09 February 2013

(",) hati-hati!

بسم الله الرحمان الرحيم

Mahu tidur awal. Bangun awal.

Saya mahu kuat. Luar dan dalam. Harus cari yang kuat juga. Yang paling kuat, Al-qawiy!

---------------------------

Perancangan yang tersusun. Saya bukan terlalu begitu. Saya dari dahulu sampai kini hanya begini. Dalam diri, ada perkara yang boleh diubah, dan ada yang tidak.

Yang ini, tidak dapat.

Bukan putus asa, tetapi menyuntik selesa. Syukur. 

---------------------------

Berdoa dan berdoa. Itu juga usaha. Hanya saja dari sudut yang berbeza. 
Biar manusia nampak macam sekadar menyerah. 
Allah lebih tahu nilai hati dan diri.

Dia yang mencipta, Dia juga yang tahu segala hati. Tidak perlu saya uar-uarkan di sini. Dia sudah tahu apa terbungkam di hati. Dia kan Al-aliim(yang maha tahu).

Tauhid itu, menyerahkan diri pada-Nya. Tauhid itu, permunian ibadah kepada-Nya. Ingat itu!
Kalau kamu tahu dia maha tahu, tetapi kamu masih lengah menemuinya, Kau sedang bermain api! HATI-HATI!

Sekian.

Takut.. Harap..

 بسم الله الرحمان الرحيم

Hari ini, saya cuba buka dua blog dari rakan blogger saya  http://hafizulfaiz.com/ dan http://lukhmantaib.hadithuna.com/.

Tiba-tiba rindukan blogwalking macam dahulu. Tetapi, hampa. Kedua-duanya tidak boleh dibuka. Entah mereka sedang perbaiki website atau apa. Saya kurang pasti.

Tiba-tiba, kerisauan menerjah. Jangan-jangan server rosak?

Saya membayangkan. Kalau ini juga terjadi kepada blogger.com, saya sungguh kecewa. Bagi orang lain,
mungkin tidak mengapa. Tetapi tidak saya.

Untuk saya, penulisan seolah nyawa. Penulisan juga seolah kehidupan. Saya membina diri, keyakinan, percaya dan harap melalui bidang ini. Dan semuanya bermula dari teratak usang ini.

Saya laluinya dengan tabah dan perjuangan. Hanya Allah saksi setiap gerakan jemari yang menghasilkan segenap entri.

Membukukan blog. Itu harapan saya. Optimis saya. Sebelum apa-apa terjadi. Doakan. Lebih banyak doa, lebih banyak barokah dan kemudahan.

Bismillah. Kuatnya dugaan di saat mahu menyambung tugas buat ummah.

07 February 2013

PELIT : gagal itu, terapi untuk berjaya!

بسم الله الرحمان الرحيم


Aku tidak rela terus-menerus dihantui dengan janji-janji pada diri.

Bismillah, walaupun badan dan minda ini letih sering ditukar-tukar switchnya. Arab-Inggeris-Melayu, Arab-Inggeris -Melayu. Aduh, subjek-subjek menarik untuk semester ini membuat minda sangat letih.

Apa pun cabarannya, aku tetap mahu menulis. Sesuatu yang lebih istimewa barangkali. Buat aku dan buat kalian.

Pernah Ustaz Zahiruddin Zabidi mengatakan bahawa beliau cemburu dengan kita para mahasiswa. Sebab, kita ada banyak idea untuk dituliskan. Setiap satu kelas yang kita hadiri, banyak perkongsian dan keunikan-keunikan yang kita perlu ceritakan kepada teman-teman kita di luar kelas itu.

Aku teringat. Kemudian, beransur-ansur letih dan penat yang mengguncang tubuh sebentar tadi hilang. Terasa disuntik semangat berkongsi yang luarbiasa!.

Kata-kata, nasihat, sindiran dan motivasi dari para pensyarah untuk tiga kelas pertama semalam masih hangat di gegendang telinga.

Sesekali, rasakanlah nikmatnya kegagalan

Belum pun kelas bermula, tiba-tiba datang segerombolan pelajar lelaki masuk ke dalam kelas kami di IRK LR6. Mereka masuk dan terus meluru masuk. Mahu bertemu pensyarah madkhal fiqh, DR Maszlee.

