15 July 2013

Memori ramadhan: contohi Nuh yang sabar itu dik..

بسم الله الرحمان الرحيم

Ramadhan, seribu satu kisah Al-quran membekas dan membina kehidupan..



Bila kita benar-benar mahu berubah..

" Kak, suasana kat maahad tahfiz ni tak sihat lah.."

Nada tulisannya di ruangan chatting malam itu, terlihat kusam. Saya simpati. 


Hana(bukan sama sebenar) yang saya kenal dahulu, sorang gadis nakal yang sukakan perubahan. Selama saya dekat dengannya dahulu, dia antara gadis yang pernah saya denda kerana melanggar peraturan dan saya ketika itu biro disiplin asrama.

Setelah beberapa tahun tidak bertemu di alam nyata, Allah pertemukan kami di alam maya. Pertama kali saya dapat tahu dia di meneruskan pengajian di Maahad tahfiz, saya sujud syukur. Terasa doa-doa selama setahun di tingkatan 5 tidak sia-sia. Bahkan, kalau Allah tidak makbulkan pun doa kita tidak pernah sia-sia.

Dan hari ini saya berusaha bersama dengannya berbagi solusi.

"Tak sihat, maksudnya macamana?", saya cuba mendalami suasana yang Hana hadapi.

"Suka kutuk orang . Bahasa kasar . Ikhtilat serabut . Kes 'couple'. Akhlak tunggang-langgang . Aurat sesama gurls tak jaga.."

Saya terdiam. Seolah dapat merasakan apa yang Hana rasakan. 

Iyalah, walaupun Hana seorang gadis yang agak nakal dahulu, ada satu perkara yang membuat saya sentiasa doakan dan yakin dia mampu berubah kepada yang lebih baik. 

Hana sering merasa bersalah atas kesalahan-kesalahan yang dia lakukan. Dia sering cerita kepada saya apa yang dilakukan. Walaupun pernah didenda. Semua itu tanda dia menyesal dan mengharap nasihat, bukan kerana banggakan dosa!

Sikapnya yang begitu, membuat saya tak lokek memberi nasihat kepadanya. Dia ada usaha mahu berubah, pasti Allah bantu. Itu keyakinan saya.

'bling!', bunyi ruangan chatting di facebook mamatikan kenangan yang sedang tunbuh mekar. 

Tertera tulisan 'Hana is messeging..'

"Pada saya kan kak, tak sesuai la macam ni. Kami kan hamlatul quran.kak maaf yer ganggu, doakan saya dan sahabat-sahabat kat sini.Satu lagi, rahsiakan nama Maahad Tahfiz ni, aib."

Saya tersenyum membaca mesej dari Hana. Adik ini, benar-benar sudah berubah. Saya dapat rasakan, al-quran yang dihafalnya perlahan-lahan menyusup dalam dirinya dan membentuk peribadi yang baik serta bencikan keburukan.

Saya jadi teringat satu hadis:

" المسلم من سلم الناس من لسانه ويده والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه"
“Orang Islam yang sebenarnya ialah orang yang mana orang-orang Islam yang lain terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya dan orang yang sebenarnya berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”   (HR Bukhari/ mishkaatul mashaabih Kitab Iman)

Dua perkara yang saya simpulkan dari peribadi Hana. Pertama, dia mahu menjaga aib sahabat dan tempat belajarnya. Bererti dia tidak mahu muslim lain terganggu oleh lidahnya.

Kedua, dia berhijrah dari seorang yang nakal (melanggar apa yang Allah dan peraturan larang) kepada meninggalkan semuanya. Termasuk membenci apa yang Allah larang. Begitulah kalau kita benar-benar mahu berubah.

Semoga Allah pelihara adik ini sehingga nafas terakhirnya. Amiin.


Ujian itu kerana Allah sayang

Sembang-sembang kami tidak berhenti sampai di situ. Saya sengaja memperpanjang perbualan. Mahu Hana merasakan ada tempat berbagi seperti dahulu.

"Pasti kak rahsiakan nama Maahad Tahfiz Hana ni. Cuma, aib begini takkan Hana nak biarkan?. Hana kena ubah, minta bantuan guru dan kawan-kawan yang sama-sama kuat.."

"Susah kak, di sini saya rasa seorang. Tak ada kawan-kawan yang boleh kalau nak diajak berjihad sama-sama."

"Takkan tak ada seorang pun? Senior ka?", Saya cuba memancing untuk mengetahui waqi' sebenar di Maahad Hana.

"Tak ada kak. memang susah nak percaya kan? Tapi, itulah hakikatnya kak. Saya pun tak tahulah. Penat ajak mereka, pergi ke pengajian pun mereka tak mahu.."

Memang, saya tidak sangka sebegitunya. Hampir tidak percaya. Tetapi saya merenung kembali, bukan soal hafal quran samata-mata yang membuat kita menjadi hamlatul quran. 

Sedangkan seorang Kristian tegar pun boleh menghafal seluruh Al-quran demi menjatuhkan islam. Tetapi dia tetap mati dalam keadaan kristian kerana dia tidak mendalami maksud dan keindahan al-quran. Sungguh betapa ruginya. perkataan حمل yang disebutkan di dalam hadis itu, lebih menunjukkan tanggungan isi al-quran untuk diamalkan.

Maka, hamlatul quran adalah orang yang menghafaz sekaligus mengaplikasikan isi al-quran. Disitulah kemuliaan sebenar seorang hamlatul quran!

'Bling', satu mesej masuk lagi.

"Kak, saya macam dah tak kuat nak ajak mereka. Bila saya cakap pasal masalah di Maahad ni, semua angkat tangan tak mahu terlibat. Mereka sibuk nak habiskan muqarrar. Tapi mereka tak pernah terfikir mahu faham isi al-quran dan habiskan muqarrar selari dengan habiskan tadabbur sekali.."

Kadang-kadang bila ajak mereka tak mahu,saya rasa sedih sangat. Tiba-tiba teringat sekolah dulu, sahabt-sahabat yang selalu ajak saya buat baik.. Ya Allah, Dia uji tidak melebihi kesanggupan kita kan kak.."

Saya menyambung nasihat untuknya. Terasa memori lalu seolah berulang lagi. Ketika pertemuan kami di malam hari ketika orang lain sedang nyenyak. Hana bersama saya menekuni nasihat-demi nasihat untuk kekuatan kami bersama.

