21 July 2013

Silaturrahim: ketika kita berusaha memeliharanya..

بسم الله الرحمان الرحيم

Hatiku digilap dengan silaturrahim.

Dalam LRT ke Salak Selatan


Petang Jumaat itu masih cerah.

Saya pandang langit yang ditutupi sedikit awan dan biasan sinar mentari. Membawa ketenangan buat diri. Saya perasan, setiap Jumaat selalu begitu. Udaranya nyaman dan damai. Tidak tahu pula cuma di UIA begini, atau di semua tempat.

Dari tangga besar UIAM, saya bergegas menuju stesen bas Mahallah Safiyyah. Orang belum terlalu ramai. Lebih melegakan bila terlihat masih ada bangku kosong untuk diduduki.

Banyak kerja yang perlu diselesaikan hujung minggu ini. Empat muka surat hafazan al-quran, persisapan untuk peperiksaan Intro Translation dan beberapa perkara persatuan. Sesak. Tetapi saya usahakan juga ke rumah kak Syahidah atas pelawaannya.

Sebab, semakin diri meningkat usia ini nilai sebuah silaturrahim antara adik-beradik itu terasa sangat berharga. Iyalah, semakin kita besar semakin banyak pula tugasan menimpa. Bermula dari bekerja, belajar, dan rumahtangga. Semua itu telah menguras kebersamaan kita dengan keluarga tanpa kita sedar.

Waktu kita kecil dahulu, mana ada orang lain yang akan bermain, mengusik dan kemudian memujuk semula bila kita merajuk. Waktu kita menangis teresak-esak dengan pasir penuh membaluti lutut kerana terjatuh, kawan-kawan sepermainan akan lari meninggalkan kita. Tetapi, seorang kakak tidak akan turut lari bersama mereka. Dia akan datang memujuk kita dengan wang RM1 berwarna emas itu.

Kita akan berhenti menangis.

Bas rapidKL T231 itu bergerak melaju. Kenangan demi kenangan saya dan kak Syahidah terungkap di sela padatnya 'tin sardin' bertayar itu.

Masuk ke LRT di stesen PUTRA, saya kembali menyelak nostalgia ketika di MMY. Tempat saya belajar bersama kak Syahidah. 

Tingkatan satu, dua kemudian tiga. Kata orang, kami seperti anjing dan kucing. Tak boleh bertemu, pasti bergaduh. Memang benar, cuma bagi saya itu cara kami berinteraksi. Saya tidak mahu hubungan persaudaraan ini kaku dan dingin. Biar ia hangat dengan celoteh dan pertengkaran kecil yang membuat kukuh dan mencipta kenangan.

Pernah suatu hari, kak Syahidah bertemu dengan saya. Dia selaku pemimpin di sekolah bertanya, mengapa ada juga masalah ukhuwwah antara generasi sedangkan mereka terlihat gembira dan boleh melawak antara satu sama lain. bahkan, ada di antara mereka yang saling memusuhi dalam lipatan.

Saya cuma senyum. Saya katakan:
"Kak Syahidah, cinta itu asasnya adalah hati. Kalau di luar terlihat berukhuwwah tetapi dalam hati penuh dendam, bila pula mahu merasakan ukhuwwah kerana Allah yang mereka sebutkan itu?"

Mengingat situasi itu, saya jadi sangat setuju dengan pepatah melayu ; 'air yang dicincang tidak akan putus'. Biarlah kami terlihat bergaduh pun, tetapi dalam hati kami saling mendoakan antara satu sama lain. Kami ambil Allah sebagai pelindung dari perasaan hasad dan dengki.

"Masjid Jamek", kedengaran pengumuman dari corong LRT. Saya turun di stesen itu untuk pertukaran LRT ke laluan Sri Petaling. Sambil menunggu Monorel ke Salak Selatan, saya memohon agar Allah nilai perjalanan ini sebagai ibadah dan usaha pembersihan hati. Kerana, saya pernah dengar satu saluran radio di Indonesi dan ustaz dalam radio itu berkata:

"Lihat orang yang suka menyambungkan silaturrahim(hubuungan kekeluargaan) itu, mereka pasti orang-orang yang bersih hatinya. Kerana silaturrahim, sesuatu yang ditinggalkan manusia dan mereka melebihkan orang lain berbanding keluarga. Tetapi, rasulullah mengajar kita mengutamakan silaturrahim dari semua itu. Pasti ada nilai ibadah yang sangat besar disitu."

Terasa hati ini digilap sampai bersinar bila silaturrahim terpelihara kemas. Tetapi memang, kadang-kadang ada juga ujian menerpa. Sikap saudara kita yang menjengkelkan, suka mencari kesalahan dan terlihat kurang iman itu sebenarnya untuk menguji iman kita. 

Teruslah mengangkat tangan berdoa, minta Allah pelihara kita.
Dan kita, akan terus berusaha memeliharanya..

2 comments:

  1. "Sikap saudara kita yang menjengkelkan, suka mencari kesalahan dan terlihat kurang iman itu sebenarnya untuk menguji iman kita. "

    naam :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang ini fokus artikel kali ni. syukran atas kunjungan.

      Ramadhan mubarak!

      Delete

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)