22 July 2013

Contengan Ramadhan: Selagi kita mampu memberi..

بسم الله الرحمان الرحيم


Pertemuan pertama
 
"Terima kasih kak, perkongsian hari ni!",
Bersinar-sinar wajah Amal merenung saya.
Saya baru sahaja mengenalinya.

Namun, atas satu pemahaman manhaj yang sama Amal mudah mencerna pandangan saya. Memanglah, bukan semua pandangan saya itu tepat. Tetapi, sekurang-kurangnya dia faham kehendak hati saya dan dia itu sama.

Mengharap manusia bersama-sama menggigit erat al-quran dan as-sunnah dengan ilmu yang benar.

"Sama-sama Amal. kak Zahra pun, kalau tak ada Amal mana mungkin boleh sampaikan ilmu ni. "
"Maksudnya?"
" Macam Imam Abu Hanifah dengan murid-muridnya. Beliau gunakan metod pengajaran secara 'penyelesaian masalah'. Jadi beliau banyak meminta anak muridnya mengemukakan kemungkinan dalam masalah fiqh, kemudian baru beliau jawab. Maksudnya, kalau tak ada Amal bertanya soalan.. bekulah ilmu dalam minda akak ni.."
Amal tersenyum manis. Terasa dirinya memberi sumbangan dalam diskusi kami tadi.


Lagi-lagi bahasa arab..


Bahasa, ia perlukan cinta untuk menguasainya..

" Iya kan akak, rasa rugi pula tak belajar bahasa arab."
Amal menyatakan rasa kesalnya dengan wajah penuh harapan.

"Tak mengapa Amal, bahasa arab ini macam matematik. Kalau orang tu ambil Phd dalam bahasa arab sekalipun tetapi dia tak mengaplikasikan ilmu nahu, sorof, balagah itu dalam pemahaman al-qurannya, SIA-SIA," saya berusaha memujuk
.
Saya suka melihat kesungguhan Amal bertanya satu-persatu persoalan kepada saya tadi.

Bermula dari asal perkataan (qa-na-'ah) kemudian beralih kepada perkataan (zu-huud). Selepas itu, dia bertanya lagi makna sebenar perkataan-perkataan itu mengikut konteks sebenar. Tidak cukup dengan itu, dia menambah perkataan (is-ti-wa') untuk saya jelaskan.

Putaran kipas di Masjid SHAS berputar tepat di atas kepala kami. Kedudukan strategik menuntut ilmu. Ah, saya terasa seperti seorang guru mengajarkan anak muridnya yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Guru yang cetek ilmu, aduh..

"Ustaz subjek UNGS ni, selalu tanya perkataan asal term arabic. Lepas itu, kami satu kelas tak tahu nak jawab,"
Sambil mengenakan kacamatanya, Amal menyatakan sebab beliau bertanya kepada saya.

Saya memandangnya penuh minat. Bahagia sebenarnya bila ada adik-adik yang cintakan bahasa arab demi memahami agama. Jauh di sudut hati saya terfikir, mengapa adik-adik pengajian islam tidak punyai kesungguhan begini ni ya?

Termasuk Amal, suda ada beberapa orang yang bertanyakan ilmu berkaitan bahasa arab kepada saya. Mereka ini ada yang jurusan architecture, dentistry, engineering dan bukan Islamic Revealed Knowledge !

Saya terfikir, mungkin mereka sudah tahu dan merasa cukup dengan ilmu bahasa arab melalui pembacaan kitab-kitab arab mereka itu. tetapi, saya agak kecewa bila mendapati mubtada' dan khabar mereka pun masih salah.

Teringat kata-kata pensyarah fiqh saya semester lepas;
" Pelajar IRK kena keluar dari rung lingkup yang ada. Jangan sampai nanti orang kata kita ini permata yang basi."
 
Kata-kata beliau saya olah sedikit. Tetapi begitulah maksudnya lebih kurang.

Saya terpukul dengan kata-kata itu. Tambahan pula bila saya hadapi soalan demi soalan dari Amal. Saya terasa diri terlalu selesa di zon yang ada.

Sedangkan orang lain merangkak. Bahkan ada juga yang mengensot mencari di manakah mereka boleh menuntut ilmu bahasa arab. Terutamanya untuk mereka menikmati bacaan al-quran yang mulia.

Pilih gurumu, kerana dia agamamu

"Akak, bila saya dengar penjelasan akak saya dapat rasa bahasa arab ni kunci segala ilmu. Kalau macam saya ini, kan tak terlalu pakar dalam bahasa arab. Macamana saya mahu belajar ilmu islam secara benar?",
 
Wajah Amal berubah sugul. Ternyata, masih ada yang terbuku di mindanya.

