27 August 2021

WANITA DAN MERDEKA: "DARI LEMBAH CITA-CITA" | SEBUAH RESENSI BUKU

بسم الله الرحمن الرحيم

Kata orang, merdeka itu bebas dan lepas. Tepatnya, menurut kamus dewan merdeka adalah bebas, lepas daripada cengkaman penjajah lalu mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada yang lain. 

Buku ini justeru memberikan saya persepsi sama dan berbeza.

Saya mula membaca buku ini ketika di bangku universiti. Terasa berat pada mulanya. Namun, kerana ia cuma memiliki 74 mukasurat, saya tetap menamatkannya perlahan-lahan penuh pengamatan. Kali pertama membacanya, saya membaca sebagai seorang anak muda yang masih di awal 20-an. Jujur, setelah membaca dua tajuk terawalnya 1- 'Dua orang pemuda bertanya' dan 2- 'Zaman Jahiliyah', saat itu saya merasa benar-benar lepas dan bebas daripada sebuah beban besar.

Apa itu?

Reda manusia.

Beberapa waktu berlalu, Buku ini antara yang paling sering saya peram di dalam beg tangan sehingga ia menjadi buku paling kerap saya ulang-ulang baca. Tidak bosankah?

Antara ya dan tidak cukup saya katakan ia sebuah buku yang membawa saya menjadi naib juara dalam pertandingan penulisan inspirasi 7 tahun lalu. Menjadi seorang pemuda dengan sudut pandang akhirat, ia sebuah perjuangan yang tidak cuma memerlukan rasa 'bebas' juga rasa 'hamba'. Baca artikel tersebut di (sini).

5 SUDUT BICARA RESENSI BUKU DARI LEMBAH CITA-CITA


Hari ini, ketika diminta menulis sebuah resensi buku tentang wanita dan merdeka segera saya capai beberapa buku. Ada Tahrirul Mar'ah, Buya Hamka berbicara tentang Wanita, Prinsip Wanita menurut Al-quran dan Hadis, Menjadi wanita paling bahagia, Ensiklopedia wanita muslimah, Wanita-wanita baik di dalam Al-quran.

Namun, beberapa hal terjadi akhir-akhir ini di dunia kita membuat saya kembali mencapai buku 'Dari Lembah cita-cita'. Saya bahagikan resensi ini kepada lima bahagian. Terpulang kepada pembaca mahu menangkap mesej dari mana-mana bahagian yang kalian suka.

1. Judul: 'Dari Lembah cita-cita'

Lembah ertinya tanah rendah, tempat terpencil dan tidak terkenal. Hamka tidak bercerita mengapa beliau memberikan judulnya sedemikian. Namun, di pendahuluan buku cukup menggambarkan bahawa menjadi merdeka itu bukan tentang puncak yang digapai. Sesederhana 'lembah' namun harus dipenuhi cita-cita dan kerja-kerja besar.

Seorang wanita, bercita-citalah dengan kemuliaan dan prinsip nan teguh. Kerana kita adalah pahlawan di sebuah lembah tidak terkenal, yang di sana cuma ada kerabat teristimewa kita orang terpercaya dan keluarga. Tempat kita, bukan di puncak yang terpampang segala aib dan maruah. Tempat kita wanita adalah di lembah dengan segala kerja buat dan kejujuran serta ilmu yang benar dipimpin cita-cita yang tidak mati.

Ketika Hamka berkata:
"..Sebab di atas pundak golongan yang masih muda terletak tanggungjawab yang amat besar meneruskan pembinaan bangsa dan NEGARA baru..".

Kita mengerti bahawa seorang wanita jangan mati kerana lelaki jangan pula hidup kerananya. Kita hidup adalah untuk saling dan bersama membina kehidupan. Berperan dengan halusnya cita-cita yang kita tuliskan di dinding peradaban sebagai pemacu jalan-jalan perjuangan para pahlawan dunia.

