05 October 2013

Travelog menuju pernikahan..



بسم الله الرحمان الرحيم



Dah tau nak letak gambar apa:-) "Perjalanan kita masih jauh.. La hawla wala quwwata illa billah."


Nadi galaksi


" What is family ? ",

Soalan pertama Sir Ismail Yunus pagi itu menjentik kemalasan minda.

Maklumlah, mahu ke kelas hari Sabtu memang sebuah cabaran untuk kebanyakan pelajar universiti seperti  saya. Cuma untuk kelas ini, Sir Ismail pandai mengubah cabaran itu kepada santai.

Saya merenung anak mata pensyarah  berwajah ala-ala Syah Rukh Khan itu, mencari jawapan.

“Apa itu keluarga ?”,

Sir mengulang soalan beliau dengan bahasa ibunda pula. Masih menanti jawapan dari sekitar 30 pelajar di kelas Aikol LR 6 yang dingin.

“Satu kumpulan yang terdiri daripada Mak, ayah dan anak-anak..”
Seorang pelajar lelaki berbaju merah belang-belang putih bersuara.


“Family is person that we can understand and put our trust.”, seorang pelajar perempuan memakai shawl biru menjawab penuh yakin dengan slank American english. Duduknya tepat di belakang saya. Jelas.


“Semua takrif itu betul”, Sir mula bersuara meraikan pandangan pelajar-pelajarnya.

“...Keluarga adalah nadi sebuah komuniti.”

Semua terdiam. Tidak menyangka itu jawapannya. Bahkan jawapan Sir itulah yang paling tepat. Ya, ia nadi sebuah komuniti.
“Komuniti pula, nadi kepada masyarakat.
Kemudian, kita zoom-out lagi. Masyarakat adalah nadi kepada sebuah negeri. Negeri adalah nadi kepada sebuah negara. Negara adalah nadi kepada dunia dan bumi.

Bumi pula, nadi kepada galaksi bima sakti. Galaksi bima sakti adalah nadi kepada alam semesta dan begitulah seterusnya..”

Saya membayangkan galaksi yang luas itu.

Disebabkan dahulu saya peminat tegar bidang astronomi, saya memang selalu meneroka galaksi-galaksi dan berkawan dengan planet-planet. Sampaikan, saya pernah bermimpi menjadi angkasawan muslimah pertama dunia. Lucu pula bila teringat mimpi itu.

Subhanallah.

Pantas terlantun tasbih dari bibir membayangkan betapa nadi sebuah galaksi terbesar itu bermula dari FAMILY. Maha suci Allah yang mengatur keindahan wujudnya sebuah institusi keluarga!


Nadi yang lebih utama

“Ok, sekarang cuba kita zoom-in pula. Apakah nadi sebuah keluarga?”

Soalan Sir sekali lagi menjentik keasyikan saya mengagumi sebuah institusi keluarga yang juga disebut baitul muslim. Rasanya saya tahu..

“Yes. Ayah, ibu, anak-anak, nenek dan semua ahli keluarga adalah nadi sebuah institudi keluarga”,
 Huh, Sir ini tahu sahaja jawapan dalam benak saya. Kesal kerana tidak menjawab dahulu tadi.

“Nadi bagi ahli keuarga pula?”, Sir belum puas dengan jentikan soalan-soalannya.

“Toleransi dan saling memahami...? ”, sebuah suara dari sisi kanan saya menjawab dalam nada persoalan.

“Heart”, saya menjawab perlahan.

“Tepat!”, sir dengar juga rupanya.


“Nadi dalam diri ibu, ayah, anak-anak dan semua manusia adalah HATI. Apa maksudnya? Apa dalilnya? Ya, lihat rasulullah SAW pernah bersabda mafhumnya (ada seketul daging dalam diri manusia, kalau baik ia maka baiklah tubuh manusia seluruhnya)”

Perlahan, saya alihkan pandangan ke lantai kelas.

Jubin keemasan dengan beberapa tompokan hitam bekas tapak kasut itu saya tenung dalam-dalam. Seolah terpancarkan hati sendiri, saya jadi malu. Betapa hati yang penuh tompokan hitam, kelabu dan debu-debu ini perlu dijernihkan..

“If someone hurt your heart, where do you feel?”

Saya terdiam dalam bicara hati yang bergetus-getus mahu meluahkan. Tetapi rupanya Sir lebih bijak menangani rasa hati kami. 

Soalan itu, bukannya perlukan jawapan, tetapi sebuah sindiran untuk menyedarkan.

Hati, nadi ruh dan jasad yang lebih utama. Kerana ia umpama processor bagi sebuah komputer. Kalau rosak, tidak akan bergerak!


‘People of victory’ dalam pernikahan.
“Yes, we have to purify our heart. Bersihkan hati dari perasaan sakit yang menyengat”, 
Suara datar Sir Ismail Yunus menyusup lembut ke dalam gegendang telinga. Seolah mengetuk kuat bibir menyebut ‘astaghfirullah’.


قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا * وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

Sesungguhnya, berjayalah siapa yang menyucikannya(hati) dan rugilah siapa yang mengotorinya..

Inilah firman Alllah yang berbentuk janji-Nya untuk mereka yang mengejar gelaran ‘people of victory’ ”


Saya meraup wajah. 

Merenung tajam bait-bait tulisan yang saya tercatat dalam buku CCFM di atas meja saya. Sesekali saya menyelak muka belakang buku untuk membuang resah. Saya terus menunggu Sir menyambug bicara emasnya.

