06 December 2018

BENDA 'SIMPLE' PUN HADIS NAK INGATKAN??

بسم الله الرحمن الرحيم

Berita hari itu membuat saya terkejut. Berita seorang pelajar membakar kereta guru sainsnya. Pelajar yang sama juga tertangkap ketika mahu membakar kereta Mercedes Benz milik bekas pengetua sekolahnya. Ketika ditanya mengapa, pelajar itu menjawab "saya marah dan benci.". Kemarahannya berpunca dari keputusan guru tersebut membuangnya dari sekolah akibat kesalahan disiplin.

Image result for ‫الغضب‬‎

Marah.

Memang ia perkara 'simple' yang nampak sangat ringkas. Namun, akibat dari sebuah kemarahan amatlah besar. Dari marah akan timbul benci, dari benci akan tertanam dendam. Maka, ketika itulah marah menjadi punca yang amat merbahaya.

Tanpa kita sedar, marah adalah satu perasaan yang dilemparkan oleh syaitan ke dalam lubuk hati anak Adam. Syaitan tidak membisikkan agar seorang pelajar membakar kereta gurunya. Syaitan juga tidak menghasut pelajar itu untuk membenci si guru. Namun, syaitan menanam benih benci melalui amarah. Kerana marah akan membuat seseorang terutamanya anak muda mudah hilang rasional diri.

Marah. Ia memang 'simple'.
Marah. Ia memang terlihat kecil.
Maka, pada hal-hal sekecil inilah nabi mengingatkan kita di dalam hadisnya "Jangan Marah!"

Tidak dinafikan, ada marah yang dimaafkan dalam islam. Iaitu marah yang hanya terdetik di dalam hati. Marah yang hanya bergejolak dalam jiwa dan tidak dikuasai hawa nafsu. Sebab itu di dalam fathul Bari, Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqâlani rahimahullah berkata, “Adapun hakikat marah tidaklah dilarang karena merupakan perkara tabi’at yang tidak dapat hilang dari perilaku kebiasaan manusia.”

Walaubagaimanapun, setiap wasiat yang termaktub di dalam hadis selalu membawa makna besar dalam kehidupan manusia terutamanya anak muda. Membentuk keperibadian mulia sebenarnya bermula dari hadis ini:


عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْصِنِيْ ، قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). فَرَدَّدَ مِرَارًا ؛ قَالَ : (( لَا تَغْضَبْ )). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu bahwa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi: “Berilah aku wasiat”. Beliau menjawab, “Engkau jangan marah!” Orang itu mengulangi permintaannya berulang-ulang, kemudian Nabi  bersabda: “Engkau jangan marah!” [HR al-Bukhâri].
"Jangan marah!"

Perkataan ini terlihat sangat ringkas, namun ia amat besar nilainya dalam membentuk seorang anak muda yang berakhlak mulia. Jika tidak, mana mungkin Imam Ahmad Rahimahullah menafsirkan melalui hadis ini bahawa: "Akhlak yang baik adalah meninggalkan amarah."

Jika diperhatikan dari hadis ini, nabi menyebut dua kali 'jangan kamu marah'.

Wasiat nabi untuk kali pertama adalah untuk mendidik jiwa anak muda agar sentiasa menghiasi diri dengan sifat sabar, pemaaf, pemalu, rendah hati dan murah hati. Perasan atau tidak, jika anak-anak muda mempunyai sifat-sifat ini secara tidak langsung mereka akan menjadi remaja yang jauh dari sifat amarah.

Manakala, penegasan nabi untuk kali kedua lebih spesifik. Ia merujuk kepada keadaan darah muda yang memang baran. Lalu, larangan kedua ini mengajar anak muda agar tidak mengikut apa yang ingin diperbuat ketika amarah menguasai diri.

Berita yang saya kongsikan pada permulaan tadi adalah contoh mudah.

Secara manusiawi pelajar akan marahkan guru yang mengambil tindakan disiplin kepada dirinya. Itu masih lumrah. Namun, ketika datang bisikan untuk membakar kereta guru yang menyebabkan amarah tadi timbul, seorang anak muda harus diingatkan oleh penegasan kedua dari hadis ini. jangan marah! Jangan megikut apa yang dirasai ketika amarah menguasai diri. Kesannya amat buruk kepada orang lain, bahkan kepada diri pelajar itu juga. Akhirnya pe;ajar itu ditangkap da dimasukkan ke dalam penjara.

Begitulah kesan dan pengajaran besar dari perkara 'simple yang diingatkan melalui hadis. Setelah melihat kesan besar ini kepada anak muda, masihkah kita tertanya:

"Benda simple begini pun hadis nak ingatkan..?"


#tulistentangakhlak
#adabmuda
#hadiahdaricikgu

------------------------------Rujukan: 
Berita 2005
Hadis Jangan marah

2 comments:

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)