31 July 2013

Larian terakhir, ayuh!

بسم الله الرحمان الرحيم

Jatuh sebentar

Gerak laju menulis kian mundur. 

Ada kekangan dan cabaran yang menghunjam diri. Apa jua cabaran dan rintangan, selalu mengajar kita menjadi lebih kuat hari demi hari. Minggu terakhir semester pendek, benar-benar membuat saya semput tidak menang tangan.

Assigment, peperiksaan, kerja-kerja persatuan dan penulisan semua itu amanah yang perlu saya langsaikan semuanya. Tidak boleh ada yang tercicir. 

Fokus ramadhah terasa makin menjauh dari target. 

Benarlah, kesibukan seringkali menjadi ujian terbesar untuk orang-orang sibuk. Patutlah Rasulullah berpesan agar kita menggunakan masa luang sebelum datangnya masa sempit. Detik ini, hadis itu benar-benar terasa!

Sesekali bila melalui situasi seperti ini, saya pasti singgah di teduhan kubah biru untuk mencicip secebis kekuatan. Tetapi seminggu ini, saya benar-benar tidak punya waktu untuk ke ruang keramat itu. Setiap kali kaki menapak puluhan anak-anak tangga ke Mahallah Sumaiyah itu, saya pasti berhenti sebentar. Merenung kubah biru yang tersergam indah dari kejauhan, dalam hati terdetik:
'ya Allah, kesibukan ini telah membuat aku sedikit jauh dari rumah-Mu. Tetapi aku sekali-kali tidak rela berjauhan dengan-Mu, ampunkan aku ya Allah!'

Hirisan hati yang sudah pedih, bertambah sakit bila ayat hafazan hari ini menceritakan kisah masjid-masjid yang dimasuki oleh mereka yang zhalim. Terasa benar tamparan ayat ini mengundang rasa takut yang benar-benar menyelubungi diri.

Takut.

 ومن أظلم ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه وسعى في خرابها أولئك ما كان لهم أن يدخلوها إلا خائفين...
Dan siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang menyekat penggunaan masjid-masjid Allah untuk menyebut nama Allah dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu. Orang-orang demikian tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah... (Al-baqarah:114)

Benar-benar takut. 

Masjid berkubah biru itu, seolah sudah menjadi sebahagian kehidupan saya sepanjang di UIAM ini. Perasaan takut datang bila membayangkan apa yang pernah dibuat para orang-orang zalim ini terhadap masjid-masjid. Semoga Allah terus pelihara UIAM, masjidnya dan terus melimpahkan barokah buat bumi kampus biru ini.

Saya akui, ada masa manusia terjatuh sebentar. Begitulah juga saya. 

Terjatuh sebentar di lubang kesibukan demi kesibukan membawa saya sedikit jauh dari target Ramadahn dan kebiasaan iktikaf di bawah kubah biru itu.Tetapi, ayat-ayat Allah ini seringkali membuat jiwa bangkit semula. Terasa ada ruh baru yang memberi semangat luarbiasa.

Al-quran ini, benar-benar sebuah ubat!

Tersedar

Kejatuhan itu membuat saya tersedar. 

Sepuluh terakhir ramadhan yang masih berbaki adalah ruang untk kita terus dan menambah dekatnya hubungan kita dengan Allah. Masa terus berlalu. Malam ini sahaja sudah masuk 23 Ramadhan.

Cuma tinggal lagi tujuh hari sahaja. Lambaian hari raya seolah menjadi mimpi ngeri buat saya. Ramadhan yang berbaki terlalu indah untuk dilepaskan sedangkan itulah hakikat yang harus diterima. Ah, mana mungkin masa itu mampu berhenti?

Lantaran, detik ini bukan masa untuk kita sesali tetapi untuk kita bergerak lebih laju menuju ilahi.

Saya teringat sebuah kata-kata indah dan tajam dari ustaz Pahrol Mohamad Juoi:


Keghairahan melakukan ibadah sunat, jangan sampai melupakan kita kepada kewajiban bertaubat..

Melupakan kewajiban taubat.


Taubat dari dosa itu, seperti minuman ubat untuk satu penyakit, dan boleh jadi sakitnya berterusan kerana kesihatan! ~ibnu qayyim al-jauziyyah~


Inilah sebabnya ramai antara kita masih belum tersedar pentingnya larian menuju Allah. Kita mungkin sudah masuk ke juzu 27 hari ini, sedekah kita pula mungkin setiap hari selama ramadhan, tetapi hati kita belum sampai di puncak TAQWA. Mengapa?

Kerana ibadah-ibadah sunat itu tidak masuk ke dalam lubuk yang mampu mengubah peribadi. Hati. Sebab, bila hati penuh dosa dan tidak dibersihkan dengan kewajiban taubat, ia susah melakat dan membentuk sedar. Sedangkan sedar itu, adalah punca manusia mula mendekat kepada tuhannya.

Menambah kelajuan larian

Ia mesti bermula dengan taubat yang ikhlas, murni semurni-murninya. Mesti.



 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحاً
"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya."(At-Tahrim: 8)

Akhir-akhir ramadhan ini, memang kita mahu menambah larian. 

Seperti juga sebuah perlawanan akhir sukan yang memerlukan kesungguhan untuk kita mencapai kemenangan. Tetapi, kemenangan itu takkan mampu kita gapai kalau pada peringkat awal kita tidak melepasinya.

Ya sekali lagi, peringkat pertama sebuah larian yang bersungguh-sungguh itu adalah taubat. Kembali kepada Allah dengan permohonan ammpun terhadap dosa-dosa yang telah memalit kesucian hati. Meninggalkan kesan calar di dinding putih untuk kelahiran kita duapuluh tahun yang lalu.

Kerana taubat itu wajib, dahulukan ia.

Setelah itu, segala amalan sunnat lain akan terasa mudah dan meluncur laju memenuhi ruang-ruang waktu yang masih tersisa. Percayalah, setiap perkara yang mengikut turutan dan peringkat yang benar akan sentiasa membuat jiwa kita lapang melaluinya. 

Bahkan rasulullah sendiri mengajarkan kita turutan dalam sesuatu amalan melalui sebuah hadis qudsi. Hadis kedua terakhir dari hadis 40 karya Imam Nawawi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ini, membawa sebuah mesej :


وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضته عليه.. 
..Dan tiada seorang hamba-Ku yang mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang ku fardhukan ke atas dirinya.  
ولا يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Kemudian dia berterusan  dan hambaKu sentiasa mendekatkan dirinya kepadaKu dengan ibadat sunat sehingga Aku mencintainya.
فإذا أحببته كنت سمعه الذي يسمع به، وبصره الذي يبصر به، ويده التي يبطش بها، ورجله التي يمشي بها
Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penghilatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.
ولئن سألني لأعطينه، ولئن استعاذني لأعيذنه
Dan sekiranya ia meminta kepadaKu nescaya Aku berikan kepadanya, dan sekiranya ia memohon perlindungan kepadaKu nescaya Aku melindunginya. (HR Bukhari)

Maha suci Allah, yang tidak pernah meninggalkan kita terkontang-kanting menyusun keutamaan dalam ibadah sendiri. Allah beritahukan kita apa yang menjadi keutamaan apabila kita mahu memulakan sebuah larian ibadah. 