2. Pendahuluan: Wanita dan perjuangan.

1946, awal mula buku ini ditulis. Ada beberapa golongan yang dipimpin Hamka dalam usaha perjuangan memasakkan jiwa merdeka. Di antara pemuda-pemuda dari Barisan Hizbullah, ada Sabil Muslimat yang terdiri daripada anak-anak didik Malik Ahmad. Beliau merupakan penggerak kepada batu asas pendidikan melalui Kulliyah Muballighin. Mudahnya, ia sebuah gerakan pendidikan bangsa ini.

Demikian kita fahami. Bahawa wanita yang memahami perjuangan tidak bergerak untuk menonjolkan diri namun sentiasa ada bersama. Semangat juang mereka hidup dalam balutan kesantunan yang tetap terpelihara. Perempuan dan perjuangan melalui pendahuluan buku ini memberi tahu kita, bahawa di setiap nama besar di dunia mustahil tiada wanita di sebaliknya. Hanya saja bukan keperluan mempertontonkan wanita dengan selok belok dirinya yang harus tersimpan indah di bekas kaca.

Persis Khadijah Radhiyallahu 'anha yang saat terlihat kalungnya sahaja membuat Muhammad shallallahu alayhi wasallam menitiskan air mata. Sedang dunia tidak perlu menonton Khadijah sebagai pahlawan di barisan hadapan untuk tetap menjadi serikandi di sebalik perjuangan dakwah baginda nabi.

Indah bukan?


3. Perempuan tanpa jahiliyah.

" Mahu berjaya tak perlu malu, upload sahaja gambar di media sosial dengan pose paling menarik. Dengan client tu janganlah straight sangat.."

Aduh, prinsip semacam apa yang sedang merasuk wanita hari ini?
Untung sahaja masih ada wanita yang tidak semberono mengikut prinsip berunsur Jahiliyah begini. Kalau para wanita membaca bab 2 buku ini, betapa kita akan mengerti merdeka itu bukan bebas apatahlagi lepas. Merdeka adalah bergantung kepada peraturan Tuhan Robbul Jalil yang mencipta manusia dan dunia yang akan hancur nantinya.

Allah mencipta wanita dengan sifat istihya' (malu). Al-quran sudah dengan jelas memberikan prinsip kepada wanita melalui kisah puteri Madyan dengan Musa itu. Berjalan pun tak ingin di hadapan, bercakap pun lugas dan tegas. Hamka menyebut bagaimana jahiliyah Arab dulu amat kelam. Kehidupan mereka dalam kebejatan yang menakutkan. Jangan salah, bangsa Arab ketika itu terletak di sebuah rumah suci, Kaabah! Namun kerana Jahiliyah mereka tidak merdeka.

Wanita merdeka adalah perempuan tanpa Jahiliyah. Titik.


4. Refleksi: Menjadi perempuan Hero to Zero ?

Bab 3, 4, 5 dan 7 di dalam buku ini menekankan kita kembali kepada titik asal. Iaitu hamba.

Bagaimana mahu merdeka namun menjadi hamba? Ini titik buta yang sering tertutup oleh pancaindera kita. Berjuang untuk negara dan mencapai status sosial terbaik di mata dunia memang tanggungjawab kita. Terutama wanita, dengan sisi kurang yang ada tidak bermakna wanita boleh ditindas bukan juga bermaksud wanita harus bebas tanpa batas. Bersiap untuk menjadi perempuan Hero dalam usaha meningkatkan kualiti diri demi menjadi Zero di hadapan robbul jalil.

Kembali menjadi hamba. Seperti Musa gagah perkasa, Yusuf di tampuk pemerintahan Mesir, dan Daud yang mendirikan kerajaan Israel di Jerusalem. Di hadapan Allah mereka tetap hamba yang merendahkan diri dan menjadi seseorang yang tiada apa-apa, kosong. Lalu kita wanita yang berambisi dengan dunia dan kerjaya, siapkah kita? Bilakah kita akan memerdekakan diri dengan menjadi zero di hadapan Allah?

