24 July 2013

Hidup seputar monolog dakwah ini..

بسم الله الرحمان الرحيم

Hari-hariku di ruangan itu..

Dua jam di hadapan laptop, jemari masih kaku.

Entah apa yang mahu disebarkan. Terlalu banyak permasalahan berkocak di dalam fikiran. Hafazan al-quran maqra' keenam itu saya sudahkan dahulu. Sedikit tenang setelah dibasuh dengan ayat-demi ayat yang diulang-ulang. 

Seperti biasa, masa luang saya sepanjang Ramadhan ini pastilah di ruangan solat wanita masjid SHAS. Beberapa orang makcik cleaner tekun membersihkan ruangan itu dengan tenaga empat kerat mereka. Sesekali mereka tersenyum dan menyapa pelajar yang keluar-masuk. Mulianya kerja mereka, sepertimana rasulullah memuliakan si wanita pencuci masjid nabi. 

Dua ekor burung kecil di hadapan saya leka berlompatan. Sampai ketika satu herdikan dari makcik cleaner berbaju hijau dan putih itu membuat mereka terbang agak tinggi. Hinggap di atas lubang-lubang bangunan masjid. Tanpa rasa terancam, penuh damai. 

Beberapa minit mak cik itu pergi, kedua-duanya kembali mendarat di atas hamparan karpet merah hati masjid Sulatan Haji Ahmad Shah itu. menyambung lompatan-lompatan kecil mereka yang lucu. Saya cuma memerhati. 

Bijak juga burung-burung kecil ini ya, mereka seolah tahu ini tempat mulia. Tempat yang padanya penuh berkah dan kedamaian. Mereka terkejut dengan sergahan dari mak cik tadi, tetapi mereka tetap kembali. Kemudian memberikan satu kicauan yang gemersiknya hanya dapat difahami oleh orang yang menikmati.

Begitulah hari-hari saya di ruangan itu. Memerhati gelagat manusia dan menyapa mereka bila perlu. Menebarkan kasih-sayang sesama muslim walau melalui sekuntum senyuman.


Burung kecil itu..

Burung kecil itu, membuat saya teringatkan kisah nabi Ibrahim dibakar. Kisah dari penceritaan guru-guru tadika saya. Memang, kisah ini tidak dapat dijelaskan kesahihannya, tetapi kisah ini dapat dilihat di dalam kitab-kitab tafsir dengan merujuk kepada ayat 69 Surah al-Anbiya'. 

Memetik kata-kata Ibnu Kathir didalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azhim, semua binatang-binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim as. kecuali cicak. 



Kisah ini berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Hatim, dari A'isyah ra. bahawa Rasulullah bersabda yg bermaksud :

"Sesungguhnya Ibrahim tatkala dicampakkan ke dalam api, semua binatang yang melata dimuka bumi ini cuba memadamkan api, kecuali cicak, kerana sesungguhnya dia (cicak) meniupkan api keatas Nabi Ibrahim..." [Lihat juga Tafsir al-Munir, Wahbah al-Zuhaili, 9/93]. (sumber)

Riwayat ini menunjukkan, usaha setiap makhluk di bumi ini menyelamatkan sebuah kebenaran. Walaupun pada hakikatnya, mereka tidak berupaya memadamkannya. Bahkan, dengan kuasa Allah lah, api itu menjadi 'dingin'.

Dua ekor burung kecil itu masih melompat-lompat di hadapan saya. Barangkali mereka suka dengan irama al-quran yang berdengung di sekitas ruangan wanita masjid SHAS itu.

Subhanallah, burung kecil itu membawa saya kepada satu kesimpulan.

Usaha ke arah menegakkan kebenaran ini walaupun sedikit pengorbanannya, tetap mempunyai impak yang bernilai. Ya, sekarang ia belum terlihat. Tetapi, apabila kita bertemu Allah swt dihari Kiamat kelak ia pasti menjadi penambah berat timbangan kita, amiin.


Dakwah: Kita bergerak bukan kerana manusia..

"Zahra, terima kasih untuk semalam. Walaupun sebentar, ana rasa sangat bermanfaat", seorang sahabat menyatakan rasa hatinya. Jujur dan penuh rendah hati.

Mulanya saya tersenyum bahagia menerima kata-kata terima kasih ini. Saya merasakan usaha 'burung kecil' saya berhasil menambat hati manusia. Tetapi tiba-tiba juga saya terfikir, apakah hanya untuk ini?

Ya, ucapan terima kasih itu hak kita sesama manusia. Setelah hubungan dengan hamba kita leraikan, bagaimana pula hubungan kita dengan pencipta hamba?

Kita ini, kena bergerak untuk manusia dan bukan kerana manusia. Barulah dakwah dan usaha kita ada tujuan kemudian sedar dengan sebuah pengakhiran. Dakwah kita, akan sentiasa hidup sedangkan jasad kita inilah yang akan mati dikambus tanah.

Sebab itu, perkataan 'untuk' dan 'kerana' ini menjadi penunjuk ke mana arah kita sebenarnya?.

'Untuk' bermaksud khidmat kita akan terus mengalir buat ummah. Bertepatan dengan sebuah pujangga arab "خير الناس أنفعهم للناس" (Sebaik-baik manusia, adalah yang memberi manfaat untuk manusia lain)

Terjumpa kata-kata ini pada desktop di maktabah Darul hikmah IIUM :-)


'Kerana' membawa kita kepada sebuah sebab yang memangkin semangat. Bila kerana Allah, itu berarti misi kita jauh melangkaui kerak bumi dan angkasaraya. Kita punyai matlamat yang kekal tanpa ada pengakhiran. Matlamat itu pula, membuat kita selalu bermonolog dan mencantas segala riya' dan ujub. Kerana kita tahu Allah (matlamat kita) tahu segalanya.

Dia juga yang memberi peneman yang sejati dan soleh untuk kita bangkit dari terjatuh. Dia yang menyapa kita dengan peringatan-demi peringatan dari kitab suci al-quran. Dia juga yang mentarbiyah kita agar menilik sesuatu penuh dengan nilai insani melalui utusannya rasulullah shollallahu alaihi wa sallam.

Kerana itu, kita tidak akan bergerak kerana manusia. Takut nanti cuma sia-sia, kita kira ia tanda setia sedangkan cuma debu-debu yang jatuh di celahan kaca.

Hidup seputar monolog-monolog dakwah ini, membuat jiwa teguh di tengah sambaran ombak yang kian mengganas!

---------------------

Zaharoh Fajar Nina
15 ramadhan 1434H
6:20 pm

2 comments:

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)