11 October 2014

Di saat kita tertanya, mengapa rosaknya manusia?

بسم الله الرحمان الرحيم


Dia anak kecil soleh

Aku merenung anak kecil itu.

Wajah mulusnya memerhatikanku sambil tersenyum nipis. Dia merengak-rengek kepada ibunya. Aku mula menerka, mungkin dia merengek mahukan gula-gula atau aiskrim. Mungkin juga dia mahukan robot ‘transfomers’ yang digemari mana-mana budak lelaki.

“Mak, mak..”, dia merengak lagi. 

Dengan tidak semena-mena, dia berbaring sambi menghentak-hentak kakinya di laluan orang lalu lalang di hadapan surau AEON Big, Wangsa Maju itu. Aku terus senyum kepadanya. Terubat rasa hati ini melihat keletah anak kecil bila merajuk. Keletihan hari pertama praktikal sedikit terubat.

“Mak, bila kita nak solat ni..?”, katanya dengan tidak mengendahkan orang rmai yang lalu lalang.

Aku terdiam.

Biar betul? Rajuk anak kecil di hadapan aku ini bukan kerana mana-mana sebab yang aku sangkakan. Dia merajuk kerana tidak sabar mahu solat?

Si ibu tidak menjawab sambil menarik tangan si anak agar bangun dan duduk di sebelahnya. Sambil menunjukkan wajah marah, dia merenung tajam si anak kecil sampai anak itu terdiam ketakutan.

"Duduk diam-diam! Tunggu abah dulu..", gertakan itu nyata menakutkannya.

Dia duduk diam-diam di sebelah ibunya. Tiba-tiba dia bersin sambil menutup mulut dengan tangan mungilnya. Serentak, dia mengucapkan 'Alhamdulillah' seusai bersin. Aku yang berada dekat dengannya mengucap 'yarhamkumullah'. Perlahan.

Sekilas aku memandang ibunya. Sepatah kata pun tidak berbutir di bibirnya sedangkan ucapan anak kecil yang comel tadi perlukan jawapan seperti yang diajar Rasulullah shallallahu alaihi wasallam.

Aku hanya terdiam sambil minda ligat memikirkan apa yang terjadi di hadapan mataku.

Bagiamana, seorang anak kecil boleh menuruti lunas-lunas akhlak sunnah sedangkan si ibu seolah-olah tidak tahu langsung apa yang sepatutnya dia jawab. Bagaimana pula, anak kecil tadi tahu akhlak sedangkan si ibu tidak mengajarkannya?. Bahkan, ketika si ibu bersin tiada kata 'Alhamdulillah' yang keluar dari bibirnya?


Kita, pencorak diri seorang manusia

Fatin keluar dari surau dan mendapatkan aku. Sepanjang perjalanan pulang, aku bercerita kepada Fatin kisah anak kecil tadi.

"Ana rasa, budak tu mesti belajar semua tu kat sekolah. Bagus gurunya, telah membina seorang manusia! Semoga Allah rahmati guru itu", ucapku sambil memandang Fatin yang sedang memandu.

Sepanjang perjalanan pulang hari itu, aku yeringatkan satu-persatu insan yang oernah hadir dalam hidupku mencorak cebis-cebis warna dan aksara pada dinding putih jiwa ini. Sehingga saat ini, mereka itu terlalu indah untul digambarkan.

Jari ini, aku benar-benar terkesan dengan solehnya anak kecil tadi. Cuma, aku sedikit terancam bagi pihaknya melihat kasarnya si ibu menconteng warna pada lembut kain putih.

Aku kurang senang menyalahkan sesiapa. kerana aku sentiasa percaya setiap kita ada peranan dalam mencorakkan manusia, Khususnya anak kecil. 

Bak kata pepatah melayu, melentur buluh biar dari rebungnya. Rebung itulah yang sering diabai sehingga ia tumbuh menjadi buluh buluh yang keras dan hanya akan berubah ketika dicantas keluar dari rumpunnya.

Ini kisahku empat bulan lalu.

Kisah perjalanan hari pertama aku dan Fatin menjadi pelajar praktikal di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia(ITBM). Bukan kisah dari institut terjemahan dan kisah menterjemah dokumen, tetapi kisah mencetak serta menduplikasi sikap kemanusiaan. Kisah sebuah institusi keluarga yang sering dipandang remah oleh masyarakat.

Baitul muslim. 

Itulah institusi yang mampu memperbaiki manusia.

Bermula dari memilih ahli-ahli yang praktikal muslim untuk berada di dalamnya. 

Bermula dari kefahaman menyeluruh dan bukannya kefahaman yang dibaluti nafsu untuk membinanya. 

Bermula dari NIAT kita untuk terjun ke gerbangnya. 

Gerbang Pernikahan.


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)