Bermula dengan kewajiban taubat, ayuh kita teruskan larian terakhir!

Selamat berpesta ibadah!
-----------------------

* sempatkan juga menulis artikel ini, alhamdulillah..Ya allah,
Aku bertawassul dengan amal soleh ini, untuk kelancaraan tasmi' maqra' terakhir esok pagi jam 7.15 pagi! Sahabat-sahabat, doakan saya! :-)

Salam Ramadhan Mubarak! ~Zaharoh, 23 Ramadhan 1434 H~

29 July 2013

Di bawah teduhan kubah biru itu..

بسم الله الرحمان الرحيم




Di bawah teduhan kubah biru

Hujan lebat turun tiba-tiba. 

Di bawah teduhan kubah biru masjid SHAS itu, hati saya menjerit. Memohon doa-doa dan pengampunan. Kesempatan, ini waktu mustajab doa!

Tiba-tiba hujan berhenti. Agak aneh bagi yang memerhati. Iya, itu fenomena biasa sejak akhir-akhir ini. Saya lihat sekitar, semakin ramai orang memenuhi masjid itu. 

Masuk sepuluh hari terakhir ramadhan ini, semua orang semakin laju berlari. Demi menggapai sebuah trofi impian berupa Taqwa. Inilah suasana yang tidak saya dapati di Malaysia selain di masjid berkubah biru laut ini. Masjid universiti saya sendiri.

Di sini, sepuluh malam terakhir pasti dipenuhi manusia-manusia yang beri'tikaf. Dari wanita dewasa bersama anak-anak kecil mereka, guru-guru tahfiz bersama pelajar-pelajar mereka, artis-artis dan suami mereka, rakyat Malaysia seluruhnya, dan rakyat dari berbilang negara. 

Semuanya berkumpul di sini meraikan sepuluh malam terakhir mereka. 

Malam-malam di sini tidak akan sunyi lagi. Kanan, kiri, depan dan belakang gemanya tidak akan sunyi dari pesta ibadah. Terasa ramai, sampaikan saya terawang-awang membayangkan bagaimana pula jika di Makkah Al-mukarramah?

Pasti lebih ramai dan lebih meriah dengan pesta-pesta ibadah.




Kisah tahun lepas

Saya masih ingat kejadian tahun lepas di tingkat tiga masjid ini. 


Saya bertemu dengan seorang makcik tua sekitar 75 tahun. Dia mula menegur saya dan kami bersembang dengan sampai larut malam. Dia bercerita tentang anaknya yang menghantarnya ke masjid ini. Kemudian mereka pulang kerana esoknya kerja.

"Makcik tinggal di sini saja 10 hari. Tak mahu pulang. Di bandar sana tak selesa nak ibadah. Sepuluh malam terakhir pun, anak-anak tetap sibuk kerja. Mereka mana sempat nak bangun malam bila letih bekerja. kadang-kadang sahur dan Subuh pun tidak sempat."


Saya senyum mendengar ceritanya. Fenomena biasa orang bekerja. Tetapi, tidak biasa untuk hati orang-orang yang beriman. Saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya hati kecil yang mampu mendoakan.

Malam itu, saya tertidur dalam bayangan cerita-ceritanya. Jam 2 pagi saya terjaga. Saya melihatnya sedang membaca Al-quran. Kerana mengantuk, saya tidur semula dan bercadang mahu bangun jam 3.30 pagi.


Tepat jam 3 pagi, awal dari target saya terjaga dek mendengar lantunan ayat suci Al-quran  jelas di kuping telinga. Mak cik tadi sedang membaca Al-quran. Melihat saya terjaga, dia memandang saya dan berkata:


"Maaf nak, ganggu anak tidur kah?",


"Eh, tak makcik. Saya seronok dengar mak cik baca. Tapi mengantuk lagilah..", saya bersuara sambil duduk menyandar. Terasa beratnya mahu bangun. Masih mengantuk, tanpa sedar saya tertidur dalam sandaran dan lantunan ayat suci Al-quran makcik itu.


4.15 pagi.


Saya dikejutkan dengan bacaan Al-quran yang kuat dari pembesar suara. Orang sudah ramai memenuhi ruang solat untuk qiyamullail bersama. Saya bingkas berdiri. saya lihat makcik tadi masih khusyuk dalam solatnya. Quran hijau yang dibacanya jam 3 pagi tadi terselit kemas di antara beg kami berdua.


Saya terdetik, makcik ini tidak tidurkah?


Saya tiba-tiba malu pada diri sendiri. Pulasnya saya tidur, sampai malam ini mati dengan kematian sementara saya. Sedangkan saya ini masih muda dan kuat. Makcik itu, sepatutnya dialah yang berehat dek tulang-tulang tuanya yang kian rapuh.


Kadang-kadang kita terlupa.. 

Malam ini 21 Ramadhan.

Di bawah kubah biru masjid tahun lepas, saya lihat seorang makcik dari kejauhan.

Dia solat sendiri di tingkat paling bawah dan menyandar di dinding. Dengan balutan tudung koko bulatnya, ditambah pula cermin mata bulat dan besar itu saya mengagak umurnya sekitar 70-an. Kerut-kerut di wajahnya membuat dia terlihat tenang di usia begitu.

Dia angkat takbir, rukuk dan sujud sambil duduk. 

Tetapi. sujudnya tidak sama dengan sujud kita. Dahinya tidak mampu dicecahkan ke lantai. Saya sayu dan terkesan dengan kesungguhan makcik bertudung koko ini.

Mulalah diri terfikir, apakah sujud kita yang mencecah lantai selama ini kita syukuri?

Benar, kita manusia. 

Seringkali kita terlupa nikmat demi nikmat yang ditimpakan kepada kita. Adakalanya, kita merasa baik dengan kebaikan yang dibuat. Sedangkan, kita masih jauh dari satu nilai kesyukuran.

Pernahkah kita terfikir.

Di saat seorang tua yang solat di sebelah kita menggunakan kerusi dalam keadaan duduk, ada satu nikmat yang dia hilang walaupun nyawa masih kukuh memegang jasad..

Dia hilang nikmat sujud!

Sedar dan sedar, kita juga akan begitu nanti.

Atau seorang tua yang masih gagah berdiri, cuma matanya rabun sedikit. Mungkin juga seorang tua yang celik matanya, tetapi penyakit darah tinggi dan kencing manis bersarang dalam tubuhnya.

Nyata,dia masih memegang nikmat hidup seperti kita. Tetapi, dia sudah hilang nikmat syukur sedikit demi sedikit.

Sujud dan syukur.

Dua perkara yang membuat kita terus hidup. Kerana, banyak orang yang mati sebelum kematiannya kerana dia putus harap. Begitulah Allah memelihara kita sebagai hamba. Kita tahu, harapan kita untuk bernafas hari ini ada, sebab itu kita mampu terus hidup.