Di tangan masing-masing ada kertas. Pada aku, itu pasti kertas 'add manual' dan mereka mahu minta tandatangan Dr . Terkaan aku benar apabila tiba-tiba pensyarah intro fiqhku berkata.

"Kelas saya, ramai gagal. Kamu sedia mahu gagal?" Sambil menandatangan borang mereka, Dr Maszlee tersenyum. Nakal.

Pelajar yang berdatangan itu diam.

Aku juga terdiam. Detik mindaku sedang teringatkan lembaran-lembaran 20 tahun kehidupanku di muka bumi. Pesan Dr agar kami menikmati 'kegagalan' jika ia bertamu, membuat hatiku tersenyum pahit.

Benarlah, kegagalan itu bukan sesuatu yang menakutkan. Bukan juga sesuatu yang pahit semata. Ia lebih kepada terapi yang mendamba secebis SABAR.

Wajah mulus Dr Maszlee kembali aku tatap dalam-dalam. Wajah yang tidak lekang dari senyuman itu, tanpa disangka menyimpan sejuta ideologi untuk ummah. Wajah itulah, bakal aku hadapi sepanjang semester ini, Insyaallah.

 Jika dahulu aku bertemu beliau, sebagai seorang intelek aku boleh mengikuti atau meninggalkan percakapan beliau. Sedangkan kali ini, aku adalah pelajar dan beliau adalah guruku. Guru yang penghormatanku  hanya kurang sedikit dari ummi dan abi.

Mengingat penghormatan yang wajar aku berikan ini, ditambah pula ingatan-ingatan kepada 'kegagalan' dahulu, aku jadi bertambah semangat. Mendalami subjek-subjek yang aku ambil semester ini, kemudian memilih satu bidang untuk aku kuasai.

Bagiku sudah cukup  cukup sudah terapi kegagalan yang pernah aku lalaui. Apa pun, semangat sahaja tidak jadi tanpa perlaksanaan. Dan perlaksanaan inilah, aku mohon kalian doakan. Doakan aku, dan malaikat akan doakan kalian :-)

p/s: kawan-kawan kelas madkhal fiqh yang baca entri ini, jangan bagitahu Dr saya tulis entri ini. anggap sahaja saya menulis sesuatu yang fiksi dalam bentuk realiti. ^_^. Lagipun, saya kira tidak ada yang salah dalam kata-kata Dr . Bahkan sangat bermanfaat.. kan?

04 February 2013

PELIT: Ubat, buku dan AQIDAH..

 بسم الله الرحمان الرحيم

Kisah aku dan ubat

Aku merenung segenap ruang kamarku. Alhamdulillah, sudah 90 % kamar ini selesai dikemas. Setelah kulihat semula, barangan di kamarku tidaklah terlalu banyak. Baju sahaja boleh dibilang dengan jari. Alatan lain pun boleh dikira dengan mudah. lantas, mengapa aku sangat letih setelah mengemas? barang apa yang banyak dan berat sangat?

Mataku melilau ke segenap kamar.

Masih ada dua kotak belum disusun


Aha, buku!
patutlah aku rasa letih, bila diingat-ingat tadi aku sudah punggah 4 kotak berisi buku! Kalau mahu kugambarkan betapa berat dan banyak buku itu, lihat saja keadaan tangan kananku. Pergelangannya, sudah tegang dan sakit. Mahu menaip tulisan ini sahaja aku banyakkan penggunaan tangan kiri.

Aku sendiri tidak tahu apa jadi dengan tanganku ini. Cuma, aku boleh katakan sakitnya itu seakan aliran elektrik yang menjalar ke seluruh jemari dan naik ke bahagian lengan, kemudian siku dan bahu.

Cepat-cepat aku sapu ubat 'Veron Plus gel' yang pernah doktor berikan kepadaku. Cuma itu. Aku tidak dapat tidur kerana tangan kanan ini sangat sakit. Ada 'pain killer' dalam simpananku. Tetapi, aku tidak mahu. Biarlah, sekali-sekala aku menikmati rasa sakit ini.

