19 October 2013

Kita yang teruji dan diuji..

 بسم الله الرحمان الرحيم



Pemuda kahfi, mereka juga diuji. Kemudian Allah teguhkan hati mereka..

"Aku diuji kau tahu!"

"Iya kawan, kau ingat cuma dirimu diuji? Semua orang diuji!"

Dia diam.

Walau sebenarnya aku tahu, ujian Allah untuk dirinya sangat besar melebihi ujian Allah untuk diriku. Aku kenal dia. Dia memang sangat baik dan taat melakukan perintah Allah.

Sikapnya yang lemah lembut, tutur katanya yang jarang menyakitkan hati manusia, maka ujan untuk orang sepertinya pasti lebih hebat. 

Ah, aku sering ditemukan dengan orang-orang yang hebat diuji. Ujian mereka, benar-benar menguji percaya, iman, dan yakin. Semuanya berkaitan TAUHID. Yah, itulah ujian yang benar-benar ujian. Ia berkait Syurga dan Neraka!

Sungguh, semua ini bukan ujian main-main.


Seorang adik hampir 'Murtad'

Seorang adik, pernah bermimpi dirinya murtad. Kemudian mimpi itu berulang-ulang dalam tidurnya selama enam-tujuh bulan. Sehingga akhirnya dia menganggap mimpi itu wahyu yang benar untuk dirinya. 

Bukan perasan, tetapi aku akui adik ini memang 'suci'. 

Semenjak tingkatan satu dia tidak pernah tinggal tahajjud, tidak pernah juga tinggal ayat kursi sebelum tidur kecuali satu hari. Solat sunat Dhuha dan rawatib? Jangan ditanya. Memang aku tidak pernah lihat dia tinggalkan.

Alhamdulillah, hasil beberapa konsultasinya denganku selaku senior tingkatan lima ketika itu 'penyakit' mimpinya telah terubat. Dengan bantuan beberapa orang guru dan ustaz-ustaz di MMAS ketika itu, gangguan yang hampir mencabut aqidahnya itu, terselamat. 

Alhamdulillah.

Itulah aku. 

Memang aku tidak sebaik adik ini. 

Tahajjudku sahaja, selalu aku cutikan. 

Jangan sebut tahajjud yang mencabar itu, kadang-kadang Al-quran pun aku masih mujahadah mengkonsistenkan.

Tetapi aku bersyukur, Allah lorongkan kepadaku 'kes' adik yang hampir murtad hanya kerana mimpi ini untuk aku muhasabah.

Betapa, aqidah itu tonggak kepada ibadah.


Seorang lelaki yang teruji

"Akak sengaja ceritakan kisah ini pada Zahra",
kak Syida merenung tepat ke dalam anak mataku kemudian mata beningnya ditutup rapat. Sereantak, dia menggenggam tanganku seolah mencari kekuatan.

"Ceritalah akak..", 

Aku berkata sepatah mendorongnya dan menyalurkan sedikit kekuatan. Aku dapat rasakan, ceritanya berat untuk diluah sakit untuk ditelan.



"Abah akak..", kak Syida berhenti sebentar. Mencari kekuatan mungkin.


"Abah akak selalu mengubat orang kena rasuk. Entah macamana suatu hari, abah akak didatangi seoraang lelaki. Lelaki itu bawa sehelai daun pokok rambutan. Depan abah akak, dia baca mantera apa entah tiba-tiba daun tu berubah jadi duit!"

"Err.. biar betul akak. Macam drama Melayu saja.."


"Ya. Memang macam drama. Tetapi, kalau tongkat ahli siir nabi Musa boleh berubah menjadi ular kecil.. Apakah mustahil daun zaman moden berubah menjadi duit?", kak Syida menyoalku tanpa mengharapkan jawapan.

"Erm.. betul akak. Abi pernah cakap pada Zahra, Iblis zaman nabi Adam dahulu pun masih ada sampai sekarang. Kan mereka minta pada Allah agar tidak dimatikan sehingga tiba hari kiamat. Maksudnya, zampai sekarang Iblis zaman nabi Musa itu masih hidup..",  Aku menambah sambil mengiakan.