"La tahzan dik..Jangan sedih.. Allah ada dengan Hana. Semakin kuat ujian tu, Hana sedar tak,Allah makin dekat dengan Hana. Tak mengapa, Allah tak pernah kisah Hana berjaya ubah mereka atau tidak. Allah tengok dan nilai usaha Hana tu. Never Give up dik.."

Contohi Nuh yang sabar itu dik..


Malam kedua Ramadhan itu berlarutan dengan pengakuan jujur dari Hana yang membuat saya terkesima. 

" Kak, saya rasa memang kena mujahadah banyak-banyak. Bukan apa, takut terikut. Sebab mereka ramai, saya ni seorang ja . Bila saya baca post kak kat facebook, dengan kat blog saya makin kuat. Kak dah banyak tolong kuatkan semangat saya walaupun kak duduk jauh, tapi tetap dapat tolong. "

Semoga satu hari nanti saya dapat jadi macam kak.. Alhamdulillah, semuanya dgn izin Allah."

Terharu pun ada bila tersedar betapa usaha selama ini Allah hadiahkan dengan perasaan indah dan rasa terbayar. Mudah-mudahan.

"Subhanallah.. kak zahra ingat, tak ada orang baca penulisan yang berlambak kat blog tu. Alhamdulillah, semoga bermanfaat untuk kita semua. Ya Hana sayang, doa kak Zahra sentiasa ada untuk para pencinta Allah macam Hana ni.. 
"Tapi Hana, kamu jangan jadi macam kak Zahra. Akak masih banyak kelemahan, masih banyak main-main lagi ni.."

"Tak apa kak,main-main kak tu tak sampai lalai lagi. tapi itulah kak, saya sejak masuk Maahad Tahfiz ni, dah jadi tak pandai melawak. Sebab mujahadah sangat mungkin. Entahlah.. "

Ada nada kesungguhan dalam alur bicaranya. Saya jadi terkesan pula. 

Hana yang saya kenal, sangat suka melawak. Sehingga pernah suatu hari dia beritahu saya yang dia mahu cari suami mat rempit. Katanya, kalau pak lebai alim-alaim ni, tak pandai melawak. Nanti kalau dia buat lawak, kena suruh istighfar pula.

Waktu itu, saya hanya tersenyum. 

Hari ini, kenangan itu kembali dalam situasi yang berbeza. Senyuman kali ini, terasa lebih manis. Melihat mujahadah seorang adik yang sedang diuji, saya terasa tempias indahnya sebuah mujahadah. Indah dalam kelat-kelat yang nikmat.

Cuma satu perkara yang membuat saya tak keruan. 

Saya sedar, diri ini insan yang nisyan(pelupa), banyak pula karat-karat dosa yang melekat. Tetapi tetap, saya mahu Hana mendapat teladan yang baik.

Alhamdulillah, tadabbur hari kedua Ramadhan ini membawa saya kepada satu kisah yang bakal menjadi teladan buat Hana dan kita semua. Kisah jalan dakwah yang jelas tertera dalam surah Nuh :

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
"Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

"Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.
"Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;
"Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

Seterusnya dalam ayat 13-20 Nabi Nuh tidak berputus asa dengan berusaha menyebutkan satu persatu nimat Allah kepada mereka, agar mereka beriman. 

Tetapi hasilnya...

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
"Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

Ini kisah seorang nabi. Ya, seorang nabi yang tetap bersabar walaupun kaumnya mengabaikan seruannya bahkan merancang kejahatan!.

 Allah rakamkan di dalam al-quran agar kita ada pegangan. Buat Hana, kak Zahra insan yang bakal mati.Tetapi, al-quran itu tetap 'hidup' dalam dada orang yang mahu memahami.

Jadi, contohilah Nuh yang sabar itu dik...

13 July 2013

Contengan Ramadhan: "Nafas baru.."

بسم الله الرحمان الرحيم


Beruntungnya mensyukuri Ramadhan


"Enam juta penduduk dunia yang mati setiap tahun adalah kesan dari merokok!"

Saya terkesima mendengar fakta yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO) itu.

Ya Allah, betapa sia-sianya hidup seorang manusia bila dia hidup hanya untuk mati yang tiada makna. Tambahan pula kalau dia itu seorang muslim, betapa dia benar-benar seperti buih. Terlihat ada, tetapi tidak membawa apa-apa kebaikan untuk dirinya apatahlagi ummah.

Tetapi, rupanya muslim lebih beruntung. Satu lagi fakta yang pasti membuat kita bangga menjadi muslim. 

" 95% perokok muslim mudah berhenti merokok pada bulan Ramadhan!",

Subhanallah, Allah benar-benar kasihkan kita. Diberi-Nya Ramadhan demi Ramadhan sebagai peluang dan ruang untuk kita. Peluang berhenti merokok, itu suatu yang amat berharga untuk hamba yang sentiasa bersyukur .

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah melangkahkan saya ke seminar "Nafas baru bermula Ramadhan" ini. Ditemani Hafizah, saya bertambah semangat menjadi minoriti siswi dalam lambakan staf dan penjawat awam. Kehadiran dalam dewan experimental UIAM ini, memang tidak terlalu ramai, tetapi seminar tetap diteruskan. 

Bertambah rasa beruntung bila Dr Ishak, selaku salah seorang penganjur berucap: "Kita datang hari ini, untuk kempen supaya orang berhenti merokok. Sekurang-kurangnya di hadapan Allah nanti kita boleh katakan, aku sudah buat sesuatu untuk ummah."

Ya, saya setuju, ini masalah ummah. Mendidik mereka dan katakan,"beruntungnya mensyukuri ramadhan.." 

Pengalaman di Indonesia

Tiba-tiba saya teringatkan pengalaman selama 18 hari saya di Jakarta, Indonesia. Di mana-mana pasti ada orang merokok. Dalam angkot, di stesen bas, dalam bas, dalam pasaraya, di luar dan dalam tandas, di lorong-lorong sepanjang jalan menuju rumah aki(panggilan untuk tokwan saya). 

Untuk sisi baik, saya kagum melihat 'kehidupan' di Kota Jakarta. Tetapi, rasa kagum saya berubah menjadi resah-gelisah bila melihat parahnya budaya merokok di sana. Terasa seolah kehidupan sudah tiada nikmatnya. Hati ini meruntun sedih, terkilan.

Lebih menyedihkan bila ada empat kali iklan rokok untuk satu tempoh iklan ketika waktu perdana! Bayangkan, empat iklan rokok bermakna 70% waktu iklan dikhaskan hanya untuk rokok.