Doakan tangan ini cepat baik :-)

Seumur hidupku, hanya ubat 'Veron Plus gel' ini yang pernah aku gunakan secara teratur. Itu pun, kerana ia adalah ubat sapu. Aku tidak pernah makan ubat hospital. Kalaupun terpaksa makan ubat, aku rela berhabis lebih sedikit untuk ke Pusat perubatan Hemopathy.

Entahlah,mungkin kerana kalau aku demam atau sakit dahulu, abi akan urutkan aku mengikut kaedah reflexology. Aku hampir tidak pernah makan ubat hospital. Seingat aku, cuma satu kali ubat-ubatan selain hemopathy masuk ke tubuhku.

Ketika tingkatan tiga, aku terpaksa makan panadol dan ditambah dengan air 100plus. Masih aku ingat, jiran katilku Izzatul Fadhilah, dialah yang menyarankan aku makan panadol. Kerana, esoknya kami harus menghadapi peperiksaan Pertengahan tahun.

Aku hanya menurut ketika itu. Sakit kepala yang teramat sangat ketika itu dan ditambah gemurh menghadapi peperiksaan esoknya, membuat aku tidak mampu berfikir panjang.

Tanganku masih sakit. Bahkan bertambah sakit. Tidak mengapa, aku mahu teruskan menulis. Perihal buku-bukuku yang aku kemaskan sebentar tadi.


Khazanah hati atau khazanah almari?
Subhanallah, banyak rupanya buku-buku yang aku simpan di kamar ini. Dari buku subjek kuliah berbahasa arab sampailah buku-buku ringan dan santai yang aku sering belek sehelai dua. Aku akui, masih belum khatam semuanya. Satu buku, mungkin hanya tiga hingga empat helai kuselak. kemudian aku akan bertukar ke buku yag lain.

Pernah satu ketika ada sahabat menasihatkan aku. Katanya, buku banyak-banyak bukan baca semua. Biar sedikit, tetapi baca bagi khatam. Aku hanya tersenyum mendengar ulahnya. Bagiku, buku itu sahabat sejatiku. Di saat sahabat-sahabatku tiada di sisiku, buku-buku inilah yang menemaniku.

Kadangkala, ada sebahagian perkara yang aku tidak mampu luahkan. Termasuklah kepada sahabat baikku, Jalidah (maaf ye jalidah, masih ada rahsia di antara kita..eheh). Bukan tidak mahu, tapi tidak mampu. Ya, saat- saat beginilah buku-buku itu semuanya berbicara denganku. Bicara mereka tidak sama dengan bicara kita. Bicara mereka luas dan jelas tiada selindung dan sakit hati.

Kalau boleh aku gambarkan, mereka itu umpama air hujan yang turun dengan lebatnya. Hujan itu, ia tidak tahu bahawa turunnya itu memberi penghidupan kepada bumi. Andaikan setahun hujan tidak turun, pastilah tanah menjadi kering. Batang pohon-pohon liar di tepi jalanan itu, paasti turut kering. Daunnya juga kering dan tidak hijau lagi. Dan akhirnya, pohon itu kekal berdiri sebagai pohon kering yang tidak berguna lagi.

Begitulah pentingnya hujan kepada kehidupan sebuah pohon. Sekalipun hujan yang turun itu cuma lima mint sehari, ia bermakna jika setiap hari ia turun. Sebuah buku yang dibaca, ilmu didalamnya umpama air hujan yang turun membasahi akal gersang manusia. Akal, selalunya ia berkait dengan hati. Kalau akal gersang, bagaimana ia mampu menumbuhkan hati dengan gersangnya itu?

Tetapi, hujan pun ada bahayanya jika yang turun itu hujan asid yang teramat tinggi kadar asidya. bukankah ia malah menjahanamkan pohon yang segar tadi?


For arabic studies..



Begitu juga halnya dengan buku. Lantas, aku selidiki buku-bukuku yang sudah aku susun rapi. Satu-persatu... Alhamdulillah, judul yang ada, semuanya baik. Dan aku sentiasa berharap, buku-buku ini menjadi khazanah hatiku, bukan hanya khazanah almariku!


Perbetulkan tapak, itu asas binaan!

