17 July 2013

Contengan ramadhan: Persahabatan dan TAQWA kita..

بسم الله الرحمان الرحيم


Taqwa, dari semak dosa kita bergerak keluar untuk meraihnya.. ~ zahra4|photogalery


Ini benar-benar sebuah ukhuwwah..

Selesai membaca surah An-naba' ayat 31-37, saya pandang ke kiri. Jalidah tiada. Sebab selalunya, Jalidah akan berkata kepada saya;

"Zahra cepat. Nak dengar perkongsian dari Zahra.."
Sebenarnya, saya bukan pandai sangat mahu bercakap dan mengulas sesuatu, tetapi sahabat sejati yang ikhlas itu kadangkala lebih meyakini kita berbanding diri kita sendiri.

Sebab itu, bila sering bersama dengan Jalidah, saya seolah diberi kekuatan untuk berkongsi.

Terutamanya untuk melontarkan idea-idea dan butiran mutiara yang menerpa ketika menelusuri patah kata dari Al-quran. Setiap kali melontarkan bait-bait al-quran yang mulia, kemudian mentadabbur maksudnya, satu demi satu kisah kehidupan terasa dirungkai.

Tetapi, kadang-kadang saya mengelak juga.
"Jalidah, ana bukan faham betul sangat pun. Takut tersalah pula..",
 Dan, selalunya, Jalidah akan mendesak. Memberi harapan dan menghargai saya seadanya.
"Zahra, ana pun macam Zahra juga. Tak ada keyakinan diri. Tapi tak apa, kita bermula dengan sesama kita dulu. Kalau Zahra salah ana tegur, kalau ana salah Zahra tegur.  "
Sejuk hati, mendapat pelawaan dari seorang sahabat bersungguh dari seorang sahabat.

Saya pun, bukanlah pelajar jurusan tafsir atau yang berkaitan dengannya.

Jadi, tahapan pemahaman saya tidaklah terlalu dalam dari segi konteks sebenar ayat. Saya hanya pelajar bahasa arab yang hanya memahami sedikit dari ribuan kata-kata indah dari al-quran.

Walaupun saya faham sedikit bahasa arab, tetapi kadang-kadang saya berusaha memahami al-quran melaui bantuan terjemahan.

Doa, itu juga cara saya memahami isi al-quran ini. Mohon agar Allah kurniakan ilmu dan hikmah untuk memahami. Dengan pemahaman sebenar dan menyedarkan.

Sesekali, perkataan demi perkataan cuba ditelusuri juga mengikut kefahaman bahasa arab yang ada. Kemudian, saya kongsikan dengan Jalidah ketika kami bersama-sama bertadarus.

Ah, saya jadi teringat  waktu-waktu kami bersama mentadabbur al-quran. 

Kisah pertemuan pertama kami juga kerana halaqah Al-quran. Kemudian, rasa keterikatan ukhuwwah bertambah juga kerana resolusi terhadap makna dan isi Al-quran selama 3 bulan di ruma sewa yang asing bagi kami.

Saya terasa, ini benar-benar sebuah ukhuwwah!. Terima kasih ya Allah.

Sahabat sampai akhirat..

Ukhuwwah, atau dengan kata lain persahabatan. Ia sebuah hubungan antara insan yang kita harus landaskannya di atas jalur Iman. 

Seorang muslim yang bersahabat. 

Apalah erti sebuah persahabatan kalau tidak saling memperingati kepada kebaikan?
Apalah erti sebuah persahabatan jika ia hanya membuat hati senang di dunia kemudian sengsara di akhirat?
Apalah ertinya kalau pada akhirnya mereka hanya saling menyalahkan ?

Ramadhan ini, membuat saya terpanggil menekuni apa sahaja perkara yang dikaitkan dengan Taqwa.

Begitu juga dalam surah Az-zukhruf Allah berfirman :


 الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين
"Sahabat-sahabat baik itu ketika hari qiamat, mereka menjadi musuh di antara satu sama lain, melainkan orang-orang yang bertaqwa."

Nah, benarkan?

Allah menyebutkan hal sahabat-sahabat baik itu kesemua mereka akan saling bermusuhan. Di dalam bahasa arab, uslub taqdim(mengawalkan) ini menunjukkan itulah suasana sebenar pada hari akhirat. 

Tetapi, ada satu golongan yang tidak begitu. Mereka tetap bersahabat ketika semua sahabat saling mencaci dan menyalahkan. Mereka inilah golongan muttaquun (orang-orang yang bertaqwa). 

Menurut Ibnu Abbas dan Mujahid di dalam tafsir al-Qurtubi, Muttaquun inilah yang disebut sahabat dunia akhirat.

Subhanallah.

Allah beri kita bulan Ramadhan yang penuh barokah ini untuk mendapat gelar Muttaquun itu. 

Sebuah gelar yang akan membuat kita dan sahabat kita kekal bertemu di hari akhirat. Bukan dalam keadaan bermasam muka dan 'berpanas hati'. Tetapi dalam keadaan paling damai di sebuah tempat bernama syurga.

Nyata, kita semua pasti berusaha mencapai apa yang Allah firmankan: 


"..moga-moga kamu bertaqwa." (Al-baqarah:183) 

Sebuah hasil dari usaha kita menahan diri selama sebulan. Ayuh!

Ya, cuma sebulan tetapi impaknya boleh sampai ke kampung halaman kita di negeri akhirat. 

Sahabat dunia akhirat. 

Kalau disebut tanpa Taqwa, ia akan sia-sia. Kalau tidak disebut tetapi Taqwa itu ada, maka itulah sebenar-benar sebuah persahabatan.

Ittaqullah..!!

No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)