“Jadi sekarang, kamu masih bujang. Apa relevan kelas pengurusan kekeluargaan ini untuk kamu?”

“Preparation..”, dengan suara rendah kelas menjawab.

“Our duty is to purify our heart. Untuk menjadi seorang ibu dan isteri, awak perlukan hati yang bersih. Untuk menjadi seorang lelaki gagah bergelar ayah dan suami, juga kamu perlukan hati yang bersih. Memang, tugas ibu dan ayah berbeza tetapi ia perlukan satu tempat yang sama, HATI.”

People of victory, manusia yang menang! 

Saya menjerit dalam hati sambil menyemat kata-kata itu lekat dalam hati dan tulisan tangan walaupun agak buruk. Biar satu masa saya perlukan kata-kata ini akan berbicara dalam susunan aksara.

“Cuba lihat perkaitan yang tidak terputus..”, 

Sir memandang saya sambil tersenyum. Suka melihat pelajarnya ternanti-nanti mungkin. Saya baliksenyum kepadanya.

“Manusia yang menang ini, akan tahu hak dan tanggungjawab masing-masig sebagai suami isteri..

..Seterusnya mereka akan tahu bagaimana mendirik anak-anak menjadi kahlifah yang tawadhu..

..Dari anak-anak beriman ini, akan terhasillah komuniti yang baik seterusnya negara yang baik. Maka, hasil dari semua ini adalah keberkatan dan  rahmat dari Allah. ”

Kelas tamat.
 
Siang itu, saya pulang dengan sebuah bekal ilmu yang tersusun rapi dalam kotak fikiran. 

Untuk sebuah travelog menuju pernikahan, kita tidak akan berbincang lagi soal calon atau apa-apa yang belum pasti. Tetapi kita akan terus berbincang soal bagaimana aqidah dan keimanan membentuk hati.

Kerana hati yang buruk dan busuk terhasil dari aqidah yang rapuh dan keyakinan yang menjelikkan. Mana mungkin seorang pendusta mempunyai aqidah yang benar? Mana mungkin seorang pengeluh nasib meyakini qadha dan qadar dengan Iman.Mana mungkin juga mereka yang tercela aqidahnya mampu benar-benar membersihkan hati dan menuju Allah dengan hati yang tenang dan diredhai. 

Langkahan kaki terus dipanjangkan, merintih agar diri pulang ke kampung syurga bersama pasangan dan keluarga yang diredhai pemilik diri, Allah.

Katakan, Amiin..  



~5:35pm | 5 Oktober 2013~

30 September 2013

Bukan salahnya pernikahan..

بسم الله الرحمان الرحيم



Pic- Walimah kak Asma Semoga terus barokah! ~gambar hiasan~

 Ana macam tak mahu kahwin


"Ana rasa macam tak mahu kahwin!", 

cetusan pandangannya tiba-tiba memecah kesunyian makan-makan petang kami. Secangkir teh peneman perbualan kami terlihat masih berasap. Sesekali asap itu melentok kek kanan kemudian hilang ditelan udara.

"Kenapa cakap macam tu?", 
saya cuba memberi perhatian kepadanya.

"Erm, bukan tak mahu. Tapi MACAM tak mahu.."


"Oh, ada jugak ye begitu?",
saya ketawa kecil. Sambil menghirup teh Indonesia yang tersedia, saya cuba mencari idea menghidupkan perbincangan.


"Erm, enti pernah kecewa dengan sesiapa kah?"

"Kecewa? Tak adalah..", 
dia menjawab tanpa memandang saya yang sedia merenungnya.


"Habis tu, kenapa 'macam' tak mahu kahwin?"

"Saja.. Tak ada apalah tadi tu. Tetiba saja nak terkeluar..", 
dia menyambut soalan saya acuh tak acuh sambil meneruskan hirupan teh panasnya.

Saya tidak puas hati.


"Kalau ada lelaki yang sebaik ayah enti, sesoleh adik lelaki enti dan bertanggungjawab seperti abang enti.. takkan enti sanggup tolak lamaran bila dia melamar awak?", 
sengaja saya memancingnya.


" Dah tu, takkan nak kahwin dengan ayah, abang atau adik lelaaki kot..", 
Dia menjawab soalan yang tidak perlukan jawapan dari saya.

Aha, pancingan mengena! Saya syok sendiri.

Sambil tersenyum 'menang' saya mula menasihatinya,
"Ah, jadi sekarang Zahra faham kenapa.."

"Faham 'kenapa' apanya?. Zahra ni suka buat assumption tiba-tiba. Entah betul entahkan tidak",
nadanya kedengaran tidak puas hati.

Sambil menuangkan teh yang masih berbaki di dalam teko, saya mengukir senyuman sambil memandang wajahnya.Selesai menuang, saya mulakan bicara santai sehikmah mungkin.


Bukan tidak mahu, tetapi kerana keliru

"Kenapa enti 'macam' tak mahu kahwin tu,, sebab enti keliru dengan diri sendiri. Kan?"

Dia cuma diam menanti saya menyambung bicara. Dia juga tahu dirinya sudah 'masuk perangkap' yang dibuatnya sendiri.

Saya dan dia sudah berkawan lama, masakan dia belum mengerti identiti 'kepolisan' yang ada pada saya. Kalau sudah buka satu topik, saya tidak suka topik itu ditelantarkan.. Saya akan selesaikan sampai tuntas!


