15 July 2013

Memori ramadhan: contohi Nuh yang sabar itu dik..

بسم الله الرحمان الرحيم

Ramadhan, seribu satu kisah Al-quran membekas dan membina kehidupan..



Bila kita benar-benar mahu berubah..

" Kak, suasana kat maahad tahfiz ni tak sihat lah.."

Nada tulisannya di ruangan chatting malam itu, terlihat kusam. Saya simpati. 


Hana(bukan sama sebenar) yang saya kenal dahulu, sorang gadis nakal yang sukakan perubahan. Selama saya dekat dengannya dahulu, dia antara gadis yang pernah saya denda kerana melanggar peraturan dan saya ketika itu biro disiplin asrama.

Setelah beberapa tahun tidak bertemu di alam nyata, Allah pertemukan kami di alam maya. Pertama kali saya dapat tahu dia di meneruskan pengajian di Maahad tahfiz, saya sujud syukur. Terasa doa-doa selama setahun di tingkatan 5 tidak sia-sia. Bahkan, kalau Allah tidak makbulkan pun doa kita tidak pernah sia-sia.

Dan hari ini saya berusaha bersama dengannya berbagi solusi.

"Tak sihat, maksudnya macamana?", saya cuba mendalami suasana yang Hana hadapi.

"Suka kutuk orang . Bahasa kasar . Ikhtilat serabut . Kes 'couple'. Akhlak tunggang-langgang . Aurat sesama gurls tak jaga.."

Saya terdiam. Seolah dapat merasakan apa yang Hana rasakan. 

Iyalah, walaupun Hana seorang gadis yang agak nakal dahulu, ada satu perkara yang membuat saya sentiasa doakan dan yakin dia mampu berubah kepada yang lebih baik. 

Hana sering merasa bersalah atas kesalahan-kesalahan yang dia lakukan. Dia sering cerita kepada saya apa yang dilakukan. Walaupun pernah didenda. Semua itu tanda dia menyesal dan mengharap nasihat, bukan kerana banggakan dosa!

Sikapnya yang begitu, membuat saya tak lokek memberi nasihat kepadanya. Dia ada usaha mahu berubah, pasti Allah bantu. Itu keyakinan saya.

'bling!', bunyi ruangan chatting di facebook mamatikan kenangan yang sedang tunbuh mekar. 

Tertera tulisan 'Hana is messeging..'

"Pada saya kan kak, tak sesuai la macam ni. Kami kan hamlatul quran.kak maaf yer ganggu, doakan saya dan sahabat-sahabat kat sini.Satu lagi, rahsiakan nama Maahad Tahfiz ni, aib."

Saya tersenyum membaca mesej dari Hana. Adik ini, benar-benar sudah berubah. Saya dapat rasakan, al-quran yang dihafalnya perlahan-lahan menyusup dalam dirinya dan membentuk peribadi yang baik serta bencikan keburukan.

Saya jadi teringat satu hadis:

" المسلم من سلم الناس من لسانه ويده والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه"
“Orang Islam yang sebenarnya ialah orang yang mana orang-orang Islam yang lain terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya dan orang yang sebenarnya berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”   (HR Bukhari/ mishkaatul mashaabih Kitab Iman)

Dua perkara yang saya simpulkan dari peribadi Hana. Pertama, dia mahu menjaga aib sahabat dan tempat belajarnya. Bererti dia tidak mahu muslim lain terganggu oleh lidahnya.

Kedua, dia berhijrah dari seorang yang nakal (melanggar apa yang Allah dan peraturan larang) kepada meninggalkan semuanya. Termasuk membenci apa yang Allah larang. Begitulah kalau kita benar-benar mahu berubah.

Semoga Allah pelihara adik ini sehingga nafas terakhirnya. Amiin.


Ujian itu kerana Allah sayang

Sembang-sembang kami tidak berhenti sampai di situ. Saya sengaja memperpanjang perbualan. Mahu Hana merasakan ada tempat berbagi seperti dahulu.

"Pasti kak rahsiakan nama Maahad Tahfiz Hana ni. Cuma, aib begini takkan Hana nak biarkan?. Hana kena ubah, minta bantuan guru dan kawan-kawan yang sama-sama kuat.."

"Susah kak, di sini saya rasa seorang. Tak ada kawan-kawan yang boleh kalau nak diajak berjihad sama-sama."

"Takkan tak ada seorang pun? Senior ka?", Saya cuba memancing untuk mengetahui waqi' sebenar di Maahad Hana.

"Tak ada kak. memang susah nak percaya kan? Tapi, itulah hakikatnya kak. Saya pun tak tahulah. Penat ajak mereka, pergi ke pengajian pun mereka tak mahu.."

Memang, saya tidak sangka sebegitunya. Hampir tidak percaya. Tetapi saya merenung kembali, bukan soal hafal quran samata-mata yang membuat kita menjadi hamlatul quran. 

Sedangkan seorang Kristian tegar pun boleh menghafal seluruh Al-quran demi menjatuhkan islam. Tetapi dia tetap mati dalam keadaan kristian kerana dia tidak mendalami maksud dan keindahan al-quran. Sungguh betapa ruginya. perkataan حمل yang disebutkan di dalam hadis itu, lebih menunjukkan tanggungan isi al-quran untuk diamalkan.

