Skip to main content

“Kita semakin dewasa, sedang mereka kian tua..”


بسم الله الرحمان الرحيم

Ummi,terima kasih untuk segalanya... -Gambar ummi ketika konvokesyen kak Wardah

“Orang tahulah, orang baliklah nanti!”, suara gertakan dari kamar sebelah kedengaran.

Saya kaget. 

Selama enam bulan saya berjirankan seorang gadis manis, ini baru kali pertama saya mendengar suara gertakan segarang itu. Saya terus menyambung kerja sambil didendangkan suara perbualan dari kamar sebelah. Sehingga akhirnya saya terdengar perkataan ‘ayah’ di hujung perbualan.
“Ayah ni, orang nak enjoy dengan kawan-kawan pun tak boleh.. Suka menyibuk hal orang lah..”, kedengaran perbualan dihentikan.
Kasar.

Sejenak diri cuba bersangka baik pada perbualan yang didengar degan telinga sendiri. Namun, perbualan seperti ini sebenarnya bukan menari-nari di telinga saya sahaja. Sesekali, jika kita turun bergaul dengan anak-anak muda generasi Y perbualan dan perkataan yang sama akan kita dengar.
“Malaslah duduk rumah, mak ayah suka menyibuk..”

“Peliklah mak ayah ni, mereka suka menyibuk hal kita anak-anak..”

“Asyik-asyik kena kongkong di rumah, menyibuk betullah mak ayah ni..”

Antara sedar atau tidak, perkataan ‘menyibuk’ itulah yang sering kita dengar dari bibir kawan-kawan sebaya kita. Bahkan mungkin, hati kita juga pernah berkata demikian, (moga kita dijauhkan).

Ketika kita dilanda kesibukan melampau ditambah pula tugasan-tugasan sebagai seorang pelajar kian menimbun, tiba-tiba kita mendapat panggilan untuk pulang ke kampung. Mungkin kita tidak merasakannya kepada ibu bapa.

Tetapi, kita terasa sedikit rimas apabila ditanya itu dan ini oleh kakak dan abang atau adik-beradik. Itu belum lagi hal-hal yang memang menjadi rahsia antara kita dan kawan-kawan...
“Keluarga aku tu, selalu menyibuk hal aku...”, begitulah yang sering kita dengar..

Kerana kita semakin dewasa

Sampai pada tahap ini, saya terpaksa untuk mengakui sebuah fakta bahawa kita sedang melalui sebuah fasa yang disebut remaja. Sebuah golongan yang sering dikaitkan dengan masalah depresi yang tinggi. 

Bahkan, hasil kajian Terras (1999) berkenaan tingkah laku sosial segolongan remaja menunjukkan, penglibatan mereka dengan penyalahgunaan dadah disebabkan masalah komunikasi dengan ibu bapa. Golongan remaja sering mempersalahkan fungsi ibu bapa terhadap mereka. 

Tetapi, kita sebagai generasi kampus bukan lagi golongan remaja ini. Kita adalah generasi yang dibentuk oleh kampus. Kerana itu, kita sebenarnya sudah semakin dewasa dari gigitan keremajaan dan ‘matang’ adalah pakaian kita sebagai siswa.

Mengapa saya tekankan hal ini?

Kerana kita semakin dewasa!

Dewasa, inilah saatnya kita merenung semula perjalanan hidup yang pernah kita lalui.

Siapakah yang pernah menyuapkan sesuap nasi ke bibir mungil kita? 

Siapakan yang mengerahkan tulang empat keratnya sehingga saat kaki kita berpijak di tangga kampus universiti ini? 

Siapakah yang sanggup mendoakan kita di saat kita tertidur nyeyak dan lupa untuk mendoakannya?

Ibu, ibu, ibu dan ayah serta ahli keluarga. 

Mereka pernah berada di setiap simpang kehidupan kita. Walau terkadang kita lupa dan tidak endah, namun di dalam lubuk hati mereka masih ada ruang khusus untuk menyimpan nama kita. Pada setiap hujung bibit pergaduhan, pasti terbersit sinar kemaafan dalam hati mereka. Seburuk apapun mereka, doa mereka untuk kita tidak pernah putus.

Itulah pertimbangan kita ketika kita semakin dewasa. Sebab itu, tidak hairanlah jika Rasulullah memberi sebuah pesan indah kepada kita, 

“Sebaik-baik kalian adalah yang berbuat baik kepada isterinya (keluarganya)” (HR At-Thahawi). 

Benarlah, berapa ramai orang mampu berbaik-baik dengan kawan-kawannya lantas dipuja dan dipuji oleh mereka sedangkan apakah dia mampu membuat perkara yang sama kepada ayah, ibu dan ahli keluarganya?

Kerana kita semakin dewasa, selayaknya kita untuk berfikir ‘apakah kebaikan yang mampu aku hadiahkan kepada keluargaku?’.


Sedang mereka kian tua

Saya teringat seorang penyair arab berkata:
“Ketika umurmu panjang, kau akan menderita akibat kehilangan orang-orang pergi dahulu sebelummu..”

Begitulah kehidupan, ada masa kita mata ini melihat dunia. 

Sampai detiknya, kematian pula menjengah. Begitu juga kita dan keluarga terutamanya ibu dan ayah. Sisa-sisa umur mereka jika dipenuhi dengan kebajikan dar seorng anak, pastilah sebuah kebahagiaan paling indah sebelum dan setelah kematian.