"Iyalah, mana mungkin orang yang yakin akan menggunakan perkataan 'mungkin' dalam bab perkahwinan. Inikan pula enti tentu tahu betapa rasulullah SAW mengajurkan pernikahan untuk dua orang yang saling bercinta. Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa bukan dari kalangan baginda siapa yang tidak mahu mengikuti sunnahnya termasuk perkahwinan "

Saya berhenti sekejap sambil menghabiskan air teh yang masih berbaki di dalam gelas. Sebenarnya saya menunggu dia menyampuk sebab kami selalunya begitu. Hampir setiap hari bertikam lidah memperdebat apa-apa isu.

Tetapi urung.

"Ana tau, sebenarnya enti bukan nak kata tak mahu kahwin. Tapi enti nak katakan lebih baik sendiri yang diredhai Allah daripada berkahwin tetapi mengundang murka Allah. Begitu kan? ", 
saya berusaha menyimpulkan sesuatu dari sembang petang itu.


Bukan salahnya pernikahan


"Ya Zahra, yang salah itu bukan pernikahan. Tetapi calon-calon dan penghuni alam pernikahan itulah yang mencorakkan dunia pernikahan. Kalau buruk sebuah pernikahan, pastilah kerana wanita atau lelaki itu buruk. Bukan kerana pernikahan itu buruk.."


"Hmm..", 
saya terdiam seketik mencerna kata-katanya yang begitu dalam. Begitulah teman saya yang seorang ini. Bicaranya emas, dia banyak diam walaupun ada banyak hal yang dia tahu.


"Ana mengaku, kata-kata awal ana tadi memang merujuk kerosakan yang berlaku kepada pemuda dan qillatur rijaal al aan(sedikitnya PEMUDA era ini). Tak payah pening kepala mencari ciri-ciri bagaimana sebenarnya suami yang baik.

Sebab, pernikahan bukan soal terkenal atau tidak lelaki itu, bukan soal hebat atau tidak dia di ranjang dakwah, bukan soal petah atau tidak dia berkata-kata dalam bicara, juga bukan soal tinggi mana jawatannya dalam organisasi dakwah dan agama..."


"Habis?", 
saya tidak sabar.


"Soal bagaimana dia mengplikasi aqidah saliimah (aqidah yang selamat) di celah-celah lautan manusia-manusia pencinta dunia dan penakut kematian.. walaupun dia mengaku 'rijal dakwah' ",


"Habis, kita perempuan tak perlu?"


"Orang yang bertanya, lebih tahu bagaimana keadaan aqidahnya dan buah dari aqidah itu. Bukankah kalau kita megutuk tandas yang kotor kita sebenarnya megutuk diri sendiri kerana tidak membersihkan kekotoran?"

Saya pula terdiam seribu bahasa.


"Betul, untuk sekitar 80 ribu perceraian yang terjadi bukan salahnya pernikahan melainkan salah kejahilan yang tidak boleh dipersalahkan. Kerana akal, ada pada pemilik kejahilan dan bukannya kejahilan itu secara zat."

Saya cuma mendengar hikmah demi hikmah yang dia tuturkan. Kata-kata yang lahir dari bibirnya penuh dengan matlamat dan ilmu. Bkan cakap-cakap kosong tentang cinta dan pernikahan. 

Orang seperti dia... beruntungnya pemuda yang mendapatkannnya.

Saya cuma berbicara dalam hati. 

Walau saya tahu dalam beberapa kisah dan berpuluh pemuda yang dia ceritakan dahulu, ada seorang yang memenuhi piawaiannya. Tetapi pemuda itu, saya juga tidak tahu apakah untuknya atau dia tidak akan bertemu lagi pemuda seperti itu?

Petang beransur senja. Langit mula memerah. Segera saya tutup jendela kamar yang masih separuh terbuka sambil menyebut 'bismillahi Allahu akbar'.

Saya berpaling kepadanya, kami tersenyum. 

Dan malam mula membelah senja di langit kampus biru..

11:57pm| 20 September 2013| Kampus biru

24 September 2013

Iman itu terapi

بسم الله الرحمان الرحيم

Indahnya bersahabat dengan Allah..


Terkilan.

Kesibukan dan 'gangguan' awal semester ini membuat saya terlepas banyak perkara. Termasuklah forum-forum berkaitan minat dan fokus saya yang saya baru tahu hari ini sedangkan forum itu semalam. 

Baru perasan yang minggu ini adalah  minggu multimedia apa entah..(sampai tak tahu.)

Segalanya bermula bila saya berusaha menjauhkan diri dari alam maya, akibat tersentap dengan pesanan Dr Rosidah pensyarah aqidah islam saya semseter ini,

"Khusus untuk muslimat, pesan ustazah kamu tidak manis bercerita aktiviti-aktiviti kamu di facebook. Ini aib besar untuk seorang muslimah yang mukmiinah. Tambahan pula kalaau gambar-gambar kamu diapajang tanpa had di laman sosial. Aib besar!"

Entah kenapa, saya terasa. 

Walaupun -alhamdulillah- saya tidak termasuk dalam kategori yang ustazah sebutkan, saya terasa ia sebuah tamparan hebat untuk saya amati dengan keimanan. Bukan dengar sekadar seperti angin lalu.

"Aktiviti seorang mukminah itu aurat, bukan semuanya boleh ditunjuk kepada dunia.."

