24 December 2017

HAKIKAT KEHIDUPAN DUNIA


بسم الله الرحمن الرحيم


Terlalu lama saya tidak menulis di blog ini. Tujuh tahun sudah usianya tanpa saya sedar, apatahlagi kalian yang tidak pernah pun tahu kewujudannya. Seumpama kawan lama yang telah bertahun tidak kita ketemu, tiba-tiba berselisih di simpang jalan bersama seorang anak kecil. Tujuh tahun umur anak itu. Bila ditanya, rupanya anak kecil itu adalah anak kandungnya yang sudah berumur tujuh tahun, persis saat kali terakhir kalian bertemu dengannya masih membujang. Seolah begitulah.

Jauh juga jalan kita ini. Dari keanak-anakan kita berubah menjadi dewasa. Dari usia remaja berubah menjadi belia, kemudian tua. Dari anak hingusan sekolah, kepada watak pendidik yang berjaya. Semua itu perubahan dalam kehidupan. Dengannya kita belajar menjadi matang terhadap rentak kehidupan. inilah yang disebut manusia.

Manusia.
Dari bayi menjadi kanak-kanak.
Dari kanak-kanak menjadi remaja.
Lalu, setelah remaja manusia menjadi dewasa.
Setelah dewasa mereka berubah tua.
Oh ya, mereka dan kita.

Kerana kita semua manusia.
Lalu,setelah tua manusia menjadi apa?
Manusia kembali ke mana?
Manusia dan kehidupan dunia akan saling meninggalkan.


Dan siang akan berakhir dengan senja.


Demikian kembara seorang manusia di sepanjang perjalanan hidupnya. Kalaulah manusia semuanya mahu membuat kembara ke dalam diri, dia akan mengerti betapa kehidupan adalah kembara ringkas yang kesemua kita akan melaluinya.

Lalu, sempatkah manusia menghabiskan perjalanan singkat itu hanya dengan membuat dosa dan keseronokan dusta yang nyata sementara.

Ah, manusia terlalu sering lupa dan leka. Mana mungkin dunia ini lama dan kekal sedangkan dunia sendiri akan hancur saat hari Pembalasan tiba.

Al-Quran. Disusun cantik padak rak dan wallpaper gajet mereka. Namun manusia masih lalai memasukkan Al-Quran ke dalam hati dan kehidupan.

Berkali-kali, Allah menyebutkan tentang kehidupan dunia ini hakikatnya seperti apa..



1) Dunia, adalah tempat tenggelamnya Orang kafir di dalamnya!

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنْسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.

-Sura Al-A'raf, Ayah 51



2) Kehidupan dunia ini umpama pohon subur yang menghijau. Semua menikmati indah kehijauannya, lalu kehidupan yang dinikmati itu akan menjadi layu seperti kuning dan layu sebuah pohon hijau yang MATI.

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

-Sura Al-Hadid, Ayah 20



3) Kehidupan dunia ini, jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sebuah main-main sahaja. Seperti sebuah permainan kalah mati yang mempertaruhkan kebahagiaan. Hidup di dunia seumpama permainan sebuah kebahagiaan sahaja. Akhiratlah kehidupan dan kebahagiaan sebenarnya yang mahu direbut semua pemain.

وَمَا هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَهْوٌ وَلَعِبٌ ۚ وَإِنَّ الدَّارَ الْآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).

-Sura Al-Ankabut, Ayah 64



Dunia.
Itulah ia.
Namun masih manusia ini bermaharajalela bergembira dengan dusta bicara mereka.


----------------------------------
Pineng-Bangi (22 Dis 2017)

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)