بسم الله الرحمان الرحيم
Jatuh sebentar
Gerak laju menulis kian mundur.
Ada kekangan dan cabaran yang menghunjam diri. Apa jua cabaran dan rintangan, selalu mengajar kita menjadi lebih kuat hari demi hari. Minggu terakhir semester pendek, benar-benar membuat saya semput tidak menang tangan.
Assigment, peperiksaan, kerja-kerja persatuan dan penulisan semua itu amanah yang perlu saya langsaikan semuanya. Tidak boleh ada yang tercicir.
Fokus ramadhah terasa makin menjauh dari target.
Benarlah, kesibukan seringkali menjadi ujian terbesar untuk orang-orang sibuk. Patutlah Rasulullah berpesan agar kita menggunakan masa luang sebelum datangnya masa sempit. Detik ini, hadis itu benar-benar terasa!
Sesekali bila melalui situasi seperti ini, saya pasti singgah di teduhan kubah biru untuk mencicip secebis kekuatan. Tetapi seminggu ini, saya benar-benar tidak punya waktu untuk ke ruang keramat itu. Setiap kali kaki menapak puluhan anak-anak tangga ke Mahallah Sumaiyah itu, saya pasti berhenti sebentar. Merenung kubah biru yang tersergam indah dari kejauhan, dalam hati terdetik:
'ya Allah, kesibukan ini telah membuat aku sedikit jauh dari rumah-Mu. Tetapi aku sekali-kali tidak rela berjauhan dengan-Mu, ampunkan aku ya Allah!'
Hirisan hati yang sudah pedih, bertambah sakit bila ayat hafazan hari ini menceritakan kisah masjid-masjid yang dimasuki oleh mereka yang zhalim. Terasa benar tamparan ayat ini mengundang rasa takut yang benar-benar menyelubungi diri.
Takut.
ومن أظلم ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه وسعى في خرابها أولئك ما كان لهم أن يدخلوها إلا خائفين...
Dan siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang menyekat penggunaan masjid-masjid Allah untuk menyebut nama Allah dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu. Orang-orang demikian tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah... (Al-baqarah:114)
Benar-benar takut.
Masjid berkubah biru itu, seolah sudah menjadi sebahagian kehidupan saya sepanjang di UIAM ini. Perasaan takut datang bila membayangkan apa yang pernah dibuat para orang-orang zalim ini terhadap masjid-masjid. Semoga Allah terus pelihara UIAM, masjidnya dan terus melimpahkan barokah buat bumi kampus biru ini.
Saya akui, ada masa manusia terjatuh sebentar. Begitulah juga saya.
Terjatuh sebentar di lubang kesibukan demi kesibukan membawa saya sedikit jauh dari target Ramadahn dan kebiasaan iktikaf di bawah kubah biru itu.Tetapi, ayat-ayat Allah ini seringkali membuat jiwa bangkit semula. Terasa ada ruh baru yang memberi semangat luarbiasa.
Al-quran ini, benar-benar sebuah ubat!
Tersedar
Kejatuhan itu membuat saya tersedar.
Sepuluh terakhir ramadhan yang masih berbaki adalah ruang untk kita terus dan menambah dekatnya hubungan kita dengan Allah. Masa terus berlalu. Malam ini sahaja sudah masuk 23 Ramadhan.
Cuma tinggal lagi tujuh hari sahaja. Lambaian hari raya seolah menjadi mimpi ngeri buat saya. Ramadhan yang berbaki terlalu indah untuk dilepaskan sedangkan itulah hakikat yang harus diterima. Ah, mana mungkin masa itu mampu berhenti?
Lantaran, detik ini bukan masa untuk kita sesali tetapi untuk kita bergerak lebih laju menuju ilahi.
Saya teringat sebuah kata-kata indah dan tajam dari ustaz Pahrol Mohamad Juoi:
Keghairahan melakukan ibadah sunat, jangan sampai melupakan kita kepada kewajiban bertaubat..