Ya, saya hampir 100% setuju dengan Dr Rosidah. 

Kerosakan yang makin menjadi-jadi bila muslimah semakin hilang malunya. Semakin suka bila dirinya dipertonton oleh lelaki tanpa ada rasa taqwa lagi. Semakin merasa fesyen adalah alat untuk membuat dirinya dilihat dan ditinggikan darjat.

Ops, maaf. Saya bukan jumud untuk menolak semua 'kreativiti semasa'. 

Tetapi, bukankah kita diajar oleh al-quran untuk berhati-hati dengan kehidupan dunia?(Al-mulk:2).
Bukankah kita diajar untuk berbekal dengan sebaik-baik bekalan iaitu taqwa? (Al-baqarah: 197).

Ini bermakna, segala urusan kehidupan kita perlu berpusat kepada dua perkaa ini.
1) Berhati-hati terjatuh ke dalam fitnah.
2) Bertaqwa.


Kembali berjuang di alam ini

Seminggu saya tidak buka fb dan blog langsung. Tawar hati gamaknya.

Selepas seminggu, Dr Rosidah ulang lagi kata-kata yang sama di kelas berikutnya. Cuma kali ini Dr Rosidah menambah kata-katanya:

"Tangkap gambar kari, kemudian post nak bagitau dunia dia masak kari. Sampaikan ada seorang niqabis anak murid saya. Memang dia pakai bertutup tinggal dua biji mata sahaja, tetapi bila di hadapan fb sampai lewat solat fardhu. Lima ke enam jam tak berganjak dari fb. 

Agak-agaklah, bagaimana iman dia? Bolehkah kita menentukan iman berdasarkan panjangnya tudung dan kopiah putihnya?"

Ustazah tinggalkan soalan yang tidak perlukan jawapan itu dengan penuh semangat. Menjentik rasa taqwa dan ruang muhasabah dalam hati.

"Itulah iman!",
 terngiang lagi kata-kata ustazah.

"IMAN, dialah ubat bagi segala penyakit nafsu. IMAN, sejenis terapi...terapi hati.. terapi mendidik nafsu.." 

Saya mengulang-ulang pesanan ustazah beberapa kali sambil kaki meluncur laju menuju kelas Usul Fiqh pula.

18 September 2013

Berharap pada AL-WAKIIL..

بسم الله الرحمان الرحيم

Kali ini, aku tidak mahu mengharap lebih dari manusia. 

Kerana aku sedar pengharapanku pada manusia umpama pengharapan seekor labah-labah yang bertungkus-lumus menyiapkan sarangnya dengan harapan dapat dijadikan rumah tempat tinggal. 

Tetapi, sekali ditiup angin, rosak binasalah 'rumah' yang diangggap mampu membantu itu.

Laa ilaaha illallah.

Betapa lemahnya pengharapan kepada selain Allah ini!

Menulis tentang tauhid, aqidah, soal percaya dan beramal dengan kepercayaan cukup membuat jemari menggeletar kepayahan.

Sungguh, ia sangat susah.

Tetapi itulah amanAh ilmu yang perlu aku sebarkan buat kalian.

Tidak akan pernah sia-sia penantian seseorang yang disandarkan kepada Allah Al-wakiil yang maha mengurus urusan para hamba.

Kembara masih jauh.. zawwidna at-taqwa ya Allah..

Zaharoh Fajar Nina
18/9/2013
12:08 am

27 August 2013

Tiga kata dari 'reunion semalam'..

Sambungan dari..(safar penuh muhasabah: UIAM ke MMY)


بسم الله الرحمان الرحيم


Perjalanan: berbekal tiga kata..

Ukhuwwah, Tarbiyyah, Dakwah.

Itulah tiga kata yang saya semat dalam diri. Saya tidak mahu perjalanan ini sia-sia dan sekadar meramaikan pertemuan. Bukankah kita dan mereka(bukan islam) itu tidak sama?Mereka juga ada pertemuan-pertemuan seperti kita. 

Tetapi, pertemuan mereka tidak membawa mereka ke syurga. Maka, kita yang bertemu dengan keimanan ini, bersama matlamat pasti membawa kita lebih dekat menuju syurga, insyaAllah.

Bas pertama dari Sungai Petani menuju Yan tepat jam 8.30pagi itu, membawa saya kepada kenangan enam tahun lalu. Kiri kanan jalan masih sama seperti dahulu. Mungkin ada beberapa yang sudah berubah seperti masjid Khairiah,Bedong yang telah siap.Tetapi tidak terlalu banyak. 

Kebanyakannya masih belum berubah.

Tiket bas SP-Yan masih berharga RM4.70 seperti dahulu


Nostalgia baju sekolah dengan tudung dan kain susun biru itu, menjengah lagi. Sambil menjamah pemandangan sepanjang jalan, saya mencoretkan sesuatu di aatas kertas. Bingkisan dari hati buat diri dan sahabat-sahabat MMY yang meningkat dewasa. 
Sahabat,
Dahulu dan kini, umur kita berbeza.
Tanggungjawab kita juga berbeza.
Kalau dahulu, mungkin cuma seorang penuntut yang menuntut sebanyak-banyaknya ilmu.

