24 December 2012

catatan : sepulang Konvensyen sunnah 2012

بسم الله الرحمن الرحيم

Banner Konvensyen Sunnah yang akan membuat saya terus 'rindu'.


Ini coretan saya sepulang dari konvensyen sunnah2012. Buat sahabat semua, doakan saya kuat untuk berkongsi semuanya. Saya mohon maaf kepada semua kerana sebelum ini, banyak yang saya janji untuk kongsikan, tetapi banyak yang tidak dapat diteruskan. Untuk topik yang sangat genting kali ini, mudah-mudahan ALLAH beri kekuatan kepada saya untuk kongsikan semua yang tercoret di nota saya :-)


Penangan ‘muka buku’

Hati terdetik resah menjelang peperiksaan ini, jemari terasa lemah mahu menaip sebarang patah perkataan, badan semakin lelah mengenang perjalanan bermusafir  Pulau Pinang-Gombak selama 8 jam di dalam kereta api. Bayangkan sahajalah.

Peperiksaan semakin hampir, lagi lima hari sahaja lagi. Banyak perkara yang belum saya ulangkaji. Kalau mahu diikutkan hati ini, mahu sahaja berehat lama-lama.

Sampai di Mahallah jam 10 pagi tadi, katil yang terbentang seolah-olah memanggil melambai minta disambut. Aduh, dengan keletihan yang menyengat mahu sahaja menerima pelawaan katil serba hijau itu. 

Saya susun beg bawaan ke tepi kamar. Satu-persatu bawaan saya keluarkan dan kemaskan ke dalam almari besi berwarna ungu. Meja belajar mula dipenuhi buku-buku bawaan saya. Tiba-tiba, serangan rasa mengantuk datang lagi. Bila dikenang-kenang cara tidur di kereta api semalam, memang tidak memuaskan. Ada saja alasan kalau mahu menurut nafsu ‘mengantuk ’ itu. 

Ah, saya perlu kemaskan kamar!, Jeritan hati mengasak. 

Peperiksaan semakin hampir!, batin terus-terusan menyelisih kehendak nafsu.

Cepat-cepat saya membuka laptop dan on-line untuk mengelak saya melayar ke alam mimpi. Cepat sahaja jemari meng’klik’ perkataan ‘facebook’ di ruang browser. Mahu menghirup semula ruh konvensyen sunnah yang saya hadiri semalam.

Terpampang satu status dari seorang sahabat FB:

Peranan seorang HAMBA dan KHALIFAH! 

قوله تعالى : هو الذي بعث في الأميين رسولا منهم يتلو عليهم آياته ويزكيهم ويعلمهم الكتاب والحكمة وإن كانوا من قبل لفي ضلال مبين

“ Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri,

 yang MEMBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYAT ALLAH, 

dan MEMBERSIHKAN MEREKA ,

 serta MENGAJARKAN MEREKA KITAB ALLAH (AL-QURAN) dan HIKMAH 

Dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Aha, kata-katanya yang berikut lebih membuat saya tercenung sebentar..

Maka perbanyakkkanlah dalam mempersiapkan dirimu !

Kerana dirimu sendiri tahu bahawa,

(
فاقد الشيء لا يعطيه)

' seseorang itu sesekali tidak dapat memberikan apa yang dia tiada '

Mata yang tadinya kuyu, mendadak mencerah. Astaghfirullah, aku ini hamba sahaja. Mengapa memperhamba diri kepada si nafsu, hamba juga.

Aduh, penangan ‘muka buku’ kali ini sungguh menyentap. Hakikatnya, ‘muka buku’ tiada kesan kalau bilah pena penulis tidak diasah. Begitu juga kalau mata hati pembaca tidak dibersih. Bak kata orang putih, ‘nothing’..

Alhamdulillah, muka buku kali ini benar –benar berkesan bila bilah pena itu terasah tajam.. dan yang paling penting, mata hati (saya) sudah dibersih oleh Konvensyen sunnah yang saya hadiri semalam. Alhamdulillah, mungkin sebab itu saya lebih terkesan ! 


Majlis ilmu equal to sabun pencuci.

Lumrah, kalau mahu membersih baju masakan tiada sabun dan air(pembersih)?. Bagi saya sendiri, ‘sabun dan air’ paling berkesan adalah majlis ilmu. Ada orang suka menyuci pakaian dengan detergent, ada juga yang suka menggunakan sabun serbuk, ada pula yang mahu menambah ‘softlan’ supaya pakaian lebih lama wanginya.

Begitulah kita. Mungkin kamu lebih suka merapat dalam bulatan-bulatan ukhuwwah, ada teman saya dia lebih suka menyendiri dan bermuhasabah sampai dia benar-benar dapat merasa ALLAH melihatnya dan dia melihat ALLAH. Ada pula yang suka buka buku dan mengulang-ulang perkataan yang mengetuk pintu hatinya, sehingga istighfarnya melekat di jiwa. Semuanya cara berbeza agar kita dapat membersih diri.

