11 January 2013

Hidup ini, seluruhnya UJIAN..

  بسم الله الرحمان الرحيم

Hidup ini..
" Hidup ini, seluruhnya ujian.."
Begitu kata kak Wardah ketika saya 'berkampung' di biliknya empat hari berturut-turut yang lalu. Tiba-tiba, kata-kata kak Wardah dari perkongsian Bro. Lim Joi Soon itu bermain-main di minda saya. Kata kak wardah, kata-kata ini beliau kutip ketika mengikuti Interactive Dakwah Training di Institut Al-qayyim.

Sambil berjalan keluar dari Main Hall Cultural Activity Centre UIAM itu, saya berkira-kira. Banyak benarnya perkongsian kak Wardah itu. Sambil memerhati  suasana UIAM yang makin lengang, saya melempar pandangan ke langit. Sebentar. Saya alihkan pula ke sungai 'teh ais' di kanan saya. Seekor biawak sedang enak berenang. Di hadapan saya, para siswa siswi berpusu-pusu menuju ke gerai makan. Lapar barangkali.

Melihat kesibukan manusia di sekeliling. Sebentar. Saya kembali menilai diri. Mengaitkan segala peristiwa dan gelagat manusia dengan keadaan jiwa saya sekarang. Sekali lagi saya terfikir. Memang, banyak benarnya kata-kata Bro Lim itu.

Mana tidaknya, saya rasa sudah berhempas pulas memahami dan menghafal keseluruhan tajuk nahwu thany sebentar tadi. Bermula fa'il, naib fa'il, mashdar muawwal, mafaa'il arba'ah, haal, tamyiiz dan.. semuanya. Tetapi, bila bertemu soalan final di dalam dewan CAC yang serba besar itu seolah semuanya terbang. Hilang. Membawa diri keluar dewan peperiksaan. Tak boleh dikejar.

Begitulah, cara ALLAH menguji manusia itu berbeza-beza. Apa yang pasti, semuanya diuji. Ya, semuanya diuji.

Orang berusaha, diuji dengan usahanya.
Orang tidak berusaha diuji dengan 'tidak usaha'nya.

Orang kaya, diuji dengan kekayaannya.
Orang miskin diuji dengan kemiskinannya.

Orang cantik diuji dengan kecantikannya.
Orang hodoh diuji dengan kehodohannya.

Orang Islam, diuji dengan pegangannya.
Orang kafir, diuji dengan kejahilannya.

Orang malas diuji dengan kemalasannya.
Orang rajin diuji dengan kerajinannya.

Orang bahagia diuji dengan kebahagiaanya.
Orang derita diuji dengan deritanya.

Orang alim diuji dengan ilmunya.
Orang jahil diuji dengan dangkalnya.

Orang sakit diuji dengan kesakitannya.
Orang sihat diuji dengan kesihatannya.

Orang muda diuji dengan masa mudanya.
Orang tua diuji dengan ketuaannya.

Dan begitulah seterusnya.

Cuma ada suatu saat sahaja manusia tidak diuji. Bila terhenti fungsi kata 'hidup' bagi seorang manusia. Saat itulah segala UJIAN tercabut dari dirinya. Inilah hakikat HIDUP INI..

 
Seluruhnya..

Ya, seluruhnya. Tidak ada yang terkecuali.

Keluarga ujian.


فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ
" Maka Kami selamatkan dia(nabi Luth) dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan."  (7:83)


قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ
" Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil."  (11:46)


وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ أَهْلِهَا
" (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata.."  (12:26)


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
" Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka..(66:6)


Kawan-kawan dan sahabat itu ujian.



يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
" Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "  (25:28)


الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
" Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh) "   (43:67)

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لَا بَيْعٌ فِيهِ وَلَا خِلَالٌ
" ...sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada sahabat handai (yang dapat memberikan pertolongan). "  (14:31)


Cinta juga ujian.

وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
" ...boleh jadi kamu cinta kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. " (2:216)


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
" Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.   (3:31)


الَّذِينَ يَسْتَحِبُّونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ
" Orang-orang yang lebih mencintai dunia daripada akhirat..."   (14:3)


زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ

 مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥحُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ

" Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Rasa cinta kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).   (3:14)

dan.. seluruhnya ujian.


Ujian.

Susah mahu diungkap apa erti sebuah ujian. Kadang-kadang ia datang dalam bentuk yang indah tak terlihat. Umpama orang dahaga melihat fatamorgana. Disangkanya air, rupanya panas terik yang menyengat sahaja.

Ada juga, manusia yang merindukan ujian. Mereka rindukan tangisan dan titisan airmata yang bertempur ketika diuji. Mereka rindukan sakit dan perit sebuah ujian untuk menggapai nikmat manisnya keluar dari medan ujian. Mereka malah kecewa bila kehidupan sekadar indah tanpa ujian.

Malah, ada sahabat saya yang pernah mengadu dan menangis di hadapan saya. Katanya
" Zahra' ana rindukan saat-saat iman teruji.."

Tidak kurang juga,manusia yang mahu menjauh dari ujian. Mahu hidup selesa dengan apa yang ada. Kata mereka, hidup ini kena enjoy!

Saya jadi keliru bagaimana mahu mentakrif kata-kata ujian. Mudahnya, saya meminjam kata-kata ustaz Hasrizal di dalam artikel beliau Roda-roda haq dan bathil.

Ada masa kebenaran di pihak yang kuat.
Ada masa kebatilan di pihak yang kuat.
Ada masa kebatilan di pihak yang lemah.
Ada masa kebenaran di pihak yang lemah.

Ada masa kebenaran dan kebatilan itu sama-sama kekuatan dan kelemahan mereka.

Namun ketika kebenaran kuat atau lemah, ketika kebatilan kuat atau lemah, pertembungan antara kebenaran dan kebatilan tidak pernah mati. Sentiasa ada. Sentiasa berlaku. Sentiasa hadir mengisi realiti.

Ketika ‘Islam’ menang, kebatilan menguji.
Ketika ‘Islam’ kalah, kebatilan menguji.
Jika boleh, saya mahu simpulkan ujian itu adalah kebathilan. Sekadar tersenyum apabila membaca semula entri ini dari atas ke bawah. Saya bahagia bila benar-benar menyedari bahawa, hakikatnya hidup ini seluruhnya UJIAN.



Semoga kalian memahami. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)