Sahabat,
Umur kita, sudah menjangkau 20-an.
Kalau dahulu, masih boleh berbelas-belasan.
Bermalas-malasan, itu biasa ketika kita masih 'kanak-kanak',
Kini, semua itu tiada lagi,
Bahkan, ramai yang sudah berfikir soal anak-anak.
Semua itu tanggungjawab.. 
Sahabat,
Begitulah kehidupan.
Ia bergerak dari kecil kepada besar,
dari kosong kepada berisi,
dari 'single' kepada berdua,
dari kehidupan kepada kematian,

Semua itu kan damai kita tempuh dengan IMAN..

~Zaharoh Fajar Nina|240813| otw to Riang-ria raya 7th Gen~

Tiga kata dari 'reunion semalam'

Alhamdulillah, safar selama 13 jam itu membawa saya ke bumi Tarbiyah MMY untuk sebuah reunion anjuran Alumni 7th Generation MMY.

Ukhuwwah kembali segar setelah saling bertemu dan berjabat tangan. Bak kata pengerusi AGM alumni , "Hari ini, kita bukan hanya bertemu di alam maya bahkan di alam nyata. Bukan hanya hati-hati kita bertemu, bahkan kulit-kulit kita saling bertemu mengalirkan keluar dosa-dosa..". 
Credit pic to- Wannurush Syafiqah :-) 


Terasa bugarnya ukhuwwah kian mekar bila kedatangan para peserta reunion disajikan dengan nasyid-nasyid dari ahli alumni sendiri.

"Waktu generasi mereka, waktu itu zaman kegemilangan nasyid Maktab Mahmud Yan.. Ada Ustazah Yuzi yang mengajar nasyid Ghuroba'waktu tu..", 
Kata-kata ustazah Nor Aini kepada Ustazah Rosita membuat saya tersenyum terkenang ukiran sejarah 'hasil tangan' ahli alumni 7th generation dan kenangan bersama ustazah Yuzi.

Bertukar-tukar cerita dan bergambar kenangan, semua itu mempertaut lagi ukhuwwah yang pernah dianyam suatu masa dahulu. Seolah tidak pernah ada sengketa, kami bertemu penuh bahagia. Tambah-tambah lagi bila semua makin memahami nilai kasih-sayang kerana Allah. 

Benar, manisnya iman lebih terasa!

Dalam sela riang-ria bertemu, sedikit cicipan ilmu dari para guru tetap diperlukan. 

Tarbiyah yang pernah dicurahkan berulang lagi detik ini. Tentatif yang disusun oleh para penggerak reunion sangat menepati keperluan saya dengan misi mencedok tarbiyah dari bumi ini.

Masih terngiang di telinga saya pesanan ustaz Muslim(suami ustazah Yuzi) dalam sesi ucapan beliau:

"Ketika antum terjun ke bidang yang lebih luas, antum akan temui masyarakat dan antum perlu ada kemantapan ilmu. Hati mesti bersih untuk dapat kemantapan itu. 
Perlu bijaksana dalam menyampaikan dan serulah masyarakat untuk bersatu serta bersangka baik kepada islam. 
Umat perlukan ramai yang bekerja, di mana ISLAM ada jawapan untuk semua permasalahan mereka... Proses pembelajaran ini, antum perlu teruskan.."

Sejenak saya lemparkan pandangan ke segenap dewan. Sahabat-sahabat alumni tekun mendengarkan, sedang jemari saya pantas mencatit butiran nasihat itu. 

Pada saya, ia sebuah nasihat tarbiyah yang jelas dan penuh kasih-sayang. Aliran bicara ustaz Muslim perlahan mendidik, tetapi berbau tegas berprinsip. Ada ajakan dakwah pada ucapan beliau.

Tiba masa 'kemuncak' yang menjadi agenda wajib reunion kali ini, ucapan tarbawi dari Sir Azman selaku penaung Alumni 7th generation.

Sir Azman: Murabbi alumni generasi ke-7 MMY -pic by: ibnu Mansor -


"Anak-anak, jadilah seperti pemuda Al-kahfi!..", 
Suara Sir Azman penuh bertenaga.

Suara yang pernah mendendang lagu 'bilakah lagi kita semua satu hati..' untuk kem pengawas yang Saya hadiri 7 tahun yang lalu...

Suara yang pernah meminta saya membacakan 'surat untuk putriku'...
Suara yang pernah menegur kesalahan saya di dalam dewan peperiksaan suatau masa lalu..
Suara yang pernah menceritakan kisah-kisah Malaysia dan menyentap hati saya dengan teguran-teguran kesalah essay bahasa inggeris saya..

Dan suara itu hari ini, di hadapan saya lagi menjentik ruh kepemudaan dakwah untuk diri dan ummah! 

Sungguh, secebis kata-kata Sir itu sudah cukup untuk kita mengerti betapa pentingnya keutuhan aqidah dalam diri dan mempertahankannya di sela zaman penuh fitnah ini. 

Betapa seorang anak muda seperti kita mudah terpesona dengan ajakan nafsu.Tetapi, pemuda-pemuda al-kahfi telah membuktikan mereka mampu, maka apakah yang membuat kita lemah sedangkan kia memahami aqidah yang benar?

Tiga kata: Ukhuwwah, Tarbiyah dan Dakwah, terasa lebih segar dinikmati. 


Penutup: Memori terpahat Ukhuwwah dierat


Jazakumullahu khairan kepada semua sahabat-sahabat penggerak yang bertungkus-lumus menjayakan reunion Riang-ria Raya dan AGM 7th generation yang penuh makna ini.

AJK reunion sedang berbincang. credit to Wannurush.