5. Wanita: Bebas dari kepompong bejat.

Jangan cuma berani kepada perempuan. Jahiliyah, begitulah. Mereka cuma berani kepada permpuan sedangkan di hadapan kebenaran mereka pengecut. Sehingga wahyu harus turun mempertahankan dua wanita hamba yang menolak keras dirinya daripada dilacurkan secara paksa. Ternyata, kebejatan itu berlaku di tangan seorang lelaki yang mengaku islam. Namun, kerana wahyu memberitahu dia adalah munafik agar kita para wanita belajar berani mempertahankan diri. Sebab malu yang telah kita peliharalah membawa kita kepada berani. Jangan sesekali berani sebelum malu, lain jadinya nanti.

Bab 10 tentang khutbah socrates menarik para wanita ke titik merdeka seterusnya.

Bahawa sejahat apa pun dunia dan manusia kepada kita, sesakit apa pun jiwa tersiksa, seberat manapun lidah ular yang melancarkan fitnah, kembali kepada perbahasan nombor 1, 2, 3 dan 4 resensi ini. Prinsip dan Iman akan menyelamatkan kita. Mungkin bukan harus menjadi pahlawan menghancurkan kebejatan, cukup menjadi seseorang yang terus bertahan dalam keyakinan bahawa ada balas kebaikan dan istana keindahan di syurga buat yang sabar dalam taat kepada Allah.

Buatmu wanita merdeka, pesan hamka ini untukmu;

Tuntutlah segala ilmu lihatlah segala yang wujud. Lihatlah awan bergerak, gunung meninggi, pasir terhampar, bumi dengan tumuh-tumbuhan, burung berkawan-kawan, unta jadi kenderaan...
Lihatlah ke kiri dan ke kanan buat mengetahui: " Dari mana, ke mana dan siapa?"
(Dari Lembah Cita-Cita, m/s 15)

Zaharoh Fajar Nina
Muharram 1433 H
Kedah, Malaysia.

------------------------------
FB: Zaharoh Fajar Nina
IG : @zaharohfajarnina
YT : Zaharoh Fajar Nina

 




17 January 2021

MUSIBAH BUKAN UNTUK KITA MELATAH

بسم الله الرحمن الرحيم

"Pihak pentadbir mahu berjumpa!", tegas suaranya memberitahu.

Guru-guru di situ semua tahu beliau seorang pengurus yang amat tegas. Sangat sukar untuk melawak dan bertepuk tampar dengannya. Mengikut kata guru-guru di situ, beliau termasuk guru yang manis namun, kerana ketegasannya amat sukar untuk beliau didekati, hanya murid-murid sahaja yang berani menyapanya:

"Hai cikgu cantik..!"

Setelah itu senyumnya akan terukir, untuk beberapa detik sahaja.

" Habis bertugas awak ikut saya, segera."

Memang begitu gaya bahasanya. 'saya' dan 'awak'. Tiada gelar 'kak' atau panggilan nama. Sepanjang perjalanan di dalam keretanya pun kami hanya terdiam seribu bahasa. Tidak seperti kebiasaan perempuan suka bercakap tentang tudung, baju, makanan dan hal-hal umum termasuk keadaan diri.

Saya masih ingat detik itu. Ditambah pula kami langsung tidak dibenarkan memegang telefon pintar walapun pada waktu rehat. Sedangkan setiap hari adalah saat-saat saya perlu menanti telefon berdering menunggu panggilan daripada hospital. Apa-apa sahaja boleh terjadi dalam keadaan orang tersayang sedang kritikal di hospital. Jarak tempat bertugas ke Hospital pula tidak dekat. Sekitar 1 jam perjalanan menaiki motosikal 100cc yang dibuat pada tahun 2002 itu.