Bayangkan, Allah beritahu kita "esok, tiada harapan untuk dosa-dosamu diampun.."

Apakah kita sanggup menempuh hari esok?

Ah, itupun kita masih belum bersyukur. Detik yang terus berlalu bukan untuk kita kesali. Tetapi untuk kita syukuri. Walau kadang-kadang kita terlupa, pandanglah manusia dengan penuh rendah hati nescaya kita akan terus ingat.. hidup kita penuh nikmat.

Ingat, syurga itu bukan untuk orang yang sempurna. Tetapi syurga dicipta, untuk pendosa yang membersihkan dirinya..


"قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها"
"Sesungguhnya, telah berjaya siapa yang membersihkan(hatinya dengan ketaatan), dan sungguh merugikan siapa yang mengotorkannya (dengan maksiat)" (Surah Asy-Syams)

Memori demi memori di bawah teduhan kubah biru ini, akan saya ikat di dalam hati. Biar ia menjadi memori yang tidak basi dek berlalunya waktu. 

Biar ia menjadi pemuhasabah dikala saya jauh darinya nanti.. Doakan saya sahabat (^_^)

28 July 2013

Bermanfaatkah bacaan Al-quran kita?

بسم الله الرحمان الرحيم

Indah Al-quran itu pada isi dan pemahaman  mengenainya..


Dia pun tahu Al-Quran..

"Semalam waktu bibi pulang mengajar, uncle guard Chinese tu tanya bibi. Ada Al-quran terjemahan inggeris tak?", Bi Oya mula bercerita.

"Pak guard tanya nak Al-quran?", saya bertanya balik seolah aneh. Iyalah, pelajar universiti pun kadang-kadang ada yang masih kurang berminat dengan Al-quran.

"Iya, chinese lagi. Katanya mau belajar tentang semua agama." bi Oya menambah sambil memasukkan beg tangan ke dalam almari besi berwarna biru laut di sebelah pintu bilik.

Saya tercenung sebentar. Sambil mata ligat memandang luar jendela, memerhati lambaian pohon di sekitar Mahallah Sumaiyah itu. 

Saya, jadi teringat sebuah kisah dari seorang sahabat ketika daurah kami di sekolah lama. Beliau bercerita tentang pengalaman turung padang melakukan dakwah lapangan di sekitar sebuah kompleks membeli belah.

Mereka ditugaskan untuk mengedarkan borang penilaian yang berisi soalan-soalan mudah berkaitan islam. Borang itu disebarkan kepada semua yang lalu-lalang termasuk yang bukan islam. Antara soalannya:

1) Apa itu islam?
2) Siapa nabi umat islam?
3) Apa kitab umat islam?
Soalan disertakan dengan jawapan pilihan. Kebanyakan yang lalu di situ tahu. Tiba-tib datang seorang pakcik tua berumur 55 tahun. Ketika ditanya apa agamanya, dia menjawab islam.

Tetapi, tiada satu pun dari jawapan di atas dapat dijawabnya. Dia hanya mejawab 'Tidak tahu!'.

Cerita itu seolah menampar rasa selesa saya. Membuat duduk tidak sedap, tidur tidak nyaman. Bayangkan sahaja 55 tahun hidup sebagai 'islam', tetapi tidak tahu Al-quran. Apa mungkin dia membaca Al-quran?

Tetapi, bukan itu persoalan yang mengganggu kita hakikatnya.

Kita generasi Y, jika ada yang berada pada situasi saya pasti mengatakan :

"Apalah pakcik ni, Al-quran pun tidak tahu. Tengok uncle Cina tadi, dia pun tahu Al-quran itu kitab umat islam.."

Bukan soal dia, ini soal kita..

Ya, kita memang selalu mencemuh salah orang. Saya juga awalnya begitu. 

Tetapi, sesekali ayuh kita reflek semula apakah peranan kita? Setiap hari sepanjang Ramadhan kita mengejar bacaan Al-quran untuk khatam sehabis bulan ini. Siang malam kita habiskan masa membaca Al-quran di mana sahaja kita berada.

Tetapi, cuba kita hayati kata-kata  Ibnus Samak rahimahullah ini;

 “Wahai saudaraku... Betapa banyak orang yang mengajak ke jalan Allah sementara dia sendiri justru meninggalkan Allah. Dan betapa banyak orang yang membaca Kitab Allah sementara dirinya tidak terikat sama sekali dengan ayat-ayat Allah.”  ( Ta’thirul Anfas/ 570)

Ya, tanyakan diri.

Apakah bacaan sehari semalam ini mengikat aku dengan ayat-ayat Allah ini?
 ولا تبخسوا الناس أشياءهم 
“..Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya.." (Surah Hud: 85)

Muhammad Jarir Bin Tobari menjelaskan dalam tafsirnya tentang ayat ini, Sa'id berkata dari Qatadah : " Jangan menzalimi manusia pada urusan mereka".

Zalim itu, tidak menunaikan apa yang menjadi hak seseorang. Hak seorang muslim, bermula dari anak kecil hinggalah seorang pakcik tua ialah mengenal, memahami dan mempelajari Al-quran bermula dari hukum tajwid hinggalah makna tersirat dan tersurat.

Andai kita yang punya ilmu ini tidak menyampaikan, di mana mereka mahu mengais hak mereka?

Ilmu kita pula, tidak akan berkembang bila ia hanya tersimpan kaku di dalam buku. Lalu, di mana nilai ilmu bermanfaat yang kita mahukan itu?. Jelas, jahil itu bukan soal mereka. Tetapi soal kita. 

Bayangkan bila semua manusia berfikir tentang dirinya sendiri..


Hakikat ilmu bermanfaat

Ilmu yang paling bermanfaat itu, ada di dalam kelas. 

Ada di setiap inci perjalanan. Ada di dalam bilik-bilik kita. Ada juga di sekitar tempat perhentian bas. Ya, ia ada di mana-mana ketika kita berbekal dengan hati yang penuh taqwa. Iilmu itu akan melekat  seperti kencup melekat di kain seornag gadis.

Ilmu bermanfaat, ia bukan cuma di seminar-seminar ratusan ringgit. Bukan juga di hotel-hotel mewah yang menyediakan tazkirah dari profesor hebat. Bukan juga di atas sebuah kapal Titanic yang akhirnya karam sekadar meninggalkan kisah cinta yang kosong dari nilai akhirat.

Sekali lagi, ilmu itu ada di mana-mana. Cuma, pelekatnya yang berbeza.

Ada orang, melekat ilmu dengan penulisan. Ada orang melekat ilmu dengan hafalan. Ada juga, orang yang melekat ilmu dengan hikmah.

Maka, hikmah itulah yang paling berkesan di lubuk hati dan perubahan peribadi.

Saya teringat perkongsian dari Abdullah Al-waliy, adik lelaki saya katanya:

Tua tidak selalunya matang, muda tidak selalunya mentah.
Hikmah di tangan Allah, dan Dia berkuasa penuh memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki.
Keputusan, bukanlah di atas pengalaman, lamanya hidup atau tngginya pangkat... Namun ia berdasarkan ilmu yang dihayati ,difahami mengikut apa yang diajarkan oleh nabi kepada kita.
Terimalah pandangan sesiapapun kerana kekadang ilmu itu boleh dipelajari meskipun dari seorang pengemis...