Melupakan kewajiban taubat.
Taubat dari dosa itu, seperti minuman ubat untuk satu penyakit, dan boleh jadi sakitnya berterusan kerana kesihatan! ~ibnu qayyim al-jauziyyah~ |
Inilah sebabnya ramai antara kita masih belum tersedar pentingnya larian menuju Allah. Kita mungkin sudah masuk ke juzu 27 hari ini, sedekah kita pula mungkin setiap hari selama ramadhan, tetapi hati kita belum sampai di puncak TAQWA. Mengapa?
Kerana ibadah-ibadah sunat itu tidak masuk ke dalam lubuk yang mampu mengubah peribadi. Hati. Sebab, bila hati penuh dosa dan tidak dibersihkan dengan kewajiban taubat, ia susah melakat dan membentuk sedar. Sedangkan sedar itu, adalah punca manusia mula mendekat kepada tuhannya.
Menambah kelajuan larian
Ia mesti bermula dengan taubat yang ikhlas, murni semurni-murninya. Mesti.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحاً
"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya."(At-Tahrim: 8)
Akhir-akhir ramadhan ini, memang kita mahu menambah larian.
Seperti juga sebuah perlawanan akhir sukan yang memerlukan kesungguhan untuk kita mencapai kemenangan. Tetapi, kemenangan itu takkan mampu kita gapai kalau pada peringkat awal kita tidak melepasinya.
Ya sekali lagi, peringkat pertama sebuah larian yang bersungguh-sungguh itu adalah taubat. Kembali kepada Allah dengan permohonan ammpun terhadap dosa-dosa yang telah memalit kesucian hati. Meninggalkan kesan calar di dinding putih untuk kelahiran kita duapuluh tahun yang lalu.
Kerana taubat itu wajib, dahulukan ia.
Setelah itu, segala amalan sunnat lain akan terasa mudah dan meluncur laju memenuhi ruang-ruang waktu yang masih tersisa. Percayalah, setiap perkara yang mengikut turutan dan peringkat yang benar akan sentiasa membuat jiwa kita lapang melaluinya.
Bahkan rasulullah sendiri mengajarkan kita turutan dalam sesuatu amalan melalui sebuah hadis qudsi. Hadis kedua terakhir dari hadis 40 karya Imam Nawawi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ini, membawa sebuah mesej :
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضته عليه..
..Dan tiada seorang hamba-Ku yang mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang ku fardhukan ke atas dirinya.
ولا يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Kemudian dia berterusan dan hambaKu sentiasa mendekatkan dirinya kepadaKu dengan ibadat sunat sehingga Aku mencintainya.
فإذا أحببته كنت سمعه الذي يسمع به، وبصره الذي يبصر به، ويده التي يبطش بها، ورجله التي يمشي بها
Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penghilatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.
ولئن سألني لأعطينه، ولئن استعاذني لأعيذنه
Dan sekiranya ia meminta kepadaKu nescaya Aku berikan kepadanya, dan sekiranya ia memohon perlindungan kepadaKu nescaya Aku melindunginya. (HR Bukhari)
Maha suci Allah, yang tidak pernah meninggalkan kita terkontang-kanting menyusun keutamaan dalam ibadah sendiri. Allah beritahukan kita apa yang menjadi keutamaan apabila kita mahu memulakan sebuah larian ibadah.
Bermula dengan kewajiban taubat, ayuh kita teruskan larian terakhir!
Selamat berpesta ibadah!
-----------------------
* sempatkan juga menulis artikel ini, alhamdulillah..Ya allah,
Aku bertawassul dengan amal soleh ini, untuk kelancaraan tasmi' maqra' terakhir esok pagi jam 7.15 pagi! Sahabat-sahabat, doakan saya! :-)
Salam Ramadhan Mubarak! ~Zaharoh, 23 Ramadhan 1434 H~
Inshallah..
ReplyDeleteTaqabbal Allahu Minna Wa Minkum (May Allah accept it from you and us. Eid Mubarak :)