27 August 2013

Safar penuh muhasabah: UIAM ke MMY.

بسم الله الرحمان الرحيم



Doa, bekal permusafiran


Petang itu, saya bergegas menuju ke stesen bas. Kertas peperiksaan Tahfiz yang tamat dijawab tepat jam 5 petang itu saya tinggalkan dengan tawakkal. 

Usaha telah dibuat, hafalan satu juzu' sudah diselesaikan dengan beberapa kali ulangan.


Walau ada sedikit masalah ketika menjawab peperiksaan, saya berusaha menghilangkan kecewa itu dengan berita gembira untuk bertemu sahabat-sahabat lama di MMY esoknya. 

Sepanjang perjalanan menuju Sentral Kuala Lumpur, saya buka kitab hisnul muslim, menyelak beberapa patah doa sebagai bekalan sepanjang perjalanan jauh dan mendadak ini.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِيْ سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيْفَةُ فِي اْلأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوْءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَاْلأَهْلِ

Bait-bait doa dalam bahasa arab itu saya hayati dalam-dalam. 

Sungguh, maksudnya menjangkau penterjemahan yang ada. Beruntunglah sesiapa yang diberi kefahaman untuk urusan agamanya. sekilas, saya alihkan bacaan ke bahagian terjemahan doa ini:

Ya Allah, kami memohon kepada-Mu kebaikan dan ketaqwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redhai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, 
Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindunganMu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.

Benar, memahami teks arabnya lebih mendamaikan. 

Berbekal doa yang sudah saya hafal kerana seringnya abi ulang ketika kami sama-sama dalam perjalanan, membuat hati sedikit tenang menempuh 13jam permusafiran UIAM-MMY itu.


Mengimbau kenangan

Kereta api dari Kuala Lumpur menuju ke Hatyai akan tiba jam 9.10 malam. 

Saya menanti sambil membuang pandangan kepada masyarakat di segenap Sentral Kuala Lumpur itu. Masyarakat kota yang sudah ternoda dengan kehidupan kota mereka. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan peribadi.

Di suatu sudut saya menyendiri. 

Esok, saya akan pulang ke 'kampung ilmu' saya suatu masa dahulu. Maktab Mahmud Yan(MMY) dengan segala kedamaian yang ada padanya, tertib dan adab yang diajar para guru, ruh-ruh pencinta ilmu ada di situ, kenangan mentarbiyah dan ditarbiyah.. satu persatu menghiasi retina mata.

Saya teringat kata-kata Sir Azman, "Anak-anak, masa yang paling kalian ingat adalah masa-masa kalian di sekolah menengah.."

Saya terpaku seketika merenung. 

3 tahun mendiami bumi di kaki Gunung Jerai itu, seolah mengubah segalanya dalam kehidupan saya. 

Allah, sungguh baik Dia kerana 'menghantarkan' saya ke bumi MMY. Entah bagaimana saya mahu merungkainya dalam bentuk aksara, sehingga saya terus kaku kehilangan kata.

Ringkasnya, disinilah saya mula mengenal 'katil dua tingkat', makan 5 kali sehari, tazkirah dalam air terjun, merentas desa, berdebat tentang bahasa arab, tahajjud, shaum isnin-khamis, mencakna tujuh air terjun Gunung Jerai, minum air kopi masin, jual kerepek, tidur dalam kelas.. 

ah, terlalu banyak...

Semua itu mengajar dan membentuk kehidupan seorang 'saya' hari ini. 

Kenangan-kenangan terus bergulir seiring bergeraknya kereta api Senandung Langkawi menuju ke Hatyai, melalui utara tanah air itu..

Maktab Mahmud Yan 2013 ~setelah kujejaki semula~

Kejadian di dalam kereta api

Jam 7 pagi, kereta api tiba di stesen Sungai Petani. 

Saya bergegas turun dan kaki menapak ke tempat pertama kali tiba ini. Saya segera bertanya kepada orang yang lalu lalang di situ, dimana stesen bas Sungai Petani supaya saya dapat ke sana dan meneruskan perjalanan ke Maktab Mahmud Yan.

Jalan raya lengang. 

Langkahan saya sedikit sayu mengenangkan kejadian di dalam kereta api tadi.Berapa ramai orang di dalam kereta api tadi yang tidak solat subuh?

Sejak jam 5 pagi tadi, dari stesen Bukit Mertajam lagi saya sudah terjaga dan bersiap-siap untuk solat subuh. Beberapat kerat ayat al-quran saya alunkan sedikit keras, bertujuan mengejutkan muslim di sekitar tempat duduk saya. Tetapi, mereka urung bangun.

Kesal. 

Masuk waktu subuh, saya solat di tempat duduk dan bersolat dengan sedikit mengeraskan suara dengan tujuan yang sama. Mereka masih tidak bangun. Ada seorang pakcik di hadapan saya, dia seperti aneh meihat saya tunduk dan merendahkan kepala di atas kerusi. Saya endahkan sahaja, sambil dalam hati mendoakan agar dia mengerti ajakan saya untuk turut solat.

Hati ini terkilan, bila dalam satu gerabak yang menempatkan sekitar 60 orang itu cuma saya dan seorang anak muda yang solat. Yang lain, masih nyenyak tidur sampai jam 7 pagi.

Ya Allah, ampunkan aku!!!

Ah, benarlah kita tidak akan kuat kalau cuma sendiri. Seperti sebatng lidi tanpa sebarang kekuatan dengan pudah ia dipatahkan.

Sedih, sayu..

Kejadian dalam kereta api hari ini menyemarakkan gerak langkah saya menuju medan tarbiyah saya dan sahabat-sahabat suatu ketika dahulu. Menyerap semangat dan kekuatan, untuk ditumpahkan kepada masyarakat yang kian jauh dan jahil dari kebenaran.


Stesen bas Sungai Petani jam 7:45 pagi

Berbekal tiga kata, saya meneruskan perjalanan pagi itu menuju MMY dengan bas Mara yang belum berubah seperti enam tahun lalu.

Ukhuwwah, Tarbiyyah, Dakwah...

BERSAMBUNG di (Tiga kata dari 'reunion semalam'..)  ^_^

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)