25 July 2013

Akhirnya kita, bukan batu yang kaku!

بسم الله الرحمان الرحيم


Sebuah kisah cinta

"Status saya sekarang, complicated kak. Lapan pinangan, semua saya tolak."

Saya tergamam. Biar betul?

Atap dan lantai tingkat tiga masjid SHAS itu menjadi saksi bicaranya. Kelu, membuat persoalan di minda terbuku dan kami bersembang soal lain. Saya bertanyakan bila dia bila dia kan menamatkan pengajian. Dia pula balik menanyakan saya sudah berapa tahun di UIA ini.

Iera, umurnya muda satu tahun dari saya. Kami saling mengenal cuma sebentar ketika saya mengendalikan program seminar untuk wanita di Kolej Islam Antarabangsa. Wajahnya saja baru dua kali saya lihat, sebab purdah hitamnya hanya menampakkan dua biji mata yang bening.

Ini kali yang ketiga.

Pertemuan kali ini, membuat saya lebih mengenalinya. Rupanya Iera seorang yang bermatlamat jauh dan jelas. Patah katanya terlihat petah sehingga saya tidak merasa kaku walau hanya terdiam. Saya tekun mendengar cerita-ceritanya tanpa saya minta.


"Seronok dapat solat di UIA ni. Suasananya hidup, tapi saya mungkin tak sambung di UIA."
"Kenapa?", saya cuba berbicara juga.
"Sebab saya nak sambung pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Birmingham, UK. Itu pun kalau sudah nikah. Kalau belum dapat jawapan, mungkin sambung di UIA sahaja", 
Bicara semangatnya tadi berubah sedikit berat. Seperti ada sesuatu yang terbungkam dalam mindanya.


Biringham University- Teringin pula nak ke sini :-)


"Eh, sebenarnya Iera dah tunang ke belum?", 
Terpacul begitu sahaja soalan itu dari bibir saya. Masih keliru dengan keadaan sebenar, ditambah saya bukannya terlalu rapat dengan Iera. Saya pula, jenis punya rasa ingin tahu yang amat tinggi.


"Sebab itulah kak, saya kata status saya complicated. Tapi, yang lapan pinangan tu semua dah settel. Sekarang, saya sedang tunggu jawapan pinangan saya pula..", Iera bercerita seolah sudah lama mengenali saya.
"Apa?!. Iera yang pinang orang pulak.." 

saya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut. Untunglah saya tidak punya penyakit jantung, tetapi itupun membuat dada saya sesak dengan mata terbeliak.
"Melalui orang tengah la kak. Doakan ya..", dia menjawab pantas. Tidak mahu saya menyangka yang bukan-bukan.
Aduh dik, bukan itu soalnya. Akak tahu kamu yang solehah ini akan gunakan orang tengah. Cuma, minda akak masih belum dapat terima lapan pinangan orang yang kamu tolak ditambah pinanagn kamu kepada seorang lelaki. Benar-benar complicated.

Seribu persoalan menerjah ke minda. Saya tidak sempat bertanya panjang kepadanya. Pertemuan singkat itu terpaksa kami sudahi bila azan Isya' mula berkumandang. Ada Allah yang memanggil untuk kami utamakan.

Bulan di luar sudah purnama bertepatan hari ini 15 Ramadhan.


Satu-demi satu kisah hinggap di atas pundak saya sepanjang Ramadhan ini. Bukan untuk diabaikan, tetapi untuk kita cerna dan ibrahi. Di sela gerak kaki saya menuju saf pertama tempat beg dan alat solat saya, minda ligat mencerna kisah Iera tadi.

Apakah ini kisah cinta atau kecewa? Apa pun, doakan yang terbaik untuk saudara kita itu ibadah.


Kerana Rabi'ah ingin..

Hari yang sama. Cuma Rabi'ah, saya temukan di sebelah petang 15 Ramadhan itu.


"Baguslah bacaan Rabi'ah ni, Walaupun tak terlalu lancar tapi termasuk yang terbaik juga", saya memujinya tanda menghargai sebuah usaha keras darinya. 