"Mestilah boleh dik. Kak Zahra pun banyak baca artikel dan dengar kuliah-kuliah di you tube juga."
 
"Oh, maksudnya bolehlah ya belajar melaui you tube dan artikel internet?"
"Siapa yang kata tak boleh.. Cuma Amal, dalam mengambil ilmu ini kena ada cara. Para salafussoleh antaranya Ibnu Sirin meriwayatkan satu atsar dari Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'anhu katanya :

اُنْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ هَذَا الْعِلْمَ فَإِنَّمَا هُوَ دِينٌ

"Perhatikanlah dari siapa kamu mengambil ilmu ini, karena sesungguhnya ia adalah agama"


Ilmu, bukan pada tulisan tertera.. tetapi pada aliran kejujuran kepada Allah

Selesai berkongsi atsar itu, saya pandang wajah Amal. Dia terlihat sedikit lega. kemudian saya menyambung;

"Bila kita sudah tahu dari siapa kita perlu ambil, kita kena tahu juga dari siapa kita jangan ambil."
Ruang solat wanita tingkat dua itu semakin penuh. Lagi beberapa minit sahaja lagi waktu zohor akan masuk. Saya mempercepat penjelasan.

" Imam Malik rahimahullah ingatkan kita tentang hal ini katanya :

لاَ يُؤْخَذُ الْعِلْمُ عَنْ أَرْبَعَةٍ : سَفِيْهٍ مُعلِنِ السَّفَهِ , وَ صَاحِبِ هَوَى يَدْعُو إِلَيْهِ , وَ رَجُلٍ مَعْرُوْفٍ بِالْكَذِبِ فِيْ أَحاَدِيْثِ النَّاسِ وَإِنْ كَانَ لاَ يَكْذِبُ عَلَى الرَّسُوْل صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , وَ رَجُلٍ لَهُ فَضْلٌ وَ صَلاَحٌ لاَ يَعْرِفُ مَا يُحَدِّثُ بِهِ

"Ilmu tidak boleh diambil dari empat orang :
(1) Orang bodoh yang nyata kebodohannya,

(2) Shahibu hawa` (pengikut hawa nafsu) yang mengajak kita agar mengikuti hawa nafsunya,

(3) Orang yang dikenal dustanya dalam banyak pembicaraannya dengan manusia, walaupun dia tidak pernah berdusta atas (nama) Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam ,

(4) Seorang yang mulia dan shalih tetapi tidak mengetahui hadits yang dia sampaikan.[2]", saya menghela nafas keletihan.
"Oh, macam tu ya kak. Saya ingat tak boleh langsung belajar melalui internet."
 Amal merespon saya dengan baik. Mungkin dia kasihan melihat saya bercakap terlalu banyak.
"Eh, Amal jangan salah. Kak Zahra pun bukan menyokong seartus peratus pergantungan kita kepada internet ni. Yang terbaik adalah, sekurang-kurangnya kita ada tempat merujuk. Seseorang yang kita akui ilmunya dan kita rujuk setelah menonton You tube dan baca artikel di internet."
"Kalau macam artikel, macamana kita nak tahu bagus atau tidak?",
 Amal kelihatan masih belum puas. Mungkin baginya, tanggal 13 ramadhan hari ini dia harus rungkaikan segala kekusutan di jiwa.
"Mudah kak Zahra cakap. Antara penulisan dan video yang kak Zahra ikuti mengikut autoriti ilmuan tertentu.

Contoh Dr MAZA dengan bidang hadis dan bahasa arabnya. Jadi, bab bahasa dan pemilihan kata dalam penterjemahan kak Zahra suka cara Dr Maza. Untuk hal-hal tarbiyah dan dakwah, Ustaz Hasrizal terbaik. Kalau Dr Zaharuddin pula, mestilah bidang ekonominya. Dr Zahazan punyai kelebihan mengingat nama-nama ilmuan dan kitab-kitab tafsir dan Dr Maszlee kuat dengan hujjah global dan idea pemikiran."
Amal mengangguk-angguk perlahan. Bahasa badannya menunjukkan dia semakin jelas dengan kata-kata saya tadi. Senyumannya terlihat puas.

Azan Zohor di masjid berkumandang. Memenuhi seantero Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kami bergerak ke tempat wudhu'. Air yang mengalir ke wajah terasa dingin luar biasa. Rasa longlai tadi hilang sejurus berkongsi beberapa kerat ilmu dengan Amal. Selagi kita mampu memberi, alirkan ilmu itu sederas-derasnya. mungkin itulah penyambung hidup selepas kita mati.

Subhanallah, luarbiasanya kuasa memberi!
Teringat satu pepatah arab:
"Faaqidusy syai'i la yu'thi" ~Siapa yang tidak punya apa-apa, dia tidak dapat memberi~

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)