Aku merasa ada yang kurang dengan judul-judul bahan bacaanku, dan aku benar. Dalam lambakan buku yang ada, aku belum bertemu walaupun satu buku berkaitan aqidah dan tauhid. Aku masih ingat tazkirah ustaz Abdullah Yassin berkenaan aqidah ketika aku mengikuti kem motivasi mahasiswa Al-nidaa'  dua minggu lalu benar-benar masih segar dalam ingatanku.
Kata ustaz, 
" kalau kita mahu buat rumah, apa yang penting? Tiangnya penting tak?" ustaz menyoal. Kami yang masih tersihir dek kelembutan penyampaian ustaz hanya mengangguk. Menyetujui.

"Sebab itu solat penting.. solat kan tiang agama islam.." ustaz menyambung penuh tertib.

Di barisan paling belakang, aku masih tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang ustaz mahu sampaikan. Semua orang juga tahu kalau solat itu tiang agama. Tambahhan pula, yang hadir kem ini semuanya mahasiswa. Pasti mereka maklum 'Solat tiang agama'. Lantas, apa kaitannya dengan aqidah?. Monologku bertali arus.

Tidak lama, ustaz menyoal lagi.

"Anak-anak, apa yang lebih penting dari tiang?.. "

Tanpa perlu kami menjawab, ustaz terus menyambung..

"Nah, disini letaknya kepentingan ilmu aqidah. Yang lebih penting dari tiang, tapaknya kan?. Kalau tiang rumah itu ada dan kukuh. Diperbuat dari besi dan batu terbaik tetapi tapaknya tiada atau tapaknya tidak kukuh serta dibina dari batu yang paling rapuh. Pastilah semuanyabakal runtuh. Begitu kan anak-anak..?"

Monologku terjawab.

" Sebab itu, ilmu aqidah ini sangat penting. Kita tahu perkara yang mebatalkan solat, perkara yang membatalkan wudhu, perkara yang menyebabkan ibadah diterima. Tetapi, apakah kita tahu perkara yang membatalkan aqidah??? "

SENTAP!

Perkongsian ustaz Abdullah Yassin itu, membawa aku kepada penyelongkaran buku-buku millik abi. Akhirnya, aku bertemu sebuah buku aqidah yang sangat layak untuk aku baca dan teliti isinya. 

Kitab TAUHID terj~ Syaikhul islam Muhammad Bin Abdul Wahhab~


Walaupun sebenarnya aku tahu, buku itu hanya menambah berat koleksi bukuku yang sedia ada. Tetap buku-buku sedia ada milikku, boleh terjadi sia-sia jika aku tidak memahami hakikat aqidah yang benar. Aku tekad mahu khatam buku ini tidak lebih sebulan.

Doakan aku. Semoga doa kalian membawa aku kearah memahami buku ini dan memperbaiki asas binaan diriku ke arah yang lebih baik. Seterusnya, aku mampu menyampaikan kepada kalian dalam bentuk penulisan yang rapi. Aku tidak janji. Sebab aku takut tidak mampu memenuhinya. Tetapi aku akan usaha. 

Wallahu musta'aan. Dan Allahlah yang membantu segala usaha kebaikan.
Salam sayang buat semua. Uhibbukum fillah. Masuk semester baru ini, aku mahu lebih baik dari semester lepas. Kalau temanku maryam jamilah mampu mencapai GPA 3.7, kenapa aku tidak? Cabaran buat diri.^_^


Sekian.
Zahra' fajar Nina,
1:07am, 020413

11 January 2013

Hidup ini, seluruhnya UJIAN..

  بسم الله الرحمان الرحيم

Hidup ini..
" Hidup ini, seluruhnya ujian.."
Begitu kata kak Wardah ketika saya 'berkampung' di biliknya empat hari berturut-turut yang lalu. Tiba-tiba, kata-kata kak Wardah dari perkongsian Bro. Lim Joi Soon itu bermain-main di minda saya. Kata kak wardah, kata-kata ini beliau kutip ketika mengikuti Interactive Dakwah Training di Institut Al-qayyim.

Sambil berjalan keluar dari Main Hall Cultural Activity Centre UIAM itu, saya berkira-kira. Banyak benarnya perkongsian kak Wardah itu. Sambil memerhati  suasana UIAM yang makin lengang, saya melempar pandangan ke langit. Sebentar. Saya alihkan pula ke sungai 'teh ais' di kanan saya. Seekor biawak sedang enak berenang. Di hadapan saya, para siswa siswi berpusu-pusu menuju ke gerai makan. Lapar barangkali.