 "Ummahku, apa sudah jadi? Apa yang aku boleh lakukan untuk kalian berhenti menghisap puntung pembunuh itu?", monolog yang bermain-main di minda seolah terjawab hari ini. 

Menuliskan sebuah peringatan, inilah yang saya akan bawa menuju Allah sebagai bukti sebuah usaha. Semoga Allah terima.


"Cuba fahami kami.."

Semua orang pasti merasa dihaargai bila orang lain cuba memahami dirinya. Memandangkan ahli keluarga saya tiada yang merokok, saya tetap cuba untuk memahami mengapa secara umumnya orang merokok?

Dalam slot pertama seminar ini, Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri memberi pandangan beliau yang persis seperti padangan saya. 

"المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالط" 
"seseorang itu, dilihat pada agama sahabat baiknya maka lihatlah dengan siapa dia bergaul." 
Pertama: Kawan.

Ini sebab pertama mengapa orang merokok. Bertepatan dengan apa yang disabdakan Rasulullah di atas, kawan adalah sebab mengapa seseorang merokok. Bukanlah kawan yang disalahkan dalam hal ini, tetapi diri kita sendirilah yang bersalah kerana bergaul dengan para perokok.

"الطبع السرّاق"

Tabiat itu, mencuri.
Kajian psikologi menunjukkan kata-kata arab ini benar. Antara dua manusia yang saling berteman itu, cuma berlaku dua perkara. Sama ada kita mempengaruhi, atau kita yang dipengaruhi.

bukan hanya dalam hal merokok, bahkan dalam hal berdakwah pun menunjukkan dakwah fardiah(melalui teman) itu adalah yang paling berkesan.

Kedua: Kehendak.

Ini adalah persoalan yang lebih penting dari kawan. Sekaligus ia menjawab persoalan dari semua punca seseorang merokok. Saya, berkali-kali cuba untuk memahami mengapa seseorang merokok. Penelitian saya akhirnya sampai kepada bab yang sama disebutkan oleh Dr Zulkifli. Iaitu, KEHENDAK.

Kalau seseorang yang tidak mahu merokok, berilah rokok paling hebat di dunia sekalipun apakah dia akan merokok?

Seorang perokok tegar yang dipenjara dan dia tidak dibenarkan mebawa sebarang bekalan rokok, dia tetap akan mencari jalan untuk tetap mencari rokok.

Rupanya, teori saya disokong oleh cerita Dr Zulkifli ketika beliau ke pusat serenti di Seremban.

" Saya perhatikan mereka. Setiap kali mereka lihat ada staf yang merokok dan membuang sisa puntung rokok, mereka akan pergi ke tempat sisa puntung itu dibuang. Kemudian, mereka akan kumpul sisa-sisa yang ada, dan susun sisa-sisa itu menjadi sebatang rokok yang boleh dihisap."

Saya terlopong. Sampai begitu sekali rupanya, astaghfirullah. Kemudian ustaz menyambung;

"Gila? itu bagi kita. Bagi orang berkehendak kepada rokok,itulah pekerjaan paling bijak!"

Nah, sekarang kita lihat betapa kehendak adalah persoalan utama yang perlu dibanteras.


Nafas baru : bagaimana?



Kehendak, sekali lagi soal itu yang membuat orang berhenti atau tidak. Kalau hendak berhenti, pasti boleh!

Sekarang bulan Ramadhan, peratusan untuk kita berhenti merokok 95%! Jadi, kita hanya perlu beberapa perkara untuk kekal tidak merokok.

Pertama: Semangat yang kuat. 

Azam, kekuatan yang kuat sungguh-sungguh. Memang bermula dari diri sendiri. Kehendak itu sama ertinya dengan nafsu. Jadi, nak jinakkan nafsu, perlu azam yang datang dari diri kita sendiri. Dalam satu syair arab ada sebut;

"Nafsu ini macam anak kecil. kalau kita nak anak kecil itu berhenti minum susu, kita kena jauhkan ibu darinya. Kalau kita tak paksa bayi itu makan selain susu, sampai dewasa dia hanya akan minum susu ibu sahaja."

Satu lagi pepatah arab,


النفس الإنسانية كالحصان, إن أجدت ركوبه قدته إلى حيث تريدوإن لم تسيطر عليه قادك هو إلى حيث يريد 
"Nafsu itu umpama kuda liar. Kalau kamu mampu tungganginya, kamu akan mengawalnya kemana kamu mahu, jika kamu tidak menguasainya, dia yang akan membawa ke mana dia mahu."

Sesekali, cuba lihat bagaimana cara menjinakkan kuda liar. Ya, memang susah dan begitulah semangat dan azam yang perlu ada kalau kita benar-benar mahu berubah dan meninggalkan kehendak merokok.

Dr zulkifli tegaskan lagi :

"Kalau ketagih tak boleh berhenti, BOHONG!. Sebab ramai orang ketagih boleh berhenti.
Sahabat nabi, dahulu mereka minum arak macam kita minum air masak. Tiba-tiba Allah haramkan arak. mereka terus buang arak yang sedang diminum, dan pecahkan semua tong-tong arak yang ada. mereka boleh! "

'Alaa, saya bukan sahabat nabi.', pasti akan ada yang jawab begini. 

Betul, kita bukan sahabat nabi. Sebab tu, berhenti merokok banyak cara. Ada orang yang terapi 3-5 bulan baru berhenti. Ok lah lama sikit pun. Yang penting kita ada kehendak mahu berhenti.

Kedua: cuba buka minda.

Bayangkan, statistik menunjukkan malaysia adalah negara yang menyumbangkan RM 5 juta kepada yahudi setiap hari! ya, setiap hari hasil daripada pembelian rokok pula! Kita ni, selalu mengata pemimpin curi duit rakyat lah, bersekongkol dengan yahudi lah.

Nah, nyatanya kita sama sahaja. Dia(pemimpin itu), urusannya dengan Allah. Dan kita, urusan kita dengan Allah. Cuba lihat diri kita.. diri kita.. diri kita.. kita dalam golongan mana dalam hadis ini..


sahabat Abdullah bin Mas’ud memberikan gambaran dua sikap antara orang yang menjaga nilai-nilai keimanan dengan orang yang telah terbuai dan terbius dengan racun-racun kekafiran. 


