Skip to main content

Contengan Ramadhan: "sebenarnya, TAQWA itu apa?"

Untuk orang yang bertaqwa

Saya pandang Hafizah di sebelah kiri saya. Tiba-tiba sahaja perasaan mahu berkongsi seperti biasa datang membuak-buak.

Sambil menyentuh tangannya, mulut ini ringan melontarkan kata-kata.

Saya bersuara perlahan tapi semangat, :
"Pija, tengok ayat ni. Pasal orang bertaqwa.. Subhanallah..",
Hafizah merenung saya, memberi perhatian. 

Mungkin juga aneh mengapa saya tiba-tiba berhenti membaca al-quran dan terlihat bersemangat luar biasa. 

Entahlah, saya sendiri aneh. 

Sejenak saya mengamati ayat itu. 

Tiba-tiba saf pertama ruangan solat wanita masjid SHAS terasa damai luarbiasa. seolah kedengaran bicara halus menyusup kedalam rongga telinga dan membisikkan sebuah berita gembira.

Dalam damai dan tenang itu, saya menyambung bicara;
"Ayat ni cerita mengenai balasan terhadap orang yang bertaqwa.."
Kemudian saya bacakan maksud ayat itu satu persatu..

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini.
(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur;
Dan gadis-gadis yang sebaya umurnya;
Serta gelas yang penuh dengan minuman;
Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta;
Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)"
Habis mengulang maksud enam ayat dari surah An-naba' itu, saya terdiam. 

Dalam minda terbayang-bayang sebuah tempat bernama 'Syurga atau Jannah'. Betapa,nikmatnya seolah terbentang di depan mata.

Nikmat bagi seorang lelaki, adanya gadis perawan yang sebaya umurnya. Atau orang sering menamakannya dengan 'bidadari'. 

Nikmat untuk seorang wanita pula, menjadi gadis yang perawan atau menjadi lebih baik dari para bidadari itu. Kerana nyata, bidadari itu akan mencemburui wanita dunia kerana kelebihan kita atas solat dan puasa kita. Ya, puasa kita siang tadi yang benar-benar kerana Allah.

Bahkan itu baru satu nikmat!

Banyak lagi nikmat syurga yang terbayangkan dek mata, tak pernah kedengaran di telinga.

Semua itu hanya bermain dalam lubuk hati terdalam. Tak mampu saya ungkapkan di depan Hafizah. Entah kenapa, dan entah lidah ini kelu seribu bahasa.


Apakah erti Taqwa sebenarnya?
"Zahra, sebenarnya Taqwa itu apa?", 
soalan Hafizah memberhentikan monolog dalaman saya. 

Dia seperti tau saya terkelu dan tak mampu mengungkap desiran bisikan yang menjelaskan ayat di atas.
"erm, Taqwa ya..", 
saya berusaha mengawal channel yang baru berubah itu. Hafizah terlihat sabar menanti.
"Pija pernah dengar kan cerita Umar Al-khattab dan Ubay bin Kaab? ",
Hafizah diam. Saya terus menyambung;


Umar Al-khattab pernah bertanya kepada Ubay Bin Ka'ab.
“Apa itu taqwa wahai Ubay?” 
“Pernahkah kamu meyusuri jalan yang penuh berduri?” balas Ubay dengan suatu pertanyaan yang menduga.
“Pernah..” jawab Umar.
“Apa yang kamu lakukan?” pintas Ubay.
“Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati,” jawab Umar lagi.
“Itulah taqwa..” simpul Ubay bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang taqwa.
Duri, membuat manusia berhati-hati.. Dosa pula?

Sejurus selepas saya tamatkan kisah itu, azan Isya' oleh Bilal masjid SHAS berkumandang. 

Perbincangan kami terhenti di situ. Semoga perbincangan singkat dengan ilmu cetek ini tetap berniali ibadah. Amin.

Sepanjang perjalanan pulang dari Solat Tarawih malam itu, persoalan makna taqwa ini masih bermain-main dalam minda saya. 

Sampai saja di bilik, segera saya buka laptop dan menghubungkannya dengan internet. Satu persatu web yang dipercayai saya telusuri. Sedikit pemahaman dari beberapa pembacaan, Taqwa itu punyai pelbagai bentuk dalam satu makna.

Imam Ghazali berpandangan bahawa:


"Taqwa ialah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala apa yang ditegahNya.

Menurut Ali bin Abi Talib R.A:


التقوى هي الخوف من الجليل ، والعمل بالتنزيل ، والقناعة بالقليل ، والإستعداد ليوم الرحيل
Taqwa itu adalah rasa takut kepada Allah yang agung, dan pengamalan terhadap Al-quran, dan merasa cukup terhadap yang sedikit, dan bersedia untuk hari kematian.

