28 July 2013

Bermanfaatkah bacaan Al-quran kita?

بسم الله الرحمان الرحيم

Indah Al-quran itu pada isi dan pemahaman  mengenainya..


Dia pun tahu Al-Quran..

"Semalam waktu bibi pulang mengajar, uncle guard Chinese tu tanya bibi. Ada Al-quran terjemahan inggeris tak?", Bi Oya mula bercerita.

"Pak guard tanya nak Al-quran?", saya bertanya balik seolah aneh. Iyalah, pelajar universiti pun kadang-kadang ada yang masih kurang berminat dengan Al-quran.

"Iya, chinese lagi. Katanya mau belajar tentang semua agama." bi Oya menambah sambil memasukkan beg tangan ke dalam almari besi berwarna biru laut di sebelah pintu bilik.

Saya tercenung sebentar. Sambil mata ligat memandang luar jendela, memerhati lambaian pohon di sekitar Mahallah Sumaiyah itu. 

Saya, jadi teringat sebuah kisah dari seorang sahabat ketika daurah kami di sekolah lama. Beliau bercerita tentang pengalaman turung padang melakukan dakwah lapangan di sekitar sebuah kompleks membeli belah.

Mereka ditugaskan untuk mengedarkan borang penilaian yang berisi soalan-soalan mudah berkaitan islam. Borang itu disebarkan kepada semua yang lalu-lalang termasuk yang bukan islam. Antara soalannya:

1) Apa itu islam?
2) Siapa nabi umat islam?
3) Apa kitab umat islam?
Soalan disertakan dengan jawapan pilihan. Kebanyakan yang lalu di situ tahu. Tiba-tib datang seorang pakcik tua berumur 55 tahun. Ketika ditanya apa agamanya, dia menjawab islam.

Tetapi, tiada satu pun dari jawapan di atas dapat dijawabnya. Dia hanya mejawab 'Tidak tahu!'.

Cerita itu seolah menampar rasa selesa saya. Membuat duduk tidak sedap, tidur tidak nyaman. Bayangkan sahaja 55 tahun hidup sebagai 'islam', tetapi tidak tahu Al-quran. Apa mungkin dia membaca Al-quran?

Tetapi, bukan itu persoalan yang mengganggu kita hakikatnya.

Kita generasi Y, jika ada yang berada pada situasi saya pasti mengatakan :

"Apalah pakcik ni, Al-quran pun tidak tahu. Tengok uncle Cina tadi, dia pun tahu Al-quran itu kitab umat islam.."

Bukan soal dia, ini soal kita..

Ya, kita memang selalu mencemuh salah orang. Saya juga awalnya begitu. 

Tetapi, sesekali ayuh kita reflek semula apakah peranan kita? Setiap hari sepanjang Ramadhan kita mengejar bacaan Al-quran untuk khatam sehabis bulan ini. Siang malam kita habiskan masa membaca Al-quran di mana sahaja kita berada.

Tetapi, cuba kita hayati kata-kata  Ibnus Samak rahimahullah ini;

 “Wahai saudaraku... Betapa banyak orang yang mengajak ke jalan Allah sementara dia sendiri justru meninggalkan Allah. Dan betapa banyak orang yang membaca Kitab Allah sementara dirinya tidak terikat sama sekali dengan ayat-ayat Allah.”  ( Ta’thirul Anfas/ 570)

Ya, tanyakan diri.

Apakah bacaan sehari semalam ini mengikat aku dengan ayat-ayat Allah ini?
 ولا تبخسوا الناس أشياءهم 
“..Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya.." (Surah Hud: 85)

Muhammad Jarir Bin Tobari menjelaskan dalam tafsirnya tentang ayat ini, Sa'id berkata dari Qatadah : " Jangan menzalimi manusia pada urusan mereka".

Zalim itu, tidak menunaikan apa yang menjadi hak seseorang. Hak seorang muslim, bermula dari anak kecil hinggalah seorang pakcik tua ialah mengenal, memahami dan mempelajari Al-quran bermula dari hukum tajwid hinggalah makna tersirat dan tersurat.

Andai kita yang punya ilmu ini tidak menyampaikan, di mana mereka mahu mengais hak mereka?

Ilmu kita pula, tidak akan berkembang bila ia hanya tersimpan kaku di dalam buku. Lalu, di mana nilai ilmu bermanfaat yang kita mahukan itu?. Jelas, jahil itu bukan soal mereka. Tetapi soal kita. 

Bayangkan bila semua manusia berfikir tentang dirinya sendiri..


Hakikat ilmu bermanfaat

Ilmu yang paling bermanfaat itu, ada di dalam kelas. 

Ada di setiap inci perjalanan. Ada di dalam bilik-bilik kita. Ada juga di sekitar tempat perhentian bas. Ya, ia ada di mana-mana ketika kita berbekal dengan hati yang penuh taqwa. Iilmu itu akan melekat  seperti kencup melekat di kain seornag gadis.

Ilmu bermanfaat, ia bukan cuma di seminar-seminar ratusan ringgit. Bukan juga di hotel-hotel mewah yang menyediakan tazkirah dari profesor hebat. Bukan juga di atas sebuah kapal Titanic yang akhirnya karam sekadar meninggalkan kisah cinta yang kosong dari nilai akhirat.

Sekali lagi, ilmu itu ada di mana-mana. Cuma, pelekatnya yang berbeza.

Ada orang, melekat ilmu dengan penulisan. Ada orang melekat ilmu dengan hafalan. Ada juga, orang yang melekat ilmu dengan hikmah.

Maka, hikmah itulah yang paling berkesan di lubuk hati dan perubahan peribadi.

Saya teringat perkongsian dari Abdullah Al-waliy, adik lelaki saya katanya:

Tua tidak selalunya matang, muda tidak selalunya mentah.
Hikmah di tangan Allah, dan Dia berkuasa penuh memberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki.
Keputusan, bukanlah di atas pengalaman, lamanya hidup atau tngginya pangkat... Namun ia berdasarkan ilmu yang dihayati ,difahami mengikut apa yang diajarkan oleh nabi kepada kita.
Terimalah pandangan sesiapapun kerana kekadang ilmu itu boleh dipelajari meskipun dari seorang pengemis...


Kamu benar adikku. 

Bila hikmah Allah limpahkan ke dalam hati, manusia akan melihat banyak perkara sebagai tanggungjawab. Kemudian, tanggungjawab  itulah yang menyebabkan dia meniti kehidupan sebagai sebuah ladang ilmu. 

Dia tidak akan biarkan ilmunya sia-sia bahkan bermanfaat untuk diri, keluarga dan ummah. Sebab dia tahu, mati itu pasti dan ilmu  ber,manfaat akan membuat dia terus hidup selepas kematiannya..

Saya memandang langit 19 Ramadhan yang kian menganjak kelam itu, terasa malam ini tiada masa ntuk tidur. Makin meningkat satu hari umur, dosa makin bertambah, tanggungjawab makin banyak. Peluang bertaubat juga kian cerah..

Jejak menuju 10 malam terakhir ini terasa cepat tanpa tertahan.. Allah, ampunkan kami !

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)