Beliau berkata, “Seorang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang duduk di bawah sebuah gunung, dia khawatir kalau gunung itu akan runtuh menimpanya. Adapun orang yang fajir/munafik melihat dosa-dosanya seperti lalat saja, yang mampir di atas hidungnya, lantas dengan ringannya dia halau lalat tersebut -dengan tangannya-.” (HR. Bukhari)

Rokok itu haram kerana mudharat, di dalamnya juga ada haemoglobin khinzir menurut kata profesor Dr Haniki, pakar pemulihan perokok.

Fakta saintifik, islamik, semua sudah diberikan. Tinggal kita mahu buka minda atau tidak.

Ketiga: Hayati kata-kata R.J Reynold ini.

R.J Reynold adalah pemilik industri tembakau(rokok). Dan beliau mengatakan ini;

"We don't smoke that sh*t (cigaratte). We just sell it. We reserve it for the young, the black, the poor and the STUPID." 
Saya terjemahkan kepada bahasa melayu:

"Kami tidak merokok. Kami hanya menjualnya. Kami sediakan ia untuk anak-anak muda, bangsa berkulit hitam, orang lemah dan orang BODOH."

Saya pula terasa mahu minta maaf atas kata-kata kasar ini. Tapi, amanah atas diri saya harus sampaikan apa yang benar-benar mereka katakan.

Ramadhan ini, bulan terbaik kalau kita mahu berhenti merokok. Badan kita, amanah Allah. Ayuh, jaga amanah Allah: BERHENTI MEROKOK!

Mereka boleh, kita pasti boleh

Baru saya tahu;

1-Almarhum Dr Asri mantan presiden PAS,

2- Almarhum Syeikh muhammad mutawalli Sya'rawi, (1911-1998),

3- Presiden Amerika, Barrack Obama,

Ketiga-tiga insan ini dahulu merupakan perokok tegar. Sebab mereka merokok pelbagai, Syeikh mutawalli Sya'rawi merokok kerana orang-orang di tempatnya suatu masa dulu mengatakan bahawa dia perlu merokok untuk mengelakkan wabak yang tersebar di sekitar mesir ketika itu.

Tetapi, satu perkara yang sama. Mereka sama-sama menjadi perokok tegar dan mereka mampu berhenti merokok atas kehendak sendiri !

Jadi, anda juga boleh. Salam Ramadhan Al-mubarak!

11 July 2013

Contengan ramadhan: Sudahkah kita beriman?


بسم الله الرحمان الرحيم


Jangan cemarkan bulan barokah ini!

Hari ini sudah masuk 2 Ramadhan. Hujan renyai-renyai mebasahi bumi UIAM. Seolah ia mengerti adanya gerimis di hati ini. Mengorak langkah sambil menuruni anak tangga tertinggi di UIAM. Agak meletihkan, tetapi inilah ibadah untuk para penuntut ilmu.

Kelas Intro Translation hari ini bermula jam 9 pagi. Jam tangan CARTIER pemberian kak Syahidah saya tenung. Saya sudah lewat 7 minit. 

Sakit perut tadi hampir menyebabkan saya urung ke kelas. Tetapi, saya gagahkan. Takut-takut perbuatan saya seolah mengiakan cakap-cakap orang jahil yang mengatakan puasa hanya menurunkan kualiti kerja muslim.

Ya, ini memang kisah dahulu, tetapi kalau dikenangkan, pasti ia membuat berusaha menjadi manusia paling 'kuat' dan berprestasi terutama ketika berpuasa. Iyalah, kalau kita masih melayan nafsu makan dan bermalas-malasan dengan alasan tiada tenaga kerana tidak makan, kita masih belum beriman.

Saya tidak rela bulan yang diberkati ini tercemar kerana diri saya. Begitulah kita muslim, ada ikutan yang telah memberi teladan terbaik kepada kita. Muhammad shollalllhu 'alaihi wasallam, baginda membuktikan sebuah kemenangan bagi Badar dalam berpuasa!


Subhanallah, ini hasil dari puasa sebenar. Menahan diri dari melakukan maksiat, itu sebenarnya sebuah kekuatan kepada kita. Kekuatan yang Allah beri kerana taatnya kita.



Perlu ikhlas, hikmah akan mudah menyusup



Sepanjang jalan saya beristighfar, membetulkan niat dan memohon agar Allah mudahkan tiga jam pembelajaran hari ini. Saya selalu ingatkan diri mengenai kata-kata Ibnu Taimiyah yang mengulas bahawa Istighfar itu mampu memecahkan belenggu-belenggu kesusahan dan musibah.

Walaupun perut masih sakit, saya teruskan meminta kepada Allah agar saya benar-benar mencicip hikmah dari kelas hari ini. Biarlah kalaupun hanya satu!



Masuk ke kelas, ustaz sudah mula mengajar. Rasa tebal muka ini mahu masuk. Tak mengapa, Allah tahu saya sudah berusaha. 

Pembelajaran berlaku seperti biasa. Sampai satu bahagian praktikal terjemahan, ustaz sebut:

" إذا تغيرت المعنى صار خائنا "

"kalau kamu mengubah makna asal, kamu jadi pengkhianat !"
Saya terdiam. Entahlah, dalam banyak-banyak nasihat ustaz hari ini kata-kata ini juga yang melekat dalam minda saya. Cepat-cepat saya catat apa yang ustaz katakan. Saya cuba mencerna dan mencari hikmah disebaliknya.

Selesai kelas, saya bergegas pulang sambil mulut terkumat-kamit mengulang hafazan maqra keempat yang saya hafaz semalam. Sambil menghafaz, saya cuba mentadabbur maknanya juga. Saya berhenti di stesen bas Nusaibah dan sambung mengulang disitu, damai.


Sambil melihat orang lalu lalang, tiba-tiba saya terfikir sesuatu. Terasa hikmah mula menyusup..


Saya mula bermonolog: 


Bukankah Al-quran yang sedang aku hafaz ini diterjemahkan. Tetapi, setakat ini bahkan selamanya tidak ada orang salah menterjemahkannya. Nyata, benarlah janji Allah dalam surah Al-haqqah yang saya baca semalam :


"Sesungguhnya Al-quran itu adalah benar-benar wahyu (Allah yang diturunkan) kepada rasul yang mulia, Dan Al-quran itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya." (69:40-41)

Sedikit kita beriman kepadanya?

Ayat terakhir ini, benar-benar sebuah muhasabah buat kita. Ramadhan yang sedang kita jalani mungkin membuat kita banyak membacanya. Mungkin juga membuat kita banyak menyelaknya dan yang pasti, kita akan sering mendengarkannya dalam tarawikh di malam-malam Ramadhan kita.

