24 December 2017

AL-ANBIYAA' YANG MENGETUKKU

بسم الله الرحمن الرحيم

Hidup di dunia akan berakhir. Manusia sejahat firaun, mati. Insan semulia nabi juga wafat. Begitu juga manusia-manusia di sekeliling kita, bahkan kita juga akan mati.

Meremang bulu roma mengingat kematian yang mengejar manusia setiap detik. Namun, itulah hakikat yang tidak dapat kita lari sarinya. Kepercayaan, bahawa kematian itu dekat..

Al-anbiyaa yang mengetukku..


Detik amalan dikira semakin mendekat..

Malam itu sepi.
Mengingat sudah beberapa waktu saya hanya mengulang hafazan dan tidak menyelak lembaran al-Quran secara rutin. Saya segera mencapai al-Quran kesayangan dan menyelak lembaran yang telah bertangguh.

Permulaan surah al-anbiyaa yang pernah menjadi muhasabah besar ketika rakaat pertama qiyam Ramadhan 1438. Ayat pada rakaat pertama itu, membuat airmata bergenang. Jiwa terasa disobek-sobek hancur dalam ketakutan.

Takut. Bimbang.

Dengan segala kelemahan diri. Dengan segala ujian dan godaan syaitan yang membahayakan. Dengan segala dosa yang entah sudah sudah cukupkah siri taubatnya. Dengan segala ego yang masih bersarang di dalam diri, saya kelu. Firman Allah pada ayat pertama al-Anbiyaa ini begitu SENTAP!


اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُّعْرِضُونَ


Detik hisab (perkiraan amalan) manusia semakin mendekat. dan mereka masih dalam keadaan lalai dan tidak menyedari hal itu.
(Al-anbiyaa': 1)



Saya terhenti. Pembacaan tidak mampu diteruskan. Lama saya berdiri sambil mata dipejamkan. Mengenangkan dunia yang dikejar-kejar semua manusia, pangkat dan harta yang dibanggakan seluruh dunia, hati bergetar. Apakah diri ini termasuk dalam golongan yang turut dahagakan nikmat dunia, sedangkan hari perhitungan amalan semakin dekat. Adakah diri ini termasuk orang yang LALAI?!

Beberapa waktu telah berlalu dan saya masih ingat situasi itu. Situasi saat rasa takut menyelinap ke dalam diri disebabkan tadabbur Al-Anbiyaa' ayat 1 ini. Lalu, setelah setahun saya berkecimpung dalam dunia pendidikan, saya dapat merasakan ayat ini sangat saya perlukan untuk mengetuk diri berkali-kali.

Pernah.

Ya, pernah beberapa kali saya disoal oleh pelajar-pelajar saya. tentang banyak perkara. Tentang kesilapan, kesalahan, dosa, dan ralat mereka. Sebenarnya semua itu terangkum dalam beberapa perkataan yang digunakan di dalam Al-Quran 'faahisyah', 'zunuub', 'munkar'. Maksud bagi setiap perkataan pastinya berbeza mengikut penjelasan ilmu Bahasa Arab. Namun, maksud dari sudut kefahaman agama hanya satu.

Kelalaian.

Manusia dan kelalaian, itulah penyebab segala perbuatan salah, dosa, silap dan ralat dalam kehidupan. Bahkan, ramai yang amat sukar meninggalkan (move on) dari dosa tersebut. Mereka masih sukar meninggalkan keseronokan berbuat dosa sedangkan rasa bersalah sudah menghantui diri. Kata mereka, berkali-kali mereka lari dan mencuba memperbaiki diri namun rasa senang dengan dosa itu sukar untuk dibuang.

Bila manusia sudah bersahabat dengan dosa dan kejahatan, memang sukar ia dikikis. Bila manusia semakin senang dengan kesalahan yang diperbuat, memang dia memilih untuk mengikut jejak langkah syaitan sekalipun dia tahu syaitan adalah musuh ketatnya. Manusia dengan segala usaha yang dipernuat tidak mungkin berjaya jika dia masih belum benar-benar percaya bahawa kehidupan dunianya akan berakhir bila-bila sahaja.

Lalu, saat inilah Al-Quran hadir dengan ancaman dan peringatan keras.

Bahawa manusia memang sedang lalai!

Sedangkan hari perhitungan amalannya semakin mendekat.

Bangaimana mungkin manusia akan percaya bahawa hari perhitungan amalannya semakin mendekat sedangkan dia dan kepercayaan kepada Hari Akhirat sahaja masih sederhana percaya?

Bagaimana kita akan meninggalkan kesenangan berbuat dosa ketika kita masih lalai dan tidak percaya bahawa Allah menyediakan hari perhitungan amalan?

Itulah rukun iman ke-5 yang semakin dilupai oleh manusia. Mereka mengaku beriman, dan mereka masih sukar meninggalkan keseronokan berbuat dosa. Mereka mengaku beriman dan mereka masih separuh hati mempercayai kebenaran hari Akhirat sebagai hari pembalasan perbuatan buruk?

Kembali kepada Al-Quran itu ertinya kembali dengan percaya. Bukan kembali dengan berbangga-bangga akulah hafalan dan bacaan terbaik. Akulah penghafal Al-Quran dengan juzu' paling banyak. Kembali dengan percaya dan rasa wahai manusia. Nescaya kejahatan itu amat mudah untuk kau tanggalkan seperti kau menanggalkan baju kotor yang dilumuri lumpur busuk berwarna hitam kecoklatan.

Sekali lagi, cuba kau ketuk jiwamu dengan kebenaran Al-Anbiyaa' : 1.



اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُّعْرِضُونَ
 Detik hisab (perkiraan amalan) manusia semakin mendekat. dan mereka masih dalam keadaan lalai dan tidak menyedari hal itu.

(Al-anbiyaa': 1)


----------------------
24 Disember 2017
Bangi.

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)