Kamu benar adikku. 

Bila hikmah Allah limpahkan ke dalam hati, manusia akan melihat banyak perkara sebagai tanggungjawab. Kemudian, tanggungjawab  itulah yang menyebabkan dia meniti kehidupan sebagai sebuah ladang ilmu. 

Dia tidak akan biarkan ilmunya sia-sia bahkan bermanfaat untuk diri, keluarga dan ummah. Sebab dia tahu, mati itu pasti dan ilmu  ber,manfaat akan membuat dia terus hidup selepas kematiannya..

Saya memandang langit 19 Ramadhan yang kian menganjak kelam itu, terasa malam ini tiada masa ntuk tidur. Makin meningkat satu hari umur, dosa makin bertambah, tanggungjawab makin banyak. Peluang bertaubat juga kian cerah..

Jejak menuju 10 malam terakhir ini terasa cepat tanpa tertahan.. Allah, ampunkan kami !

Tetamu 'Syiah' dan mesej Taqwa

بسم الله الرحمان الرحيم

Maaf, gambar ini tiada kaitan. Sekadar melerai minda yang tegang. credit to- Bi oya.

Tetamu 'Syiah' di kelas

"Hal 'indaki nash asliy (Ada artikel asal pada kamu)?"

"Na'am, walakin fil ghurfah. (Mestilah ada ustaz, tapi di bilik..)", satu kelas ketawa. 

Hidayah memang begitu, bicaranya sering mengundang harmoni di dalam kelas. Saya cuma memerhati. Terasa ada nada lain pada pertanyaan ustaz itu.

"Min ein? (Kamu ambil artikel ini dari mana?)", ustaz melanjutkan pertanyaan.

"Ermm, dari internet ustaz. Saya tak ingat pula nama laman sesawangnya.", Hidayah masih di hadapan kami menjawab pertanyaan ustaz. Dia juga terlihat ragu dengan pertanyaan demi pertanyaan luar tajuk yang menyerangnya.

"Haazan nash min Syiah! (Artikel ini, dari Syiah)", ustaz berkata sambil bangun dari kerusi di bahagian paling belakang kelas.

"Haaah!!", satu kelas terjerit kecil. 

Hidayah yang paling kaget. 

Bayangkan sahaja, dia bertungkus lumus membuat pembentangan bertajuk 'adab-adab berbuka puasa' itu. Apatahlagi sekarang bulan Ramadhan, mesti semua orang memberi tumpuan kepada pembentangan beserta isi yang disampaikan.

Ustaz berjalan ke hadapan, menuju slide yang terbentang.

"Kamu cuba lihat, dalam artikel arab ini mereka tuliskan Ja'afar alaihissalam. Mereka memuliakan imam-imam mereka melebihi nabi. Lihat saja riwayat yang disertakan, tidak ada dari sumber hadis yang soheh. Tapi mereka letakkan riwayat dari kitab dan Imam mereka sahaja".

Kelas khusyuk mendengar penjelasan ustaz. Masih terkejut dengan 'tetamu' syi'ah yang hadir di dalam kelas kami hari ini. Semua pandang ustaz, saya pula pandang Hidayah. Dia kelihatan resah.

"Hidayah, kalau enti mahu terjemah artikel ini juga kah?", ustaz seolah mengerti gelora jiwa Hidayah.

"Eii, tak mau lah ustaz", cepat Hidayah menolak, dengan loghat kelantannya yang masih kedengaran. Saya cuma tersenyum melihat gelagatnya, seperti orang alergik sahaja.

Kenapa perlu alergik? 

Mendengar jawapan Hidayah, saya pandang kak Khalijah.

"Akak, kalau Zahra kan.. terjemah sajalah syiah pun. Ada benda kita boleh belajar dan tahu.",Seperti biasa saya menlontarkan pandangan tanpa dipinta.

Kak Khalijah cuma tersenyum. Tidak mengiakan, tidak pula menidakkan.

Kelas selesai.  Sepanjang perjalanan pulang saya masih fikirkan kejadian di kelas tadi. Mengapa perlu alergik dengan Syi'ah? Begitu juga kita tidak perlu alergik dengan agama-agama lain sehingga cuba membina benteng pemisah antara kita dan mereka.

Pada saya, ia bukan soal  Syiah itu bahaya  dan kita mesti jauhi.Ia soal kita sendiri belum kukuh dengan apa yang kita percaya. 

Kita belum yakin. 

Kerana yakin itu datang dari pengetahuan yang jelas dan mendalam. Kalau kita yakin tentang islam dan manhaj ahli sunnah wal jama'ah yang kita pegang ,mengapa perlu alergik dengan puak lain?

Patutlah, Allah sebutkan dalam Al-quran:
ياأيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كافة
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam islam secara seluruhnya..." (Albaqarah:208)


Mesej taqwa


Benar, syiah itu puak yang sesat, Tetapi, kita kan tidak sesat?


Bukankah orang yang tidak sesat itu, mukmin? Bukankah mukmin itu dia akan berlari menggarap apa yang Allah tujukan khusus untuknya?


Ya, Allah tujukan ayat ini untuk kita. Sekali lagi. Untuk kita, Mukmin..:



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman,
 كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ 

hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran;
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ 

 dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ 

Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
.وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Jeda.


Saya ulangi lagi ayat ini.


Ada mesej taqwa di situ. Ini sebenarnya asas mengapa saya mahu juga menterjemah walaupun artikel dari Syiah.


Jangan pernah rasa benci terhadap Syiah itu, mendorong kita berlaku tidak adil. Meninggalkan segala yang berkaitan dengan mereka tanpa ada rasa mahu menilai walau sedikit. Allah ingatkan kita, supaya berlaku adil. 


Kerana, adil itu dekat kepada taqwa.


Saya tertegun. 


Inilah rupanya punca kebanyakan kita masih di takuk lama. Terutamanya anak muda. Kita masih selalu takutkan hantu yang tidak pernah kita lihat. Bukankah itu satu kebodohan? Apatahlagi kita ini warga kampus yang hidup dalam budaya ilmu.


Berlaku adillah. Kerana  itu membawa kita dekat kepada taqwa yang kita cari di celah-celah Ramadhan yang masih berbaki ini..

25 July 2013

Akhirnya kita, bukan batu yang kaku!

بسم الله الرحمان الرحيم


Sebuah kisah cinta

"Status saya sekarang, complicated kak. Lapan pinangan, semua saya tolak."

Saya tergamam. Biar betul?

Atap dan lantai tingkat tiga masjid SHAS itu menjadi saksi bicaranya. Kelu, membuat persoalan di minda terbuku dan kami bersembang soal lain. Saya bertanyakan bila dia bila dia kan menamatkan pengajian. Dia pula balik menanyakan saya sudah berapa tahun di UIA ini.

