بسم الله الرحمن الرحيم
Sahabat terdekat sudah tahu, saya pernah bekerja di beberapa buah institusi pendidikan.
Warna, corak, rasa dan suasananya semua berbeza. Hanya ada satu sahaja yang sama, iaitu tanggungjawabnya.
Di setiap tempat ada cabaran. Ada sahaja punca atau usaha untuk saya tidak meneruskan tanggungjawab itu. Semuanya pula bukan hal-hal kecil yang boleh dipandang sebelah mata. Pelbagai hal dan rencah yang semuanya terpalit di setiap sudut perjalanan. Memasung kaki, mengikat naluri.
Saya memilih untuk terus berjalan.
"Mengapa masih bertahan?"
Soalan itu saya terima berkali-kali. Saya tidak berhak menjawabnya. Untuk saya, takdir bukan urusan saya mengatur. Hanya perlu jalani dengan baik dan teratur.
Pernah ketika meminta kepada Allah, saya mohon agar diberikan kebaikan dan segala yang terkait dengan kebaikan sesegera dan sepantas mungkin untuk hari ini atau masa hadapan. Tahu atau tidak, saya mahu diberi kebaikan oleh Allah yang menurut-Nya baik. Bukan menurut saya.
Lalu, sebuah hantaran masuk ke mesej peribadi. Aneh, berbaur jelik.
Segera saya bertanya apakah si penghantar tersalah atau bagaimana. Nyatanya tidak, kerana ada nama saya pada hantaran itu.
Beberapa waktu berlalu, hantaran lain masuk lagi. Kali ini masih ke mesej peribadi, namun daripada sumber berbeza.
Pertama kali menerima hal-hal aneh (jelik) tepatnya ke dalam kehidupan, pernah membuat saya berfikir ia petanda saya harus segera angkat kaki. Dalam al-Quran, ada panduan. Boleh, bahkan digalakkan kita meninggalkan tempat yang menghinakan kita. Bumi Allah itu luas.
Namun, sebelum apa jua urusan, seorang muslim diajarkan beristikharah dan beristisyarah. Ini adalah dua hal yang rasul berikan jaminan bahawa dengan keduanya, kita akan perolehi kebaikan.
Bismillah, langkah diteruskan memilih bertahan. 2021, buku kedua saya diterbitkan. Saya masukkan gambar ini agar saya ingat bahawa ini adalah detik saya meminta Allah membuatkan pilihan dan Dia mengajarkan saya agar bertahan.
Mereka yang bertanya, namun dirahsiakan oleh saya. Mereka yang empati, namun dilayan seperti tiada apa-apa. Mereka yang tulus meraikan, tetap saya hargai dengan senyum termanis yang menutup luka-luka di sebaliknya. Saya tahu mereka telah memahami dan mengerti. Namun, separah apa pun luka kita tidak ingun mewariskannya kepada mereka. Cukup sampai pada saya fan saya harus hentikannya.
Hari ini, 2026.
Enam tahun setelah gambar-gambar ini disematkan, saya kembali menatapnya. Walaupun 'mereka' yang di dalamnya telah mendewasa luar biasa, namun 'mereka' remaja ini masih lekat di segenap memori.
Mereka yang telah berubah orangnya. Mereka yang telah berganti saban tahun. Mereka yang selalu Allah hadirkan menjadi sebahagian daripada perjalanan di sela-sela luka yang ingin disembuhkan.
Ternyata, bertahan itu tidak mudah.
Sebab itu namanya Shad Baa Raa (di lain perkongsian kita cerita).
Hari ini, baru sahaja pagi tadi dan petang kelmarin masih ada yang bertanya;
"Mengapa masih bertahan?"
Jawapannya masih sama. Kerana hidup bukan pilihan kita. Ia pilihan Allah melalui garis takdir-Nya yang telah ditulis puluhan ribu tahun sebelym manusia dicipta.
Tugas kita, jalankan sebaiknya.
Zaharoh Fajar Nina;
7 Ogos 2026
#anekdotustazah
No comments:
Post a Comment
semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)