Ibu dan ayah, ketika mereka semakin tua itu bermakna mereka semakin mahu mendakap kita dengan kasih dan sayang. 

Namun sesekali, kerana jurang yang lahir dari perbezaan budaya berkasih-sayang serta generasi menjarakkan kita dengan mereka. Padahal, mereka sangat ingin kita sering berkomunikasi dengan mereka melalui bicara juga doa.

Ibu ayah, mereka sudah terlalu ‘tua’ untuk sebuah kehidupan. 

Tanpa kita sedar, sudah banyak hal yang mereka lakukan demi kebahagiaan kita. Sedangkan kita, berapalah sangat ketuaan kita dalam mencuba hal-hal yang mampu menghadiahkan bahagia buat mereka. Atau mungkin, kita sekadar merasa dewasa sedangkan merekalah yang membentuk kedewasaan itu tanpa kita sedar.


Ibu, ayah dan keluarga. 

Itulah syurga kita ketika di dunia. 

Kalau kita menganggap ia neraka, sebenarnya kitalah yang memilih untuk terjun ke lembah itu. Syurga dan neraka dunia, kitalah yang menciptanya. 

Selamat berusaha wahai generasi kampus!
Ingat satu perkara sahaja;

Kita semakin dewasa, sedang mereka kian tua. Apakah kita pernah berbakti sehabis usaha kita, seperti mereka membanting tulang sehabis tenaga mereka?
 Renung semula...


[Artikel pernah diterbitkan dalam Majalah USRATI ruangan GENERASI KAMPUS, Isu 5]

Comments

Popular posts from this blog

tadabbur surah kahfi : sebab turunnya surah al-kahfi..

بسم الله الرحمان الرحيم

bersambung dari artikel ini. Muhammad bin Ishak meriwayatkan daripada ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu yang mengisahkan tentang peristiwa turunya surah al-kahfi:
"orang-orang Quraisy menghantar An-Nadhar bin Al-Haruth dan Uqbah Bin Abi mu'ith kepada beberapa orang rahib yahudi. Mereka diminta untuk bertanya tentang Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang para rahib itu tahu tentang diri nabi Muhammad menurut apa yang dinyatakan di dalam Taurat.
para utusan Qurais itu berkata kepada rahib-rahib yahudi yang mereka kunjungi :" kami datang kepada kamu sebagai ahli kitab yang memegang Taurat untuk mendapatkan keterangan daripadamu tentang sahabat kami Muhammad! "
orang-orang yahudi itu berkata kepada mereka(utusan Quraisy), berikanlah tiga pernyataan kepadanya,jika dia dapat memberi keterangan tentang tiga perkara itu, maka memang benar dia adalah rasul. tetapi, jika dia tidak dapat memberi keterangan itu, maka dia alah seorang yang me…

"Kerana aku pemuda akhirat.."

Ukhrawi bukan hanya itu..
“Ah, kau hanya melihat akhirat. Kau gadis ukhrawi. Maaflah, kami ini duniawi”, begitu saban hari mereka bergurau denganku.
Aku cuma tersenyum getir mendengar kenyataan itu. Bukan terasa hati. Namun kerana kecewa dengan kecilnya pandangan anak muda generasi Y pada erti keduniaan. Aku kesal dengan salah erti tentang kedunian ini.

Mereka menganggap tudung labuh, membaca al-quran, pergi ke masjid, membaca dan menulis hal-hal agama itu ‘ukhrawi’. 
Mereka menganggap orang ukhrawi hanya tahu bercakap tentang ayat al-Quran dan tafsirnya. 
Mereka menganggap orang ukhrawi itu semata-mata puasa dan solat sahaja. Itu salahnya kita anak muda. Kita tidak mampu menjadi seperti anak muda di zaman Nabi kerana mentaliti dan persepsi satu sisi yang kita cermati.

Pada aku dan sepatutnya pada kita pemuda, keduniaan bukan pada banyaknya harta semata. Keduniaan bukan juga pada tingginya pangkat. Keduniaan sama sekali tidak diukur pada cantiknya paras rupa dan mewahnya rumah serta kere…

Contengan ramadhan: Persahabatan dan TAQWA kita..

بسم الله الرحمان الرحيم



Ini benar-benar sebuah ukhuwwah..
Selesai membaca surah An-naba' ayat 31-37, saya pandang ke kiri. Jalidah tiada. Sebab selalunya, Jalidah akan berkata kepada saya;
"Zahra cepat. Nak dengar perkongsian dari Zahra.."Sebenarnya, saya bukan pandai sangat mahu bercakap dan mengulas sesuatu, tetapi sahabat sejati yang ikhlas itu kadangkala lebih meyakini kita berbanding diri kita sendiri.

Sebab itu, bila sering bersama dengan Jalidah, saya seolah diberi kekuatan untuk berkongsi.

Terutamanya untuk melontarkan idea-idea dan butiran mutiara yang menerpa ketika menelusuri patah kata dari Al-quran. Setiap kali melontarkan bait-bait al-quran yang mulia, kemudian mentadabbur maksudnya, satu demi satu kisah kehidupan terasa dirungkai.

Tetapi, kadang-kadang saya mengelak juga.
"Jalidah, ana bukan faham betul sangat pun. Takut tersalah pula..",  Dan, selalunya, Jalidah akan mendesak. Memberi harapan dan menghargai saya seadanya.
"Zahra, ana pun macam Zah…