Iera, umurnya muda satu tahun dari saya. Kami saling mengenal cuma sebentar ketika saya mengendalikan program seminar untuk wanita di Kolej Islam Antarabangsa. Wajahnya saja baru dua kali saya lihat, sebab purdah hitamnya hanya menampakkan dua biji mata yang bening.

Ini kali yang ketiga.

Pertemuan kali ini, membuat saya lebih mengenalinya. Rupanya Iera seorang yang bermatlamat jauh dan jelas. Patah katanya terlihat petah sehingga saya tidak merasa kaku walau hanya terdiam. Saya tekun mendengar cerita-ceritanya tanpa saya minta.


"Seronok dapat solat di UIA ni. Suasananya hidup, tapi saya mungkin tak sambung di UIA."
"Kenapa?", saya cuba berbicara juga.
"Sebab saya nak sambung pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Birmingham, UK. Itu pun kalau sudah nikah. Kalau belum dapat jawapan, mungkin sambung di UIA sahaja", 
Bicara semangatnya tadi berubah sedikit berat. Seperti ada sesuatu yang terbungkam dalam mindanya.


Biringham University- Teringin pula nak ke sini :-)


"Eh, sebenarnya Iera dah tunang ke belum?", 
Terpacul begitu sahaja soalan itu dari bibir saya. Masih keliru dengan keadaan sebenar, ditambah saya bukannya terlalu rapat dengan Iera. Saya pula, jenis punya rasa ingin tahu yang amat tinggi.


"Sebab itulah kak, saya kata status saya complicated. Tapi, yang lapan pinangan tu semua dah settel. Sekarang, saya sedang tunggu jawapan pinangan saya pula..", Iera bercerita seolah sudah lama mengenali saya.
"Apa?!. Iera yang pinang orang pulak.." 

saya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut. Untunglah saya tidak punya penyakit jantung, tetapi itupun membuat dada saya sesak dengan mata terbeliak.
"Melalui orang tengah la kak. Doakan ya..", dia menjawab pantas. Tidak mahu saya menyangka yang bukan-bukan.
Aduh dik, bukan itu soalnya. Akak tahu kamu yang solehah ini akan gunakan orang tengah. Cuma, minda akak masih belum dapat terima lapan pinangan orang yang kamu tolak ditambah pinanagn kamu kepada seorang lelaki. Benar-benar complicated.

Seribu persoalan menerjah ke minda. Saya tidak sempat bertanya panjang kepadanya. Pertemuan singkat itu terpaksa kami sudahi bila azan Isya' mula berkumandang. Ada Allah yang memanggil untuk kami utamakan.

Bulan di luar sudah purnama bertepatan hari ini 15 Ramadhan.


Satu-demi satu kisah hinggap di atas pundak saya sepanjang Ramadhan ini. Bukan untuk diabaikan, tetapi untuk kita cerna dan ibrahi. Di sela gerak kaki saya menuju saf pertama tempat beg dan alat solat saya, minda ligat mencerna kisah Iera tadi.

Apakah ini kisah cinta atau kecewa? Apa pun, doakan yang terbaik untuk saudara kita itu ibadah.


Kerana Rabi'ah ingin..

Hari yang sama. Cuma Rabi'ah, saya temukan di sebelah petang 15 Ramadhan itu.


"Baguslah bacaan Rabi'ah ni, Walaupun tak terlalu lancar tapi termasuk yang terbaik juga", saya memujinya tanda menghargai sebuah usaha keras darinya. 

"Sebelum ini tak begini pun Zahra. Tapi, lepas saya belajar dari kak Wardah inilah hasilnya alhamdulillah.", Rabi'ah menjawab sambil tersipu malu.

Sudah lama saya minta agar Allah hadiahkan saya pelajar yang mahu sungguh-sungguh mengaji. Bukan apa, Hari-hari saya di ruangan masjid membawa saya kepada 'perkampungan al-quran'. Orang-orang di situ semuanya sibuk membaca al-quran, memang indah suasana begitu. Cuma, saya dapati 50% dari mereka masih salah ketika membaca!

Aduh, kadang-kadang mereka tertukar huruf. Panjang pendek, waqaf dan washol masih tunggang langgang. Pernah satu kali, saya dengar seroang sister baca al-quran begitu laju sampai banyak maksud yang berubah.

Sejak itu saya tekad mahu menjadi guru mengaji untuk pelajar UIAM.

Sudah ada beberapa orang teman dan senior yang mahu belajar membaca al-quran, tetapi mereka tidak sungguh-sungguh. Beberapa janji mereka dengan saya dibatalkan ketika saya sudah luangkan masa untuk tunggu mereka.

Saya kesal dengan khianat mereka terhadap masa saya dan janji mereka. Semoga mereka tidak mengulanginya.

Bila kak Wardah minta saya ganti dia untuk ajarkan Rabi'ah, saya setuju. Walaupun hampir serik, saya tetap dengan nekad mengajar. Sebab saya belajar erti mendidik dari kak Wardah. Jiwa pendidiknya hebat. 

Setelah sekali mengajar Rabi'ah, saya sedar.

Ilmu ini, bermanfaat bila kita mahu menadahnya. Air yang mengalir, tanpa ada bekas yang menadah akan terus jatuh menghumban ke bumi. Menyerap ke dalam bumi dan menyuburkan tumbuhan, bukan manusia.

Sebab itu, bila saya lihat lancarnya bacaan Rabi'ah dengan bacaan yang tenang itu saya menyimpulkan sesuatu. Bacaannya bertambah baik kerana Rabi'ah ingin..bacaan semakin baik.


Dan akhirnya kita bukan batu yang kaku!


Kisah Iera dan Rabi'ah, bukan seperti kisah dongeng puteri Gunung Ledang. Bahkan ia kisah yang berlegar di sekitar kita, setiap detik dan saat.


Saya dapat merasakan, mengapa Iera nekad menolak lapan pinangan. Kemudian dia sanggup melakukan perkara paling 'mencabar' bagi seorang wanita, melamar lelaki. Pasti itu kerana sebuah rasa yang bernama cinta.

Dengan hati-hati melangkah, dia sedar bahawa dirinya manusia yang perlukan cinta. Segala pinangan yang datang ditepisnya untuk membuka ruang bagi sebuah cinta yang dia sendiri belum tahu jawapannya.

Begitu juga Rabi'ah.

Bermula dari 'ingin' dia bergerak selangkah.

Dipertemukan pula dengan kak Wardah sebagai fasilitator halaqahnya di UIA. Setelah kak Wardah tamat belajar, dia bergerak pula menemui saya. Masih tetap mahu belajar membaca Al-quran. Walaupun teman-temannya yang lain sibuk dengan urusan 'anak muda', dia tetap bergerak untuk belajar.

Begitulah seharusnya kita. Bergerak tanpa henti untuk peningkatan diri. Dengan rasa dan tenaga yang Allah beri, kita harus terus berlari. Kerana kita akhirnya nanti, bukan hanya batu yang kaku!

Gerak-gerak dan larian demi larian kita tidak pernah Allah abaikan walau pada satu detik masa. Teruskan berlari, sementara Ramadhan masih berbaki..




