06 June 2020

5 SEBAB MENGAPA SAYA TERUS MENULIS?

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada satu kata-kata hikmah menyebut:

"Jangan menjelaskan kepada orang tentang dirimu. Kerana yang menyukaimu tidak memerlukan itu dan yang membencimu tidak mempercayai itu"

Lama saya berfikir sebab-sebab mengapa saya terus mahu menulis. Saya kongsikan ini bukan kepada mereka yang menyayangi saya, bukan juga kepada mereka yang membenci saya. Saya menuliskan ini kepada mereka yang memerlukannya.

Setelah kama membuat refleksi, akhirnya saya senaraikan 5 sebab yang kesemuanya adalah untuk saya selalu mengingatkan diri saya. Bahawa saya tidak menulis untuk kebahagiaan orang lain. Saya menulis semata-mata untuk meraih redha Allah sahaja. Saya terus menulis kerana:

PERTAMA
Pencipta saya tidak menghadirkan saya di dunia ini secara sia-sia. Ketika saya diberikan oleh Robb kemampuan mengenal aksara dan menyusun perkataan menjadi ayat, itu ertinya saya boleh menulis. Saya tidak buta huruf! Mana mungkin tidak buta hurufnya saya ini hanya kesia-siaan. Pasti saya ada di dunia ini untuk menerima dan memberi manfaat sehingga saya mati.

Menulis kebaikan adalah membunuh kesia-siaan.


KEDUA
Pencipta saya mencipta saya berbeza daripada makhluk bernama haiwan. Kerana itu saya  mesti membuktikan syukur dengan menggunakan akal ini dalam menghasilkan sesuatu yang membawa manfaat dan penambahbaikan untuk umat. Bukan malah merosakkannya dengan kecanduan kepada media dan kegilaan kepada kekaguman buta semata-mata.

Menulis karya yang menjentik akal adalah enjin yang menggerakkan kecanduan dan kekakuan kepada tindakan kebaikan.


KETIGA
Pencipta saya memberikan saya terlalu banyak kegembiraan dan kepahitan dalam kehidupan. Semua itu tidak lain tidak bukan sebuah pengalaman. pasti berbeza dan istimewa tatkala ia diertikan melalui sebuah penulisan yang akhirnya membawa manusia kembali mengenal Allah robbul jalil.

Menulis perasaan yang disandarkan kepada wahyu adalah menghidupkan kematian jiwa.


KEEMPAT
Allah, Tuhan satu-satunya yang saya sembah memberikan ujian kepada saya berupa kebahagiaan dan kedukaan, juga kelebihan dan kekurangan. Kesemuanya untuk saya selalu kembali kepada DIA dalam semua keadaan. Saat kita memahami bahawa kehidupan adalah ujian, kita tidak ada banyak masa untuk mebuang masa. Saya memilih untuk mecari kelebihan dalam penulisan agar Allah tidak murka ketika nanti saya ditanya tentang kekurangan saya lainnya. Menulis adalah kelebihan yang dibina. Tidak ada penulis di dunia yang memang lahir menjadi penulis tanpa perlu belajar apa-apa.

KELIMA
Allah, Tuhan yang Maha Baik dan Maha memiliki segala sifat dan nama yang sempurna sentiasa memperkenalkan diri-Nya dan sifatnya itu dalam semua keadaan yang terjadi. Menulis adalah ruang refleksi dan ruang ilmu. Agar saya selalu ada 'bilik sendiri' dalam ruang masa yang ada bagi mengilmukan diri mempelajari siapa DIA yang Maha Rahman dan Maha Rahim itu. Kasih tanpa batas oleh Tuhan, hanya saya kenal melalui proses panjang saya membaca, membaca, membaca dan menulis, menulis, menulis, menulis, menulis.

Sekian.
.
.
.

Utara Malaysia,
6 Jun 2020

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)