"Betul Zahra.. Sebenarnya, akak bukannya mahu fokuskan cerita abah tu. Tapi akak mahu katakan yang.. kita semua teruji.

Dan abah akak, dia adalah lelaki yang teruji. Macam Zahra tahu, akak anak sulung dengan 7 adik-beradik masih belajar. Akak tak ambil PTPTN sebab tidak mahu berhutang dan terkena tempias walaupun debu riba.

Abah akak sudah tidak bekerja tetap. Pendapatan abah cuma dari duit berubat itu. Sebulan paling banyak pun RM 3000. Itu pun, mungkin setahun sekali dengan pendapatan begitu.

Tiba-tiba, datang pula lelaki dengan karung daun berubah duit itu. Waktu abah cerita pada akak, abah ada sebut satu perkara: 

'Syida, kalau iman abah tak kuat.. abah pasti ambil wang itu. 
Syida pun tahu abah berubat orang, kadang-kadang mereka tak bayar. Abah pun tak minta.. sebab bagi abah, rezeki kita bukan dari orang yang berubat. Rezeki mitlak dari Allah. Ada masa syaitan ambil peluang untuk rosakkan aqidah kita'..", 



Kak Syida melepaskan tanganku. Dia menghelas nafas, panjang bersama helaan itu terdengar suara kecilnya beristighfar.

Lelaki, kalian mungkin lebih mengerti. Kerana kalian lelaki, pasti kalian menyedari bahawa lelaki bernama 'abah' ini adalah seorang lelaki yang benar-benar teruji..


Kisah ini untuk kita

Dua kisah ini, kisah benar. Kisah yang saya lalui dan dengar sendiri.

Ya, itu baru kisah yang saya tahu. Baru kisah yang kita tahu. Masih ada kisah-kisah ujian yang kita belum tahu.

Di dalam surah Al-kahfi, ada kisah anak-anak muda yang mempertahankan iman mereka demi sebuah 'TAUHID'.

Mereka diuji dengan pemimpin yang zalim.

Kita?

Ya, kita ini anak muda dan diuji dengan hati dan perasaan. Memang itu ujian untuk kita.  Dan masa muda, memang ini ujiannya.

Begitulah pesan ustazah saya ketika saya di tingkatan 6 dahulu.

Ujian hati dan perasaan, memang membuat manusia mendekat kepada Tuhan. Kerana Tuhan cintakan kita.

Dr Khalida Abu Syadi dalam buku beliau bertajuk 'Kerana itu aku mencintai Tuhanku' menukilkan:


"Tuhan mengujimu untuk mengangkat darjatmu di syurga, kerana Dia mencintaimu!

Ia mengujimu agar kau sedar dari gelumang dosa-dosamu lantas kau kembali bertaubat kepadaTuhanmu, kerana Dia mencintaimu!"

Benar kawan, ujian hati dan perasaan nyata membebankan jiwa. 

Terkadang kita menjerit tanpa ada yang mendengar kecuali Allah. Kadang kita meminta tanpa kita tahu di mana hujungnya, kecuali jika Allah menunjukkan hujung penantian kita dengan pemakbulan dari-Nya.

Ketahulilah, masa muda kita memang teruji. Segala yang mampu di'klik' semudah hujung jari memang menguji takut kita kepada Allah pada detik kita bersendiri.

Di hadapan manusia ramai, kita mampu berlagak 'baik'. Tetapi bagaimana kita di saat kelam malam menutupi siang? Bagaimana kita di saat tiada manusia memuji lagi? Bagaimana kita pada detik seluruh manusia mencemuh kita?

Masihkah kita kuat?

Kita memang diuji. Kerana Allah cintakan kita..

Kerana Allah cintakan kita..



~ Zaharoh Fajar Nina| 19/10/2013 | 9:20pm | API UMKL ~

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)