Bayangkan sahajalah, bagaimana keadaan itu dengan segala keterbatasan. Saya akan pastikan diri menjamah walaupun sedikit makanan yang disediakan supaya dapat berjimat untuk duit minyak motor ulang-alik ke Hospital dan tempat bertugas.

Diam.
Serahkan urusan kepada Allah Yang Maha Mengurus.
Jangan pernah biarkan diri kita menanggung semua itu sendiri. Kerana kita takkan dapat menanggungnya tanpa bantuan dari Allah.

Hanya kerana rahmat Allah dan kekuatan dari-Nya sahaja jiwa seorang manusia mampu menghadapi kesemua itu. Di sela-sela keadaan yang amat berat, saya selalu terfikir. Tidak pernah ada orang yang menginginkan musibah terjadi dalam hidupnya. Namun, semua itu telah ditetapkan Allah puluhan ribu tahun sebelum bumi dicipta. Siapa kita mahu menghindar dari musibah yang telah Allah tetapkan.

Musibah, bukan untuk kita melatah. Itu yang islam ajarkan kepada kita.

Allah Ta’ala dalam firman-Nya:

Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa (seseorang) kecuali denga izin Allâh; barang siapa yang beriman kepada Allâh, niscaya Dia akan memberi petunjuk ke (dalam) hatinya. Dan Allâh Maha Mengetahui segala sesuatu. (Qs at-Taghâbun/64:11)

Imam Ibnu Katsîr rahimahullâh berkata:

“Maknanya: seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahwa musibah tersebut merupakan ketentuan dan takdir Allâh Ta’ala, kemudian dia bersabar dan mengharapkan (balasan pahala dari Allâh Ta’ala), disertai (perasaan) tunduk berserah diri kepada ketentuan Allâh Ta’ala tersebut, maka Allâh Ta’ala akan memberikan petunjuk ke (dalam) hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan bisa jadi Allâh Ta’ala akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan sesuatu yang lebih baik baginya.”[5]

Inilah sikap seorang Mukmin yang benar dalam menghadapi musibah yang menimpanya. Musibah, bukan untuk kita melatah.


Baca lagi di:



21 September 2020

BEKERJA DENGAN ALLAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Memulakan Isnin

Isnin.

Semenjak minggu lalu saya telah memulakan peperiksaan bertopik buat para pelajar. Minggu ini, masa pertama kelas, kami menyambungnya. Tepat, 7.59 pagi saya melangkah masuk ke kelas pertama pagi itu.

Bismillah.
Pintu kelas saya ketuk, salam diberi.

Pintu terbuka. 
Kelihatan semua pelajar tekun menelaah buku teks Pendidikan Al-Quran dan Sunnah kedua-dua tingkatan 4 dan 5. Sambil tersenyum, saya meminta mereka memulakan kelas dengan memohon pertolongan kepada Allah. Doa dibaca.

"أنتم مستعدون؟"

Sambil bibir masih mengukir senyuman, saya bertanya.

Mereka semua tersengih-sengih. Mata mereka masih menatap buku yang dibaca tidak lepas sedikitpun. Saya tahu, kalau tanya 'kamu semua sudah bersedia?' memang begitulah kelakuan mereka.

Kertas soalan diedarkan. Saya meminta mereka menyimpan buku teks yang sedang dibaca.

"Kamu mahu ustazah simpankan buku teks ni ke?", tangan saya cepat sahaja mengambil buku teks yang masih dibaca walaupun soalan sudah diedarkan.

Mereka tersengih-sengih lagi. Segera kesemua mereka menyimpan kemas buku-buku teks yang masih berada di tangan.

8.01 pagi.
Peperiksaan dimulakan. Saya pun mulai mengawasi.


Mengajar belum tentu mendidik.

Dalam Bahasa Arab, 'mengajar' disebut عَلَّمَ
جعله يعرفها، فهَّمه إيّاها
Menjadikan seseorang tahu dan faham sesuatu.

