Lama saya tenung pohon ini.
Sudah merimbun hingga mencecah bumbung kelas sekarang. Dahulu, pohon ini rendah sahaja sebahu saya yang memang paling kecil dan paling rendah di dalam kelas saat itu.
Ketika rumah berubah sekolah, banyak pepohon rambutan kenangan yang dipanjat untuk mendapatkan buahnya itu, ditebang. Hanya tinggal sebatang sahaja di depan kantin, masih memberikan ranum dan manisnya sehingga hari ini. Pohon besar dan rendang ini pula, walau tanpa buah ia tetap berjasa besar meneduhkan perjumpaan mentor mentee, sesi nasihat dan diskusi, bahkan tempat berlatih syarahan di keriuhan bunyi bola dan teriakan pelajar kegirangan.
Di sela lelah dan kepenatan, duduk dan merenung terkadang menjadi hal langka yang amat diperlukan. Agar kita masih faham, mengapa dan bagaimana kita telah bertahan meneruskan apa yang sedang kita usahakan. Tidak ada yang kekal sekalipun kenangan. Semuanya akan sirna kecuali satu.
" Apa ustazah? Pengalaman, ke ustazah? ", tanya dan tanya begitulah dia. Sifat ingin tahu dan pembelajar.
" Tak. Pengalaman tak kekal.."
Wajahnya kehairanan.
" Yang kekal cuma pahala.."
Yang ingin saya maksudkan adalah apa jua amal yang Allah kira sebagai
'al baaqiyaatus soolihat' seperti dalam Surah al-Kahf. Namun tak sempat mensyarahkan panjang lebar kerana azan Jumaat hampir berkumandang.
Dia mengangguk perlahan.
Semoga dia faham dan diskusi singkat kami juga dikira Allah sebagai pahala.
Mendidik ini, tak harus di petak kelas, di payung bumbung. Terkadang, melihat ke langit dan merenung ke arah pohon pun boleh membekaskan nasihat yang diingat.
Catatan Jumaat.
Zaharoh Fajar Nina
#anekdotustazah

No comments:
Post a Comment
semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)