Sungguh, segala yang terjadi dalam 'reunion semalam', bukan sekadar kenangan yang beralu tanpa kesan. Sedangkan padanya ada taqdir dan amanah Allah untuk kita langsaikan. Itulah 'memori yang terpahat'.

Setelah ini, masing-masing akan kembali ke tempat pengajian. Teruskan pembinaan diri gerak dakwah dan kita. Sebuah tamadun, terhasil dari binaan-binaan, dan kitalah cebisan dari cebisan-cebisan binaan itu. 

Sejauh mana jarak, selama mana tempoh perpisahan, serenggang mana perbezaan ideologi kita, tetap iman dan islam yang tertanam dalam jiwa, menyatukan kita. Ukhuwwah kan terus dierat!

Kan rasulullah bersabda:
الإسلام يعلو ولا يعلى 
“Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi (dari Islam)"
~Dihasankan oleh Albani~

#Memori terpahat Ukhuwwah dierat#



~Ahli alumni generasi ke-7 Maktab Mahmud Yan| Zaharoh Fajar Nina~

Safar penuh muhasabah: UIAM ke MMY.

بسم الله الرحمان الرحيم



Doa, bekal permusafiran


Petang itu, saya bergegas menuju ke stesen bas. Kertas peperiksaan Tahfiz yang tamat dijawab tepat jam 5 petang itu saya tinggalkan dengan tawakkal. 

Usaha telah dibuat, hafalan satu juzu' sudah diselesaikan dengan beberapa kali ulangan.


Walau ada sedikit masalah ketika menjawab peperiksaan, saya berusaha menghilangkan kecewa itu dengan berita gembira untuk bertemu sahabat-sahabat lama di MMY esoknya. 

Sepanjang perjalanan menuju Sentral Kuala Lumpur, saya buka kitab hisnul muslim, menyelak beberapa patah doa sebagai bekalan sepanjang perjalanan jauh dan mendadak ini.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِيْ سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيْفَةُ فِي اْلأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوْءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَاْلأَهْلِ

Bait-bait doa dalam bahasa arab itu saya hayati dalam-dalam. 

Sungguh, maksudnya menjangkau penterjemahan yang ada. Beruntunglah sesiapa yang diberi kefahaman untuk urusan agamanya. sekilas, saya alihkan bacaan ke bahagian terjemahan doa ini:

Ya Allah, kami memohon kepada-Mu kebaikan dan ketaqwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redhai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, 
Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindunganMu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.

Benar, memahami teks arabnya lebih mendamaikan. 

Berbekal doa yang sudah saya hafal kerana seringnya abi ulang ketika kami sama-sama dalam perjalanan, membuat hati sedikit tenang menempuh 13jam permusafiran UIAM-MMY itu.


Mengimbau kenangan

Kereta api dari Kuala Lumpur menuju ke Hatyai akan tiba jam 9.10 malam. 

Saya menanti sambil membuang pandangan kepada masyarakat di segenap Sentral Kuala Lumpur itu. Masyarakat kota yang sudah ternoda dengan kehidupan kota mereka. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan peribadi.

Di suatu sudut saya menyendiri. 

Esok, saya akan pulang ke 'kampung ilmu' saya suatu masa dahulu. Maktab Mahmud Yan(MMY) dengan segala kedamaian yang ada padanya, tertib dan adab yang diajar para guru, ruh-ruh pencinta ilmu ada di situ, kenangan mentarbiyah dan ditarbiyah.. satu persatu menghiasi retina mata.

Saya teringat kata-kata Sir Azman, "Anak-anak, masa yang paling kalian ingat adalah masa-masa kalian di sekolah menengah.."

Saya terpaku seketika merenung. 

3 tahun mendiami bumi di kaki Gunung Jerai itu, seolah mengubah segalanya dalam kehidupan saya. 

Allah, sungguh baik Dia kerana 'menghantarkan' saya ke bumi MMY. Entah bagaimana saya mahu merungkainya dalam bentuk aksara, sehingga saya terus kaku kehilangan kata.

Ringkasnya, disinilah saya mula mengenal 'katil dua tingkat', makan 5 kali sehari, tazkirah dalam air terjun, merentas desa, berdebat tentang bahasa arab, tahajjud, shaum isnin-khamis, mencakna tujuh air terjun Gunung Jerai, minum air kopi masin, jual kerepek, tidur dalam kelas.. 

ah, terlalu banyak...

Semua itu mengajar dan membentuk kehidupan seorang 'saya' hari ini. 

Kenangan-kenangan terus bergulir seiring bergeraknya kereta api Senandung Langkawi menuju ke Hatyai, melalui utara tanah air itu..

Maktab Mahmud Yan 2013 ~setelah kujejaki semula~

Kejadian di dalam kereta api

Jam 7 pagi, kereta api tiba di stesen Sungai Petani. 

Saya bergegas turun dan kaki menapak ke tempat pertama kali tiba ini. Saya segera bertanya kepada orang yang lalu lalang di situ, dimana stesen bas Sungai Petani supaya saya dapat ke sana dan meneruskan perjalanan ke Maktab Mahmud Yan.

Jalan raya lengang. 

Langkahan saya sedikit sayu mengenangkan kejadian di dalam kereta api tadi.Berapa ramai orang di dalam kereta api tadi yang tidak solat subuh?