Umar Bin Abdul aziz pula, memberi sebuah penjelasan yang membuka minda kita. katanya;

  ليس تقوى الله بصيام النهار ولا بقيام الليل والتخليط فيما بين ذلك ولكن تقوى الله ترك ما حرم الله وأداء ما افترض الله فمن رزق بعد ذلك خيرا فهو خير إلى خير.
“Taqwa kepada Allah bukanlah dengan berpuasa di siang hari, atau berjaga di malam hari untuk beribadah, atau mengerjakan kedua-duanya. 
Namun, taqwa kepada Allah itu adalah dengan meninggalkan apa sahaja yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa jua kewajiban dalam agama. 
Sesiapa yang dikurniakan kebaikan setelah itu, maka itu adalah kebaikan ke atas kebaikan.” (Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 159)

Ya, itulah taqwa. Sebuah trofi kemenangan dari Ramadhan ini, buat mereka yang meyakini janji Allah..


كتب عليكم الصيام .... لعلكم تتقون .
“Diwajibkan atas kamu berpuasa .... pasti kamu menjadi orang yang bertaqwa (takut terhadap Alloh).” (Al-baqarah:183)
------------------------------
RAMADHAN MUBARAK!
8 ramadhan 1434H

Comments

Popular posts from this blog

tadabbur surah kahfi : sebab turunnya surah al-kahfi..

بسم الله الرحمان الرحيم

bersambung dari artikel ini. Muhammad bin Ishak meriwayatkan daripada ibnu Abbas radhiyallahu 'anhu yang mengisahkan tentang peristiwa turunya surah al-kahfi:
"orang-orang Quraisy menghantar An-Nadhar bin Al-Haruth dan Uqbah Bin Abi mu'ith kepada beberapa orang rahib yahudi. Mereka diminta untuk bertanya tentang Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dan apa yang para rahib itu tahu tentang diri nabi Muhammad menurut apa yang dinyatakan di dalam Taurat.
para utusan Qurais itu berkata kepada rahib-rahib yahudi yang mereka kunjungi :" kami datang kepada kamu sebagai ahli kitab yang memegang Taurat untuk mendapatkan keterangan daripadamu tentang sahabat kami Muhammad! "
orang-orang yahudi itu berkata kepada mereka(utusan Quraisy), berikanlah tiga pernyataan kepadanya,jika dia dapat memberi keterangan tentang tiga perkara itu, maka memang benar dia adalah rasul. tetapi, jika dia tidak dapat memberi keterangan itu, maka dia alah seorang yang me…

"Kerana aku pemuda akhirat.."

Ukhrawi bukan hanya itu..
“Ah, kau hanya melihat akhirat. Kau gadis ukhrawi. Maaflah, kami ini duniawi”, begitu saban hari mereka bergurau denganku.
Aku cuma tersenyum getir mendengar kenyataan itu. Bukan terasa hati. Namun kerana kecewa dengan kecilnya pandangan anak muda generasi Y pada erti keduniaan. Aku kesal dengan salah erti tentang kedunian ini.

Mereka menganggap tudung labuh, membaca al-quran, pergi ke masjid, membaca dan menulis hal-hal agama itu ‘ukhrawi’. 
Mereka menganggap orang ukhrawi hanya tahu bercakap tentang ayat al-Quran dan tafsirnya. 
Mereka menganggap orang ukhrawi itu semata-mata puasa dan solat sahaja. Itu salahnya kita anak muda. Kita tidak mampu menjadi seperti anak muda di zaman Nabi kerana mentaliti dan persepsi satu sisi yang kita cermati.

Pada aku dan sepatutnya pada kita pemuda, keduniaan bukan pada banyaknya harta semata. Keduniaan bukan juga pada tingginya pangkat. Keduniaan sama sekali tidak diukur pada cantiknya paras rupa dan mewahnya rumah serta kere…

Contengan ramadhan: Persahabatan dan TAQWA kita..

بسم الله الرحمان الرحيم



Ini benar-benar sebuah ukhuwwah..
Selesai membaca surah An-naba' ayat 31-37, saya pandang ke kiri. Jalidah tiada. Sebab selalunya, Jalidah akan berkata kepada saya;
"Zahra cepat. Nak dengar perkongsian dari Zahra.."Sebenarnya, saya bukan pandai sangat mahu bercakap dan mengulas sesuatu, tetapi sahabat sejati yang ikhlas itu kadangkala lebih meyakini kita berbanding diri kita sendiri.

Sebab itu, bila sering bersama dengan Jalidah, saya seolah diberi kekuatan untuk berkongsi.

Terutamanya untuk melontarkan idea-idea dan butiran mutiara yang menerpa ketika menelusuri patah kata dari Al-quran. Setiap kali melontarkan bait-bait al-quran yang mulia, kemudian mentadabbur maksudnya, satu demi satu kisah kehidupan terasa dirungkai.

Tetapi, kadang-kadang saya mengelak juga.
"Jalidah, ana bukan faham betul sangat pun. Takut tersalah pula..",  Dan, selalunya, Jalidah akan mendesak. Memberi harapan dan menghargai saya seadanya.
"Zahra, ana pun macam Zah…