Demikian maksud mengajar. Ketika saya diamanahkan mengajar subjek PQS ini, ia bukanlah hal yang terlalu susah. Saya hanya perlu membaca apa yang ada di dalam buku teks, mencari bahan bacaan tambahan kemudian menyampaikan kepada pelajar. Saya perlu memastikan pelajar saya tahu, ingat dan faham apa yang mereka pelajari.

Saya juga perlu memastikan pelajar saya dapat menjawab soalan dengan baik. Itu yang saya sedang lakukan saat ini. Membiasakan mereka dengan soalan-soalan peperiksaan agar mereka tidak terkejut ketika peperiksaan sebenar nanti.

Itu mengajar.
Namun, mengajar belum tentu mendidik. 

ربَّى، يربِّي ، تربية
هذّبه ونمّى قواه الجسميّة والعقليّة والخلقيّة كي تبلغ كمالها
Membimbing, menumbuhkan kekuatan dirinya dari sudut akal dan jasmani serta membentuk akhlak agar mencapai kesempurnaan.

Demikian erti mendidik.

Sama?
Sudah tentu tidak sama, bahkan jauh berbeza. Mengajar itu menyentuh satu beberapa aspek sahaja. Namun, mendidik merangkumi seluruh aspek kehidupan dan pembangunan manusia. Guru yang mengajar adalah guru yang bekerja dengan baik sesama manusia. Guru yang mengajar dan mendidik pula, adalah guru yang bekerja dengan baik sesama manusia dan dia bekerja untuk Allah.


Bekerja dengan Allah

Di sebalik segala cabaran dan ancaman di tempat kerja, kita harus fahami beberapa hal. Tidak ada tempat di dunia ini yang sunyi daripada tantangan. Ke mana pun kita bekerja, pasti ada orang-orang 'baik' dan 'jahat'. 

Tidak dihargai, diperlecehkan, bertemu majikan kuku besi, bertemu rakan sekerja yang menjelikkan, juga diselubungi kemalasan akan selalu terjadi.

Kita ini, kalau tidak bermasalah dengan orang lain boleh jadi kita bermasalah pula dengan diri sendiri. Dunia pekerjaan begitulah. Namun, di atas semua yang terjadi itu ada satu prinsip yang menjadikan kita selalu selamat dan jauh dari masalah.

Iaitulah, prinsip:

"Aku bekerja dengan Allah. Majikanku adalah Allah!"

Ketika semakin disemai perlahan-lahan prinsip ini, semakin pula kita melihat ujian yang hadir teramat kecil. Kerana kita ada Allah Maha Kuasa yang menjadikan kita tahu mengapa harus tetap rajin dan bekerja sekalipin tidak dihargai bahkan diperlecehkan.

Bekerjalah untuk Allah, kau akan menjadi guru yang tidak hanya mengajar bahkan mendidik juga.



06 June 2020

5 SEBAB MENGAPA SAYA TERUS MENULIS?

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada satu kata-kata hikmah menyebut:

"Jangan menjelaskan kepada orang tentang dirimu. Kerana yang menyukaimu tidak memerlukan itu dan yang membencimu tidak mempercayai itu"

Lama saya berfikir sebab-sebab mengapa saya terus mahu menulis. Saya kongsikan ini bukan kepada mereka yang menyayangi saya, bukan juga kepada mereka yang membenci saya. Saya menuliskan ini kepada mereka yang memerlukannya.