Sejak jam 5 pagi tadi, dari stesen Bukit Mertajam lagi saya sudah terjaga dan bersiap-siap untuk solat subuh. Beberapat kerat ayat al-quran saya alunkan sedikit keras, bertujuan mengejutkan muslim di sekitar tempat duduk saya. Tetapi, mereka urung bangun.

Kesal. 

Masuk waktu subuh, saya solat di tempat duduk dan bersolat dengan sedikit mengeraskan suara dengan tujuan yang sama. Mereka masih tidak bangun. Ada seorang pakcik di hadapan saya, dia seperti aneh meihat saya tunduk dan merendahkan kepala di atas kerusi. Saya endahkan sahaja, sambil dalam hati mendoakan agar dia mengerti ajakan saya untuk turut solat.

Hati ini terkilan, bila dalam satu gerabak yang menempatkan sekitar 60 orang itu cuma saya dan seorang anak muda yang solat. Yang lain, masih nyenyak tidur sampai jam 7 pagi.

Ya Allah, ampunkan aku!!!

Ah, benarlah kita tidak akan kuat kalau cuma sendiri. Seperti sebatng lidi tanpa sebarang kekuatan dengan pudah ia dipatahkan.

Sedih, sayu..

Kejadian dalam kereta api hari ini menyemarakkan gerak langkah saya menuju medan tarbiyah saya dan sahabat-sahabat suatu ketika dahulu. Menyerap semangat dan kekuatan, untuk ditumpahkan kepada masyarakat yang kian jauh dan jahil dari kebenaran.


Stesen bas Sungai Petani jam 7:45 pagi

Berbekal tiga kata, saya meneruskan perjalanan pagi itu menuju MMY dengan bas Mara yang belum berubah seperti enam tahun lalu.

Ukhuwwah, Tarbiyyah, Dakwah...

BERSAMBUNG di (Tiga kata dari 'reunion semalam'..)  ^_^

12 August 2013

Dilema sebuah lamaran

بسم الله الرحمان الرحيم


2013


Saya tidak cintakan dia..

Sesekali saya merenung langit hari ini. Agak mendung dari semalam. 

Sama mendungnya dengan hati gadis-gadis yang mendamba dirinya dilamar oleh seseorang yang dia harapkan. Tetapi, rupanya lamaran dari orang lain pula yang menjengah.

"Saya buntu kak,everything happened is out of my control..", nada mesejnya kepada saya sedikit hampa.
"Iya Ana, semua yang berlaku memang selalunya begitu. Out of our control.. because everything is under Allah's control!..."  
saya mengulang ayatnya semula, berusaha meraikan perasaanya.

"Akak pernah berada dalam situsai cintakan seseorang, dan mengharap sesuatu yang entah dapat atau tidak?", pertanyaannya seolah memerangkap saya.

Terkelu sebentar. 

Huh,ini soalan perangkap!, saya menggerutu. 

Jemari saya tetap pantas menjawab soalannya dengan berhikmah semampu mungkin. Sebelum menekan butang 'enter' di ruangan chatting, saya sempat terfikir..

Ah, mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan setiap orang pernah melalui situasi sepertinya. Terutama seorang gadis cantik dan solehah seperti dirinya. Bila dirinya terasa sering diganggu oleh 'kumbang-kumbang' liar, dia pasti merasa selamat apabila ada 'seekor kumbang' jinak yang berlemah lembut memberi perhatian kepadanya.

Itulah perempuan.

Hatinya begitu halus menerima sebuah kebaikan dan keikhlasan. Cuma kadang-kadang hati yang sama itu boleh berubah menjadi lebih keras dari batu apabila dia dikasari dan dipandang 'murah'. Bahkan kadang-kadang dia me'murahkan' diri kerana terpaksa demi mendapatkan sesuatu yang teramat mahal bagi dirinya. 

Nah, untuk hal ini perempuan selalu SILAP BESAR.

"Akak, pernah tak akak lalui?"

Satu lagi mesej masuk ke ruang chatting.

Saya tersedar.

"Ya, normal kalau kita lalui perkara tu. Akak faham, kita perempuan punyai satu emosi istimewa berbanding lelaki. Kita mudah menerima layanan yang baik. Sedangkan kita belum tahu lelaki itu ikhlas atau tidak", 

Saya berusaha meraikan fitrahnya sebelum menyambung lagi..

"Sebab itu selalunya rasa yang kita anggap 'cinta' itu sebenarnya cuma 'rasa-rasa cinta' dan bukannya hakikat CINTA sebenar", 

Saya menghela nafas. Susah mahu mengungkap sesuatu yang berkaitan dengan perasaan ini. Perlu jelas dan signifikan, supaya mudah dihadam dan tidak pula disalahertikan.

"Akak pernah dilamar, sedangkan akak cintakan orang lain?",

Dia bertanya lagi seolah tidak menanggapi apa yang saya kongsikan soal isu cinta. Saya sekadar melayan soalannya dengan jawapan.
"Belum pernah", seringkas mungkin jawapan saya karang.
"So, apa perlu saya buat sekarang?. Terima lamaran lelaki itu, atau tolak dan terus menunggu lelaki yang saya cinta?", 

soalannya mulai sampai ke kemuncak. Saya berusaha menenangkannya dengan sebuah kata tauhid.

"Laa ilaaha illallah. Tiada tuhan yang layak kita sembah melainkan Allah.. 
Ana  akak bukan tuhan yang tahu sebuah masa hadapan. Akak bukan tuhan yang mampu memberi tahu jodoh adik. Akak juga bukan nabi yang donya diterima oleh Allah. Akak cuma seorang gadis seperti Ana juga, yang mungkin berhadapan dalam dilema yang sama pada masa hadapan."

