07 February 2013

PELIT : gagal itu, terapi untuk berjaya!

بسم الله الرحمان الرحيم


Aku tidak rela terus-menerus dihantui dengan janji-janji pada diri.

Bismillah, walaupun badan dan minda ini letih sering ditukar-tukar switchnya. Arab-Inggeris-Melayu, Arab-Inggeris -Melayu. Aduh, subjek-subjek menarik untuk semester ini membuat minda sangat letih.

Apa pun cabarannya, aku tetap mahu menulis. Sesuatu yang lebih istimewa barangkali. Buat aku dan buat kalian.

Pernah Ustaz Zahiruddin Zabidi mengatakan bahawa beliau cemburu dengan kita para mahasiswa. Sebab, kita ada banyak idea untuk dituliskan. Setiap satu kelas yang kita hadiri, banyak perkongsian dan keunikan-keunikan yang kita perlu ceritakan kepada teman-teman kita di luar kelas itu.

Aku teringat. Kemudian, beransur-ansur letih dan penat yang mengguncang tubuh sebentar tadi hilang. Terasa disuntik semangat berkongsi yang luarbiasa!.

Kata-kata, nasihat, sindiran dan motivasi dari para pensyarah untuk tiga kelas pertama semalam masih hangat di gegendang telinga.

Sesekali, rasakanlah nikmatnya kegagalan

Belum pun kelas bermula, tiba-tiba datang segerombolan pelajar lelaki masuk ke dalam kelas kami di IRK LR6. Mereka masuk dan terus meluru masuk. Mahu bertemu pensyarah madkhal fiqh, DR Maszlee.

Di tangan masing-masing ada kertas. Pada aku, itu pasti kertas 'add manual' dan mereka mahu minta tandatangan Dr . Terkaan aku benar apabila tiba-tiba pensyarah intro fiqhku berkata.

"Kelas saya, ramai gagal. Kamu sedia mahu gagal?" Sambil menandatangan borang mereka, Dr Maszlee tersenyum. Nakal.

Pelajar yang berdatangan itu diam.

Aku juga terdiam. Detik mindaku sedang teringatkan lembaran-lembaran 20 tahun kehidupanku di muka bumi. Pesan Dr agar kami menikmati 'kegagalan' jika ia bertamu, membuat hatiku tersenyum pahit.

Benarlah, kegagalan itu bukan sesuatu yang menakutkan. Bukan juga sesuatu yang pahit semata. Ia lebih kepada terapi yang mendamba secebis SABAR.

Wajah mulus Dr Maszlee kembali aku tatap dalam-dalam. Wajah yang tidak lekang dari senyuman itu, tanpa disangka menyimpan sejuta ideologi untuk ummah. Wajah itulah, bakal aku hadapi sepanjang semester ini, Insyaallah.

 Jika dahulu aku bertemu beliau, sebagai seorang intelek aku boleh mengikuti atau meninggalkan percakapan beliau. Sedangkan kali ini, aku adalah pelajar dan beliau adalah guruku. Guru yang penghormatanku  hanya kurang sedikit dari ummi dan abi.

Mengingat penghormatan yang wajar aku berikan ini, ditambah pula ingatan-ingatan kepada 'kegagalan' dahulu, aku jadi bertambah semangat. Mendalami subjek-subjek yang aku ambil semester ini, kemudian memilih satu bidang untuk aku kuasai.

Bagiku sudah cukup  cukup sudah terapi kegagalan yang pernah aku lalaui. Apa pun, semangat sahaja tidak jadi tanpa perlaksanaan. Dan perlaksanaan inilah, aku mohon kalian doakan. Doakan aku, dan malaikat akan doakan kalian :-)

p/s: kawan-kawan kelas madkhal fiqh yang baca entri ini, jangan bagitahu Dr saya tulis entri ini. anggap sahaja saya menulis sesuatu yang fiksi dalam bentuk realiti. ^_^. Lagipun, saya kira tidak ada yang salah dalam kata-kata Dr . Bahkan sangat bermanfaat.. kan?

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)