Bagi saya secara peribadi, semua cara ini terhimpun dalam satu aktiviti. Majlis ilmu. Sebab itu saya suka hadiri majlis ilmu dan saya sangat ‘memilih’ dalam menghadiri majlis ilmu. 

Zaman fitnah ini, kadang-kadang manusia tidak mampu berfikir dalam menamakan sesuatu ‘majlis ilmu’. Semua yang tajuknya berbau islam mereka namakan majlis ilmu. Sedangkan, layakkah suatu majlis yang dipenuhi label-melabel, cerca-mencerca, umpat-mengumpat dan gelak-tawa dinamakan majlis ilmu?

Sebab itulah, saya hanya berani mengatakan sesuatu majlis sebagai majlis ilmu setelah saya mengikuti sesuatu majlis sehingga tamat. Kalau ia menjadikan saya dan para hadirin semakin dekat kepada ALLAH, barulah layak ia dinamakan majlis ilmu.

“ Pada satu hari Rasulullah s.a.w keluar dari rumah dan bertemu para sahabat. Rasulullah saw bertanya kepada sahabat tentang perkara yang sedang dilakukan mereka pada ketika itu.

Tanya Rasulullah saw, “Mengapa kalian duduk berhimpun begini?”

Jawab sahabat, “ Kami hanya menyebut dan mengingati Allah bersama-sama”. 

Rasulullah saw bertanya semula, benarkah mereka bertemu untuk mengingati ALLAH?

Pertanyaan baginda ulang berulang kali, sehingga akhirnya Rasulullah saw berkata, 

“Ini adalah satu anugerah besar dari Allah Ta’ala. Telah datang Jibril as untuk memberitahu bahawa sesungguhnya Allah berbangga dan gembira melihat hamba-hamba-Nya yang telah diberi nafsu dan syahwat tetapi masih boleh berzikir mengingati-Nya.

Hadis ini dari Abu Said bin Khudri, dan diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan (mohon berkongsi kitab asal kalau ada yang tahu)

Inilah hakikat sebuah majlis ilmu. Bila berada di dalamnya,kita makin mengingati ALLAH. Bila makin ingat pada ALLAH, tidak ada lain yang terkesan kepada seorang manusia melainkan dia menjadi semakin bersih dan akan tenanglah hatinya ketika mengingat ALLAH.

“..dan menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat ALLAH..  ” (az-zumar 23:39)


Law kaana bainana (andai baginda bersama kita)..

Kelopak mata saya terasa bergenang. Selsema semalam sepertinya bertambah teruk. Kalau mahu dikira, sudah lebih sepuluh kali saya bersin pagi ini. Sebak hati, menambah selsema rasanya... Saya teringatkan seorang lelaki gagah, kacak dan peramah. Bila melihatnya, sahabat-sahabat di sekitarnya pasti terubat. 

Remaja seperti saya, dibelai dengan didikan penuh wibawa. Mus’ab bin Umair ketika berusia 20 tahun, tepat sama seperti saya dilantik menjadi duta untuk membuka dakwah di Madinah. Anak muda berumur 18 tahun, Usamah bin Zaid dilantik menjadi panglima besar.. belum lagi melihat ketokohan Ali bin Abi Thalib yang diiktiraf kepemudaannya .. oleh lelaki yang saya rindu itu.

Ah, andai baginda ada di sisi kita, betapa malunya saya yang sempat berfikir untuk berehat dari berdakwah. Menyampaikan apa yang saya dapat di Konvensyen Sunah 2012, itulah dakwah yang asasnya berkongsi. 

Saya tidak mampu turun padang menyampaikan dengan lisan seperti para panelist Konvensyen Sunah 2012 yang mantap-mantap itu. Sekadarnya, saya mampu berkongsi apa yang saya dapat sepanjang di Konvensyen Sunah. InsyaAllah, saya terjemahkan kata-kata dan peringatan dari mereka ke dalam bentuk penulisan. 

Saya akan sertakan juga link youtube yang sudah di upload. Semoga bingkisan penulisan berkenaan Konvensyen Sunnah2012 ini, dikira sebagai usaha dakwah saya dan semua panelist yang menyampaikan serta mereka yang menyebarkan melalui apa bentuk usaha sekalipun. Aamin (ya ALLAH, perkenankanlah).


No comments:

Post a Comment

semua yang saya tulis hanyalah sebuah perkongsian. Boleh diterima atau ditolak. Tetapi, tetap berlapang dada dalam semua urusan itu tanda hati kita murni.. :-)