'enter'.

Tenangkan diri pada sebuah kepastian

Lama ruang chatting itu sunyi dari perbualan. Saya tiba-tiba risau dia terasa hati. Cepat-cepat saya menyambung 'typing' berkongsi pandangan untuk persoalan inti darinya..

"Ana sayang,samaada cinta atau tidak, itu bukan isu utama walaupun ia tetap menjadi bahagian penting. Isunya sekarang, lamaran itu dari siapa? bagaimana agamanya? bagaimana keturunannya? bagaimana penerimaan keluarga dengannya? bagaimana tanggungjawabnya terhadap Allah dan pergaulannya dengan masyarakat?
Paling penting, ibu ayah. Banyakkan perbincangan dengan orangtua kita, sebab kadang-kadang insting seorang ibu dan ketegasan jawapan dari seorang ayah adalah sebuah jawapan. Ini semua, namanya istisyarah (minta pndangan)."

"Jadi, saya tidak boleh tolak lamaran itu?", Ana seolah tidak puas hati.

Tidak. Maksud akak, jangan tolak sesebuah lamaran ketika emosi kita tidak stabil dan tidak jelas. Takut nanti kita menyesal. Mahu menstabilkan emosi dan adil terhadap lamaran tu, kenalah istisyarah. Kemudian, setelah istisyarah selesai hati kita akan firm pada sebuah fakta yang jelas.
"Oh, ok. Jadi, dah boleh beri jawapan ya waktu tu?"

"Belum Ana. Hidup kita ini, tiada makna kalau terlepas pergantungan kepada Allah. Istikharahlah dik, kemudian berikan jawapan. Waktu itu, Ana akan dapat tenangkan diri pada sebuah kepastian."

Sunyi.

Saya juga sudah buntu kahu katakan apa. Teori menjelaskan itu, mudah. Tetapi kalau ia berlaku kepada diri, tidak semudah bicara yang dikata. Saya bersyukur belum pernah melalui dilema lamaran seperti Ana. Mungkin kerana Allah tahu Ana mampu melaui dilema ini, maka Allah berikan cabaran ini untuknya.


Tetapi dia lelaki soleh

"Tetapi kan kak.. kalau saya cenderung menolak lamarannya apakah saya sanggup?.. Apakah dia tidak akan terasa hati?.. Sedangkan dia bukanlah lelaki jahat dengan lamaran murahan..?Dia lelaki soleh..", bicara Ana terasa semakin berat ditanggungnya.

Ya Allah, lapangkan hati adik ini. desus saya dalam hati kasihankan dia yang masih dilema dalam sebuah lamaran.

Perbualan di medan chatting tu bersambung lagi.

"Pernah dengar kisah Fatimah Az-zahra' putri nabi?"
"Kisah yang mana?"
"Kisah lamaran dari Abu bakar dan Umar kepada Fatimah."
"Tak"
"Umar Al-khattab dan Abu bakar pernah melamar Fathimah!", saya cuba menjentik pengetahuan sirah Ana.
"Eh, jap akak.. Bukankah Fatimah bernikah dengan Saidina Ali?"
"Yup, that's mean lamaran dua orang sahabat besar ini (Abu Bakar dan Umar) pernah ditolak! Mereka tidak solehkah?"
"Maksud akak?", Ana lanjut bertanya memohon kepastian.

"Maksudnya dik, kalau Ana tolak lamaran tu sekalipun, itu bukanlah petanda dia tidak baik dan tidak soleh. Bahkan penolakan itu mungkin mengajar dia untuk menjadi lebih baik. 
Bila sudah sampai tahap ini, baru akak suka buka bab cinta. Pernikahan ini Ana, bukan cuma perjanjian luaran di atas sebuah akad. Ia juga sebuah ikatan perasaan. Bagaimana mungkin pernikahan mampu terjadi andai cuma sebelah pihak yang menyodorkan perasaanya? Bukankah bertepuk sebelah tangan itu tak berbunyi?... "

"Akak.. this is what I'm dilemma in it... Thanks akak.. lagi?"

Saya hanya tersenyum membaca komen Ana yang terlihat lapang dan semakin matang. Dengan senyum panjang lebar yang masih terukir, saya menyambung lagi:

"Orang soleh dan solehah dalam dunia ini ramai, dan bukan semua itu jodoh kita. Jodoh, cuma seorang untuk satu tempoh waktu dan Allah sudah pilihkan untuk kita mengikut sunnatullahnya. Jodoh rahsia Allah, bukan untuk kita terkejar-kejar tanpa haluan.Bukan juga untuk kita anggap jodoh itu kerja kita. 
Jodoh itu kerja Allah.

Sekarang ini, kita buat kerja kita (berusaha) dan biarkan selebihnya kerana yang lebih itu kerja Allah(tawakkal)"

"Akak.. u're owesome!"

"Allah help me to be owesome. While Allah let me by myself, i'll be the most worst person..", 

saya cuba membalas mesej terakhirnya dengan bahasa inggeris yang tunggang terbalik. Maklumlah, Ana bukan pelajar pengajian Islam seperti adik-adik yang selalu saya hadapi. Dia pelajar INTEC dan MRSM yang sering bergelumang dengan bahasa inggeris...

-zaharoh fajar nina-