يا أيها الإنسان إنك كادح إلى ربك كدحا فملاقيه 
Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemui-Nya. (Al-Insyiqaaq : 6)

24 July 2013

Hidup seputar monolog dakwah ini..

بسم الله الرحمان الرحيم

Hari-hariku di ruangan itu..

Dua jam di hadapan laptop, jemari masih kaku.

Entah apa yang mahu disebarkan. Terlalu banyak permasalahan berkocak di dalam fikiran. Hafazan al-quran maqra' keenam itu saya sudahkan dahulu. Sedikit tenang setelah dibasuh dengan ayat-demi ayat yang diulang-ulang. 

Seperti biasa, masa luang saya sepanjang Ramadhan ini pastilah di ruangan solat wanita masjid SHAS. Beberapa orang makcik cleaner tekun membersihkan ruangan itu dengan tenaga empat kerat mereka. Sesekali mereka tersenyum dan menyapa pelajar yang keluar-masuk. Mulianya kerja mereka, sepertimana rasulullah memuliakan si wanita pencuci masjid nabi. 

Dua ekor burung kecil di hadapan saya leka berlompatan. Sampai ketika satu herdikan dari makcik cleaner berbaju hijau dan putih itu membuat mereka terbang agak tinggi. Hinggap di atas lubang-lubang bangunan masjid. Tanpa rasa terancam, penuh damai. 

Beberapa minit mak cik itu pergi, kedua-duanya kembali mendarat di atas hamparan karpet merah hati masjid Sulatan Haji Ahmad Shah itu. menyambung lompatan-lompatan kecil mereka yang lucu. Saya cuma memerhati. 

Bijak juga burung-burung kecil ini ya, mereka seolah tahu ini tempat mulia. Tempat yang padanya penuh berkah dan kedamaian. Mereka terkejut dengan sergahan dari mak cik tadi, tetapi mereka tetap kembali. Kemudian memberikan satu kicauan yang gemersiknya hanya dapat difahami oleh orang yang menikmati.

Begitulah hari-hari saya di ruangan itu. Memerhati gelagat manusia dan menyapa mereka bila perlu. Menebarkan kasih-sayang sesama muslim walau melalui sekuntum senyuman.


Burung kecil itu..

Burung kecil itu, membuat saya teringatkan kisah nabi Ibrahim dibakar. Kisah dari penceritaan guru-guru tadika saya. Memang, kisah ini tidak dapat dijelaskan kesahihannya, tetapi kisah ini dapat dilihat di dalam kitab-kitab tafsir dengan merujuk kepada ayat 69 Surah al-Anbiya'. 

Memetik kata-kata Ibnu Kathir didalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azhim, semua binatang-binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim as. kecuali cicak. 



Kisah ini berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Hatim, dari A'isyah ra. bahawa Rasulullah bersabda yg bermaksud :

"Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan ke dalam api, semua binatang yang melata dimuka bumi ini cuba memadamkan api, kecuali cicak, kerana sesungguhnya dia (cicak) meniupkan api keatas Nabi Ibrahim..." [Lihat juga Tafsir al-Munir, Wahbah al-Zuhaili, 9/93]. (sumber)

Riwayat ini menunjukkan, usaha setiap makhluk di bumi ini menyelamatkan sebuah kebenaran. Walaupun pada hakikatnya, mereka tidak berupaya memadamkannya. Bahkan, dengan kuasa Allah lah, api itu menjadi 'dingin'.

Dua ekor burung kecil itu masih melompat-lompat di hadapan saya. Barangkali mereka suka dengan irama al-quran yang berdengung di sekitas ruangan wanita masjid SHAS itu.

Subhanallah, burung kecil itu membawa saya kepada satu kesimpulan.

Usaha ke arah menegakkan kebenaran ini walaupun sedikit pengorbanannya, tetap mempunyai impak yang bernilai. Ya, sekarang ia belum terlihat. Tetapi, apabila kita bertemu Allah swt dihari Kiamat kelak ia pasti menjadi penambah berat timbangan kita, amiin.


Dakwah: Kita bergerak bukan kerana manusia..

"Zahra, terima kasih untuk semalam. Walaupun sebentar, ana rasa sangat bermanfaat", seorang sahabat menyatakan rasa hatinya. Jujur dan penuh rendah hati.

Mulanya saya tersenyum bahagia menerima kata-kata terima kasih ini. Saya merasakan usaha 'burung kecil' saya berhasil menambat hati manusia. Tetapi tiba-tiba juga saya terfikir, apakah hanya untuk ini?

Ya, ucapan terima kasih itu hak kita sesama manusia. Setelah hubungan dengan hamba kita leraikan, bagaimana pula hubungan kita dengan pencipta hamba?

Kita ini, kena bergerak untuk manusia dan bukan kerana manusia. Barulah dakwah dan usaha kita ada tujuan kemudian sedar dengan sebuah pengakhiran. Dakwah kita, akan sentiasa hidup sedangkan jasad kita inilah yang akan mati dikambus tanah.

Sebab itu, perkataan 'untuk' dan 'kerana' ini menjadi penunjuk ke mana arah kita sebenarnya?.

'Untuk' bermaksud khidmat kita akan terus mengalir buat ummah. Bertepatan dengan sebuah pujangga arab "خير الناس أنفعهم للناس" (Sebaik-baik manusia, adalah yang memberi manfaat untuk manusia lain)

Terjumpa kata-kata ini pada desktop di maktabah Darul hikmah IIUM :-)


'Kerana' membawa kita kepada sebuah sebab yang memangkin semangat. Bila kerana Allah, itu berarti misi kita jauh melangkaui kerak bumi dan angkasaraya. Kita punyai matlamat yang kekal tanpa ada pengakhiran. Matlamat itu pula, membuat kita selalu bermonolog dan mencantas segala riya' dan ujub. Kerana kita tahu Allah (matlamat kita) tahu segalanya.

Dia juga yang memberi peneman yang sejati dan soleh untuk kita bangkit dari terjatuh. Dia yang menyapa kita dengan peringatan-demi peringatan dari kitab suci al-quran. Dia juga yang mentarbiyah kita agar menilik sesuatu penuh dengan nilai insani melalui utusannya rasulullah shollallahu alaihi wa sallam.

Kerana itu, kita tidak akan bergerak kerana manusia. Takut nanti cuma sia-sia, kita kira ia tanda setia sedangkan cuma debu-debu yang jatuh di celahan kaca.

Hidup seputar monolog-monolog dakwah ini, membuat jiwa teguh di tengah sambaran ombak yang kian mengganas!

---------------------

Zaharoh Fajar Nina
15 ramadhan 1434H
6:20 pm

23 July 2013

Contengan Ramadhan: Ketika sabar mula berbuah..

بسم الله الرحمان الرحيم

Terus bersabar duhai diri!

Sabar: itu juga buah dari Taqwa. Ayuh garap taqwa dalam dirimu!


Bukan semua orang yang tersenyum itu bahagia. 
Bahkan mereka berusaha senyum untuk membahagiakan diri yang sengsara.