Melihat kesibukan manusia di sekeliling. Sebentar. Saya kembali menilai diri. Mengaitkan segala peristiwa dan gelagat manusia dengan keadaan jiwa saya sekarang. Sekali lagi saya terfikir. Memang, banyak benarnya kata-kata Bro Lim itu.

Mana tidaknya, saya rasa sudah berhempas pulas memahami dan menghafal keseluruhan tajuk nahwu thany sebentar tadi. Bermula fa'il, naib fa'il, mashdar muawwal, mafaa'il arba'ah, haal, tamyiiz dan.. semuanya. Tetapi, bila bertemu soalan final di dalam dewan CAC yang serba besar itu seolah semuanya terbang. Hilang. Membawa diri keluar dewan peperiksaan. Tak boleh dikejar.

Begitulah, cara ALLAH menguji manusia itu berbeza-beza. Apa yang pasti, semuanya diuji. Ya, semuanya diuji.

Orang berusaha, diuji dengan usahanya.
Orang tidak berusaha diuji dengan 'tidak usaha'nya.

Orang kaya, diuji dengan kekayaannya.
Orang miskin diuji dengan kemiskinannya.

Orang cantik diuji dengan kecantikannya.
Orang hodoh diuji dengan kehodohannya.

Orang Islam, diuji dengan pegangannya.
Orang kafir, diuji dengan kejahilannya.

Orang malas diuji dengan kemalasannya.
Orang rajin diuji dengan kerajinannya.

Orang bahagia diuji dengan kebahagiaanya.
Orang derita diuji dengan deritanya.

Orang alim diuji dengan ilmunya.
Orang jahil diuji dengan dangkalnya.

Orang sakit diuji dengan kesakitannya.
Orang sihat diuji dengan kesihatannya.

Orang muda diuji dengan masa mudanya.
Orang tua diuji dengan ketuaannya.

Dan begitulah seterusnya.

Cuma ada suatu saat sahaja manusia tidak diuji. Bila terhenti fungsi kata 'hidup' bagi seorang manusia. Saat itulah segala UJIAN tercabut dari dirinya. Inilah hakikat HIDUP INI..

 
Seluruhnya..

Ya, seluruhnya. Tidak ada yang terkecuali.

Keluarga ujian.


فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ
" Maka Kami selamatkan dia(nabi Luth) dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan."  (7:83)


قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ
" Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil."  (11:46)


وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ أَهْلِهَا
" (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata.."  (12:26)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
" Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka..(66:6)


Kawan-kawan dan sahabat itu ujian.



يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
" Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "  (25:28)


الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
" Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh) "   (43:67)

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لَا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَالٌ
" ...sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan). "  (14:31)


Cinta juga ujian.

وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
" ...boleh jadi kamu cinta kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. " (2:216)


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
" Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.   (3:31)


الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ
" Orang-orang yang lebih mencintai dunia daripada akhirat..."   (14:3)


زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ

 مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥحُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ

" Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Rasa cinta kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).   (3:14)

dan.. seluruhnya ujian.


Ujian.

Susah mahu diungkap apa erti sebuah ujian. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk yang indah tak terlihat. Umpama orang dahaga melihat fatamorgana. Disangkanya air, rupanya panas terik yang menyengat sahaja.

Ada juga, manusia yang merindukan ujian. Mereka rindukan tangisan dan titisan airmata yang bertempur ketika diuji. Mereka rindukan sakit dan perit sebuah ujian untuk menggapai nikmat manisnya keluar dari medan ujian. Mereka malah kecewa bila kehidupan sekadar indah tanpa ujian.

Malah, ada sahabat saya yang pernah mengadu dan menangis di hadapan saya. Katanya
" Zahra' ana rindukan saat-saat iman teruji.."

Tidak kurang juga,manusia yang mahu menjauh dari ujian. Mahu hidup selesa dengan apa yang ada. Kata mereka, hidup ini kena enjoy!