"Sebelum ini tak begini pun Zahra. Tapi, lepas saya belajar dari kak Wardah inilah hasilnya alhamdulillah.", Rabi'ah menjawab sambil tersipu malu.

Sudah lama saya minta agar Allah hadiahkan saya pelajar yang mahu sungguh-sungguh mengaji. Bukan apa, Hari-hari saya di ruangan masjid membawa saya kepada 'perkampungan al-quran'. Orang-orang di situ semuanya sibuk membaca al-quran, memang indah suasana begitu. Cuma, saya dapati 50% dari mereka masih salah ketika membaca!

Aduh, kadang-kadang mereka tertukar huruf. Panjang pendek, waqaf dan washol masih tunggang langgang. Pernah satu kali, saya dengar seroang sister baca al-quran begitu laju sampai banyak maksud yang berubah.

Sejak itu saya tekad mahu menjadi guru mengaji untuk pelajar UIAM.

Sudah ada beberapa orang teman dan senior yang mahu belajar membaca al-quran, tetapi mereka tidak sungguh-sungguh. Beberapa janji mereka dengan saya dibatalkan ketika saya sudah luangkan masa untuk tunggu mereka.

Saya kesal dengan khianat mereka terhadap masa saya dan janji mereka. Semoga mereka tidak mengulanginya.

Bila kak Wardah minta saya ganti dia untuk ajarkan Rabi'ah, saya setuju. Walaupun hampir serik, saya tetap dengan nekad mengajar. Sebab saya belajar erti mendidik dari kak Wardah. Jiwa pendidiknya hebat. 

Setelah sekali mengajar Rabi'ah, saya sedar.

Ilmu ini, bermanfaat bila kita mahu menadahnya. Air yang mengalir, tanpa ada bekas yang menadah akan terus jatuh menghumban ke bumi. Menyerap ke dalam bumi dan menyuburkan tumbuhan, bukan manusia.

Sebab itu, bila saya lihat lancarnya bacaan Rabi'ah dengan bacaan yang tenang itu saya menyimpulkan sesuatu. Bacaannya bertambah baik kerana Rabi'ah ingin..bacaan semakin baik.


Dan akhirnya kita bukan batu yang kaku!


Kisah Iera dan Rabi'ah, bukan seperti kisah dongeng puteri Gunung Ledang. Bahkan ia kisah yang berlegar di sekitar kita, setiap detik dan saat.


Saya dapat merasakan, mengapa Iera nekad menolak lapan pinangan. Kemudian dia sanggup melakukan perkara paling 'mencabar' bagi seorang wanita, melamar lelaki. Pasti itu kerana sebuah rasa yang bernama cinta.

Dengan hati-hati melangkah, dia sedar bahawa dirinya manusia yang perlukan cinta. Segala pinangan yang datang ditepisnya untuk membuka ruang bagi sebuah cinta yang dia sendiri belum tahu jawapannya.

Begitu juga Rabi'ah.

Bermula dari 'ingin' dia bergerak selangkah.

Dipertemukan pula dengan kak Wardah sebagai fasilitator halaqahnya di UIA. Setelah kak Wardah tamat belajar, dia bergerak pula menemui saya. Masih tetap mahu belajar membaca Al-quran. Walaupun teman-temannya yang lain sibuk dengan urusan 'anak muda', dia tetap bergerak untuk belajar.

Begitulah seharusnya kita. Bergerak tanpa henti untuk peningkatan diri. Dengan rasa dan tenaga yang Allah beri, kita harus terus berlari. Kerana kita akhirnya nanti, bukan hanya batu yang kaku!

Gerak-gerak dan larian demi larian kita tidak pernah Allah abaikan walau pada satu detik masa. Teruskan berlari, sementara Ramadhan masih berbaki..




يا أيها الإنسان إنك كادح إلى ربك كدحا فملاقيه 
Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemui-Nya. (Al-Insyiqaaq : 6)

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)