Setelah kama membuat refleksi, akhirnya saya senaraikan 5 sebab yang kesemuanya adalah untuk saya selalu mengingatkan diri saya. Bahawa saya tidak menulis untuk kebahagiaan orang lain. Saya menulis semata-mata untuk meraih redha Allah sahaja. Saya terus menulis kerana:

PERTAMA
Pencipta saya tidak menghadirkan saya di dunia ini secara sia-sia. Ketika saya diberikan oleh Robb kemampuan mengenal aksara dan menyusun perkataan menjadi ayat, itu ertinya saya boleh menulis. Saya tidak buta huruf! Mana mungkin tidak buta hurufnya saya ini hanya kesia-siaan. Pasti saya ada di dunia ini untuk menerima dan memberi manfaat sehingga saya mati.

Menulis kebaikan adalah membunuh kesia-siaan.


KEDUA
Pencipta saya mencipta saya berbeza daripada makhluk bernama haiwan. Kerana itu saya  mesti membuktikan syukur dengan menggunakan akal ini dalam menghasilkan sesuatu yang membawa manfaat dan penambahbaikan untuk umat. Bukan malah merosakkannya dengan kecanduan kepada media dan kegilaan kepada kekaguman buta semata-mata.

Menulis karya yang menjentik akal adalah enjin yang menggerakkan kecanduan dan kekakuan kepada tindakan kebaikan.


KETIGA
Pencipta saya memberikan saya terlalu banyak kegembiraan dan kepahitan dalam kehidupan. Semua itu tidak lain tidak bukan sebuah pengalaman. pasti berbeza dan istimewa tatkala ia diertikan melalui sebuah penulisan yang akhirnya membawa manusia kembali mengenal Allah robbul jalil.

Menulis perasaan yang disandarkan kepada wahyu adalah menghidupkan kematian jiwa.


KEEMPAT
Allah, Tuhan satu-satunya yang saya sembah memberikan ujian kepada saya berupa kebahagiaan dan kedukaan, juga kelebihan dan kekurangan. Kesemuanya untuk saya selalu kembali kepada DIA dalam semua keadaan. Saat kita memahami bahawa kehidupan adalah ujian, kita tidak ada banyak masa untuk mebuang masa. Saya memilih untuk mecari kelebihan dalam penulisan agar Allah tidak murka ketika nanti saya ditanya tentang kekurangan saya lainnya. Menulis adalah kelebihan yang dibina. Tidak ada penulis di dunia yang memang lahir menjadi penulis tanpa perlu belajar apa-apa.

KELIMA
Allah, Tuhan yang Maha Baik dan Maha memiliki segala sifat dan nama yang sempurna sentiasa memperkenalkan diri-Nya dan sifatnya itu dalam semua keadaan yang terjadi. Menulis adalah ruang refleksi dan ruang ilmu. Agar saya selalu ada 'bilik sendiri' dalam ruang masa yang ada bagi mengilmukan diri mempelajari siapa DIA yang Maha Rahman dan Maha Rahim itu. Kasih tanpa batas oleh Tuhan, hanya saya kenal melalui proses panjang saya membaca, membaca, membaca dan menulis, menulis, menulis, menulis, menulis.

Sekian.
.
.
.

Utara Malaysia,
6 Jun 2020

05 June 2020

ULASAN-ULASAN BUKU CIKGU BANKRAP

بسم الله الرحمن الرحيم

Hari ini terdetik mahu kembali menghiasi dinding blog yang telah lama ditinggalkan. Alhamdulillah, terasa lebih damai saat boleh kembali menulis di sini. Jauh daripada hiruk-pikuk media sosial yang semakin ganas mengaburi kemanusiaan.

Pertama, jutaan terima kasih saya ucapkan kepada sahabat-sahabat pembaca karya sulung saya berjudul "Cikgu Bankrap" yang telah diterbitkan pada tahun 2018. Ya, sudah 3 tahun lalu ia diterbitkan. Alhamdulillah, segala puji hanya kembali kepada Allah semata buku tersebut masih mendapat permintaan sehingga hari ini terutama dalam kalangan guru-guru muda yang baru mulai berjinak-jinak dengan realiti dunia pendidikan.