Saya jadi keliru bagaimana mahu mentakrif kata-kata ujian. Mudahnya, saya meminjam kata-kata ustaz Hasrizal di dalam artikel beliau Roda-roda haq dan bathil.

Ada masa kebenaran di pihak yang kuat.
Ada masa kebatilan di pihak yang kuat.
Ada masa kebatilan di pihak yang lemah.
Ada masa kebenaran di pihak yang lemah.

Ada masa kebenaran dan kebatilan itu sama-sama kekuatan dan kelemahan mereka.

Namun ketika kebenaran kuat atau lemah, ketika kebatilan kuat atau lemah, pertembungan antara kebenaran dan kebatilan tidak pernah mati. Sentiasa ada. Sentiasa berlaku. Sentiasa hadir mengisi realiti.

Ketika ‘Islam’ menang, kebatilan menguji.
Ketika ‘Islam’ kalah, kebatilan menguji.
Jika boleh, saya mahu simpulkan ujian itu adalah kebathilan. Sekadar tersenyum apabila membaca semula entri ini dari atas ke bawah. Saya bahagia bila benar-benar menyedari bahawa, hakikatnya hidup ini seluruhnya UJIAN.



Semoga kalian memahami. Wallahu a'lam.

09 January 2013

PELIT : mencari diri..

بسم الله الرحمان الرحيم

Selesai kelas, aku sambung ke kelas seterusnya. Ustaz Nashruddin buat murajaah berkenaan semua hadis yang telah kami pelajari. Innamal a’malu binniyat!

Aku tersentap.
Memang, semua amalan bermula dengan niat.
Dan niatlah yang akan menentukan seberapa nilainya amalan kita. Sebab itu dalam hadis ini, ‘a’mal di awalkan.
Ini catatan dahulu. Aku rindu.


Mencari diri

Aku sendiri, kehilangan 'diri' aku yang dahulu. Walaupun aku tetap aku, tetapi hati itu seolah sudah berpaling arah. Hamasah dahulu yang aku perjuangkan, seolah terkubur dek umur yang berlalu. Sungguh dan sungguh aku rindu.

Begitu sahaja. Kalau ALLAH mahu tarik nikmat himmah yang kita pernah rasa. Kosong.

Aku lihat kenderaan bertali arus, cermin pandang belakang itu ada gunanya. Saat seperti inilah, aku perlukan cermin pandang belakang itu. Lama aku terhenti langkah. Istighfar dan istighfar. Kupejam mata. Melihat masa lalu yang indah dan hampir sempurna.

Aku, melihat aku yang dulu.

Aku paling ke belakang.

Aku lihat seorang gadis 'garang' yang pendek dan sering mendapat nombor satu atau dua di kelasnya. Gadis itu, dia punya banyak masalah. Tapi dia tidak pernah tahu semua itu masalah.

Dia cuma tahu, segala yang ada di depannya adalah pengalaman-pengalaman yang dia mahu kutip semuanya.

Aku paling ke kanan pula,

Aku lihat seorang gadis agak matang yang masih 'garang'. Tetapi hatinya itu sangat baik. Dia disenangi orang yang mengenalnya, dan ditakuti orang yang tidak mengenalnya.

Dia bukan pelajar terbaik dan terbijak di kelasnya, tetapi dia sangat suka belajar sehingga dia tidak pernah mendapat rangking di atas nombor 3. Peperiksaan Menengah Rendah, 8A berada di genggamannya. Ya, cuma 8A tidak lebih baik dari teman-temannya yang memperoleh 9A.

Tetapi, dia luarbiasa. Tidak mudah-mudah dia mengikut telunjuk insan lain untuk mengatur hidupnya. Sekalipun, dia tahu dengan pilihan yang dia buat mungkin dia akan menempuh ranjau dan semak yang lebih merbahaya.

Dia nekad. Bagi dirinya, matang itu tidak akan tersembul keluar dari jasad dan ruh yang selesa dan takut untuk berdikari. Dia rela berlari menuju perkampunga singa daripada berehat-rehat selesa di buaian teduh bertemankan kicau burung sahaja.

Cukuplah selama ini dia didendangkan dengan kicau -kicau burung yang damai itu. Cukuplah dia di zon selesa itu. Tidak mungkin kalau dia mahu terus selesa, sedangkan dia bukan 'anak manja' yang pengakhirannya sia-sia.