Bukan semua orang yang bermuram durja itu sengsara. 
Bahkan mereka tersenyum di malam-malam manusia sunyi dari dunia nyata.

 Begitulah.

Setiap kali saya mahu menulis, seribu satu persoalan datang ke dalam diri.

Untuk apa ini?
Apakah penulisan ini membawa aku menuju Allah?
Apa aku tidak tersalah dalam berkata-kata?

Takut.

Itulah hakikat perasaan saya ketika jemari laju menari di atas papan kekunci. Walaupun tulisan-tulisan itu terlihat gembira, hakikat hati penulisnya bukan begitu selamanya. Kritikan-kritikan tak berasas yang pernah diterima serta tempias dusta yang terkena pada diri membuat saya semakin kaku. 

Tiada bicara yang mampu diungkap.

Tetapi, sebauh matlamat memandu saya. Membungkus rasa galau dan melemparkannya jauh dari rimba hati ini. Walau terkadang ia masih mahu mengganggu lagi.

Matlamat untuk lulus dari peperiksaan dunia!

Bukankah Allah pernah berfirman kepada kita:

"ولنبلونكم بشيء من الخوف... وبشر الصابرين "
"Dan sesungguhnya kami akan berikan sedikit cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan...dan khabarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. " (Al-baqarah: 155)
Sabar.

Bukan mudah sebenarnya. Tetapi, itulah nilaian untuk sebuah berita gembira dari Allah!



Artikel demi artikel

Satu artikel untuk satu hari. 

Itu target saya sepanjang ramadhan ini. Bukan target kosong yang membawa sia-sia. Tetapi satu usaha memasak taqwa jauh ke dalam lubuh hati saya, dan semua manusia.

"Dia tidak mengajak saya... Allah, heret dia juga ke neraka ini!"

فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَلَاوَمُونَ* قَالُوا يَا وَيْلَنَا إِنَّا كُنَّا طَاغِين
Lalu mereka saling berhadapan dan saling menyalahkan. Mereka berkata: "Celakalah kita, sesungguhnya kita orang yang melampaui batas!" (Al-qalam: 30-31)

Tidak!

Saya tidak mahu tergolong dalam kalangan mereka yang saling mencela itu. Saya sudah berusaha, dan artikel-artikel inilah yang akan saya bawa ke hadapan Allah sebagai bukti. 

Memang, ia tidak cukup. Tetapi sekurang-kurangnya saya mengusahakan sesuatu yang kena dengan bakat yang Allah beri kepada saya.

Awalnya saya sempat berfikir, target ini sebagai cabaran buat saya. 

Mulalah saya menulis artikel pertama sampai kelapan. Masuk penulisan artikel kesembilan, saya mula terasa mahu rebah. Letih rupanya menulis dan menulis tanpa henti. Ditambah pula dengan amanah belajar sepanjang semester pendek ini agak padat. 

Sejenak saya memuhasabah. Rupanya saya salah.

Dakwah bukanlah untuk menyahut cabaran. Ia soal kemampuan dan kemahuan. Kalau ada 'mahu', semua perkara kita redah. Itulah intipati dakwah yang membuat Rasulullah Shollallahu alaihi wasallam tak pernah rebah.

Kini saya makin mengerti. Setelah artikel demi artikel saya tuliskan, buah dari usaha dan sabar itu kian terasa. Saya tidak pernah menyesal pernah meletakkan target untuk artikel di dalam blog ini. Biarlah tiada yang membaca, saya akan terus menyambung target saya.



Untuk dua yang sudah terlepas


"Tahniah Zahra, teruskan berlari.."
Saya membaca komen kak Fatma pada artikel kesebelas. 

Bibir dengan mudah membentuk senyuman. Terasa kata-kata itu mendorong saya untuk terus kuat dan gagah. Bukan semua orang memahami jiwa seorang penulis. Liku-liku yang dia redah sepanjang gerak jemari tak kekok menekan papan kekunci.

Serentak, teringat pula dokongan dari Jalidah.


"Sekejap lagi, mesti Zahra sudah tulis artikel baru."

Sebuah kata positif seolah memberi pencerahan untuk sebuah hasil. Saya terinspirasi. Untuk dua artikel yang masih saya hutangkan kepada diri sendiri, saya akan usahkan.

Bukan cuma hutang kepada diri, bahkan hutang ini kepada ummah. Berjela-jela tulisan tangan yang saya coretkan di dalam buku Intro Translation siang tadi. semua itu milik kita, dan bukan cuma saya. 

Doakan saya kuat dan nekad menulis untuk dua artikel yang sudah terlepas tarikh terbitnya.

Salam sayang buat semua. Saya rindukan sapaan-sapaan hangat dari kalian. Kita kan saudara :-)

--------------------------
Ramadhan Mubarak!
13 Ramadhan 1434H
7:05pm
IIUM SHAS mosque

22 July 2013

Contengan Ramadhan: Selagi kita mampu memberi..

بسم الله الرحمان الرحيم


Pertemuan pertama
 
"Terima kasih kak, perkongsian hari ni!",
Bersinar-sinar wajah Amal merenung saya.
Saya baru sahaja mengenalinya.

Namun, atas satu pemahaman manhaj yang sama Amal mudah mencerna pandangan saya. Memanglah, bukan semua pandangan saya itu tepat. Tetapi, sekurang-kurangnya dia faham kehendak hati saya dan dia itu sama.

Mengharap manusia bersama-sama menggigit erat al-quran dan as-sunnah dengan ilmu yang benar.

"Sama-sama Amal. kak Zahra pun, kalau tak ada Amal mana mungkin boleh sampaikan ilmu ni. "
"Maksudnya?"
" Macam Imam Abu Hanifah dengan murid-muridnya. Beliau gunakan metod pengajaran secara 'penyelesaian masalah'. Jadi beliau banyak meminta anak muridnya mengemukakan kemungkinan dalam masalah fiqh, kemudian baru beliau jawab. Maksudnya, kalau tak ada Amal bertanya soalan.. bekulah ilmu dalam minda akak ni.."
Amal tersenyum manis. Terasa dirinya memberi sumbangan dalam diskusi kami tadi.


Lagi-lagi bahasa arab..


Bahasa, ia perlukan cinta untuk menguasainya..

" Iya kan akak, rasa rugi pula tak belajar bahasa arab."
Amal menyatakan rasa kesalnya dengan wajah penuh harapan.

"Tak mengapa Amal, bahasa arab ini macam matematik. Kalau orang tu ambil Phd dalam bahasa arab sekalipun tetapi dia tak mengaplikasikan ilmu nahu, sorof, balagah itu dalam pemahaman al-qurannya, SIA-SIA," saya berusaha memujuk
.
Saya suka melihat kesungguhan Amal bertanya satu-persatu persoalan kepada saya tadi.

Bermula dari asal perkataan (qa-na-'ah) kemudian beralih kepada perkataan (zu-huud). Selepas itu, dia bertanya lagi makna sebenar perkataan-perkataan itu mengikut konteks sebenar. Tidak cukup dengan itu, dia menambah perkataan (is-ti-wa') untuk saya jelaskan.

