09 January 2013

PELIT : mencari diri..

بسم الله الرحمان الرحيم

Selesai kelas, aku sambung ke kelas seterusnya. Ustaz Nashruddin buat murajaah berkenaan semua hadis yang telah kami pelajari. Innamal a’malu binniyat!

Aku tersentap.
Memang, semua amalan bermula dengan niat.
Dan niatlah yang akan menentukan seberapa nilainya amalan kita. Sebab itu dalam hadis ini, ‘a’mal di awalkan.
Ini catatan dahulu. Aku rindu.


Mencari diri

Aku sendiri, kehilangan 'diri' aku yang dahulu. Walaupun aku tetap aku, tetapi hati itu seolah sudah berpaling arah. Hamasah dahulu yang aku perjuangkan, seolah terkubur dek umur yang berlalu. Sungguh dan sungguh aku rindu.

Begitu sahaja. Kalau ALLAH mahu tarik nikmat himmah yang kita pernah rasa. Kosong.

Aku lihat kenderaan bertali arus, cermin pandang belakang itu ada gunanya. Saat seperti inilah, aku perlukan cermin pandang belakang itu. Lama aku terhenti langkah. Istighfar dan istighfar. Kupejam mata. Melihat masa lalu yang indah dan hampir sempurna.

Aku, melihat aku yang dulu.

Aku paling ke belakang.

Aku lihat seorang gadis 'garang' yang pendek dan sering mendapat nombor satu atau dua di kelasnya. Gadis itu, dia punya banyak masalah. Tapi dia tidak pernah tahu semua itu masalah.

Dia cuma tahu, segala yang ada di depannya adalah pengalaman-pengalaman yang dia mahu kutip semuanya.

Aku paling ke kanan pula,

Aku lihat seorang gadis agak matang yang masih 'garang'. Tetapi hatinya itu sangat baik. Dia disenangi orang yang mengenalnya, dan ditakuti orang yang tidak mengenalnya.

Dia bukan pelajar terbaik dan terbijak di kelasnya, tetapi dia sangat suka belajar sehingga dia tidak pernah mendapat rangking di atas nombor 3. Peperiksaan Menengah Rendah, 8A berada di genggamannya. Ya, cuma 8A tidak lebih baik dari teman-temannya yang memperoleh 9A.

Tetapi, dia luarbiasa. Tidak mudah-mudah dia mengikut telunjuk insan lain untuk mengatur hidupnya. Sekalipun, dia tahu dengan pilihan yang dia buat mungkin dia akan menempuh ranjau dan semak yang lebih merbahaya.

Dia nekad. Bagi dirinya, matang itu tidak akan tersembul keluar dari jasad dan ruh yang selesa dan takut untuk berdikari. Dia rela berlari menuju perkampunga singa daripada berehat-rehat selesa di buaian teduh bertemankan kicau burung sahaja.

Cukuplah selama ini dia didendangkan dengan kicau -kicau burung yang damai itu. Cukuplah dia di zon selesa itu. Tidak mungkin kalau dia mahu terus selesa, sedangkan dia bukan 'anak manja' yang pengakhirannya sia-sia.

Terakhir, aku berpaling ke kiri..

Ada seorang gadis sekitar 16 tahun umurnya. Dia menangis teresak-esak. Di sebuah surau usang yang tiada berpenghuni saat itu. Hanya putaran kipas kedengaran. Kelam malam menjadi saksi tangisan-tangisannya sejak sebulan lalu.

Dia hanya gadis biasa yang berhadapan dengan dugaan-dugaan luarbiasa. Dia juga punya ayahanda dan bonda seperti mereka lainnya. Tetapi, dia 'gadis batu' di hadapan semua manusia. Tidak tahu sedih berdepan kutukan, tidak tahu perit berdepan sengatan fitnah, tidak tahu air mata menahan pedihnya luka tohmahan. Dia gadis biasa yang memiliki 'hati batu', begitu monolog setiap teman yang dekat dengannya.

Berbeza. Di saat semua manusia berlari ke alam lain, di saat semua manusia kosong dari dunia retina matanya.. ketika itulah dia berubah, menjadi manusia paling lembut di hadapan tuhannya. Dia menjadi manusia paling mudah mengalirkan air mata tanpa dapat ditahan lagi. Seluruh sujudnya penuh dengan kisah-kisah sedih yang dia ceritakan, perlahan. Semua itu di hadapan Tuhannya.

Bila siang menjelma, gadis itu berubah. Tetap dengan hati batu yang dia punya.

Aku pandang semua ke hadapan. Skrin laptop masih menyala. Aku selesaikan entri baru di dalam pondok teduhan yang aku rindu. Pondok itu, aku mahu ia terus teduh, menyimpan kisah tiga orang gadis yang aku lihat tadi.


~after Quranic Prophetic Text exam, sit number 104~
-still wanna be like the 3 girl.. (^_^)

5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Amin.
    Insya Allah apa yang Ina niatkan itulah yang akan terjadi. Kita semua istimewa untuk melalui sesuatu yang 'istimewa'. Terus menulis.

    :)

    ReplyDelete
  3. Jadi dirimu dan ibrah dari tiga gadis itu..:)

    ReplyDelete
  4. Sesungguhnya Allah menyertai(membantu) orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 153

    ReplyDelete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)