Terakhir, aku berpaling ke kiri..

Ada seorang gadis sekitar 16 tahun umurnya. Dia menangis teresak-esak. Di sebuah surau usang yang tiada berpenghuni saat itu. Hanya putaran kipas kedengaran. Kelam malam menjadi saksi tangisan-tangisannya sejak sebulan lalu.

Dia hanya gadis biasa yang berhadapan dengan dugaan-dugaan luarbiasa. Dia juga punya ayahanda dan bonda seperti mereka lainnya. Tetapi, dia 'gadis batu' di hadapan semua manusia. Tidak tahu sedih berdepan kutukan, tidak tahu perit berdepan sengatan fitnah, tidak tahu air mata menahan pedihnya luka tohmahan. Dia gadis biasa yang memiliki 'hati batu', begitu monolog setiap teman yang dekat dengannya.

Berbeza. Di saat semua manusia berlari ke alam lain, di saat semua manusia kosong dari dunia retina matanya.. ketika itulah dia berubah, menjadi manusia paling lembut di hadapan tuhannya. Dia menjadi manusia paling mudah mengalirkan air mata tanpa dapat ditahan lagi. Seluruh sujudnya penuh dengan kisah-kisah sedih yang dia ceritakan, perlahan. Semua itu di hadapan Tuhannya.

Bila siang menjelma, gadis itu berubah. Tetap dengan hati batu yang dia punya.

Aku pandang semua ke hadapan. Skrin laptop masih menyala. Aku selesaikan entri baru di dalam pondok teduhan yang aku rindu. Pondok itu, aku mahu ia terus teduh, menyimpan kisah tiga orang gadis yang aku lihat tadi.


~after Quranic Prophetic Text exam, sit number 104~
-still wanna be like the 3 girl.. (^_^)

07 January 2013

Untuk yang pertama..

بسم الله الرحمان الرحيم

Sudah hari Jumaat. Antara sedar dan tidak. MasyaALLAH, cepat sungguh masa berlalu. Sejak artikel (untuk-yang-terakhir-311212) lepas mendapat sambutan dan review yang agak mendadak, saya terdetik mahu menulis artikel bertajuk (untuk yang pertama..) pula.



2013 vs 21?

Saya tergelak semalam, ketika sedang mengulangkaji subjek tarikhul adab bersama Huda. Tiba-tiba Huda terjerit kecil ketika saya mengatakan padanya, kita sudah masuk umur dua puluh satu tahun. Kata Huda, masih banyak benda yang perlu dibuat sebelum masuk 21 tahun.

Antara sedar dan tidak, tahun ini adalah tahun ke-21 untuk para generasi kelahiran '92'. Memanglah, kalau mahu ikut bulan kelahiran masih beberapa bulan cukup 21 tahun. Tetapi, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah tahun ini merupakan tahun ke-21. Iya kan?

Bermula 1 Januari sehinggalah hari ini, saya dihantui banyak perkara.

Mimpi-mimpi.

Catatan-catatan.

Amanah.

Kesungguhan! Inilah kata yang mampu merealisasikan semua itu.

Saya masih ingat ketika kali pertama saya berjaya menghasilkan sebuah CERPEN. Segenap idea, tenaga dan masa saya luahkan hanya untuk sebuah cerpen ini.Ya, hanya untuk sebuah cerpen yang bertajuk Aku pendendam?. Tetapi saya puas. Saya menikmati kepuasan yang saya rasakan itu. Kepuasan menyelesaikan sesuatu mengikut target masa. Memang puas!

Cuma, untuk umur 21 ini saya sepakat dengan Huda, banyak yang perlu dilangsaikan. Tiada nikmat 'puas' yang saya dapat sepanjang hampir 21 tahun hidup. Ops.. jangan salah faham. Maksud saya, puas menyelesaikan target-target yang terpampang di meja belajar saya.

21 tahu untuk 2013 ini. Aduh sudah tua diri ini rupanya. sedetik masa berlalu, sedetik itu jugalah umur ini pergi. Membuka semua diari tahu 2010 menjadikan saya sayu dan hiba. Zaman sekolah menengah memang indah. Segala impian saya coretkan dalam diari itu. Semuanya besar-besar. Antara yang tertulis ialah, "Umur 20 tahun, aku sudah jadi penulis".

