14 September 2019

IKATAN YANG TAKKAN TERLERAI


بسم الله الرحمن الرحيم



Adikku muslimah yang disayang Allah..

Nasihatku buatmu perempuan, jaga maruah kita. Mahalkan diri. Tidak mengapa disimpan lama di dalam kaca asalkan tidak rosak disapa debu.

Adikku muslimahku, alam universiti adalah alam yang membuka ruang luas kepadamu. Kau akan mulai belajar mengenal lawan jenis dengan lebih dekat. Berorganisasi, 'study group', urusan dakwah semua itu memberikanmu ruang belajar bersosial dengan lebih luas. Namun, tetaplah dirimu menjaga pergaulan dan batas. Tetaplah memohon agar malu membaluti diri. Takutkan Allah sebagai perisai.

Adikku muslimahku, suatu saat kau akan berada di tempat kerja pula. Di sebuah lapangan yang kau anggap ruang dakwah pun, usah terlalu naif mengatakan ruang itu suci dari hasutan syaitan. Cabaranmu dalam menjaga batas saat di tempat kerja lebih besar cabarannya. Kerana di situ nanti kau dipaksa untuk menjadi berani.

Tidak salah untuk menjadi berani. Namun, letaklah malu di hadapanmu sebelum berani. Kerana malu itu akan menjadi pagar agar kau tidak terlampau batas. Perbincangan sehingga larut malam, keluar lelaki dan perempuan dengan satu kereta ber'tinted' gelap, perbincangan 'urgent' tidak mengira masa. Semua itu akan kau hadapi saat di tempat kerja.

Lalu, tetapkanlah dirimu dengan rasa takut kepada Allah. Jangan sesekali kau melakukan itu dengan rasa suka dalam terpaksa. Kurangkan bergambar terlalu banyak dalam semua situasi dengan semua orang apatahlagi bersama lelaki bukan mahram.

Adikku muslimahku.
Di era moden ini, bersiap-siaplah kita dilabel 'jumud' bila menulis ayat baku ketika membalas mesej lelaki bukan mahram di whatsapp. Semoga kau terus malu untuk memberikan smiley bermata 'love' atau mengeluarkan ayat acah-acah pandai bergaul dengan lelaki yang bukan mahram sekalipun lelaki itu sudah bernikah. Bahkan, boleh jadi ayat dan smiley itu mengguris hati si isteri tanpa si suami menyedari.

Adikku muslimahku,
Simpanlah dengan baik doamu di langit. Minta dengan sungguh-sungguh kepada Allah. Usah mudah terpedaya dengan 'reply' sopan dari seorang lelaki. Yang datang bertemu keluarga dan melaksanakan akad dengan sempurna pun boleh terlerai begitu sahaja akibat tidak menganggap pernikahan sebagai sebuah ikatan yang kuat, inikan pula jika hanya 'reply status wasap' atau 'ig story' kau sudah senyum sendiri terharu.

Allah akan selalu bersama orang-orang yang bertaqwa kepadanya. Ingat selalu pedan nabi SAW, "Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu!"

Jagalah dirimu, jaga malumu, berfikirlah dengan waras saat kau ingin menerima lamaran seorang lelaki. Jangan tergesa-gesa menerima hanya kerana melihatnya solat di masjid. Perhatikan juga bagaimana dia menyantuni ibunya, saudara perempuannya. Tanya rakan-rakan terdekatnya bagaimana sikapnya saat berurusan dengan wang. Tanyakan adakah dia ringan tulang atau hanya ulat buku yang hanya mengenal aksara tanpa melihat kehidupan..

Adikku muslimahku, andai semua ini telah kau lakukan sehingga ikatan suci bertaut, syukurilah. Namun, saat ikatan itu terlerai begitu sahaja tanpa dapat diselamatkan lagi, bermuhasabahlah. Kerana Allah tidak akan memberi sesuatu yang tidak mampu kau tanggung.

Boleh jadi, ikatan yang terlerai saat ini akan digantikan oleh Allah dengan sebuah ikatan antara dirimu dan diri-Nya yang takkan terlerai sampai saat kau bertemu dengan-Nya di syurga...

Kerana, di saat engkau menjaga hakmu dengan-Nya, Dia pasti menjagamu sampai bila-bila..

(220419kalamzfn)








No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)