Tetapi, berimankah kita kepada isi-isinya?



Kalau hanya membaca, mendengar, dan menyelak, George W.Bush yang belum muslim itu pun boleh melakukannya. Lantas, cukupkah kita dengan hanya itu?


Dalam surah Al-mukminuun Allah menyebut satu persatu sifat seorang mukmin. bahkan Allah menegaskan kejayaan bagi orang-orang mukmin. 

"Sesungguhnya, berjayalah orang-orang beriman. Mereka itu solatnya khusyuk, meninggalkan perkara lagha, menjaga kemaluan.." (mafhum surah al-mukminuun ayat 1-11)

Sebuah uslub atau gaya bahasa khusus yang Allah tujukan special untuk kita. -Mu'minuun-, tidakah kita merasa terpanggil?


Bahkan, Allah mengulang lagi ciri-ciri itu di dalam surah al-Ma'aarijdengan memulakan penjelasan berkenaan sifat kita.. mnusia.

" Sesungguhnya, manusia diciptakan bersifat keluh-kesah lagi kedekut,
Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh-kesah, 
Dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut,

Kecuali orang-orang yang mengerjakan Solat, 
yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya"

(Al-ma'aarij 70:19-23)
Solat, itu kunci kita. Tetapi, masih ramai yang meninggalkannya, melengahkannya, melaksanakannya tergesa-gesa, melaksanakannya hanya sebagai adat, tidak merasa Allah dihadapannya ketika solat..

Lantas, sudahkah kita beriman? Sedangkan iman itu pengakuan dan perlaksanaan.


-------------------
Salam 2 Ramadhan 1434H
dari sahabat kalian,
Zaharoh fajar Nina,
7.21pm (beberapa minit sebelum berbuka)

ya Allah, terimalah ibadah kami hari ini.

10 July 2013

Contengan Ramadhan: Bezakah semalam dan hari ini?

بسم الله الرحمان الرحيم

Saya rindu waktu sahur di kamar lama ~ zahra4|photogalery


Sahur 1 Ramadhan

Kisah tersilap jam waktu bersahur terjadi lagi. Kawan bilik bi Oya(adik ke 9 ummi) beritahu subuh masuk jam 5.57. Saya dan bi Oya masih relax makan-makan sampai tiba-tiba bi Oya tengok dalam jadual, rupanya subuh masuk jam 5.47 pagi. Saya lihat jam, 5.40 pagi. Cepat!!

Alhamdulillah, lepas sahaja minum air untuk tegukan terakhir, kedengaran azan dari seluruh pelusuk bumi UIAM. Yah, ini memang benar-benar menta'khirkan sahur. Islam itu bukan agama yang menyusahkan. Islam sangat memahami dan dengan sifatnya yang muruunah ia sesuai dalam keadaan yang pelbagai.

Atas sebab ini, kita sewajarnya tidak menyusahkan diri dengan menyekat diri untuk makan dan minum sebelum tiba waktu subuh. Rasulullah pernah bersabda mengenai waktu sahur:

kata A'ishah yang Allah redha ke atasnya: “Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna, waktu sahur berpanjangan sehingga waktu subuh. Walaupun demikian, tidaklah salah jika kita mahu berhenti dari makan dan minum lebih awal, bahkan ini juga diajarkan baginda dalam sebuah hadis , Kata Zaid bin Thabit:

“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sengaja saya timbulkan isu sahur ini kerana saya teringat Ramadhan saya ketika kecil. Ustazah sekolah rendah saya pernah berpesan;

"Kamu jangan makan kalau dah masuk waktu imsak, nanti puasa kamu batal."

Saya kaget. Setakat yang ummi dan abi ajar saya, hanya waktu subuh yang menjadi sebab tidak boleh makan dan minum. Saya masih kecil, jadi takut menegur ustazah yang sudah 'besar' nanti dikatakan melawan pula.

Saya fikir, itu mungkin cuma kisah kanak-kanak saya sahaja. Rupanya ketika saya menginjak ke sekolah menengah, persepsi seperti itu masih berlegar-legar dalam lingkungan saya. Sehinggalah saya sendiri membuat kajian dari pembacaan berlandaskan nas-nas yang soheh dan pertanyaan.

Saya mendapat jawapan. Masuk ke peringkat universiti, masih ada insan yang begitu rupanya. Dan saya berharap dia berusaha mencari ilmu :-)

Memang, mata masih layu disebabkan malam tadi tidur jam 2 pagi atas urusan yang perlu diselesaikan segera. Tetapi bila mengenangkan sebuah janji yang terpancar keluar dari bibir seorang al-amiin hati saya jadi bercahaya, mata saya berubah cerah.


Nabi s.a.w berpesan: “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Alhamdulillah, sampai saat saya menulis contengan ini, saya merasai keberkatan yang disabdakan baginda. Saya pergi dan pulang dari kelas dalam keadaan segar! dan paling penting, no sleeping after subuh!


Saya mahu subuh ini lagi, bahkan yang lebih baik!

Setelah selesai solat subuh ditambah pakej zikir pagi dari kitab hisnul muslim, saya teruskan agenda 1 Ramadhan dengan mengulang hafazan al-quran juzu 1 saya yang baru sampai ke maqra' keempat.

Peringatan Allah kepada bani israil dalam maqra' ini sedikit menyentap hati saya. Sebab, ia juga peringatan untuk kita. Bermula ayat 40 surah al-baqarah ini, Allah mengingatkan agar bani Israil melaksanakan segala peintah Allah dan meninggalkan segala larangannya.

Sehingga ayat ke 48, Allah memberi peringatan kepada mereka antaranya:

"Berimanlah kepada Al-quran.."
"kamu harus bertaqwa.."
"Minta tolonglah dengan sabar dan solat.."
"Jagalah dirimu dari azab.."

Masuk ayat ke 59, Allah mula menyatakan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada bani israil. Saya jadi terkesima.

Bukankah diri ini yang telah sampai kepada ramadhan merupakan nikmat dari Allah? 
Lalu, bagaimanakah diri ini menunaikan peringatan-peringatan yang Allah limpahkan?
Apakah kita mahu Allah sebutkan pula nikmat yang telah diberikan, baru kita mahu 'bergerak'?

yah, Al-quran kedua tidak akan ada lagi untuk menyebut nikmat Allah kepada kita. Tetapi, tunggulah hari pembalasan! Di saat kita semua dikumpulkan, satu-persatu nikmat akan tertera di depan mata..
Dan kita menunggu hari pembalasan itu?