Kedua, saya senaraikan beberapa blog yang saya temui melalui carian 'google' mengulas berkenaan buku cikgu bankrap. Antara yang saya temui seperti daripada:

1) Puan Aina Dayana.
Beliau merupakan seorang pendidik dan beliau juga salah seorang penulis buku "Kertas-kertas yang merubah fikir". (ULASAN OLEH PUAN AINA DAYANA)

2) Puan Aishah Hashimee.
Beliau merupakan pendidik dan penulis juga! Mendapat ulasan daripada penulis buku "Aku mahu anakku super Al-Quran" ini membuat saya merasa sangat kerdil.  Ikuti ulasan puan Aishah di (ULASAN PUAN AISHAH HASHIMEE)

3) Sha Mohamed.
Beliau merupakan pembaca tegar yang sangat saya kagumi semangat membacanya. Beliau juga seorang pembantu pustakawan. Hal unik yang saya temui adalah beliau membaca buku Cikgu Bankrap dalam versi e-book melalui aplikasi PNM e-reader. Bagi sesiapa yang teringin membaca buku ini namun tidak ada bajet untuk membeli, boleh baca versi e-book juga.

4) Saya kumpulkan komen dan ulasan sahabat pembaca yang menghubungi saya terus melalui media sosial di link ini. (ULASAN DI MEDIA SOSIAL).

Kenangan bersama MPH. Kedai buku yang turut terjejas akibat PKP 2020 dan terpaksa menutup beberapa kedai utama mereka. tetap bertahan industri buku!


Masih ada banyak ulasan yang belum sempat saya masukkan. Semoga yang ada ini memberikan sedikit gambaran mengenai apa yang ingin saya sampaikan melalui naskah kecil "CIKGU BANKRAP".

Semoga Allah memberkahi kalian!

12 March 2020

RENCAM HAYAT

بسم الله الرحمن الرحيم



Hayat ini bukan satu,
ia dua dan tiga,

renungku pada hayat pertama,
bukan putih, bukan pula hitam,
suram tak terlihat buram,
tiada warna juga kelam.

Hayat kedua,
berwarna-warna tak terjeda,
keliru ditambah buntu,
bahagia dengan sesungguhnya,
bertuju tidak seteru,
gejolak berombak galak,
rentak berdetak rancak,
kusut yang tak susut,
damai yang berselut,
entah yang berentah
benar yang mengonar,
desah-mendesah bersahabat gerah,
rencam hayat mulai membesar,
menokok antara linglung,
bingung,
bertenung,


Hayat ketiga,
pasti dalam ketidakpastian,
benar dalam kesamaran,
yakin lalu menyembuhkan.

Digosoklah naluri kehidupan,
biar insan bertekuk di hadapan Tuhan,
besarkah sangat rencam kemahuan,
sampai benah Robb-mu terlupakan,
Rahman-Nya terus memeluk tanpa sungkan,
Rahim-Nya Tuhan-mu tidak sesekali berbalam.


Mengkuang Berapit
12 Mac 2020

27 January 2020

Kesumat merona jernih

بسم الله الرحمن الرحيم


Kesumat,
Hitam pekat kelam berkilat.

Merona merah diserap rentap,
Hembusan laknat menyerap,
Kalbu leka menyambut sulap,
Kata baik menyamar hendap..

Kesumat merona jernih,
Bersih dada damai jiwa,
Sombong, ego, risih!
Biar dia bergegas pamrih,
Sebelum, selepas, cepat kau bunuh!
Kerana ego tak pintar berdalih.

Kekang
Nafsu merana, kau menang.

Marah
Senyumkan tombak, kau gagah.

Jengkel
Perisaikan sabar kau bugar.

Di hujung bertemu,
Jurang menyala atau taman bertamu,
Pergi dan di sini,
Aku memilih yang kedua lagi,
Kerana sedetiknya menghapus seantero duka dan benci.
.
.
.
.
.
Jabal Indera Young
26 Jan 2020