01 November 2013

Dari sebuah kelas Nahu aku belajar nilai IKHLAS..


بسم الله الرحمان الرحيم

Di bawah kubah biru tersergam nan indah, saya mula mencoretkan kejadian hari ini. Kejadian biasa yang menusuk ke jiwa.
Image from google- masjid UIAM


Teruskan dengan kebaikan yang lain..

Usai meeting dengan sahabat DnT ALA, saya terus meluru ke kelas syarah Ibnu Aqil di Masjid.

Mulanya, kaki terasa malas melangkah ke masjid. Apatahlagi bila Afaf dan Fad mengajak saya makan sekali. Sikap mukmin yang baik dia berusaha memenuhi harapan dan ajakan saudaranya. 

Tetapi, tiba-tiba saya teringatkan kelas Syarah Ibnu Aqil Dr Solehah.

Saya merenung jam Casio besi di pergelangan kanan, jam menunjukkan tepat 11 pagi. 'Aha, kelas Syarah Ubnu Aqil belum habis lagi ni..' desis hati.

Tiba-tiba teringat pesan ummi:

"Biasakan diri tu Zaharoh, lepas selesai satu kerja, sambung dengan kerja yang lain pula..   !!فإذا فرغت فانصب (Maka apabila kamu telah selesai dari sesuatu urusan, kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain) [Al-insyirah :7]"

Suara ummi seolah-olah berbisik halus ke telinga saya.

Itulah istimewanya ummi dan abi. Sepanjang mereka mendidik kami adik-beradik, ummi dan abi jarang berkata:

'ingat pesan ummi dan abi ni..' Tetapi, mereka lebih sering berkata: 'Ingat, apa Allah pesan dalam al-quran. Ingat apa nabi pesan dalam hadis..'

Pantas.

Saya bergegas minta diri dari Afaf dan Fad kemudian meluru ke masjid tingkat dua. Sampai sahaja di masjid, saya berniat i'tikaf dalam hati sambil berdoa dengan doa masuk masjid. Semoga ilmu yang saya dapat bermanfaat dan Allah nilai sebagai ibadah.


Kelas kitab Syarah Ibnu A'qil

Dari luar sudah kedengaran suara nyaring ustazah Solehah menjelaskan kitab turath nahwu bahasa arab itu. Dengan kaki kanan, saya melangkah masuk meninjau bahagian lelaki, tempat kelas pengajian syarah Ibnu Aqil, terasa malu kerana lambat. 

Tergamam.

Cuma ada dua pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki sedang tekun menatap kitab. Suasana damai menyeruak dalam jiwa. 'Semoga Allah merahmati mereka yang ikhlas ini'.

Juga, ustazah Solehah yang tetap bersemangat seperti ada ratusan pelajar di hadapan beliau. Sampaikan, saya yang menjadi orang keempat itu pun seolah tidak diendahkan. (siapa suruh datang lambat huhu..) 

Ustazah Solehah masih bersemangat. Merasa diri bersalah dek lambat, saya cepat-cepat volunteer untuk mebaca bayt terakhir bersama syarahnya yang terakhir untuk kelas hari ini.

Selesai.

Kelas hari ini berlalu dengan sangat tenang. Kami terasa ramai walaupun cuma empat orang pelajar. terasa ada 'malaikat' yang meramaikan dan menebarkan sayapnya untuk majlis ilmu kitab Syarah Ibnu Aqil itu.

Kerana satu hal, saya yakin. Ustazah IKHLAS! Cuma itu yang mampu saya katakan. Bayangkan, ustazah sanggup meninggalkan meeting department semata-mata mahu mengisi kelas Syarah Ibnu 'Aqil yang pelajarnya cuma tiga+satu (saya) orang itu!

Saya teringat kata-kata ustazah tadi:

"Ustazah harap, kelas ini berjayalah ya... kamu, tidak pernah belajar nahu selagi kamu tidak belajar alfiyyah bersama syarahnya!"
Dengan wajah terkilan yang tetap bersemangat, ustaah mengucakan terima kasih kepada kami yang hadir. Ustazah mendoakan barokah untuk kami!

Ya Allah, rahmati dan limpahkan barokah untuk guruku ini', saya mendesis dalam hati sambil kaki melangkah keluar. Ada tugas yang menanti.


!!فإذا فرغت فانصب

Dari sebuah kelas Nahu aku belajar nilai IKHLAS..




Masjid SHAS UIAM, tingkat dua,
27 Zulhijjah 1434H
[catatatan selepas solat Jumaat]

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)