Tentu tidak.

Dunia ini ladang bercucuk tanam. Tiada guna menyesali hasil buruk yang harus dituai ketika orang lain sibuk menuai hasil terbaik mereka. Ya, ini masa yang paling tepat untuk menyemai benih terhebat.

Perlahan-lahan saya menucapkan hamdalah. Segala puji bagi Allah yang telah membuka pintu hati saya untuk menyedari hal ini, dan menuliskannya untuk diri saya dan sahabat pembaca yang dihormati.

Dalam sela-sela menghabiskan hafazan itu, saya bermonolog " Aku mahu subuh ini lagi, bahkan yang lebih baik!"


Suasana surau MMY. Jadi rindu ramadhan-ramadhan 'semalam' di bumi ini.


Bezakah semalam dan hari ini?

"Semalam 29 Syaaban, hari ini 1 Ramadhan. Ada beza tak?" Ustaz Zulkhairi  memulakan bicaranya di penghujung kelas tahfiz.

"Semalam Syaaban, harini Ramadhan mestilah beza ustaz..", saya menjawab di dalam hati. Saya tahu, ustaz tidak maksudkan itu. Biasa, saya memang suka main-main klau dalam hati sahaja.

Wajah ustaz berkerut, seolah menidakkan kata hati saya sambil berbicara,
"Maksud ana, suasana kita kat Malaysia ni. Ada rasa macam masuk Ramadhan tak?"

Eh ustaz ni, macam tahu sahaja. Huda di sebelah saya menyambut persoalan ustaz perlahan, "Ramadhan yang sama, natijah berbeza"

"Ana bagi contoh di negara-negara arab, Mesir contohnya tempat ana belajar dulu. Sebelum masuk Ramadhan, mulai pertengahan Syaaban suasana dah berbeza. Di kedai makan, dalam bas, tepi-tepi jalan, kedai buku, perhentian bas, masjid dan universiti apatahlagi semua orang ada al-quran di tangan."

Wajah ustaz nampak puas. Kelihatan ustaz merindukan suasana di sana suatu ketika dhulu, tidak sekarang dengan rusuhan yang tidak jelas. Meresahkan jiwa.

Melihat kelas diam, ustaz menyambung cerita;
"Pernah satu hari, dalam bas yang penuh dengan manusia bak kata orang 'syurga bagi lelaki, neraka bagi wanita..' tu, dan ana ada juga dalam tu. memang betul-betul padat waktu itu amcam sardin dalam tin.. Tiba-tiba ",

Kelas masih sunyi, menanti bicara ustaz disambung,
"..ada seorang lelaki sedang tasmik ayat al-quran kepada isterinya. Wanita dengan pakaian serba hitam itu khusyuk mendengarkan bacaaan istertinya. Dalam sesak bas yang padat tu, saya dengar bacaan lelaki itu. 

Suaranya, memecah tidak terlalu nyaring tapi membuat bingit yang sedia kedengaran terlerai. Hati saya, dengar bacaanya, subhanallah terus rasa lapang. Itulah, bila al-quran dibaca dari hati.. pasti meresap ke hati juga.. "

Saya terdiam. Mendengar cerita ustaz, saya rasa sebak. Tadi selepas tasmik kepadea ustaz, saya boloskan diri ke masjid sebentar buat solat dhuha. Ada beberapa gadis di pojok surau sedang bersembang dan baring-baring. Kecewa. Tidak seorangpun dari mereka yang pegang al-quran!

Ya, benar ustaz. Hari ini dan semalam suasananya sama. Saya sempat tertanya, benarkah ini ramadhan?

Tetapi, saya bersyukur kerana kisah sahur yang saya coretkan di atas membuat hari ini untuk saya berbeza dari hari semalam. Nyata berbeza. Ya, berbeza kerana al-quran. Itu kuncinya.

Masih sempat, ayuh tekadkan diri!

Sahabat pembaca pula, bagaimana 1 Ramadhan kalian?
Pasti ada kisah tersendiri. Jangan segan mahu kongsikan, biar kita dapat menjamah ibrah bersama. 

Sahabat, mungkin ada di antara kita yang masih hambar dengan kedatangan Ramadhan. Selepas subuh, tabiat tidur selepasnya masih berterusan. Siang hari gerak kerja menurun kerana letih. Petang pula, 'ter'sibuk memborong menu untuk berbuka sahaja.

Tapi saya yakin, mereka mahu berubah. Tak mengapa, Ramadhan baru bermula, ada satu doa yang kita perlu pohon sungguh-sungguh dari Allah, dari Abu 'Amru Al-auza'ie katanya,:

" كان يحيى بن أبي كثير يدعو حضرة شهر رمضان: اللهم سلمني لرمضان وسلم لي رمضان وتسلمه من متقبلا."
 “Yahya bin Abi Katsir berdoa memohon kehadiran bulan Ramadhan, ‘Ya Allah, selamatkanlah aku agar bisa berjumpa dengan Ramadhan, selamatkanlah aku agar berhasil menjalani Ramadhan, dan terimalah amalku.’” (Hilyatul Auliya’, juz 1, hlm. 420)
 Dan, waktu sahur esok masih ada. Ayuh, tekadkan diri agar waktu sahur sepanjang Ramadhan ini menjadi waktu yang paling kita rindu sampai ajal menjemput kita..
“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

* ihsan terjemahan hadis saya pinjam dari [jiran saya]
* Promote artikel [kesibukan-orang-orang-shalih-di-bulan-ramadhan]
------------------
# Ramadhan Mubarak! #
1 Ramadhan.
5:37 pm,
PG Mahallah Sumaiyah, UIAM Gombak.

Contengan Ramadhan: kisah malam pertama..

بسم الله الرحمان الرحيم

Kisah pertemuan di masjid SHAS

"Sis, ambil bahasa arab ke?", satu suara menyapa lembut.
Aku menoleh, sambil tangan cepat mencoret pengisan dari Syeikh Said. Suasana masjid SHAH yang bingit dengan suara lautan manusia di dalamnya sedikit mengganggu fokusku mencatat.

"ah.. ha'ah,. ya..", aku sampai terlupa apa yang diatanyakan gadis berkacamata di sebelah . Sambil tersenyum, aku mengalihkan semula pandangan ke hadapan dan mencari semula fokus untuk menghayati tazkirah ringkas yang  aku cari-cari dan tunggu selama ini.

