03 October 2014

Siapakah sebenarnya srikandi misteri kita?

بسم الله الرحمان الرحيم

Majalah USRATI Isu 5


Hormat kita kepadanya sepanjang hayat

Seteruk manapun kehidupan seorang insan. Sepayah manapun ranjau laluan kehidupan seorang manusia. Bagaimanalah akan hadir seorang insan ke dunia melainkan dari rahim seorang wanita bernama ibu. 

Berapakah nilai melahirkan itu jika mahu dibandingkan dengan kepayahan sebuah kehidupan?

Ramai anak yang tidak mampu melihat pengorbanan seorang ibu walaupun mereka ini manusia berakal. Hakikatnya, pengorbanan ibu tidak perlukan akal bahkan. Ia hanya perlukan perasaan dan kewarasan.

Saya tersentap membaca kata-kata Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin rahimahullah dalam Majmu’ Fatawa wa Rasa’il :

“Seorang ibu lebih berhak untuk senantiasa dihormati sepanjang tahun, daripada hanya satu hari saja, bahkan seorang ibu mempunyai hak terhadap anak-anaknya untuk dijaga dan dihormati serta ditaati selama bukan dalam kemaksiatan terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, di setiap waktu dan tempat”.
Fatwa Syaikh Utahimin ini sebenarnya berkenaan sambutan hari ibu. Namun, saya berkenan melihatnya pada sisi seorang anak. 

Anak-anak seringkali mengharapkan diri mereka disayang dan diberi perhatian sepenuhnya oleh seorang ibu. Bahkan ada anak muda yang sering mengadu kepada saya katanya:

“Ibu sering pilih kasih pada saya dan adik-beradik lain.”


Awalnya, saya cenderung meraikan aduan mereka kononya untuk memahami naluri mereka. Namun, rupa-rupanya saya terlupa bahawa naluri ibu lebih layak difahami. 

Kalaulah seorang anak sudah hidup 20 tahun, maka sepanjang 20 tahun itulah ibu tidak pernah melupakan doanya pada seorang anak.


Dia wanita, dia serikandi.

Ibu, saya umpamakan insan mulian ini sebagai serikandi misteri.

Ramai anak-anak hanya melihat ibu sebagai pembebel yang mengongkong mereka. Kadangkala mereka merasa ibu tidak memahami jiwa remaja mereka. 

Namun, satu fakta naluri yang tidak dapat kita nafikan ibu adalah insan yang paling memahami anaknya.

Ibu, berapa banyak pengorbanan insan mulia ini. 

Ibu berkorban masa, perasaan, kasih sayang, bahkan ada sesetengah ibu yang terpaksa berkorban harta demi anak-anaknya. 

Lalu, mengapa lagi seorang anak masih beku dan kaku untuk menyalurkan secebis kasih sayang dan penghormatan buat seorang ibu?

Ada sebuah perjuangan besar yang ibu pertaruhkan untuk kita.

Perjuangan ibu yang paling besar tatkala beliau mengorbankan nyawa untuk kita, anaknya. Hebatnya ibu, beliau adalah insan paling mengerti erti pengorbanan. Berkorban yang takkan terkorban, demikian prinsip ibu yang sangat teguh. Demikian prinsip seorang serikandi misteri yang jarang dilihat oleh seorang anak.

Ibu,
Beruntunglah seorang ibu yang mendidik anaknya walau dirinya derita dan susah. Kerana iman yang dipercayai, membuat derita itu bahagia kekal di dunia mahupun akhirat. 

Beruntungnya seorang ibu beriman yang mendidik kami, anak-anak yang pasti mendoakanmu saat kau harus pergi dulu.

Ibu, jasanya tetap di sanubari seorang insan bernama anak soleh. 

Jasa serikandi misteri yang tak pernah mengeluh ini tak mampu dibalas kerana misterinya ibu tak mampu diungkap rasa zahir. 

Ketawanya melindungi rasa duka. Senyumnya melindung rasa derita. Kasih-sayangnya melindung sakit sengsara. Dia biarkan airmata gembira menjadikan airmata duka terus menjadi misteri. 

Terima kasih ibu untuk sebuah misteri yang telah mengalirkan rasa bahagia untukku anakmu. 

Kaulah serikandi misteri yang paling layak dihormati!

Terima kasih ummi!

[Artikel pernah diterbitkan dalam Majalah USRATI ruangan UMUM, Isu 5]

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)