Putaran kipas di Masjid SHAS berputar tepat di atas kepala kami. Kedudukan strategik menuntut ilmu. Ah, saya terasa seperti seorang guru mengajarkan anak muridnya yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Guru yang cetek ilmu, aduh..

"Ustaz subjek UNGS ni, selalu tanya perkataan asal term arabic. Lepas itu, kami satu kelas tak tahu nak jawab,"
Sambil mengenakan kacamatanya, Amal menyatakan sebab beliau bertanya kepada saya.

Saya memandangnya penuh minat. Bahagia sebenarnya bila ada adik-adik yang cintakan bahasa arab demi memahami agama. Jauh di sudut hati saya terfikir, mengapa adik-adik pengajian islam tidak punyai kesungguhan begini ni ya?

Termasuk Amal, suda ada beberapa orang yang bertanyakan ilmu berkaitan bahasa arab kepada saya. Mereka ini ada yang jurusan architecture, dentistry, engineering dan bukan Islamic Revealed Knowledge !

Saya terfikir, mungkin mereka sudah tahu dan merasa cukup dengan ilmu bahasa arab melalui pembacaan kitab-kitab arab mereka itu. tetapi, saya agak kecewa bila mendapati mubtada' dan khabar mereka pun masih salah.

Teringat kata-kata pensyarah fiqh saya semester lepas;
" Pelajar IRK kena keluar dari rung lingkup yang ada. Jangan sampai nanti orang kata kita ini permata yang basi."
 
Kata-kata beliau saya olah sedikit. Tetapi begitulah maksudnya lebih kurang.

Saya terpukul dengan kata-kata itu. Tambahan pula bila saya hadapi soalan demi soalan dari Amal. Saya terasa diri terlalu selesa di zon yang ada.

Sedangkan orang lain merangkak. Bahkan ada juga yang mengensot mencari di manakah mereka boleh menuntut ilmu bahasa arab. Terutamanya untuk mereka menikmati bacaan al-quran yang mulia.

Pilih gurumu, kerana dia agamamu

"Akak, bila saya dengar penjelasan akak saya dapat rasa bahasa arab ni kunci segala ilmu. Kalau macam saya ini, kan tak terlalu pakar dalam bahasa arab. Macamana saya mahu belajar ilmu islam secara benar?",
 
Wajah Amal berubah sugul. Ternyata, masih ada yang terbuku di mindanya.

"Mestilah boleh dik. Kak Zahra pun banyak baca artikel dan dengar kuliah-kuliah di you tube juga."
 
"Oh, maksudnya bolehlah ya belajar melaui you tube dan artikel internet?"
"Siapa yang kata tak boleh.. Cuma Amal, dalam mengambil ilmu ini kena ada cara. Para salafussoleh antaranya Ibnu Sirin meriwayatkan satu atsar dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'anhu katanya :

اُنْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ هَذَا الْعِلْمَ فَإِنَّمَا هُوَ دِينٌ

"Perhatikanlah dari siapa kamu mengambil ilmu ini, karena sesungguhnya ia adalah agama"


Ilmu, bukan pada tulisan tertera.. tetapi pada aliran kejujuran kepada Allah

Selesai berkongsi atsar itu, saya pandang wajah Amal. Dia terlihat sedikit lega. kemudian saya menyambung;

"Bila kita sudah tahu dari siapa kita perlu ambil, kita kena tahu juga dari siapa kita jangan ambil."
Ruang solat wanita tingkat dua itu semakin penuh. Lagi beberapa minit sahaja lagi waktu zohor akan masuk. Saya mempercepat penjelasan.

" Imam Malik rahimahullah ingatkan kita tentang hal ini katanya :

لاَ يُؤْخَذُ الْعِلْمُ عَنْ أَرْبَعَةٍ : سَفِيْهٍ مُعلِنِ السَّفَهِ , وَ صَاحِبِ هَوَى يَدْعُو إِلَيْهِ , وَ رَجُلٍ مَعْرُوْفٍ بِالْكَذِبِ فِيْ أَحاَدِيْثِ النَّاسِ وَإِنْ كَانَ لاَ يَكْذِبُ عَلَى الرَّسُوْل صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَ رَجُلٍ لَهُ فَضْلٌ وَ صَلاَحٌ لاَ يَعْرِفُ مَا يُحَدِّثُ بِهِ

"Ilmu tidak boleh diambil dari empat orang :
(1) Orang bodoh yang nyata kebodohannya,

(2) Shahibu hawa` (pengikut hawa nafsu) yang mengajak kita agar mengikuti hawa nafsunya,

(3) Orang yang dikenal dustanya dalam banyak pembicaraannya dengan manusia, walaupun dia tidak pernah berdusta atas (nama) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ,

(4) Seorang yang mulia dan shalih tetapi tidak mengetahui hadits yang dia sampaikan.[2]", saya menghela nafas keletihan.
"Oh, macam tu ya kak. Saya ingat tak boleh langsung belajar melalui internet."
 Amal merespon saya dengan baik. Mungkin dia kasihan melihat saya bercakap terlalu banyak.
"Eh, Amal jangan salah. Kak Zahra pun bukan menyokong seartus peratus pergantungan kita kepada internet ni. Yang terbaik adalah, sekurang-kurangnya kita ada tempat merujuk. Seseorang yang kita akui ilmunya dan kita rujuk setelah menonton You tube dan baca artikel di internet."
"Kalau macam artikel, macamana kita nak tahu bagus atau tidak?",
 Amal kelihatan masih belum puas. Mungkin baginya, tanggal 13 ramadhan hari ini dia harus rungkaikan segala kekusutan di jiwa.
"Mudah kak Zahra cakap. Antara penulisan dan video yang kak Zahra ikuti mengikut autoriti ilmuan tertentu.

Contoh Dr MAZA dengan bidang hadis dan bahasa arabnya. Jadi, bab bahasa dan pemilihan kata dalam penterjemahan kak Zahra suka cara Dr Maza. Untuk hal-hal tarbiyah dan dakwah, Ustaz Hasrizal terbaik. Kalau Dr Zaharuddin pula, mestilah bidang ekonominya. Dr Zahazan punyai kelebihan mengingat nama-nama ilmuan dan kitab-kitab tafsir dan Dr Maszlee kuat dengan hujjah global dan idea pemikiran."
Amal mengangguk-angguk perlahan. Bahasa badannya menunjukkan dia semakin jelas dengan kata-kata saya tadi. Senyumannya terlihat puas.

Azan Zohor di masjid berkumandang. Memenuhi seantero Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kami bergerak ke tempat wudhu'. Air yang mengalir ke wajah terasa dingin luar biasa. Rasa longlai tadi hilang sejurus berkongsi beberapa kerat ilmu dengan Amal. Selagi kita mampu memberi, alirkan ilmu itu sederas-derasnya. mungkin itulah penyambung hidup selepas kita mati.

Subhanallah, luarbiasanya kuasa memberi!
Teringat satu pepatah arab:
"Faaqidusy syai'i la yu'thi" ~Siapa yang tidak punya apa-apa, dia tidak dapat memberi~