Maka, hamlatul quran adalah orang yang menghafaz sekaligus mengaplikasikan isi al-quran. Disitulah kemuliaan sebenar seorang hamlatul quran!

'Bling', satu mesej masuk lagi.

"Kak, saya macam dah tak kuat nak ajak mereka. Bila saya cakap pasal masalah di Maahad ni, semua angkat tangan tak mahu terlibat. Mereka sibuk nak habiskan muqarrar. Tapi mereka tak pernah terfikir mahu faham isi al-quran dan habiskan muqarrar selari dengan habiskan tadabbur sekali.."

Kadang-kadang bila ajak mereka tak mahu,saya rasa sedih sangat. Tiba-tiba teringat sekolah dulu, sahabt-sahabat yang selalu ajak saya buat baik.. Ya Allah, Dia uji tidak melebihi kesanggupan kita kan kak.."

Saya menyambung nasihat untuknya. Terasa memori lalu seolah berulang lagi. Ketika pertemuan kami di malam hari ketika orang lain sedang nyenyak. Hana bersama saya menekuni nasihat-demi nasihat untuk kekuatan kami bersama.

"La tahzan dik..Jangan sedih.. Allah ada dengan Hana. Semakin kuat ujian tu, Hana sedar tak,Allah makin dekat dengan Hana. Tak mengapa, Allah tak pernah kisah Hana berjaya ubah mereka atau tidak. Allah tengok dan nilai usaha Hana tu. Never Give up dik.."

Contohi Nuh yang sabar itu dik..


Malam kedua Ramadhan itu berlarutan dengan pengakuan jujur dari Hana yang membuat saya terkesima. 

" Kak, saya rasa memang kena mujahadah banyak-banyak. Bukan apa, takut terikut. Sebab mereka ramai, saya ni seorang ja . Bila saya baca post kak kat facebook, dengan kat blog saya makin kuat. Kak dah banyak tolong kuatkan semangat saya walaupun kak duduk jauh, tapi tetap dapat tolong. "

Semoga satu hari nanti saya dapat jadi macam kak.. Alhamdulillah, semuanya dgn izin Allah."

Terharu pun ada bila tersedar betapa usaha selama ini Allah hadiahkan dengan perasaan indah dan rasa terbayar. Mudah-mudahan.

"Subhanallah.. kak zahra ingat, tak ada orang baca penulisan yang berlambak kat blog tu. Alhamdulillah, semoga bermanfaat untuk kita semua. Ya Hana sayang, doa kak Zahra sentiasa ada untuk para pencinta Allah macam Hana ni.. 
"Tapi Hana, kamu jangan jadi macam kak Zahra. Akak masih banyak kelemahan, masih banyak main-main lagi ni.."

"Tak apa kak,main-main kak tu tak sampai lalai lagi. tapi itulah kak, saya sejak masuk Maahad Tahfiz ni, dah jadi tak pandai melawak. Sebab mujahadah sangat mungkin. Entahlah.. "

Ada nada kesungguhan dalam alur bicaranya. Saya jadi terkesan pula. 

Hana yang saya kenal, sangat suka melawak. Sehingga pernah suatu hari dia beritahu saya yang dia mahu cari suami mat rempit. Katanya, kalau pak lebai alim-alaim ni, tak pandai melawak. Nanti kalau dia buat lawak, kena suruh istighfar pula.

Waktu itu, saya hanya tersenyum. 

Hari ini, kenangan itu kembali dalam situasi yang berbeza. Senyuman kali ini, terasa lebih manis. Melihat mujahadah seorang adik yang sedang diuji, saya terasa tempias indahnya sebuah mujahadah. Indah dalam kelat-kelat yang nikmat.

Cuma satu perkara yang membuat saya tak keruan. 

Saya sedar, diri ini insan yang nisyan(pelupa), banyak pula karat-karat dosa yang melekat. Tetapi tetap, saya mahu Hana mendapat teladan yang baik.

Alhamdulillah, tadabbur hari kedua Ramadhan ini membawa saya kepada satu kisah yang bakal menjadi teladan buat Hana dan kita semua. Kisah jalan dakwah yang jelas tertera dalam surah Nuh :

(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
"Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).

"Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.
"Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;
"Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.
"Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

Seterusnya dalam ayat 13-20 Nabi Nuh tidak berputus asa dengan berusaha menyebutkan satu persatu nimat Allah kepada mereka, agar mereka beriman. 

Tetapi hasilnya...

Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
"Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).

Ini kisah seorang nabi. Ya, seorang nabi yang tetap bersabar walaupun kaumnya mengabaikan seruannya bahkan merancang kejahatan!.

 Allah rakamkan di dalam al-quran agar kita ada pegangan. Buat Hana, kak Zahra insan yang bakal mati.Tetapi, al-quran itu tetap 'hidup' dalam dada orang yang mahu memahami.

Jadi, contohilah Nuh yang sabar itu dik...

1 comment:

  1. Sungguh indah sbuah kata2 itu apabila brsulamkn hikmah..Allahurabbi..kli ni nth kali kbrapa bcaan ni sy bc..Allah..air mata tetap laju mngalir..
    Rindu msa2 dulu..taujihaad y sy dpt,masih kukuh trsimpan di hati.in shaa Allah..doakn sy

    ReplyDelete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)