Tanganku terus bergerak menuliskan butir-butir mutiara yang dilontarkan oleh Syeikh Said dalam bahasa arab itu. Sesekali hati sebak menerima nasihat yang mengalir lembut membasahi celahan hati yang hampir kering ini.

"maaf ya, suka tengok sis salin dalam bahasa arab ni..", sekali lagi, suara halus di sebelah saya menyapa.  Aku mengalihkan pandangan samil tersenyum kepadanya.

Gadis tadi membalas senyuman saya sambil bertanya, penuh hati-hati "dia cerita pasal apa?"

"Astaghfirullah!", aku beristighfar dalam hati. Aku ini, cuma pentingkan diri  sahaja. 

Aku rancak menyalin mutiara ilmu ini, sedangkan teman dudukku di sebelah tidak memahami. Padahal. kalau aku jelaskan kepadnaya aku akan lebih ingat berbanding cuma menulis, dan catatanku hilang.

bismillah. Semoga penjelasan aku sampai seperti apa yang syeikh maksudkan.


pengisian yang menyentap jiwa!

Kata Syeikh, kita ini wajar bersyukur kerana kita berada dalam masjid UIA ini dan kita berkumpul untuk sama-sama mengerjakan solat Sama-sama menuju Allah dan sama-sama mendengar ayat-ayat Allah.

Ramadhan ini, Allah telah khususkan dengan penurunan Al-quran. Lantas, bagaimana kita mengambil al-quran sepanjang hidup kita dan sepanjang Ramadhan ini.

Ramadhan, mungkin sama dengan bulan-bulan lain jika tiada di dalamnya Al-quran. Maka, Ramadhan ini mulia kerana padanya ada al-quran yang mulia.

Sampaikan, rasulullah pernah mengadu,kepada Allah :


Dalam QS Al-Furqan (25) ayat 30 Allah Berfirman:

وقال الرسول يا رب إن قومي اتخذوا هذا القرآن مهجورا“Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an ini suatu yang tidak diacuhkan”.”


Dalam ayat ini, Allah ta’ala memberitakan pengaduan Rasulullah kepadaNya. Bahwa kaumnya menghijrahi (tidak mengacuhkan) Al-Qur’an, karena mereka (kafir itu) memusuhi / membenci Al-Qur’an dan Pembawa Al-Qur’an. Kata mahjuura (Hijrah) dalam ayat ini mengandung pengertian Tidak mengacuhkan, tidak memperhatikan, tidak menghiraukan, karena sesuatu itu tidak disenanginya. [sumber]

Demikian juga kebanyakan manusia sekarang. Walaupun hakikat pengaduan ini rasulullah berkata mengenai kaum kafir, tetapi bukankah ramai antara muslim juga begini?

Kemudian syeikh menyambung, Al-quran itu difahami dengan usaha. Orang yang lebih kuat berusaha, maka ruang ilmu dan pemahaman al-quran melalui petunjuk dari Allah lebih luas untuknya. Memetik ayat9 dari surah Al-Isra’ Allah berfirman:

إن هذا القرآن يهدي للتي هي أقوم ويبشر المؤمنين الذين يعملون الصالحات أن لهم أجرا كبيرا

“Sesungguhnya al-Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal shalih bahwa bagi mereka ada pahala yang besar.”

perkataan 'Aqwam' di sini adalah isim tafdhil dan ia menunjukkan kelebihan dan petunjuk yang lebih bagi sesiapa yang berusaha lebih untuk memahami al-quran. Ini bermaksud, Al-quran lebih menusuk ke dalam jiwa kita ketika kita benar-benar membaca dan mengkaji maksud dan isinya. 

Sehingga ke satu tahap Al-quran membuat kita tersenyum sendiri. Kadang-kadang menangis kemudian tersenyum semula. Begitulah al-quran apabila ia masuk ke jiwa kita. Dan, ia akan menjadi hujjah bagi kita di hadapan Allah kelak.

Syeikh menambah lagi, Al-quran sepatutnya membuat hati kita betambah khusyuk kepada Allah. Mengingatkan kita kepada kematian dan membawa kita menelusuri segenap bumi ini. Ia mengajarkan kita erti rindu dan kasih kepada yang berhak menerima rindu dan kasih itu, Allah.

kata-kata terakhir syeikh:
"لا صلاحَ إلا بكتاب الله "
"tiada perbaikan diri, melainkan kita memahami kitabullah"

Usaha kita untuk membaiki diri, tidak akan pernah berhasil jika kita tidak pernah mahu kembali kepada al-quran. Maksudnya, usaha yang tidak dilandaskan kepada adab-adab dan petunujk dari al-quran itu, SIA-SIA.

*itulah serba sedikit yang saya faham. Andai ada yang mendengar tazkirah tadi, dan punyai malumat serta terjemahan yang lebih baik, saya harap dibetulkan dan dikongsi bersama :-)


Perpisahan

"oh, macam tu ya.."
"Sis, nama siapa?", selesai menjelaskan apa yang syeikh sampaikan tadi saya angkat bicara. Baru teringat menyempurnaan hak seorang muslim, tahu namanya.

"Ummu. Ummu Khasyatillah"
"subhanallah, in dah nama tu..", saya senyum kepadanya dan Ummu kembali senyum kepada saya.

"nama?, tahun berapa?"

"oh, lupa.. Nama Zaharoh, tahun dua, sis?" saya memperkenalkan diri. Dalam hati terdetik (aku baru tahun satu, sem depan baru masuk tahun dua. kenapalah perasan tua sangat ni.. hehe)

"alhamdulillah, saya dah habis.. ambil ICT, sekarang tengah praktikal.."

"oh, alhamdulillah.. kak Ummu praktikal  ya.. semoga dimudahkan."

"terima kasih, ya penterjemah", kata kak ummu kepada saya.

kami bersalaman sebelum berpisah. sampai saat ini, aku masih terngiang-ngiang kata-kata kak ummu tadi. "Terima kasih penterjemah".

 Aku penterjemah? yah, alhamdulillah bolehlah sedikit. Tapi, aku masih mahu tahu banyak benda yang aku belum tahu. Dalam hati aku mengaminkan doa kak Ummu di malam 1 Ramadhan yang penuh barokah itu.

Semoga kita bertemu lagi kak Ummu Khashyatillah !

09 July 2013

Contengan ramadhan: Aku datang..!!

