29 July 2013

Di bawah teduhan kubah biru itu..

بسم الله الرحمان الرحيم




Di bawah teduhan kubah biru

Hujan lebat turun tiba-tiba. 

Di bawah teduhan kubah biru masjid SHAS itu, hati saya menjerit. Memohon doa-doa dan pengampunan. Kesempatan, ini waktu mustajab doa!

Tiba-tiba hujan berhenti. Agak aneh bagi yang memerhati. Iya, itu fenomena biasa sejak akhir-akhir ini. Saya lihat sekitar, semakin ramai orang memenuhi masjid itu. 

Masuk sepuluh hari terakhir ramadhan ini, semua orang semakin laju berlari. Demi menggapai sebuah trofi impian berupa Taqwa. Inilah suasana yang tidak saya dapati di Malaysia selain di masjid berkubah biru laut ini. Masjid universiti saya sendiri.

Di sini, sepuluh malam terakhir pasti dipenuhi manusia-manusia yang beri'tikaf. Dari wanita dewasa bersama anak-anak kecil mereka, guru-guru tahfiz bersama pelajar-pelajar mereka, artis-artis dan suami mereka, rakyat Malaysia seluruhnya, dan rakyat dari berbilang negara. 

Semuanya berkumpul di sini meraikan sepuluh malam terakhir mereka. 

Malam-malam di sini tidak akan sunyi lagi. Kanan, kiri, depan dan belakang gemanya tidak akan sunyi dari pesta ibadah. Terasa ramai, sampaikan saya terawang-awang membayangkan bagaimana pula jika di Makkah Al-mukarramah?

Pasti lebih ramai dan lebih meriah dengan pesta-pesta ibadah.




Kisah tahun lepas

Saya masih ingat kejadian tahun lepas di tingkat tiga masjid ini. 


Saya bertemu dengan seorang makcik tua sekitar 75 tahun. Dia mula menegur saya dan kami bersembang dengan sampai larut malam. Dia bercerita tentang anaknya yang menghantarnya ke masjid ini. Kemudian mereka pulang kerana esoknya kerja.

"Makcik tinggal di sini saja 10 hari. Tak mahu pulang. Di bandar sana tak selesa nak ibadah. Sepuluh malam terakhir pun, anak-anak tetap sibuk kerja. Mereka mana sempat nak bangun malam bila letih bekerja. kadang-kadang sahur dan Subuh pun tidak sempat."


Saya senyum mendengar ceritanya. Fenomena biasa orang bekerja. Tetapi, tidak biasa untuk hati orang-orang yang beriman. Saya tidak mampu berkata apa-apa. Hanya hati kecil yang mampu mendoakan.

Malam itu, saya tertidur dalam bayangan cerita-ceritanya. Jam 2 pagi saya terjaga. Saya melihatnya sedang membaca Al-quran. Kerana mengantuk, saya tidur semula dan bercadang mahu bangun jam 3.30 pagi.


Tepat jam 3 pagi, awal dari target saya terjaga dek mendengar lantunan ayat suci Al-quran  jelas di kuping telinga. Mak cik tadi sedang membaca Al-quran. Melihat saya terjaga, dia memandang saya dan berkata:


"Maaf nak, ganggu anak tidur kah?",


"Eh, tak makcik. Saya seronok dengar mak cik baca. Tapi mengantuk lagilah..", saya bersuara sambil duduk menyandar. Terasa beratnya mahu bangun. Masih mengantuk, tanpa sedar saya tertidur dalam sandaran dan lantunan ayat suci Al-quran makcik itu.


4.15 pagi.


Saya dikejutkan dengan bacaan Al-quran yang kuat dari pembesar suara. Orang sudah ramai memenuhi ruang solat untuk qiyamullail bersama. Saya bingkas berdiri. saya lihat makcik tadi masih khusyuk dalam solatnya. Quran hijau yang dibacanya jam 3 pagi tadi terselit kemas di antara beg kami berdua.


Saya terdetik, makcik ini tidak tidurkah?


Saya tiba-tiba malu pada diri sendiri. Pulasnya saya tidur, sampai malam ini mati dengan kematian sementara saya. Sedangkan saya ini masih muda dan kuat. Makcik itu, sepatutnya dialah yang berehat dek tulang-tulang tuanya yang kian rapuh.


Kadang-kadang kita terlupa.. 

Malam ini 21 Ramadhan.

Di bawah kubah biru masjid tahun lepas, saya lihat seorang makcik dari kejauhan.

Dia solat sendiri di tingkat paling bawah dan menyandar di dinding. Dengan balutan tudung koko bulatnya, ditambah pula cermin mata bulat dan besar itu saya mengagak umurnya sekitar 70-an. Kerut-kerut di wajahnya membuat dia terlihat tenang di usia begitu.

Dia angkat takbir, rukuk dan sujud sambil duduk. 

Tetapi. sujudnya tidak sama dengan sujud kita. Dahinya tidak mampu dicecahkan ke lantai. Saya sayu dan terkesan dengan kesungguhan makcik bertudung koko ini.

Mulalah diri terfikir, apakah sujud kita yang mencecah lantai selama ini kita syukuri?

Benar, kita manusia. 

Seringkali kita terlupa nikmat demi nikmat yang ditimpakan kepada kita. Adakalanya, kita merasa baik dengan kebaikan yang dibuat. Sedangkan, kita masih jauh dari satu nilai kesyukuran.

Pernahkah kita terfikir.

Di saat seorang tua yang solat di sebelah kita menggunakan kerusi dalam keadaan duduk, ada satu nikmat yang dia hilang walaupun nyawa masih kukuh memegang jasad..

Dia hilang nikmat sujud!

Sedar dan sedar, kita juga akan begitu nanti.

Atau seorang tua yang masih gagah berdiri, cuma matanya rabun sedikit. Mungkin juga seorang tua yang celik matanya, tetapi penyakit darah tinggi dan kencing manis bersarang dalam tubuhnya.

Nyata,dia masih memegang nikmat hidup seperti kita. Tetapi, dia sudah hilang nikmat syukur sedikit demi sedikit.

Sujud dan syukur.

Dua perkara yang membuat kita terus hidup. Kerana, banyak orang yang mati sebelum kematiannya kerana dia putus harap. Begitulah Allah memelihara kita sebagai hamba. Kita tahu, harapan kita untuk bernafas hari ini ada, sebab itu kita mampu terus hidup.

Bayangkan, Allah beritahu kita "esok, tiada harapan untuk dosa-dosamu diampun.."

Apakah kita sanggup menempuh hari esok?

Ah, itupun kita masih belum bersyukur. Detik yang terus berlalu bukan untuk kita kesali. Tetapi untuk kita syukuri. Walau kadang-kadang kita terlupa, pandanglah manusia dengan penuh rendah hati nescaya kita akan terus ingat.. hidup kita penuh nikmat.

Ingat, syurga itu bukan untuk orang yang sempurna. Tetapi syurga dicipta, untuk pendosa yang membersihkan dirinya..


"قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها"
"Sesungguhnya, telah berjaya siapa yang membersihkan(hatinya dengan ketaatan), dan sungguh merugikan siapa yang mengotorkannya (dengan maksiat)" (Surah Asy-Syams)

Memori demi memori di bawah teduhan kubah biru ini, akan saya ikat di dalam hati. Biar ia menjadi memori yang tidak basi dek berlalunya waktu. 

Biar ia menjadi pemuhasabah dikala saya jauh darinya nanti.. Doakan saya sahabat (^_^)

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)