Saya senyum sendiri membaca impian itu berulang-ulang kali. Tersenyum dan tercabar. Serentak, saya terbayang-bayang tubuh seorang Mus'ab bin umayr yang berada di medan dakwah pertama membawa islam di Madinah. Seorang Mus'ab yang baru berumur 18 tahun itu.. Benar-benar tiada tandingan dengan saya. Jauh, bahkan terlalu jauh.

Tetapi, syair Imam syafie yang saya hafal itu cepat sahaja memujuk diri..

أحـب الصالحيـن ولسـت منهـم

لعلـي أن أنـال بـهـم شفـاعـة

وأكـره مـن تجارتـه المعاصـي

ولـو كنـا سـواء فـي البضاعـة

Aku mencintai orang-orang soleh,

sedangkan aku bukanlah dari kalangan mereka,

dan aku membenci para pelaku ma'shiyat,

Sekalipun aku dan mereka sama sahaja bermaksiat..

(terjemahan bebas oleh: zaharoh :-)

  Itulah saya. Benar-benar saya mencintai pemuda-pemuda tangkas kesayangna nabi shollallahu 'alaihi wasallam itu. Umur 21 untuk tahun 2013 ini, saya mengharap sesuatu. Terlebih bukan untuk diri sendiri sahaja.. bahkan orang lain.     Untuk yang pertama..

3 hari saya 'draft'kan entri ini. Tiada kekuatan mahu menulis. Hari ini juga saya belum betul-betul bersedia mahu menuliskan semua ini. Tetapi saya terinspirasi dari tulisan sahabat saya di sini. Katanya memetik kata-kata Syed Qutb:

"Sebahagian dari umat islam menunggu daripada agama ini -setelah mengetahui ia dari Allah- bahawa ia akan bertindak secara SIHRIAH (magik), dan PELIK dan TIIDAK JELAS SEBAB. Tanpa mengira bahawa ia juga (Islam) adalah i'tibar dari tabiat manusia dan usaha secara fitrah..."

* maksudnya, kita hendaklah menjadi manusia yang berkerja untuk menegakkan islam.. Bukan hanya menunggu Islam berubah sendiri.


Ya, benarlah. Kalau mahu berubah, bukan tunggu dan melayan nafsu. Bergerak dan bergeraklah. Harus gandakan usaha untuk islam.

Saya gerun sebenarnya, bila membaca tulisan sendiri. Saya jadi terhukum. Banyak tulisan yang menagih untuk dilaksana. Sedangkan saya juga manusia. Iman ini, ada naik dan turunnya.

Ketika saya merindukan bekal nasihat dari sahabat dan teman, ketika itu jugalah mereka mengharapkan saya.. Meminta nasihat dan taujihad dari saya. Saya sendiri, sebenarnya bukanlah baik sangat. Saya sama sahaja seperti kalian. Tulisan-tulisan saya, semuanya untuk saya juga.

Betapa saya tahu, sedihnya hati saat diri tercari-cari sebutir dua aliran nasihat. Tetapi hampa. Sebab itulah kadang-kadang, saya buangkan segala sedih dan galau. Saya hadapi sahabat yang memerlukan, kerana saya sayangkan mereka. Selagi kekuatan masih tersisa, saya gagahkan hati. Saya menjerit di dalam lubuk gua hati:

"addabani robbi fa ahsana ta'diibi"
~Tuhanku yang mendidikku maka jadilah aku insan yang terdidik~
(HR Muslim)
"hasbiyallahu, laa ilaaha illa hua 'alaihi tawakkaltu wa hua robbul 'arsyil azhiim"
~cukuplah ALLAH, tiada tuhan yang layak disembah melankan DIA, dan DIAlah robb arasy yang agung~
(Al-quranul kariim)

Inilah catatan cacamerba, untuk yang pertama.. Jan 2013.

Doakan saya. Masih berbaki tiga paper untuk peperiksaan. Yang terakhir 12 Jan nanti. Robbi yasir wala tu'assir :-)

Sayang semua <3>