بسم الله الرحمان الرحيم

"Kak Zahra kalau kak tak busy, updatela blog kak tau..hehe..nak request tajuk persiapan menghadapi Ramadhan.."

Satu mesej masuk ke inbox facebook saya. Tergamam seketika. Dari seorang adik yang sedang jauh di perantauan. Mesir, bumi para nabi. 

Tergamam kerana ia seolah sebuah tamparan untuk saya yang sedang lali. Sebuah permintaan yang memaksa saya untuk tidak hanya duduk diam dan sekadar melayan 'rasa lemah' yang menyerang diri. Lagipun, hak seorang muslim adalah menasihati saudara muslimnya ketika dipinta. Wah, indah benar adab yang diajarkan rasulullah kepada kita..

Atas rasa hormat dan kasih saya kepada baginda, saya menekan diri untuk menulis. 

ya, menulis itu perjuangan. Ia bukan kerja mudah untuk sekadar menaip papan keyboard seperti kerja para kerani di pejabat kerajaan mahupun swasta. Menulis itu perlukan jiwa. Jika 'jiwa' dalam penulisan tiada, ia hanyalah sekadar aksara mati yang menghiasi layar komputer. 

Kemudian, ia terbang seperti debu-debu yang ringan ditiup angin entah kemana. oh tidak!
saya adalah manusia paling rugi jika itu berlaku!

Demi sebuah penulisan yang hidup

Seorang pelakon, perlu mengulang dan melakonkan wataknya berulang-ulang kali untuk mendapatkan watak yang 'hidup'. Begitulah kita, dalam penulisan dan dalam kehidupan. Mahu menghidupkan sebuah jiwa, kita perluka latihan. Bukan menunggu 'bakat', baru kita mahu menghidupkan jiwa yang kusam itu.

Kalau menunggu 'bakat', semua orang berdosa akan mengatakan 'saya tiada bakat untuk jadi orang bertaqwa..'

Membanyakkan hafalan al-quran, tadabbur hafalan al-quran yang dibaca, bersedekah, semua amalan itu saya perlu lakukan untuk benar-benar menjiwai sebuah penulisan berkaitan 'ramadhan'. Biar ia 'hidup'. Tetapi nyata, Ramadhan ada keistimewaannya tersendiri.

Dan akhirnya, saya temui sebuah penulisan yang benar-benar 'hidup', dalam jiwa dan perasaan gersang kita yang ditumpuki dosa dlam sehari-hari berjalan dalam permusafiran kehidupan.

"Wahai orang-orang beriman, difardukan ke atas kamu puasa sepertimana difardhukan ke atas umat2 sebelum kamu, agar kamu bertaqwa"

Imam Ibnu kathir dalam tafsirnya memberikan maksu puasa ialah menahan lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkannya khaalisatan(semata-mata ikhlas) kerana Allah.

kalimah 'khaalishatan' digunakan menunjukkan bahawa matlamat puasa itu sndiri tidak boleh bercampur dengan selain kerana Allah. Sekali lagi, soal niat kekal menjadi topik utama dalam ibadah puasa. Begitulah murninya islam dalam mendidik umatnya supaya benar2 mensucikan Allah dari sebarang penyembahan kepada selainnya.

Hakikat sebuah usaha suci, akan menghasilkan sesuatu yang suci pula.
Niat yang murni kerana Allah, mana mungkin tidak menghasilkan rasa taqwa juga hanya kepada Allah?!

ahh, benarlah 'tinta' yang hidup itu mampu menghidupkan pula.

Ramadhan, aku datang memburu TAWQA!

Dengan tiga bekal yang perlu kita usahakan, teruslah bergerak menuju sungai Ramadhan. Tenggelamkan dirimu ke dalam batang sungai yang mengalir deras itu. Biarkan alir derasnya membawa pergi daki-daki dosa yang masih melekat di tubuh mu yang asalnya murni dari semua daki itu.

Nota ramadhan saya kali ini sungguh, benar-benar sederhana. Mungkin tidak mampu menghidupkan orang lain yang terlena. Tetapi, sekurang-kurangnya mampu membuat diri saya bergerak memecah kaku dalam diri. Doakan agar, coretan ini bukanlah yang pertama dan terakhir untuk ramadhan ini.. Seperti yang berlaku kepada saya 1433 H yang lalu.

Hanya satu kata sederhana yang mengasak saya untuk terus memburunya. Sebuah trofi kemenangan yang mampu kita raih sama-sama! Sebuah mimpi ngeri bagi pencinta dunia, dan mimpi bahkan realiti terindah buat pencinta negeri kembali mereka, Akhirat. kata itu adalah TAQWA, TAQWA dan TAQWA!

Dengan penuh izzah dalam jiwa, saya mahu memburu Taqwa tertinggi, dan ayuh teriakkan kepada dirimu, 




04 July 2013

Aku lelah dengan dosa.

catatan hati Mufidah Annisa..

Entah apa perasaan ini.

Sebuah perasaan galau yang hadir setelah lama aku tak laluinya. aku melihat dunia. Aku melihat kerosakan dan parahnya umat. tapi entah, aku tak mampu untuk bergerak. kaki terasa kaku dipasung resah.

Hidupku hanyalah sebuah aliran nafas yang kosong, kosong. aku kesal dengan kekosongan itu. tapi aku kelu sendiri.

Ya Allah, benarlah dunia benar-benar sebuah penjara untuk seorang mukmin. aku terasa dipenjara dengan dosa dan salahku sendiri. dan aku, tidak tahu apa dosaku!

aku terasa dimomokkan dengan penjara kekal yang menghalang aku dari pulang ke kampung halamanku, syurga.

Aku mengenal orang-orang soleh. Aku suka perhatikan mereka, dari jauh. ya, cuma dari jauh. Aku takut mendekat, risau aku cuma najis yang merobek kesucian mereka.

ya Allah, aku benar-benar tak setanding mereka. padahal aku pengin seperti mereka. mulia dan dimuliakan kerana iman yang ada dlam diri mereka.

hati meronta, menjerit, memasakkan tekanan dalam jiwa yang membuahkan airmata penyesalan.

perlahan.. dalam rintih aku meruntun kepada tuhanku..
"ya Allah, ya Ghafiir, Ya Kariim, ya Aaliim... aku mahu jadi kekasihmu. Aku mahu jadi sebahagian dari hamba terbaik yang kau kasihkan mereka."

ya Allah, aku lelah dengan dosa dan derhaka. aku mahu sampai mampu, biar aku terus dalam jagaanmu. tolong aku ya Allah...