وإنا لجاعلون ما عليها صعيدا جرزا


"Dan Kami (Allah) kelak akan kami jadikan apa yang ada di atas bumi itu tanah rata lagi tandus." (18:8)
Ahli-ahli tafsir sampai mengatakan bahawa ini adalah ayat 'tasliyah'. Tasliyah ertinya ayat pengubat dan penawar hati duka Rasuulullah SAW saat menghadapi kaumnya.

Mengapa demikian?

Cuba kita tenung ayat ke-8 ini. Bukankah ini sebuah tanda Allah amat memahami jiwa kita. Saat kita merasakan semua orang tidak memahami kita, semua orang tidak mendengar kata-kata kita, semua orang tidak ingin mendengar nasihat dan dakwah kita, kalau kita orang yang ikhlas berdakwah dan menjadi dai' kerana Allah..

Kita akan damai dengan kata-kata Allah ini.

Allah memujuk kita dengan satu janji kepastian bahawa Allah nanti akan menjadikan bumi ini rata dan tandus. Tidak akan ada lagi manusia sombong bongkak yang merasakan dirinya bagus kerana tidak mengikuti dakwah kita. Semua penghuni dunia yang berlumba-lumba memijak orang lain, akan tinggal tulang-belulang yang alhirnya sama sahaja seperti orang yang dipijaknya.

Kita juga.

Kalau kita orang yang ikhlas, dan istiqamah berusaha untuk dunia kerana Allah, kita tidak kisah dengan tulang belulang kita lagi. Kita tahu bahawa dunia memang tempat berkumpulnya tulang-belulang manusia yang telah mati. Lalu hidup kita sebenarnya ada di syurga, kekal, selamanya.

Inilah bekal seorang nabi saat kedukaan.

Kita, saat kita memilih untuk menjadi dai' harus kita fahami hal ini. Nescaya beban kita akan berkurang. Duka akan pergi kerana diganti dengan sebuah percaya kepada janji Allah ini.

Duhai diri, kalau penawar dari Allah ini tidak kita ambil dan fahami dengan baik, apakah ada penawar lain yang lebih baik untuk mengubat duka dan sedih kita??

Apakah ada?

Di akhir kata menjelaskan tentang penawar dari Allah ini, Hamka mengatakan..

"Sebenarnya, di setiap perjalanan hidup ini ada keindahannya... hendaklah jiwa dilatih dan perasaan diperhalusi sehingga dirimu akan kenal keindahan itu..".


Dalam setiap sujudmu, rendahkan diri dengan sebenar-benarnya di hadapan Tuhan.. kau akan temui keindahan..

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)