17 August 2019

CIKGU, JANGAN BERLAGAK!

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya merenung lama tumpukan bahan rujukan yang tersusun rapi di atas meja. Satu persatu saya selak helai demi helai. Semakin saya selak dan telusuri, hati saya semakin panas. Entah saya sendiri tidak mengerti bagaimana silibus seberat ini hendak dimasukkan ke dalam kepala anak-anak pelajar yang masih dalam proses pembelajaran.
“Untuk menjadi guru yang disayangi pelajar, kamu jangan berlagak. Ajarkan mereka apa yang mereka perlu belajar dan bukan apa yang kamu rasa kamu mahu ajar. Memang di universiti kamu belajar Syarah Ibnu Aqil sampai dua jilid, khilaf  Nahu dan Sorof, Ilmu Balaghah Al-quran dan sebagainya, tetapi bukan semua itu yang pelajar kamu perlukan.”
Waktu itu saya hanya mendengar sambil lalu sahaja apa yang dinasihatkan oleh pensyarah kami ketika tu. Sehinggalah hari pembentangan tiba dan seorang rakan saya diminta mengajar. Dia kemudian mengajar satu tajuk nahu di hadapan kelas. Kemudian, pelajar seterusnya mengajar tajuk lain sehinggalah pembentangan hampir tamat.
Tiba-tiba pensyarah tersebut meminta kami menghentikan kelas dan dia berkata:
“Kamu semua mengajar dengan berlagak sekali.. ”, kemudian dia keluar dari kelas.
Kami semua terpinga-pinga sehinggalah tiba kelas pada hari berikutnya. Beliau masuk sambil mengajarkan kami satu topik mudah berkenaan ‘mufradat’ atau ‘vocabulary’ Bahasa Arab di dalam kelas.
هذا كتابٌ
Dia menyebut sambil meminta kami semua mengikut perkataannya.
Kemudian, beliau mengulang lagi perkataan yang sama sebanyak 3 kali. Kami sekelas mengikut seperti kanak-kanak kecil.
“Kamu semua yang duduk di hadapan ustaz, ikut! هذا كتابٌ ”,
“Kamu semua yang duduk di sebelah kanan ustaz, ikut! هذا كتابٌ
“Kamu semua yang duduk di sebelah kiri ustaz, ikut! هذا كتابٌ
Setiap pelajar mengulang perkataan beliau mengikut giliran seperti yang diarahkan. Saya yang duduk agak belakang hari ini hanya memerhati, seperti seorang nazir memerhati guru sedang mengajar pelajar-pelajar sekolah rendah.
“Enti! ما هذا؟”, beliau menunjuk tepat di hadapan saya. Jari telunjuknya tepat diacungkan ke wajah saya. Dengan wajah sedikit terkejut spontan saya menjawab:
هذا كتابٌ
“Ha, beginilah cara mengajar. Bukan berlagak bijak dengan menyumbat semua maklumat kepada pelajar. Kamu ini guru, pendidik dan pembimbing. Kamu bukan ustaz di masjid atau pensyarah di universiti. ”
Satu kelas senyap sepi. Kami mulai mengingat apa yang kami ajarkan pada kelas sebelum ini. Ia seperti pembentangan pelajar universiti dan bukannya mengajar. Melihat kami semacam tersentak, pensyarah kami menyambung;
“Memang, menjadi guru tidak mudah. Sebab, sebelum menjadi guru kamu perlu menjadi manusia yang tidak berlagak dengan banyaknya maklumat yang kamu ada. Seperti helang yang terbang tinggi tidak akan mampu mengajar pipit terbang jika dia masih dengan lagak helangnya, begitu juga bukan semua orang yang ada Phd boleh mengajarkan ilmu Phd yang dimilikinya.
Sedangkan seorang guru, dia mampu mengajar seseorang sehingga memperoleh Phd sekalipun guru itu tidak punyai Phd.”
Entah kenapa, kata-kata beliau kali ini begitu menusuk. Saya segera mencatatkan apa yang disebutkan oleh beliau di dalam buku catatan kecil saya. Sebelum keluar, beliau menyebut sesuatu dan menitipkan sebuah pesan yang beliau tulis di atas papan putih.
“ Pesan terakhir ustaz, kamu perlu jelas dan faham bahawa prinsip mengajar yang paling asas adalah membimbing dengan sabar. Bukan menyumbat dengan sesuka hati, bukan menurut apa kata orang-orang berlagak besar yang belum pernah menjadi guru. Kerja mendidik ini, bukan kerja suka-suka. Kita bekerja dengan Allah. Ingat… ”
 
Gambar: Saya menuliskan semula ayat Al-Quran dari Surah At-taubah yang dituliskan oleh pensyarah saya pada kelas terakhir kami dengannya di atas sehelai tisu.

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Lakukanlah (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan..” -Sura At-Tawbah, Ayah 105

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)